Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for Mei 2017

Muadz ditarbiah Rasulullah sendiri

Posted by epondok di Mei 31, 2017

KETIKA Semenanjung Tanah Arab disinari cahaya hidayah dan kebenaran, terdapat seorang anak muda Yathrib dengan wajah tampan, rambut hitam bersinar dan mata bercelak bernama Muadz bin Jabal. Ketampanan beliau berjaya menarik perhatian ramai orang. Beliau memeluk Islam di hadapan pendakwah dari Kota Makkah, Mus’ab bin Umair pada malam perjanjian Aqabah.

Beliau adalah anak muda yang berjabat tangan dengan Baginda SAW dan berjanji untuk taat setia serta sanggup berjuang menyebarluaskan agama dibawa Baginda.

Menerusi segmen Hayatus Sahabah di IKIMfm, Ustaz Mohd Hazri Hashim al-Bindany berkongsi mengenai Muadz, insan yang diiktiraf Rasulullah SAW dengan berkata: “Umatku yang paling arif mengenai halal dan haram ialah Muadz bin Jabal.”

Tatkala beliau memeluk Islam, anak muda ini bersama remaja lain mula bergerak untuk menyebarluaskan agama Allah SWT. Namun, mereka menggunakan pendekatan dan cara yang sangat berbeza.

Sembunyikan berhala

Pada malam hari, mereka secara rahsia menyembunyikan berhala yang disembah orang Musyrik Madinah. Antara berhala itu milik Amru bin Al-Jamuh, seorang lelaki tua yang memimpin kaumnya, Bani Salamah dan enggan memeluk agama Allah SWT. Maka, Muadz bersama anak Amru yang sudah memeluk Islam mencari helah untuk mencabut berhala Manata daripada hati Amru bin al-Jamuh. Mereka mengambil berhala itu di tengah malam dan diletakkan di tempat pembuangan sampah. Keesokannya, Amru mencari berhala berkenaan dan menjumpainya. Kemudian, dimandikan dan dipakaikan dengan pakaian baharu. Malam keesokannya hilang lagi dan saban hari perkara itu berulang.

Apabila orang tua itu penat kerana berhalanya hilang tiap-tiap malam, akhirnya beliau berkata kepada berhalanya: “Wahai Manata, andainya engkau ini ada kebaikan padamu, kamu lawanlah sendiri penjahat yang berbuat jahat kepadamu. Aku tidak tahu siapa yang berbuat jahat kepadamu sedangkan engkau dapat melihat mereka.”

Amru bin Jamuh meletakkan pedangnya kepada Manata untuk dibiarkan berhalanya berlawan sendiri. Pada malamnya, sesudah orang tua itu nyenyak tidur, anaknya bersama Muadz bin Jabal mengangkut berhala berkenaan. Pada malam itu mereka menemui bangkai anjing lalu meletakkan Manata berpelukan dengan bangkai anjing serta diikat pedang Amru di situ. Kemudian dicampakkan ke tempat pembuangan sampah. Keesokan harinya Amru yang sudah mula hilang keyakinan kepada berhala mendapati berhalanya hilang. Dicarinya dan ditemui di dalam lubang tempat pembuangan sampah dalam keadaan berpelukan dengan bangkai anjing.

Maka ketika itu dia tidak lagi mengambil Manata, tetapi mengungkapkan satu syair. Katanya: “Demi Allah, kalaulah engkau Tuhan, engkau tidak akan berpelukan dengan anjing di dalam lubang.”

Akhirnya beliau memeluk agama Allah SWT berkat kenakalan dan kecerdikan anaknya dan Muadz.

Ketika Rasulullah SAW tiba di Kota Madinah, Muadz sentiasa bersama Baginda, mengikut dan mengambil al-Quran daripada bacaan Baginda. Beliau juga mengecapi syariat Islam langsung daripada Rasulullah SAW sehingga dikenali sebagai qari dalam kalangan sahabat.

Diceritakan oleh Yazid bin Kutaib: “Aku pernah memasuki sebuah masjid di Hims maka di sana aku dapati ada seorang anak muda yang rambutnya kerinting sedang dikerumuni oleh orang ramai. Maka apabila dia bercakap dan berbicara seolah-olah yang keluar daripada mulutnya itu ialah nur dan mutiara. Bahasa yang sangat indah dan ilmu yang sangat mahal. Maka aku bertanya kepada orang yang duduk bersama denganku siapakah itu? Maka kata orang ramai, itulah sahabat Rasulullah SAW yang bernama Muadz. Muadz jadi tumpuan Begitu juga Abu Muslim al-Khawalani menceritakan bahawa beliau pergi ke sebuah masjid di Damsyik dan mendapati terdapat satu halaqah tergolong daripada 30 hingga 50 orang sahabat. Ketika itu terdapat seorang anak muda yang tampan dan setiap kali kumpulan itu menghadapi satu soalan yang tidak dapat diselesaikan, mereka menghalakan wajah kepada anak muda itu.

Maka kata Abu Muslim: “Aku bertanya kepada mereka yang duduk di dalam majlis itu siapakah anak muda itu? Kata mereka, itulah sahabat Rasulullah SAW, Muadz bin Jabal.”

Itulah kelebihan Saidina Muadz bin Jabal yang mendapat tarbiah langsung daripada Rasulullah SAW. Muadz antara enam sahabat yang menghafal al-Quran di zaman Rasulullah SAW dan mengumpulkan al-Quran secara sempurna. Ketika zaman Rasulullah SAW, Abu Bakar dan Umar mengambil Muadz menjadi guru kaum Muslimin kerana ketokohan dan kewibawaan ilmunya. Ketika peristiwa Pembukaan Kota Makkah, ramai orang Quraisy memeluk Islam. Baginda SAW melantik ‘Itab bin Usaid sebagai pemimpin kota Makkah dan meninggalkan Muadz sebagai guru untuk mengajarkan al-Quran dan memberikan kefahaman agama kepada mereka.

Saat datangnya utusan daripada Raja Yaman, Raja Bazan yang menyatakan kerelaannya memeluk Islam serta menyatakan keislaman seluruh rakyat jelata di bawah pemerintahannya, beliau meminta Baginda SAW mengutuskan kepadanya orang yang boleh mengajarkan Islam. Rasulullah SAW memilih Muadz bin Jabal untuk memikul tanggungjawab besar itu. Beliau adalah sebaik-baik murid kepada Rasulullah SAW dan menjadi guru kepada ramai kaum Muslimin yang dahagakan ilmu serta kefahaman Islam.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Doa ibu bapa pengikat kasih anak

Posted by epondok di Mei 30, 2017

Oleh Ahmad Nazri Mohd Yusof

ANAK aset paling bernilai kepada ibu dan bapa. Setiap pasangan yang berkahwin pasti mempunyai keinginan untuk mendapatkan cahaya mata sebagai penyeri dan pelengkap kebahagiaan rumah tangga mereka. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasul-Nya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah kamu, sedangkan kamu mengetahui. Dan ketahuilah bahawa harta kamu dan anak kamu adalah ujian (bagi kamu), dan sesungguhnya Allah di sisi-Nya pahala yang besar.” (Surah al-Anfal, 27 hingga 28)

Ibu bapa perlu memainkan peranan penting memastikan anak mereka dididik dengan ajaran Islam, lebih-lebih lagi pada zaman yang penuh dengan cabaran. Ibu bapa perlu melaksanakan amanah diberikan sebaiknya, walaupun berdepan kesukaran membimbing anak ke jalan yang diredai Allah SWT.

Pada siri perbincangan dalam rancangan Pesona D’Zahra di IKIMfm, Ustaz Muhamad Abdullah al-Amin menghuraikan satu lagi ayat yang berkait rapat dengan isu kekeluargaan.

Pelihara keluarga daripada buat dosa

Ayat itu menerangkan, Allah SWT memerintahkan hamba-Nya supaya melakukan dan melaksanakan apa yang disuruh dan meninggalkan larangan-Nya. Ia juga mengingatkan bahawa tanggungjawab ketua keluarga untuk memelihara keluarganya daripada melakukan dosa yang boleh membawa kepada balasan api neraka. Sesiapa yang mengerjakan segala suruhan dan menjauhi larangan-Nya akan mendapat balasan setimpal dan Allah SWT menjanjikan syurga untuknya kelak.

Menurut Muhammad, ada lima perkara yang tidak akan memisahkan hubungan erat antara ibu bapa dan anak.

Pertama, memberikan kasih sayang secukupnya, membolehkan anak membesar dengan seimbang dari segi emosi dan jasmani. Anak yang kurang mendapat perhatian kasih sayang daripada ibu bapa biasanya cenderung menjadi anak yang nakal dan kurang berdisiplin. Kasihnya ibu membawa ke syurga dan kasihnya ayah berkorban nyawa. Anak perlu berasakan kewujudan ibu bapa pada hari ini sesungguhnya nikmat yang amat besar daripada Allah SWT. Tanpa dua insan itu, anak tidak mampu mengecapi erti sebenar kehidupan ini.

Perkara seterusnya yang perlu dititikberatkan adalah dari segi aspek nafkah. Ketua keluarga perlu prihatin dan berusaha memenuhi dan menyediakan keperluan makanan, pakaian, tempat tinggal, pekerjaan dan kesihatan anak. Kegagalan ibu bapa menyediakan keperluan asas akan menyebabkan anak menghadapi masalah dalam menjalani kehidupan seharian. Ibu bapa juga bertanggungjawab memberikan khidmat terbaik buat anak termasuk menjaga keselamatan mereka. Ibu bapa mesti memastikan anak selamat ketika mereka pergi bekerja seperti perjalanan pergi dan balik dari sekolah, membawa anak mendapat rawatan jika sakit.

Tingkat kesabaran

Manusia boleh sabar bila diuji dengan harta benda, kedudukan dan kemewahan, tetapi belum tentu boleh sabar dan tabah menghadapi ujian atau kerenah anak. Anak menjadi sebahagian ujian Allah SWT untuk ibu bapa meningkatkan kesabaran dalam perkara yang tidak disenangi. Allah SWT berserta dengan manusia yang sabar mengharungi musibah yang melanda hidup mereka. Akhir sekali, hubungan erat antara ibu bapa dan anak tidak akan terlerai begitu sahaja dengan mengamalkan doa secara berterusan.

Doa ibu bapa sangat berkat dan mustajab. Oleh itu, anak yang soleh mengharapkan keberkatan doa ibu bapa dalam menyusuri kehidupan. Sewajarnya, anak harus merebut peluang ketika ibu bapa masih hidup untuk berbakti di samping mengharap keberkatan doa mereka kerana doa ibu bapa adalah sumber kekuatan anak.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Ramadan disambut taqwa direbut

Posted by epondok di Mei 27, 2017

ALHAMDULILLAH, kita mulai menyambut Ramadan hari ini. Bagi orang beriman, Ramadan ditunggu-tunggu kedatangannya kerana ia bulan yang mulia dan me­ngandungi pelbagai keistimewaan. Kefarduan puasa adalah sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa se­ba­gai­mana diwajibkan ke atas umat yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.” (al-Baqarah: 183).

Salah satu keistimewaan Ramadan adalah solat sunat tarawih dan witir. Ia dimeriahkan dengan moreh dan juga tadarus al-Quran pada setiap malam. Rukun puasa pula adalah niat mulai selepas maghrib hinggalah sebelum terbit fajar. Yang kedua, menahan diri daripada melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa mulai terbit fajar hingga terbenam matahari.

Satu lagi kelebihan Ramadan adalah amalan sunat diberi ganjaran pahala ibadat fardu, yang fardu diberi ganjaran 70 kali ganda. Ini persis bonus oleh majikan kepada pekerjanya yang rajin, produktif dan istiqamah menjalankan tugas. Namun, Ramadan menjanjikan ganjaran yang lebih hebat sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Barang siapa yang berpuasa kerana iman dan semata-mata mengharapkan reda Allah, maka sungguh di­ampuni dosa-dosanya yang terdahulu.” (Muttafaqun Alaih)

Apabila diampunkan dosa, tiada lagi halangan untuk kita memasuki syurga Allah yang penuh dengan kenikmatan, yang tidak dapat digambarkan de­ngan kata-kata. Namun, masih ada yang perlu kita beri perhatian dan perbetulkan agar Ramadan kali ini lebih baik (jika tidak yang terbaik) berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Antara kesilapan itu adalah:

* Tidak solat ketika berpuasa. Ini satu kesilapan yang maha besar. Memang benar, solat bukanlah syarat sah puasa. Tetapi ia adalah rukun Islam yang menjadi tonggak kepada keislaman seseorang. Justeru, ‘ponteng’ solat dengan sengaja akan menyebabkan pahala puasa seseorang itu jadi ‘kurus kering’. Didik juga anak-anak yang masih kecil untuk ­mengutamakan solat. Jangan sebab letih puasa kita biarkan mereka tinggalkan solat.

* Tidak mengutamakan solat subuh berjemaah sebagaimana tarawih. Ini jelas suatu kelompongan yang ada dalam masyarakat tatkala berpuasa. Ramai yang lupa dan tidak mengetahui kelebihan besar semua solat fardu berbanding solat sunat. Lebih-lebih lagi solat subuh berjemaah yang disebutkan oleh Nabi SAW bagi orang yang mendirikannya secara berjemaah, maka beroleh pahala menghidupkan seluruh malam.

* Menganggap waktu imsak adalah ‘lampu merah’ bagi sahur. Waktu imsak sebenarnya hanyalah ‘lampu amaran kuning’ yang dicadangkan oleh beberapa ulama demi mengingatkan bahawa waktu sahur sudah hampir tamat. Ia bukanlah waktu tamat untuk makan sahur. Justeru, janganlah ada yang memberi alasan lewat bangun dan sudah masuk imsak lalu tidak dapat berpuasa pada hari itu. Waktu yang disepakati ulama sebagai waktu penamat sahur adalah sejurus masuk fajar sadiq (subuh).

* Wanita datang bertarawih beramai-ramai di masjid tanpa menjaga aurat. Ini nyata apabila ramai antara wanita walaupun siap bertelekung ke masjid, malangnya kaki dan aurat mereka kerap terdedah ketika berjalan dan naik tangga masjid di hadapan jemaah lelaki. Tatkala itu, fadilat mereka solat di rumah adalah lebih tinggi daripada mendatangkan fitnah kepada lelaki ketika di masjid.

* Banyak berbual kosong berbanding memperbanyakkan doa ketika puasa dan berbuka. Ini satu lagi jenis kerugian yang kerap dilakukan oleh umat Islam. Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Tiga golongan yang tidak ditolak doa mereka, pemimpin yang adil, orang yang berpuasa sehingga berbuka dan doa orang yang dizalimi.” (riwayat Tirmizi)

Bagi kita yang masih diberi kesempatan berada dalam Ramadan, jangan dipersia-siakan bulan yang penuh barakah ini. Lihatlah sekeliling betapa ramai ahli saudara dan rakan-rakan kita yang tidak sempat sampai ke bulan pesta ibadah ini apabila mereka kembali ke rahmat Allah.

Justeru, marilah sama-sama kita berpuasa dengan ikhlas agar mencapai sekurang-kurangnya ke tahap puasa khusus. Jangan hanya berpuasa, kerana ikut orang lain berpuasa atau kerana bapa kita puasa, maka kita juga puasa. Semoga puasa menjadikan kita insan bertakwa

 

Posted in Amalan Pilihan, Artikel Ramadhan | Leave a Comment »

Keajaiban puasa pada kesihatan

Posted by epondok di Mei 25, 2017

BULAN Ramadan menje­lang tiba. Ramai umat Islam yang tertunggu-tunggu ketibaannya. Ada yang mengambil peluang, bak menyelam sambil minum air, untuk menjaga kesihatan terutamanya daripada kawalan gula dan kolesterol darah, dan tidak kurang yang ingin mendapatkan susuk badan yang lebih ramping.

Namun, keajaiban puasa lebih daripada itu. Tuhan Yang Maha Bijaksana amat maklum dengan keperluan tubuh badan manusia yang diciptakan-Nya. Dan kini, masanya hampir tiba di mana, semua umat manusia di minta oleh Pencipta­nya untuk berpuasa.

Dalam bahasa ringkas, puasa adalah menahan diri daripada makan dan minum dari terbit fajar hingga terbenam matahari. Dan seperti biasa, kita akan ber­puasa selama sebulan. Dalam jangka masa tersebut, sistem pencernaan akan berehat pada siang hari dan memberi peluang untuk lapisan perut atau gastrik pulih semula daripada segala ulser atau inflamasi.

Pengambilan gula dan lemak yang rendah pada bulan Ramadan ini didapati berkesan untuk mengawal paras gula dan kolesterol di samping mengimbangkan kembali kandungan lemak baik (lipoprotein tepu tinggi) dengan lemak bermudarat (lipoprotein tepu rendah). Ini terbukti me­ngurangkan risiko arteriosklerosis atau penebalan dinding salur arteri yang berkait rapat dengan penyakit serangan jantung, angin ahmar, dan kegagalan ginjal. Kolesterol yang rendah mengurangkan risiko arteriosklerosis dan insulin rentan, lantas memperbaiki paras glukos darah.

Kini bidang perubatan ter­utama dari aspek toksikologi telah menemukan keajaiban berpuasa pada fisiologi tubuh badan manusia. Kesan ajaib itu terkesan terutamanya pada sistem otak dan imun manusia. Beberapa enzim atau sebatian ditemui terhasil akibat berpuasa dan kesemuanya adalah amat berguna terutama dalam merawat sistem dalaman tubuh dan untuk kesihatan.

Keton dihasilkan oleh sistem hepar atau hati apabila badan seseorang di dalam keadaan berpuasa. Berbanding glukos, keton disifatkan sebagai bahan bakar terbaik untuk tubuh badan dan sistem otak. Keton menghasilkan lebih banyak tenaga berbanding glukos. Bahan ini juga didapati mengurangkan proses apoptosis, proses kematian sel secara automatik selepas terkena bahan toksik.

Yang menariknya, keton didapati menyebabkan jentera tenaga sel tubuh iaitu mitokondria terhasil dalam jumlah lebih banyak dan tenaga baharu yang segar dikeluarkan. Ini menyebabkan badan lebih segar dengan tenaga dalaman yang baharu. Pendek kata, orang yang berpuasa pada masa yang betul, akan mengalami proses penggunaan tenaga keton, suatu sumber tenaga berprestasi tinggi yang mampu menyegarkan sel-sel badan terutamanya sel otak dan tubuh badan dan melindungi mereka dari kesan toksik luar. Hasil pembakaran keton menghasilkan bahan metabolit seperti asiton dan beta-hidroksubutirat.

Beta-hidroksubutirat ini juga terbukti melindungi dan memperkayakan sel otak dan saraf. Bahan metabolit ini didapati melin­dungi sel otak dari kerosakan yang boleh menyebabkan penyakit seperti Alzheimer dan Parkinson. Di samping boleh mengurangkan atau merawat kes-kes sawan, bahan ini sangat baik untuk memperbaiki ingatan dan memudahkan pem­belajaran, dan menghilangkan sakit kepala. Pada tubuh badan, beta-hidroksubutirat memperlahankan proses penuaan.

Brain derived neurotrophic factor (BDNF) adalah enzim yang dihasilkan di dalam sistem otak apabila seseorang itu berpuasa. Ia banyak terkumpul pada sel otak dan sinap penyambung antara neuron. Puasa didapati menyebabkan seseorang itu mudah untuk belajar dan mampu untuk ingat pada jangka masa panjang hasil dari kesan bahan BDNF ini pada setiap sel otak. Enzim ini adalah salah satu bahan yang mengawal berat badan seseorang. Tanpa enzim ini, seseorang itu akan mengalami obesiti. BDNF juga mengawal pusat makan dan minum kita, tanpanya akan berlaku masalah pemakanan seperti bulimia atau anxiety nervosa.

Nrf2 adalah bahan yang dikenali sebagai penjaga sepanjang usia bagi tubuh badan manusia. Merupakan bahan anti oksida badan yang sangat utama dalam mengatasi sebarang proses oxidatif akibat dedahan kepada bahan toksik luar. Keajaiban bahan ini adalah sebagai pengawal kepada pelbagai penyakit, proses penuaan, dan sebarang kepincangan fungsi sel atau organ badan. Sangat penting dalam menghalang proses atherosklerosis pembuluh darah dan apoptosis, lantas boleh mencegah berlakunya angin ahmar, serang­an jantung, asma, Alzheimer dan Parkinson, serta kanser. Nrf2 dapat menjalankan fungsinya setelah enzim Keap1 dirangsang dengan berpuasa. Dalam ­keadaan tidak berpuasa, Keap1 merencatkan fungsi Nrf2.

Testoteron adalah hormon seksual yang turut meningkat kan­dungannya di dalam darah semasa berpuasa. Kajian banyak mendapati paras testosteron meningkat mengikut berapa jam lamanya jangka masa berpuasa itu. Ini amat baik kepada lelaki baik ­perempuan. Bagi lelaki, hormon ini mengurangkan risiko kencing manis, darah tinggi, penyakit kardiovaskular, kemurungan, osteoporosis dan masalah batin. Tetapi bagi wanita, sebaliknya berlaku kerana ia menghalang fungsi hormon ­perempuan iaitu estrogen. Namun ada baiknya juga di mana dengan kurangnya hormon estrogen, wanita tersebut lebih kurang berisiko untuk kanser payu dara dan pangkal rahim.

Secara keseluruhannya, puasa mempunyai keajaibannya yang tersendiri dari segi perubatan moden dan toksikologi. Badan dapat berehat dan menjadi lebih segar. Kebanyakan yang dirasai oleh orang Islam di kala mula berpuasa hanyalah psikologi sahaja. Perasaan rasa penat, tidak bermaya, lesu, hilang tumpuan dan sebagainya, sebenarnya adalah sebaliknya. Apa yang berlaku adalah ramai antara kita yang berbuka keterlaluan, lantas menyebabkan sistem badan tidak dapat menampung lalu penat kekenyangan.

Puasa adalah latihan fizikal dan rohani. Baik untuk masa kini mahupun sebagai bekalan di akhirat kelak. Berpuasa dan berbuka dengan betul adalah penting agar dalam masa sebulan ini, tubuh terutamanya organ pen­ting ­seperti otak, perut, hati dan sistem imun dapat diperbaiki untuk menempuh 11 bulan yang akan datang. Berpuasa dengan betul mendapat keredaan-Nya dan ­kesejahteraan serta kesihatan tubuh badan yang baik.

PROFESOR MADYA DR. MOHD. HASNI JAAFAR

Posted in Amalan Pilihan, Artikel Ramadhan | Leave a Comment »

Rasuah gugat keamanan negara

Posted by epondok di Mei 23, 2017

Mohd. Radzi Mohd. Zin

Umum tahu rasuah itu salah, tidak bermoral dan menjatuhkan maruah. Dalam Islam, Rasulullah SAW melaknat pemberi rasuah, penerima dan pengantara iaitu yang menjadi penghubung antara keduanya. (Riwayat Ahmad). Dalam hadis yang lain, baginda SAW menyebut pemberi dan penerima rasuah kedua-duanya dalam neraka.

Al-Quran juga menegaskan perkara yang sama menerusi firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian daripada harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya). (al-Baqarah: 188)

Dalil-dalil al-Quran dan hadis tersebut jelas melarang keras umat Islam daripada melakukan rasuah atau budaya ‘matlamat menghalalkan cara’ sama ada dalam memperoleh harta kesenangan, pangkat mahupun kedudukan tertentu. Ini kerana, ra­suah menggugat keharmonian hi­dup masyarakat, menggugat keberkesanan perkhidmatan awam dan swasta, menggugat kestabilan politik dan ekonomi hatta mengancam keselamatan negara.

Ini boleh berlaku dalam si­tuasi iaitu mereka yang diberi tanggungjawab menjalankan sesuatu amanah menyalahgunakannya untuk mengisi kantung sendiri de­ngan cara meminta atau menerima suapan atau sogokan.

Jawapan mudah kepada persoalan ini ialah selagi ada pihak yang meminta, memberi dan menerima rasuah, maka selagi itulah rasuah tidak akan dapat dihapuskan dalam masyarakat, institusi ataupun organisasi dan negara.

Namun jika dilihat kerangka yang mendasar, rasuah berpunca daripada kelemahan iman dan lunturnya jati diri dan integriti. Memerangi rasuah adalah jihad yang perlu disemai di hati sanubari insan.

Neraka Allah bukan seperti api yang kita lihat di dunia ini. Bakarannya yang paling ringan pun dikatakan menyebabkan otak kita menggelegak. Allah memper­ingatkan hamba-hamba-Nya dengan neraka yang me­nyala-nyala yang apabila setiap kali apinya hendak pa­dam, Allah tambah untuk menyeksa penghuninya. Tidak dapat diba­yangkan betapa panasnya api yang bahan bakarnya terdiri daripada batu dan manusia. Panasnya membakar sampai ke hati manusia. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Api yang dinyalakan manusia di dunia hanya satu bahagian daripada 70 bahagian api jahanam.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Yang parahnya, mereka yang terlibat dalam rasuah ini adalah orang yang dipertanggungjawabkan dan diberi ‘le-sen’ untuk memastikan keadilan dan menguatkuasakan undang-undang.

Semoga Allah memberi petunjuk dan kekuatan kepada setiap anggota pasukan keselamatan kita, gigih menyempurnakan tugas berat membasmi rasuah.

 

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Lautan ilmu Allah mencabar nafsu manusia

Posted by epondok di Mei 21, 2017

MENURUT kajian, malah pemerhatian kita, manusia tidak akan merasa puas dengan dua perkara, iaitu wang dan ilmu. Sebanyak mana sekali pun wang yang diperoleh, manusia akan terus mencari­nya, dan sebanyak mana sekali pun ilmu yang dikuasainya, semakin banyak pula ilmu lain yang hendak dipelajari.

Walaupun saya tidak akan membicarakan secara saintifik tentang kedua-dua objek ini, namun tanpa kajian yang panjang, kedua-duanya, iaitu wang dan ilmu, mempunyai kaitan rapat dalam kehidupan manusia.

Dari sudut pembicaraan berorientasikan ajaran Islam, maka ilmu itu adalah kurniaan Allah SWT yang haruslah dicari, dicanai dan dianalisis dengan sebaik-baiknya oleh manusia untuk mencapai darjat yang tinggi dan mendekatkan diri dengan Pencipta. Malah Allah berfirman; “Di atas orang yang berilmu itu, ada yang lebih berilmu”, iaitu dalam hierarki manusia, maka terdapat para ilmuwan yang menguasai banyak ilmu, namun kemuncaknya ialah Allah SWT Yang Maha Mengetahui akan segala-galanya.

Umat Islam di negara kita amat berjinak-jinak dengan surah al-Kahfi. Harap kita juga memahami beberapa mesej penting daripada surah tersebut, terutamanya tentang variasi ilmu Allah, yang begitu ba­nyak dibuka pintu jendelanya untuk dikuasai oleh manusia. Surah al-Kahfi disebut sebagai kalimat-kalimat Allah. Petunjuk tentang hal ini terdapat di dalam ayat 109 surah tersebut yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad) sekiranya semua air lautan itu dijadikan tinta (dakwat) untuk menulis kalimah-kalimah Allah, nescaya air lautan itu akan kekeringan sebelum kalimah-kalimah Allah itu selesai ditulis, walaupun ditambah sekali ganda lagi de­ngan air lautan itu.”

Hal ini diperkuatkan lagi oleh Allah SWT dengan firman-Nya di dalam surah Luqman ayat 27; “Jika segala pohon yang ada di bumi menjadi pena, dan segala lautan (menjadi tinta) dengan ditambah lagi tujuh lautan, nescaya tidak akan habis kalimah-kalimah Allah itu ditulis. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa lagi bijaksana.”

Ilmu Allah inilah yang pada mulanya diajarkan kepada Nabi Adam ketika Allah memberitahu para malaikat bahawa Allah akan menjadikan Adam sebagai khalifah untuk menguruskan alam ini, dan malaikat bertanya kenapakah Adam, sedangkan mereka (para malaikat) sentiasa bertasbih memuji Kamu dan mentaqdiskan, menyucikan Kamu, lalu Allah menjawab; “Sesungguh­nya Aku lebih mengetahui akan apa-apa yang tidak kamu tahu”. Ertinya Allah memilih manusia yang menguasai ilmu (dunia dan akhirat) sebagai penguasa alam, bukan malaikat yang sentiasa beribadat dan membesarkan Allah sepenuhnya, tidak seperti manusia yang hadir secara fizikal dan spiritual, akal dan roh, ilmu dunia dan akhirat di dalam alam ini.

Justeru, kalimah-kalimah Allah inilah yang merupakan banjir dan lautan ilmu, tanda-tanda kebesaran, dan kurniaan Allah kepada makhluk-Nya yang amat banyak dan besar sekali, yang tidak akan tertulis dan mampu dikuasai oleh manusia sepenuhnya.

Inilah antara ilmu manusia yang diperoleh akal dan petunjuk Allah dalam segala disiplinnya, termasuk ketika membina tamadun dan kesejahteraan manusia di atas muka bumi ini, meliputi bidang pertanian, perindustrian dan akhirnya sains teknologi sehingga ke kini sejak ribuan tahun dulu.

Dengan penguasaan ilmu inilah, manusia berjaya pada kurun ke-21 ini meningkatkan bidang keilmuan, ekonomi, industri, teknologi, sehingga umur manusia berjaya dipanjangkan dengan bertambahnya warga tua, ilmu pemakanan untuk menampung pertambahan penduduk dunia yang pada 1950 hanya sebanyak dua bi­lion orang, tetapi sekarang telah pun meningkat ke lapan bilion, menurut kajian agensi-agensi antarabangsa yang diperakui.

Namun pertambahan penduduk dunia ini memerlukan pertambahan bekal kehidupan mereka, seperti makanan, tenaga, sumber air, ubat-ubatan, tempat tinggal, dan produk lain yang diperlukan. Sekiranya bekalan makanan pada masa lampau mencukupi untuk bekalan manusia selama 10 hari umpamanya, maka kini mencukupi untuk tiga hari sahaja, yang memerlukan peningkatan produknya berkali-kali ganda.

Ketika inilah Allah meng­ingatkan manusia supaya berhati-hati mempelajari tanda-tanda kebesaran-Nya untuk manusia mengawal dirinya yang penuh bernafsu dan tamak haloba, menjadi manusia yang berperadaban, berakhlak dan mensyu­kuri nikmat-Nya, hidup sebagai jemaah manusia yang bertolong-tolongan dan bermesra serta bersaudara, supaya segala desakan dan cabaran hidup ini tidak melupakan mereka akan tibanya hari akhirat, akan adanya syurga dan neraka, balasan baik dan buruk terhadap segala amalan mereka.

Namun manusia sering lupa kepada Penciptanya, malah menjadi makhluk yang hanya mengejar kebendaan dunia, dengan meningkatkan produk makanan yang mengandungi racun kesuburan tanaman dan ternakan, mengeluarkan makanan yang memudaratkan kesihatan manusia, mencipta minuman yang memabukkan dan merosakkan tubuh dalam jangka pendek atau panjang, mencipta bahan khayalan se­perti minuman keras, rokok, dadah dan sebagainya.

Manusia merosakkan alam sekitar demi kepentingan diri, menipu timbangan dan sukatan, menerima rasuah untuk amalan maksiat dan dosa, malah berbagai-bagai perilaku dan tindakan yang amat jauh daripada ajaran kerohanian dan fitrah manusia,

Inilah sebenarnya akibat dan cabaran kemajuan yang dikatakan tamadun manusia kini, pada zaman teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang amat canggih itu.

Umat Islam kini hanya menjadi pengguna, bukan penyumbang untuk kemajuan ilmu dan teknologi ini. Inspirasi iqra’ yang diturunkan kepada mereka bagi mengkaji segala disiplin ilmu, menyelidik dan mendalami proses pendidikan hanya menjadi bahan bacaan yang tidak punya erti dan fungsi lagi.

Inilah sebenarnya bidang jihad yang memerlukan agenda umat kini, bukan jihad yang disalah mengertikan sebagai pembunuhan dan pertumpahan darah kerana dasar kebendaan, kekuasaan, penyelewengan dan hawa nafsu manusia.

 DR. ISMAIL IBRAHIM

 

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Sejauh mana keimanan kepada Allah

Posted by epondok di Mei 20, 2017

Susunan Hisyamuddin Ayub

“MENYE­DIHKAN apabila penyem­bahan kita kepada Allah SWT hanyalah sekadar satu bebanan. Kita sebenarnya tidak hanya bersolat atau mendekatkan diri kepada-Nya kerana ingin mendapat perlindungan daripada kesukaran hidup.

“Jika kita sekadar melakukan amalan ini untuk perkara tersebut, maka kita hanya akan mendapatkan jalan keluar dalam perkara itu sahaja. Adakah kita hanya bersolat kerana mahu menuruti permintaan kedua ibu bapa atau sekadar tidak mahu mendengar leteran daripada mereka,” kata penceramah terkenal, Yasmin Mogahed.

Berkelulusan dalam bidang Psikologi dan Komunikasi Massa, Yasmin berkata, kita sering terlupa bahawa jika kita tidak bersolat sekali pun, tiada sesiapa pun yang akan terkesan daripada kegagalan kita menunaikan kewajipan tersebut.

Jelasnya, jauh sekali memberi kesan kepada Allah SWT sebagai Pencipta dan tidak juga kepada kedua ibu bapa kita, sebaliknya memberi kesan serta mendatangkan ‘satu bencana’ kepada diri sendiri.

Pada hari pembalasan nanti katanya, kita akan menyaksikan setiap lelaki dan perempuan ‘berdiri di atas kaki sendiri’ di hadapan Allah.

Ketika itu, tiada sesiapa pun yang boleh membantu biarpun ahli keluarga sendiri, kecuali dengan izin Allah SWT.

Malah pada hari penting dan genting tersebut, seorang ibu sanggup bertindak mengenepikan anak kandungnya demi menyelamatkan diri sendiri.

“Sebagai contoh, jika seseorang memilih untuk berpesta sepanjang malam tanpa membuat persiapan untuk peperiksaan akhir, tindakan itu tidak bermakna peperiksaan akhir itu tidak akan berlangsung.

“Apa yang pasti, peperiksaan akhir itu tetap akan berlaku dan individu itu bakal berhadapan dengan kegagalan. Begitu juga dengan kematian, tiada apa-apa yang mampu ‘memberhentikan’ kematian. Malah ia tidak pernah terlewat walau sesaat,” katanya.

Yasmin berkata: “Bayangkan seketika, ada laporan menyatakan ribut besar akan berlaku. Apa yang menyelamatkan melainkan kamu sendiri mencari perlindungan. Kamu dan ahli keluarga akan musnah akibat kejadian tersebut. Apa yang kamu akan lakukan?.

“Hanya orang yang tidak menyakini ramalan ribut besar tersebut akan terus leka bermain dan tidak mempedulikan amaran tersebut,” katanya.

Sebaliknya, jelas Yasmin, semua orang akan menadah tangan memohon perlindungan Allah dan menghentikan segala aktiviti lain yang tidak berkepentingan termasuklah sibuk mahu membuat maksiat.

Sekiranya ada kenyataan yang menyatakan pengabadian kita kepada Yang Maha Kuasa begitu membebankan, perkara itu pasti akan menjadi petanda nyata bahawa hati mereka berdepan dengan masalah besar.

Pastinya mereka berhadapan permasalahan dalaman kronik dalam diri sendiri. Mereka tidak memberi perhatian sepenuhnya untuk berhadapan dengan ‘ribut besar’ yang bakal menjelma.

Perkara itu merupakan satu perumpamaan terbaik berhubung datangnya hari akhirat. Hati seakan tidak disucikan dan diperbetulkan jika kita masih tidak mempercayai kedatangan hari penting tersebut.

“Sekiranya itu berlaku dalam hati kita, seluruh anggota badan dan jasad kita akan musnah kerana tidak dapat melihat kewujudan Allah SWT menerusi hati yang suci.

“Kita pastinya tidak mampu membina sebuah kecintaan terhadap-Nya. Kita tidak sepenuhnya menggunakan segumpal darah tersebut untuk melihat-Nya, seperti mana tujuan hati itu dicipta. Hati dicipta untuk mengetahui, menghambakan diri kepada-Nya dan mencintai-Nya,” kata Yasmin

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Pengorbanan guru dalam puisi keramat Guru Oh Guru

Posted by epondok di Mei 18, 2017

Nazri Hussein

MEMBICARAKAN tentang dunia pendidik serta sambutan hari guru yang sinonim sambutannya pada tanggal 16 Mei setiap tahun di seluruh negara tentulah tidak lengkap jika tidak disertakan dengan program deklamasi puisi atau bacaan sajak yang pastinya meruntun jiwa pendengar dan peminat genre sastera ini.

Justeru, sajak yang paling mendapat tempat bagi mengisi slot pada tanggal keramat yang dinanti-nantikan ini tiada lain adalah puisi karangan almarhum Sasterawan Negara, Datuk Usman Awang.

Apatah lagi puisi ini dianggap sebagai puisi legenda yang puitis serta penuh dengan nilai-nilai penghayatan yang tinggi.

Antara puluhan atau mungkin ratusan puisi bertema guru yang termuat dalam mana-mana buku antologi karangan penulis mapan atau baharu, sajak ‘Guru Oh Guru‘ nukilan Usman Awang pada tanggal 1979 ini tetaplah menjadi pilihan deklamator saat mengisi aturcara persembahan.

Sama ada pada peringkat sekolah, daerah, negeri hatta kemuncak sambutan di peringkat kebangsaan sajak keramat ini terus kekal menjadi pilihan untuk dilunakkan kata dan diungkapkan bicara yang indah bermetafora.

Apakah istimewanya sajak ‘Guru Oh Guru‘ yang sudah berusia hampir empat dekad ini?. Adakah masih bersesuaian setiap rangkap dan kalimah yang mengisi baris demi baris pada karya yang dianggap klasik dan agung ini?.

Inilah persoalan yang cuba dirungkai penulis bagi menzahirkan apa yang tersirat dalam karya yang penuh makna itu.

Sajak ini dimulakan dengan serangkap pantun yang termaktub peribahasa Melayu yang tersirat makna yang luas. Perhatikan.

