Ramadan membangun jiwa jemaah. Bertarawih dan bertadarus umpamanya adalah latihan rohaniah bagaimana jiwa kebersamaan dan kekitaan lahir supaya watak muafakat terbina. Perpecahan sesama warga umat adalah bencana. Bukti yang terpapar kini dalam dunia Islam sangat nyata akibat jiwa jemaah tidak dihayati dan diterjemah dalam amalan menyebabkan lahirnya pelbagai firqah atau kumpulan yang sifatnya saling bercanggah dan membawa pendekatan melampau dan radikal yang berakhir dengan konflik.

Amalan di bulan Ramadan bukan sahaja mencetuskan peningkatan dalam produktiviti rohiyyah tetapi juga kepada produktiviti amaliah yang mempamerkan keindahan watak Islam itu sendiri. Keseimbangan antara kedua-duanya amat penting bagi melahirkan watak yang berimbang dan sederhana.

Tarbiah Ramadan yang tulen harus mampu mengubah sikap dan pemikiran ahli ibadah kepada amal yang lebih menyeluruh dalam kehidupan. Produk atau penghasilan Ramadan harus memiliki sifat sabar yang tinggi, rasa pemurah dan kemanusiaan yang tulus untuk menyantuni fakir dan miskin. Ia mendidik hati supaya tidak angkuh dan sombong dengan kelebihan yang dimiliki. Harta yang ada harus dibersihkan (zakat) supaya manfaatnya tersebar dalam kalangan asnaf. Kedudukan dan pangkat serta kekayaan yang dimiliki pula tidak menjadikan kita tinggi diri dan hilang kualiti manusiawi.

Membangun hati melalui tazqiah an nafs (pembersihan jiwa) amat dituntut. Ramadan adalah madrasah memba­ngun hati supaya niat yang terbina sifatnya menyantuni dan terlihat pada amal. Jika ini berlaku, hubung­an mene­gak kita dengan Allah terlihat dalam amal dan perbuatan. Itulah sebenarnya keindahan Islam yang bukan saja rohaniah sifatnya tetapi terpancar dalam pekerti yang baik.

Ramadan menganjurkan kita membaca al-Quran dan memahami isinya agar menjadi sumber amalan dalam kehidupan. Janji Rasulullah SAW dalam hujjatul wida’ khutbah terakhir baginda, umat Islam tidak akan sesat selama-selamanya selagi berpegang kepada al-Quran dan sunah.

Hari ini terdapat kelompok yang menyimpang daripada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah dan menyatakan bahawa al-Quran sahaja yang harus dirujuk dan menolak hadis. Kelompok liberal dan pluralis agama pula meng­anggap semua agama sama dan rasionaliti adalah segala-gala. Ramadan harus mengembalikan kita kepada agama fitrah kerana sifat ibadah di bulan ini adalah sedemikian.

Solat bukan sekadar mendirikannya sebaliknya menjadi asas pencegahan daripada perbuatan keji dan mungkar. Rukuk dan sujud yang dihayati benar-benar membawa sifat kehambaan yang tinggi, yang akan mencetuskan pula sifat patuh, taat, akur dan tunduk kepada perintah Allah.

Puncak kepada tarbiyyah Ramadan bermaksud menjadikan kita orang yang bertakwa (muttaqeen). Jiwa takwa menjadi benteng yang penting bagi kita melayari kehidupan. Hidup yang sentiasa mempunyai hubungan menegak dengan Allah dan hubungan merentas sesama manusia menjadikan iman dan amal bergerak seiring.

Matlamat inilah yang menjadi sumber kekuatan kepada warga Mukmin berdepan dengan cabaran yang pelbagai. Allah menjadi sandaran kita dalam melakukan apa saja kerana sandaran itu bermaksud mencari reda-Nya. Reda Allah sangat penting supaya amal ibadah kita diteri­ma dan hikmahnya dirasakan oleh orang lain juga. Jiwa manusiawi inilah yang semakin pupus. Matlamat akhir madrasah Ramadan ialah mengukuhkan fitrah diri dan mengembalikan semula fitrah yang tiris dan hilang.

Moga Aidilfitri nanti menjadi hari kemenangan seolah-olah menjadikan kita lahir semula dengan jiwa manusiawi yang tinggi. Sebagai khalifah Allah yang akan me­nyumbang kepada kesejahteraan umat manusia.