Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 17 April 2017

Keberkatan khusyuk dalam solat

Posted by epondok di April 17, 2017

NURATIKAH MOHAMMAD KAMAL ARIFIN

 

SESUNGGUHNYA solat merupakan suatu ibadah yang besar di sisi Allah SWT. Dan ia merupakan suatu kewajipan ke atas manusia sebagai makhluk kepada sang pencipta. Solat merupakan rukun Islam kedua yang wajib ditunaikan setelah mengucap dua kalimah syahadah. Perintah mendirikan solat ini telahpun bermula semenjak berlakunya satu peristiwa besar di dalam Islam yang dilalui oleh baginda Rasulullah SAW iaitu peristiwa Israk dan Mikraj. Sebagaimana kita ketahui, bahawa solat adalah benteng kepada diri  daripada melakukan dosa dan maksiat. Allah berfirman dalam surah al-‘Ankabuut :

اتْلُ مَا أُوحِيَ إِلَيْكَ مِنَ الْكِتَابِ وَأَقِمِ الصَّلَاةَ ۖ إِنَّ الصَّلَاةَ تَنْهَىٰ عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ ۗ وَلَذِكْرُ اللَّهِ أَكْبَرُ ۗ وَاللَّهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ

“Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran, dan dirikanlah solat (dengan tekun); sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.” [Surah Al-‘Ankabuut ayat 45]

Solat akan menjadi lebih sempurna apabila wujudnya khusyuk dalam diri hamba. Khusyuk dalam solat ialah tunduk dan merendahkan diri dengan menumpukan fikiran semata-mata kerana Allah, disertai pergerakan badan yang tenang dalam melakukan ibadah solat. Cara untuk kita  merasakan Allah itu dekat, syaratnya ialah mestilah orang itu beriman dengan sebenar-benarnya, yakni percaya dengan sepenuh keyakinan terhadap kewujudan dan keagungan Allah SWT.

Jika imannya telah lemah kerana sudah dibahagikan sebahagian besar hatinya kepada cinta dunia, mustahil ia akan dapat merasakan kedekatan Allah dan mustahil untuknya merasakan nikmat khusyuk dalam beribadat. Orang yang khusyuk dalam solat adalah mukmin yang berjaya. Sebagaimana firman allah SWT:

قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ ﴿23:1﴾ الَّذِينَ هُمْ فِي صَلَاتِهِمْ خَاشِعُونَ‏ ﴿23:2﴾

“Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, (iaitu) orang-orang yang khusyuk dalam solatnya.” [Surah Al-Mu’minuun ayat 1-2]

Mereka yang khusyuk dalam solat akan dinaikan darjat dan mendapat keberkatan di dunia dan di akhirat serta mampu merasa kemanisan dalam beribadat. Nilai khusyuk yang terpancar dalam diri seseorang dapat dilihat melalui ketenangan hati dan jiwa yang luhur. Seseorang yang hatinya hilang dalam solat, maka hilanglah nikmat khusyuk.

Apabila seseorang itu melakukan ibadah dengan menghadirkan sepenuhnya rasa kekhusyukan, semestinya hati akan lebih tenteram. Segala aktiviti dan pekerjaannya pasti Akan dipermudahkan. Khusyuk akan menjadikan seseorang menjadi lebih positif dan tidak mudah Berputus asa. Hal ini kerana, segala urusannya Diserahkan sepenuhnya kepada pencipta. Nescaya Allah akan menjamin kehidupan orang berserah diri dan melindungi dari sebarang  kejahatan. Dalam hadith nabi Muhamad saw bersabda:

“Serahkan urusan kalian berdua kepada Allah Azza wa jalla, agar kalian merasa tenang.”

Selain itu, kekhusyukan dalam solat dapat melahirkan sifat kesyukuran pada diri. Yakni mereka sentiasa bersyukur Di Atas kurniaan nikmat dan Rahmat yang tidak terhingga dengan melakukan ibadat Kepada-Nya. Dengan kewujudan sifat ini, sekaligus akan menghindar diri dari sifat mazmumah seperti tamak, iri hati dan hasad dengki. Menurut firman allah SWT:

وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِنْ شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ ۖ وَلَئِنْ كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ

“Dan (ingatlah) ketika Rabbmu memaklumkan, Sesungguhnya jika kamu bersyukur, niscaya Aku akan menambah (nikmat) kepadamu, tetapi jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka pasti azab-Ku sangat berat.” [Ibrâhîm/14:7]

Khusyuk menjadi syarat sama ada solat seseorang itu akan diterima oleh Allah SWT. Jika khusyuk tidak wujud dalam diri orang yang menunaikan solat, maka ruang kosong itu pasti terisi dengan sifat lalai. Orang yang lalai tidak akan merasai keagungan Allah SWT, sekalipun lidahnya mengucapkan kalimah-kalimah yang mengandungi segala puji-pujian terhadap Allah.

Istilah yang sering kali kita dengar iaitu ‘kenapa orang itu solat tapi tetap melakukan maksiat?’, ‘kenapa orang itu solat tetapi dikeliling dengan pelbagai masalah?’. Hanya solat yang khusyuk sahaja mampu menyelam ke dalam diri manusia dan merubah rasa hati menjadi lebih tenang, gaya fikir yang lebih bijak, prinsip hidup yang harmoni dan akhirnya mengubah perilaku seseorang.

Solat yang khusyuk menjadikan seseorang sentiasa ingat jati dirnya sebagai seorang hamba Allah. Dia tidak akan sesekali merasakan dirinya sebagai tuan apatah lagi sebagai “tuhan” dalam hidupnya. Secara tidak langsung seseorang itu akan sentiasa dipenuhi sifat kehambaan dalam diri seperti rasa jahil, hina, malu, lemah, dan lain-lain sifat yang menzahirkan kekurangan diri apabila berhadapan dengan Allah.

Rasa kehambaan ini akan melahirkan seseorang yang sentiasa ingat akan Penciptanya. Walau sekuat mana pun ujian hidup melanda, segalanya dapat diatasi dengan sempurna kerana wujudnya talian hayat dengan yang Maha Berkuasa dan Maha Perkasa, rasa diri yang lemah akan menjadi kuat apa hati diserahkan sepenuhnya untuk ditadbir Allah melalui nilai khusyuk

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »