Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Doa ibu bapa pengikat kasih anak

Posted by epondok di Mei 30, 2017


Oleh Ahmad Nazri Mohd Yusof

ANAK aset paling bernilai kepada ibu dan bapa. Setiap pasangan yang berkahwin pasti mempunyai keinginan untuk mendapatkan cahaya mata sebagai penyeri dan pelengkap kebahagiaan rumah tangga mereka. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasul-Nya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah kamu, sedangkan kamu mengetahui. Dan ketahuilah bahawa harta kamu dan anak kamu adalah ujian (bagi kamu), dan sesungguhnya Allah di sisi-Nya pahala yang besar.” (Surah al-Anfal, 27 hingga 28)

Ibu bapa perlu memainkan peranan penting memastikan anak mereka dididik dengan ajaran Islam, lebih-lebih lagi pada zaman yang penuh dengan cabaran. Ibu bapa perlu melaksanakan amanah diberikan sebaiknya, walaupun berdepan kesukaran membimbing anak ke jalan yang diredai Allah SWT.

Pada siri perbincangan dalam rancangan Pesona D’Zahra di IKIMfm, Ustaz Muhamad Abdullah al-Amin menghuraikan satu lagi ayat yang berkait rapat dengan isu kekeluargaan.

Pelihara keluarga daripada buat dosa

Ayat itu menerangkan, Allah SWT memerintahkan hamba-Nya supaya melakukan dan melaksanakan apa yang disuruh dan meninggalkan larangan-Nya. Ia juga mengingatkan bahawa tanggungjawab ketua keluarga untuk memelihara keluarganya daripada melakukan dosa yang boleh membawa kepada balasan api neraka. Sesiapa yang mengerjakan segala suruhan dan menjauhi larangan-Nya akan mendapat balasan setimpal dan Allah SWT menjanjikan syurga untuknya kelak.

Menurut Muhammad, ada lima perkara yang tidak akan memisahkan hubungan erat antara ibu bapa dan anak.

Pertama, memberikan kasih sayang secukupnya, membolehkan anak membesar dengan seimbang dari segi emosi dan jasmani. Anak yang kurang mendapat perhatian kasih sayang daripada ibu bapa biasanya cenderung menjadi anak yang nakal dan kurang berdisiplin. Kasihnya ibu membawa ke syurga dan kasihnya ayah berkorban nyawa. Anak perlu berasakan kewujudan ibu bapa pada hari ini sesungguhnya nikmat yang amat besar daripada Allah SWT. Tanpa dua insan itu, anak tidak mampu mengecapi erti sebenar kehidupan ini.

Perkara seterusnya yang perlu dititikberatkan adalah dari segi aspek nafkah. Ketua keluarga perlu prihatin dan berusaha memenuhi dan menyediakan keperluan makanan, pakaian, tempat tinggal, pekerjaan dan kesihatan anak. Kegagalan ibu bapa menyediakan keperluan asas akan menyebabkan anak menghadapi masalah dalam menjalani kehidupan seharian. Ibu bapa juga bertanggungjawab memberikan khidmat terbaik buat anak termasuk menjaga keselamatan mereka. Ibu bapa mesti memastikan anak selamat ketika mereka pergi bekerja seperti perjalanan pergi dan balik dari sekolah, membawa anak mendapat rawatan jika sakit.

Tingkat kesabaran

Manusia boleh sabar bila diuji dengan harta benda, kedudukan dan kemewahan, tetapi belum tentu boleh sabar dan tabah menghadapi ujian atau kerenah anak. Anak menjadi sebahagian ujian Allah SWT untuk ibu bapa meningkatkan kesabaran dalam perkara yang tidak disenangi. Allah SWT berserta dengan manusia yang sabar mengharungi musibah yang melanda hidup mereka. Akhir sekali, hubungan erat antara ibu bapa dan anak tidak akan terlerai begitu sahaja dengan mengamalkan doa secara berterusan.

Doa ibu bapa sangat berkat dan mustajab. Oleh itu, anak yang soleh mengharapkan keberkatan doa ibu bapa dalam menyusuri kehidupan. Sewajarnya, anak harus merebut peluang ketika ibu bapa masih hidup untuk berbakti di samping mengharap keberkatan doa mereka kerana doa ibu bapa adalah sumber kekuatan anak.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: