Lebih buruk lagi apabila ada yang sibuk bekerja sehingga tiada masa untuk menunaikan solat lima waktu ataupun tidak ber­puasa di bulan Ramadan dengan alasan keletihan dan kehausan. Sedangkan Islam tidak pernah me­misahkan antara agama de­ngan kehidupan seharian malah kedua-duanya saling berkait antara satu sama lain.

Memetik ungkapan masyhur iaitu, “…bekerjalah kamu untuk duniamu seolah-olah kamu akan hidup selama-lamanya dan beri­badatlah kamu seolah-olah kamu akan mati keesokan harinya.”

Oleh sebab itu Islam menggariskan beberapa syarat untuk dipenuhi agar apa sahaja pekerjaan yang dilakukan boleh dinilai sebagai ibadah. Antara yang terpenting niat bekerja ikhlas kerana Allah SWT. Besar kemungkinan apabila niatnya betul akan dipermudahkan oleh Allah untuk be­kerja dalam apa jua bidang yang diceburi. Mudah-mudahan dengan cara itu rezeki atau gaji yang diperoleh akan mendapat keberkatan walaupun tidaklah sebanyak mana.

Selain itu, pekerjaan yang dilakukan hendaklah yang dibenarkan oleh syarak. Oleh itu bekerja di premis-premis yang menghidangkan arak dan pergaulan lelaki dan perempuan bebas tanpa sempadan sebaik-baiknya dihin­dari. Perkara ini diharamkan dan umat Islam dinasihatkan bertaubat daripada terus bergelumang dengan dosa dan noda. Ini termasuklah dengan sengaja berpakaian mendedahkan aurat ketika bertugas, terlibat dengan arak, judi, riba yang semuanya terma­suk dosa-dosa besar.

Semasa bekerja pula ditegah daripada curi tulang, merakamkan kad masuk untuk rakan-ra­kan, membuang masa dengan mi­num atau makan berjam-jam dan paling dilarang menerima ra­suah dan habuan untuk perkhid­matan yang diberikan.

Umat Islam juga diingatkan supaya tidak mengabaikan perintah dan ibadah utama ketika bertugas. Ini kerana pekerjaan seharian seperti bertugas di pejabat, sektor perkilangan, pembuatan mahupun berniaga termasuk da­lam kategori ibadah umum yang diberi ganjaran pahala. Namun ia sepatutnya tidak sampai mengabaikan ibadah khusus se­perti solat, puasa dan lain-lain.

Umat Islam yang bekerja juga dinasihatkan supaya tidak culas membayar zakat. Ini kerana pada harta atau gaji yang diperoleh ada hak orang miskin. Dengan wang ringgit yang diperoleh juga boleh digunakan untuk menginfakkan harta ke jalan Allah dengan bersedekah dan berwakaf sehingga ada nilai tambah daripada pendapatan bulanan.

Usah juga dilupakan nafkah bulanan untuk ayah ibu di kampung serta keluarga dan anak-anak yang semuanya akan dipertanggungjawabkan jika gagal di­selesaikan dengan sempurna.

Khusus bagi wanita yang ingin keluar bekerja, Islam menetapkan syarat perlu mendapat ke­izin­an wali atau suami bagi yang sudah berumahtangga. Keizinan ini juga tertakluk dengan syarat wanita bekerjaya tidak boleh mengabaikan tanggungjawab di rumah terhadap suami dan anak-anak. Malah peranan sebagai ibu dalam mendidik dan mengasuh anak juga perlu dititikberatkan. Usah kerana kesibukan bekerja semuanya diserahkan kepada pembantu rumah sehingga anak kurang kasih sayang.

Terdapat pula segelintir yang enggan berumahtangga dengan alasan ingin menumpukan perhatian kepada matlamat mencapai kecemerlangan hidup bekerjaya. Semua ini tidak menepati ajaran Islam dan sunah Rasulullah SAW yang menggalakkan perkahwinan.

Wanita juga diingatkan supaya sentiasa menjaga aurat, batasan pergaulan sesama rakan sekerja dan mengelak unsur fitnah yang boleh mencemarkan nama baik keluarga mahupun ibu bapa.

Dalam sebuah hadis riwayat at-Tirmizi, Nabi Muhammad SAW pernah bersabda mengenai empat perkara yang akan dipersoalkan di hari kiamat. Antaranya, ke mana umur dihabiskan? Untuk apa jasad atau tubuh badan digunakan? Adakah ilmu yang dapat dinilai sebagai ilmu yang bermanfaat? Dari mana harta diperoleh dan ke mana dibelanjakan?

Sehubungan itu umat Islam diajak melihat pekerjaan seharian sebagai usaha ibadah kepada Allah dan bukan sekadar makan gaji semata-mata. Islam tidak pernah melarang mana-mana lelaki atau wanita untuk bekerja asalkan tetap menjaga peraturan agama dan kehormatan diri. Apa yang lebih penting ialah bagaimana setiap individu Muslim mampu menjaga hubungan baik antara makhluk dan Maha Pencipta (khalik) dan pada masa yang sama, hubungan baik antara majikan dan pekerja.

Setiap Muslimin juga perlu memahami selagi nyawa dikandung badan, tidak ada istilah pencen be­kerja dengan Allah. Segala amal ibadah fardu, wajib dikerjakan tanpa sebarang alasan. Turut disunatkan untuk menambah pahala dengan mengerjakan sebanyak mungkin amalan sunat sebagai persiapan untuk kembali kepada-Nya.

Justeru sempena bulan Ramadan yang mulia ini, umat Islam secara khususnya wajar me­ng­gembleng usaha dan tenaga untuk memajukan diri, keluarga, ma­syarakat dan negara dengan be­kerja bersungguh-sungguh dan berdedikasi. Usah diabaikan setiap amanah dan tanggungjawab yang dipikul kerana pasti akan dipersoalkan di hari kemudian.