Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Ramadan sedia limpahan keberkatan

Posted by epondok di Mei 26, 2017


KETIKA berucap menyambut kedatangan bulan suci Ramadan, Rasulullah SAW menyebut Ramadan sebagai bulan agung dan penuh berkat. Keagungan dan keberkatan menghiasi Ramadan menjadikan kehadirannya sentiasa dinanti-nantikan umat Islam di seluruh pelusuk dunia.

Perkataan berkat membawa erti kebaikan dan kebajikan yang melimpah. Menurut ulama tafsir terkenal Al-Asfihani, sesuatu itu disebut berkat apabila di dalamnya terkandung kebaikan dan kebajikan yang banyak. Contohnya, air hujan disebut dalam al-Quran sebagai sesuatu yang mendatangkan kebaikan melimpah ruah kerana ia dapat menyuburkan tanah dan menumbuhkan pelbagai tanaman untuk umat manusia.

Menurut Ulama’, ada dua keberkatan iaitu yang pertama ialah keberkatan fizikal seperti rezeki, kesihatan jasmani dan nikmat yang memberi kebahagiaan kepada manusia. Kedua, keberkatan tidak bersifat fizikal seperti turunnya wahyu, intuisi, ketenangan jiwa yang memandu manusia ke arah kesempurnaan dan kesejahteraan abadi.

Bulan al-Quran

Keberkatan kedua inilah yang menghiasi serinya Ramadan. Satu lagi kemuncak keberkatan yang menghiasi fadilat Ramadan ialah nuzul al-Quran yang terkandung peringatan dan keberkatannya. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan al-Quran ini juga pengajarannya yang berkat, yang Kami turunkan (kepada Nabi Muhammad); dengan keadaan yang demikian maka patutkah kamu mengingkarinya?” (Surah al-Anbiya’, ayat 50)

Istimewanya ialah malam al-Quran diturunkan disebut Allah SWT sebagai malam yang diberkati (lailatin mubarakah) dalam firman yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah menurunkan al-Quran itu pada malam yang berkat; (Kami berbuat demikian) kerana sesungguhnya Kami sentiasa memberi peringatan dan amaran (jangan hamba Kami ditimpa azab).” (Surah al-Dukhan, ayat 3)

Sesungguhnya, Ramadan diberkati dan mengandungi keistimewaan yang tidak terhingga banyaknya. Di dalam bulan ini, Allah SWT menurunkan rahmah, memberikan pengampunan dan menyediakan jaminan pembebasan manusia daripada api neraka.

Ganjaran berganda

Tidak cukup dengan itu, Allah SWT juga telah menutup pintu neraka, membelenggu pergerakan syaitan dan membuka seluas-luasnya pintu syurga. Di samping itu, dilipatgandakan ganjaran pahala segala ibadat dan amalan soleh sehingga ribuan kali ganda. Kecuali ibadat puasa yang perhitungannya menjadi rahsia di sisi Allah SWT.

Selanjutnya, Allah membuka pintu kemaafan dan keampunan seluas-luasnya. Sabda Rasulullah SAW: “Sesiapa yang berpuasa Ramadan kerana iman dan mengharapkan keredaan Allah, maka Allah akan mengampuni seluruh dosanya seumpama dia baru lahir dari rahim ibunya.” (Riwayat Ahmad)

Berdasarkan keistimewaan dan keberkatan disediakan sepanjang Ramadan, jelas menunjukkan Allah SWT menyeru umat Islam merebut ganjaran serta kelebihan itu dengan melakukan lebih banyak amalan soleh. Hadirnya Ramadan mengundang 1,001 kesempatan bagi orang beriman dan bertakwa untuk beramal ibadat di samping bertafakur serta bermuhasabah diri. Amalan muhasabah akan mencetuskan keinsafan untuk memperbetulkan kesilapan dan meningkatkan kualiti ibadat.

Golongan yang rugi

Alangkah ruginya jika seseorang Muslim tidak mengisi Ramadan dengan amal ibadat dan tidak mengecapi fadilat yang disediakan Allah SWT bagi orang yang mengharapkan keredaan-Nya. Maka benarlah sabda Rasulullah SAW: “Betapa ramainya orang yang berpuasa sepanjang hari, namun mereka tidak mendapat apa-apa melainkan keperitan lapar dan dahaga; begitu juga betapa ramainya orang yang berjaga malam hari, namun mereka juga tidak mendapat apa-apa melainkan kepenatan berjaga malam.” (Riwayat Ahmad dan Hakim)

Ibadat puasa sebenarnya melatih kita mengendalikan kehendak atau keinginan yang menuntut kesabaran untuk menahan diri daripada makan dan minum. Ibadat puasa juga melatih taat, sabar dan bersungguh-sungguh melaksanakan perintah Allah SWT. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu beriman serta bertakwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang telah mereka usahakan.” (Surah al-A’raf, ayat 96)

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: