Bagi Islam, mencari rezeki dan kesenangan hidup adalah satu tuntutan atau kewajipan ke atas setiap manusia, sama ada untuk diri sendiri mahupun orang yang bawah tanggungannya.

Namun apa yang penting, rezeki diperoleh itu hendaklah daripada sumber halal, baik dan diberkati. Oleh itu, dalam mencari rezeki misalnya sebagai seorang peniaga atau pengusaha hendaklah mengamalkan sifat jujur, amanah dan tidak melakukan penindasan ke atas orang lain.

Usaha ini bukan sahaja mendatangkan hasil rezeki, malah akan diberi ganjaran oleh Allah SWT. Seperti sabda Rasulullah SAW dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Tirmizi daripada Abi Said al-Khudri r.a.:

“Peniaga yang dapat dipercayai dan amanah akan bersama para Nabi, orang-orang yang dapat dipercayai dan orang-orang yang mati syahid.”

Hadis ini memberi maksud bahawa peniaga hendaklah sentiasa jujur dalam setiap aktiviti perniagaan dan mengelakkan penipuan seperti mengurangkan timbangan, mencampur aduk barangan bermutu dan sebaliknya, menaikkan harga sesuka hati dan menyembunyikan barangan dengan tujuan menaikkan harganya.

Sebagai seorang peniaga yang beriman, seharusnya sentiasa sedar bahawa setiap tindakan yang dilakukan bakal dihitung dan diberi balasan oleh Allah SWT.

“Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu sia-sia sahaja? Dan kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?,” (Surah al-Mu’minun, ayat 115)

PEMERIKSAAN DAN PEMANTAUAN

Menjejaki sirah, Rasulullah SAW memperkenal dan mengamalkan mekanisme hisbah (pemeriksaan dan pemantauan) yang mana Baginda sering berkunjung ke pasar untuk memeriksa aktiviti jual beli dan penentuan harga.

Pernah suatu ketika Nabi SAW menemui amalan menjual buah tamar secara tidak jujur iaitu buah tamar diletakkan dalam bekas besar dengan menyembunyikan tamar buruk pada bahagian bawah supaya tidak disedari pembeli.

Melihat penipuan itu, Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya:

“Sesiapa yang menipu maka dia bukan daripada kalangan kami iaitu bukan daripada kalangan orang yang sempurna iman dan baik Islamnya,” – Riwayat Bukhari

Kejayaan sesuatu usaha tidak dicapai melalui tindakan satu pihak semata-mata.

Oleh itu, dalam hal ini tidak seharusnya hanya pihak pemerintah atau peniaga sahaja yang perlu sedar akan tanggungjawab, bahkan pengguna juga seharusnya memainkan peranannya.

HAK PENGGUNA

  • Berhak mendapat pendidikan dan maklumat yang tepat mengenai barangan yang dijual bagi memudahkan mereka menentukan pilihan berdasarkan perkhidmatan yang ditawarkan pada harga kompetitif dan jaminan kualiti memuaskan.
  • Berhak mendapat penyelesaian adil bagi pembelian barangan dan tawaran perkhidmatan yang tidak memuaskan serta berhak untuk menyuarakan kepentingan pengguna dalam penggubalan dan pelaksanaan dasar kerajaan yang berkaitan.
  • Berkuasa menyuarakan pendapat dan perlu lebih responsif terhadap salah laku dalam perniagaan dengan melapor kepada pihak yang berkuasa.
  • Pengguna seharusnya menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa dalam membanteras isu-isu penindasan dan penipuan yang dilakukan pihak tidak bertanggungjawab.

Hal ini bertepatan dengan saranan Nabi SAW sebagaimana hadis diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abi Said al-Khudri r.a.:

“Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa yang melihat kemungkaran maka hendaklah dia mengubah dengan tangannya, jika tidak mampu maka ubahlah dengan lisannya, jika tidak mampu maka (tolaklah) dengan hatinya dan hal tersebut adalah selemah-lemahnya iman,” – Riwayat Muslim