Berburu ke padang datar

Dapat rusa belang kaki

Berguru kepalang ajar

Bagai bunga kembang tak jadi.

Usman Awang cuba mengajak pembaca menghayati pembayang pantun yang menerangkan betapa jika kita berburu di sebuah padang luas dan bukannya sebuah hutan rimba yang akan kita perolehi hanyalah sekadar belalang rusa yang tidak banyak manfaatnya.

Sedangkan di tengah belantara luas ada pelbagai haiwan termasuk rusa yang sudah tentu hasilnya lebih lumayan berbanding belalang rusa yang kakinya berbelang.

Hal ini memberi interpretasi betapa dalam dunia keilmuan, jika mencari ilmu di tempat yang betul dan di bawah asuhan guru yang benar-benar berkelayakan dan berketrampilan sudah pasti manfaat ilmunya lebih besar.

Jelaslah maksud pantun ini cuba menggambarkan andai berguru kepalang ajar tanpa disertai kesungguhan hasil yang diperolehi ibarat kuntuman bunga yang kembangnya tidak menjadi.

Dalam ranah pendidikan, pendidik yang komited dan pelajar yang memberi fokus dan tumpuan sepenuh hati dalam sesi pengajaran dan pembelajaran sudah tentu menghasilkan objektif yang maksimum.

Pada rangkap kedua dan ketiga, Usman Awang cuba menggambarkan imej seorang pendidik dengan apa sahaja gambaran yang mulia dan kudus.

Dialah pemberi paling setia

Tiap akar ilmu miliknya

Pelita dan lampu segala

Untuk manusia sebelum menjadi dewasa

Seorang pendidik tidak sekali-kali lokek atau kedekut untuk mencurahkan segala ilmu dan kemahiran yang ada. Kejujuran dan kesetiaan adalah dua sifat mulus guru saat berhadapan dengan anak-anak murid yang dahagakan ilmu pengetahuan.

Generasi hari ini memerlukan suluh cahaya di dikandari pada pelita dan lampu yang dipandu guru sebelum mereka berkecimpung dalam dunia kerjaya sesudah menempuh alam dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat

Alur kesetiaan mengalirkan nasihat

Pemimpin yang ditauliahkan segala umat

Seribu tahun katanya menjadi hikmat

Sudah tentulah di sekolah, guru mengambil peranan sebagai ibu dan juga bapa yang tidak jemu-jemu menabur nasihat dan pesan.

Justeru, setiap kata-kata pesanan atau pun sesekali bertindak mengenakan hukuman dan denda wajar dilihat dari sudut positif demi memastikan pelajar tidak tersongsang arah terjebak dengan aktiviti-aktiviti tidak bermoral.

Hal ini bertepatan dengan nilai dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang ingin melahirkan generasi berilmu dan berakhlak mulia. Beberapa isu yang melibatkan hukuman oleh guru terhadap murid yang dibangkitkan oleh ibu bapa perlu ditangani dengan kebijaksanaan agar hasrat melahirkan pelajar yang memiliki akal budi tinggi tidak terabai.

Menurut Sasterawan Negara Usman Awang, apa sahaja impian yang berjaya digapai oleh pelajar dalam dunia kerjaya hakikatnya bermula daripada seorang guru biasa.

Tanpa mengira seseorang itu dilabelkan sama ada sebagai guru Linus, guru pemulihan khas, guru prasekolah, guru sukan, guru muzik, guru bimbingan dan kaunseling mereka tetap mempunyai peranan dalam hierarki pendidikan di sekolah yang bermula dengan kemahiran asas iaitu tulis dan baca.

Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa

Dengan lembut sabarnya mengajar tulis baca..

Dalam isu penempatan guru yang sering menjadi perdebatan ramai, adalah wajar kita hayati pada dua baris terakhir pada rangkap kelima sajak ‘Guru Oh Guru’.

Usman Awang dalam puisi klasik ini memberi jawapan terhadap persoalan tempat bertugas betapa di mana pun guru ditempatkan di situlah mereka setia menabur budi dan menyumbangkan bakti demi pertiwi hatta di pendalaman jauh.

Semakin terpencil duduknya di ceruk desa

Semakin bererti tugasnya kepada negara

Rangkap terakhir sajak ini menjelaskan betapa sumbangan guru tetap terus dihargai masyarakat. Gelaran dan sanjungan akan terus diingati dan dikenangi meskipun seseorang guru itu sudah tiada lagi kembali ke alam abadi. Hakikat itu, bertepatanlah sambutan hari guru yang disambut di seluruh negara pada tanggal 16 Mei ini dengan tema unggul ‘Guru Pembina Negara Bangsa’.

Panggilan keramat ‘cikgu’ kekal terpahat

Menjadi kenangan ke akhir hayat.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Guru: Murabbi ummah

Posted by epondok di Mei 17, 2017

GURU merupakan insan mulia yang gigih dan tabah menyalakan obor keikhlasan menerangi dunia pendidikan sejagat. Namun, kadangkala keperibadian guru disalah tafsir dan direndahkan martabatnya oleh segelintir masyarakat.

Realitinya, dunia pendidikan hari ini dipenuhi dengan pelbagai cabaran untuk seorang yang bergelar guru. Selain berhadapan dengan cabaran menyampaikan secebis ilmu, guru juga perlu berhadapan dengan sahsiah, pemikiran dan kebolehan murid yang unik dalam kecanggihan dunia digital hari ini.

Dalam konteks ini, guru terpaksa menyemai sifat sabar yang tinggi, selain mempelbagai karakter terbaik dalam mendidik pelajarnya menerusi watak 5M iaitu mu’allim, murabbi, muaddib, mursyid dan mudarris.

Sifat sebagai murabbi umpamanya, menuntut guru itu bukan sekadar mengajarkan sesuatu ilmu tetapi dalam masa yang sama mendidik rohani, jasmani, fizikal dan mental pelajar untuk dihayati dalam kehidupan.

Firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah ayat 151: “(Nikmat berkiblatkan Kaabah yang Kami berikan kepada kamu itu), samalah seperti (nikmat) Kami mengutuskan kepada kamu seorang Rasul dalam kalangan kamu (iaitu Muhammad), yang membacakan ayat-ayat Kami kepada kamu, dan membersihkan kamu (daripada amalan syirik dan maksiat), dan yang mengajarkan kamu kandungan Kitab (al-Quran) serta hikmat kebijaksanaan, dan mengajarkan kamu apa yang belum kamu ketahui.”

Menurut Ibnu Kathir, perkataan ‘membersihkan kamu’ itu merupakan penghayatan sesuatu ilmu yang membentuk keperibadian, sikap dan tabiat anak didiknya. Mendidik bukan sekadar mengajarkan ilmu secara konvensional tetapi lebih penting menjelmakan watak murabbi yang mampu menyemai nilai adab dan menjelmakan akhlak mulia untuk diteladani.

PERLU SENTIASA CEMERLANG

Dengan memahami konsep ini, seorang murabbi perlu memperbaiki, memimpin dan mentadbir pelajar secara kasih sayang bukan dengan bengis dan kasar. Pendidikan dan penyebaran ilmu memerlukan sikap lembut dan hikmah seperti Allah SWT menyeru Nabi Musa dan Nabi Harun a.s. untuk berdakwah kepada Firaun secara lemah-lembut.

Firman Allah dalam Surah Taha ayat 43-44: “Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya dia telah melampaui batas dalam kekufurannya. Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah lembut, semoga dia beringat atau takut.”

Guru memiliki peranan dan fungsi sangat penting dalam membangunkan peradaban dan kemajuan sesebuah negara serta bangsa. Memang tidak dapat dinafikan, tangan para guru mampu mengembalikan sinar masa hadapan bangsa.

Dalam Tafsir Ruhul Ma’ani menerangkan antara wasiat Lukman Al-Hakim kepada anak-anaknya adalah supaya menghormati guru dengan merapati mereka agar keberkatan ilmunya menghidupkan hati dengan nur (cahaya) hikmah sebagaimana Allah SWT menghidupkan bumi dengan hujan.

Allah meninggikan darjat orang yang berilmu sebagaimana firman-Nya dalam Surah al-Mujadalaah ayat 11: “Supaya Allah meninggikan orang yang beriman antara kamu, dan juga orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dalam kalangan kamu) beberapa darjat. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendalam Pengetahuan-Nya tentang apa yang kamu lakukan.”

PERLUKAN SOKONGAN BERSEPADU

Bagaimanapun, seiring dengan cabaran hari ini, peranan guru perlu disokong oleh pelbagai institusi lain yang turut mempunyai sumbangan besar dalam soal pendidikan seperti keluarga, sosial dan media. Ini bagi memastikan matlamat membina negara bangsa serta mendidik generasi ini benar-benar tercapai.

Permuafakatan seluruh institusi ini mengukuhkan matlamat yang dihasratkan. Firman Allah SWT dalam Surah Al-Maidah ayat 2: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya),”

Antara langkah penting dalam proses jalinan permuafakatan itu adalah menggunakan saluran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG). Hubungan yang mantap dan akrab dengan pihak sekolah dapat memastikan proses pengajaran dan pembelajaran berjaya dilaksanakan malah memberi impak positif kepada guru, murid, ibu bapa serta institusi pendidikan negara.

Tahniah dan terima kasih kepada seluruh warga pendidik yang telah banyak mengorbankan jiwa dan raga demi sebuah negara bangsa yang cemerlang.

Semoga Allah SWT terus mengurniakan para guru dengan ketabahan, kesihatan dan kejayaan.

Dalam menjiwai sikap murabbi ini, tugas guru bukan hanya mengembangkan potensi bahkan turut membangunkan rohaniah dan akhlak pelajar mereka. Oleh itu, selain ibu bapa, murabbi juga tidak terlepas daripada menjadi model dalam kalangan pelajar. Sudah pasti limpahan ilmu, kelembutan dan keikhlasan murabbi menjadi pembakar semangat pelajar untuk berjaya pada masa hadapan.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Pondok Beta Hilir lancar derma untuk Bangunan Wakaf Raudhatul Barakah

Posted by epondok di Mei 15, 2017

WARGA pondok melihat pelan pembinaan bangunan baharu Pondok Beta
WARGA pondok melihat pelan pembinaan bangunan baharu Pondok Beta Hilir.

KOTA BHARU 11 Mei – Kerajaan Kelantan ya­kin kandungan kurikulum dan pengisian institusi pondok di negeri ini tidak mempunyai elemen yang mempengaruhi pelajarnya kepada fahaman terpesong seperti pengaruh kumpulan militan Daesh.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, institusi pendidikan tradisional di negeri ini dipantau oleh Yayasan Islam Kelantan (YIK) dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik).

Ahmad berkata, pihaknya juga memantau perkembangan pelajar yang menyambung pengajian ke luar negara seperti Indonesia, Mesir dan Jordan dengan kerjasama Kedutaan Malaysia.

“Kalau kita mengikut tuntutan Islam yang sebenar, pelajar tidak akan jadi ekstrem dan mengambil tindakan tidak bertanggungjawab kerana pondok sebenarnya mendidik pelajar berakhlak baik.

“Kita pantau pondok di bawah YIK dan Maik untuk memastikan mereka patuhi syarat ditetapkan. Kalau ada pelajar pergi ke luar negara dan terjebak dengan Daesh, itu bukan daripada kita,” katanya selepas majlis Perasmian Pecah Tanah Bangunan Wakaf Raudhatul Barakah, Pondok Beta Hilir, di sini semalam.

Yang turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Tumboh, Abd. Rahman Yunus; Pengetua Pondok Beta Hilir, Mohd. Jalaludin Assayuti Mohamed dan Penasihat Jawatankuasa Pembangunan Pondok Beta Hilir, Datuk Abdul Rahim Hasan.

Dalam majlis itu, Ahmad turut menyampaikan sumbangan kerajaan negeri berjumlah RM30,000 untuk pembinaan bangunan baharu setinggi dua tingkat tersebut.

Sementara itu, Mohd. Jalaludin berkata, Pondok Beta Hilir yang diasaskan pada 1966 mempunyai 125 pelajar lelaki dan 45 pelajar perempuan sepenuh masa.

Beliau berkata, bangunan baharu yang didirikan itu bakal me­nempatkan pusat asuhan kanak-kanak di aras bawah manakala rumah tumpangan pada aras dua yang menjadi sumber pendapatan pondok pada masa depan.

“Bangunan ini bakal didirikan di atas tanah wakaf seluas sete­ngah ekar (2,023 meter persegi) dengan anggaran kos pembinaan lebih RM400,000,” katanya.

Katanya, sumbangan orang ramai boleh disalurkan kepada Madrasah Muhammadiah Pondok Beta Hilir menerusi akaun Bank Muamalat 03010002364711 atau Bank Simpanan Nasional 0355041000016161.

 

Posted in Pondok Beta Hilir | Leave a Comment »