Paling penting melalui ibadat puasa, nafsu yang sentiasa mengarah manusia ke arah kemaksiatan dan kejahatan mampu ditundukkan. Selain itu, puasa pada bulan Ramadan turut menawarkan pelbagai ganjaran kepada setiap Muslim yang mengerjakannya demi mendapatkan keredaan Allah.

Sememangnya golongan yang beriman sahaja tahu serta berusaha memanfaatkan kelebihan Ramadan. Mereka juga cukup maklum bahawa puasa ini adalah satu ibadat yang amat dituntut oleh Allah dan Rasul-Nya. Saya perlu memberi penekanan terhadap perkara ini kerana terdapat segelintir umat Islam yang berpuasa hanya semata-mata adat.

Mereka berpuasa disebabkan orang lain berpuasa. Ada juga berpuasa kerana semata-mata mahu menikmati juadah yang lazat dan enak ketika berbuka puasa. Ada juga yang berpuasa semata-mata mahu menguruskan badan.

Oleh itu tidak hairanlah ada antara mereka yang berpuasa tetapi tidak mendirikan solat. Kadang-kadang perkara ini berlaku di sekeliling kita. Mungkin dalam kalangan kaum kerabat, sahabat-sahabat dan rakan-rakan sepejabat kita.

Berkemungkinan golongan ini beranggapan solat itu tidak penting. Sehubungan itu jika kita berkemampuan atau berkuasa untuk menegur, lakukanlah. Jangan biarkan mereka berpuasa dalam keadaan yang merugikan.

Selain itu ada juga yang berpuasa tetapi tidak memelihara mulut daripada berdusta, mengumpat, memfitnah dan bercakap perkara-perkara yang kotor. Ada juga yang berpuasa tetapi tidak menutup aurat. Lebih malang lagi berlaku pergaduhan pada bulan puasa yang akhirnya terputus hubungan silaturahim antara dua orang Islam.

Pada akhirnya golongan yang seperti ini tidak mendapat apa-apa kecuali lapar dan dahaga seperti mana pernah disebut dalam satu hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Ibn. Majah yang bermaksud: “Berapa banyak orang yang berpuasa tetapi dia tidak mendapat apa-apa daripada puasanya kecuali lapar dan dahaga.”

Jelas, hadis di atas mengingatkan kepada kita tentang kepentingan seseorang Muslim itu memahami konsep sebenar puasa supaya ibadah yang dilakukan bermula terbit fajar hingga terbenam matahari itu tidak menjadi suatu perbuatan yang sia-sia.

Kita tidak mahu di saat berbuka langsung tiada pahala dicatatkan hasil daripada ibadat puasa yang dikerjakan sepanjang hari itu. Dengan kata lain puasa yang dikerjakan pada hari itu langsung tiada nilainya di sisi Allah.

Berpuasa mengikut panduan Islam bukan sahaja setakat menahan diri daripada makan dan minum serta melakukan perkara-perkara yang boleh membatalkannya mulai dari terbit fajar hingga terbenam matahari malah lebih daripada itu.

Antaranya menundukkan pandangan mata daripada memandang perkara-perkara tercela, menjaga lidah daripada berkata perkara yang sia-sia, dusta, fitnah, caci-maki dan menyinggung perasaan orang lain.

Kita juga wajib menahan pendengaran daripada segala sesuatu yang ditegah agama seperti mengumpat dan fitnah. Mencegah tangan, kaki dan perut serta semua anggota badan daripada melakukan atau mengambil perkara yang haram. Sebaliknya perbanyakkan ibadah seperti solat tarawih, membaca al-Quran dan sedekah.

Apa yang boleh dikatakan puasa yang dikerjakan ini sewajarnya menjadi madrasah tarbiah dalam usaha melahirkan seorang Muslim yang bertakwa seperti mana maksud firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 183.

Sesungguhnya, bulan Ramadan adalah bulan yang pada awalnya keampunan, pertengahannya rahmah dan akhirnya dijauhkan dari azab api neraka. Sehubungan itu setiap daripada kita haruslah berusaha untuk meningkatkan ketakwaan kepada Allah dengan sentiasa mengingati-Nya melalui amalan-amalan mulia di samping menjauhi segala sifat keji dan mungkar. Harapan kita selepas tamatnya bulan Ramadan ini, perbuatan mulia ini akan diteruskan ke bulan-bulan yang lain.

KHALISYA

Seri Sendayan