Ini sebagaimana sabda Rasulullah SAW maksudnya:

“Sesiapa yang berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharap balasan daripada Allah, akan diampunkan dosanya yang telah lalu. Sesiapa yang menghidupkan malam al-Qadar dengan penuh keimanan dan mengharap balasan daripada Allah, akan diampuni dosanya yang telah lalu.” (Muttafaqun Alaih)

Malah, sepanjang bulan itu juga, pintu syurga terbuka seluas-luasnya bagi orang yang berpuasa manakala pintu neraka ditutup rapat.

Tidak dinafikan, Ramadan adalah anugerah Allah dan nikmat yang sangat agung buat menghiburkan hati orang beriman dan membahagiakan jiwa orang bertakwa.

Setiap kali Ramadan menjelang, Rasulullah SAW sering menggembirakan sahabat dengan kata-kata motivasi agar mereka lebih bersedia menyambutnya dengan penuh ketaatan dan merebut peluang yang dijanjikan oleh Allah.

Daripada Salman Al-Farisi r.a. berkata: Rasulullah menyampaikan khutbah pada hari akhir bulan Syaaban.

Sabda baginda: “Wahai manusia! Telah menaungi kamu bulan yang agung, bulan diberkati, bulan terdapat padanya satu malam lebih baik daripada 1,000 bulan, Allah mewajibkan berpuasa di dalamnya, sunat menghidupkan malamnya, sesiapa yang menghampirinya dengan amal kebaikan seolah-olah (pahalanya) seperti pahala fardu, sesiapa mengerjakan amalan fardu seolah-olah (pahalanya) seperti pahala 70 amalan fardu, Ramadan bulan kesabaran dan pahala sabar adalah syurga …..”

PERSEDIAAN RAMADAN

Sebagai mensyukuri kedatangan bulan penuh keberkatan ini, umat Islam dituntut untuk membuat persiapan bagi meraih segala anugerah dan kelebihan yang dijanjikan. Antaranya:

1) Sedia bertaubat – Islam memperuntuk satu amalan yang boleh menghapuskan segala dosa iaitu taubat sebagai mengimbangi kelemahan manusia.

Berasaskan sifat Allah, al-Tawwab (Maha Penerima Taubat) dan al-Ghafur (Maha Pengampun) sudah pasti Allah tidak akan membiarkan kelemahan hamba-Nya begitu sahaja.

Sebagai orang beriman kita dituntut agar sentiasa memohon keampunan Allah atas segala dosa dilakukan sama ada kecil atau besar.

2) Bersegera mengerjakan amal kebaikan – Ia merupakan sikap terpuji bagi orang beriman. Amalan ini akan menjauhkan daripada kerugian dan meningkatkan izzah (kemuliaan) di sisi Allah.

Kesannya, kita berasa seronok dan bersemangat dalam mengerjakan amalan-amalan fardu dan sunat sepanjang masa.

3) Rebut peluang memperoleh rahmat Allah – Rahmat ialah belas kasihan dikurniakan Allah kepada mereka yang dikehendaki-Nya.

Setiap orang Islam mesti berusaha untuk mendapatkan rahmat Allah dengan memperkasa keimanan, melakukan transformasi diri dan bermujahadah pada jalan diredai-Nya.

4) Menjauhi segala perkara yang menyebabkan amalan tidak diterima – Untuk memperoleh kehidupan diredai Allah, umat Islam hendaklah sentiasa melakukan segala perkara kebaikan, bermanfaat dan diterima oleh Allah.

Allah tidak meletakkan banyaknya amal sebagai prasyarat untuk diterima. Sekali pun amal itu sedikit tetapi dikerjakan dengan ikhlas, maka ia tetap tinggi di sisi Allah.

5) Meneguhkan tali persaudaraan – Islam menuntut umatnya agar sentiasa bersatu padu dan menzahirkan solidariti tanpa berbelah bahagi.

Konsep persaudaraan berteraskan ikatan ketuhanan menjadi asas dan instrumen efektif kepada perpaduan seluruh umat Islam. Sekiranya dapat menghayati konsep persaudaraan ini, nescaya akan lahir sebuah peradaban manusia yang unggul.

Kehadiran Ramadan yang disambut dengan ketulusan hati dan kelapangan pemikiran akan membentuk keteguhan sahsiah dalam mempertahan iman dan takwa kepada Allah, malah menjadi perisai yang melindungi diri daripada kehancuran jiwa.

Sehubungan itu, umat Islam perlu merebut peluang dan memanfaatkan kelebihan Ramadan dengan sebaik-baiknya.

Tingkatkan tumpuan dan kekuatan diri untuk beribadah kepada Allah sebanyak-banyaknya dengan berzikir, membaca al-Quran, mengerjakan solat sunat terutamanya solat sunat tarawih serta witir yang dituntut dilakukan secara berjemaah.

PEDOMAN

* Kunjungan 
Ramadan adalah tetamu agung yang wajib dimuliakan oleh setiap umat Islam dengan bersungguh-sungguh menerusi amalan ketaatan.

* Jadikan 
Ramadan kali ini 
adalah yang terbaik, jangan biarkannya berlalu tanpa memperoleh 
keampunan 
daripada Allah.

* Berlumba dalam melaksanakan amalan sepanjang bulan Ramadan kerana setiap amalan yang dilakukan akan dilipatgandakan ganjarannya.