Arak memang haram untuk umat Islam. Nasnya jelas dalam al-Quran dan ia melalui empat peringkat pengharaman iaitu:

1. al-Nahl [16:67],

2. al-Baqarah [2:219]

3. al-Nisa’[4:43]

4. Muktamad pengharamannya pada surah al-Ma’idah [5:90-91]).

Bukan setakat haram, ia digelar ‘air kencing syaitan’ oleh orang Melayu yang jijik dengannya. Barangkali orang Melayu menggelarkannya sedemikian kerana Allah sendiri menyifatkannya sebagai perbuatan atau minuman asasi syaitan.

“Wahai orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) daripada perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya,” (al-Ma’idah [5:90]).

UJIAN ALLAH KEPADA MANUSIA

Arak adalah ujian Allah kepada manusia di dunia. Ia memudaratkan badan, merosakkan akal dan meminumnya tergolong dalam dosa besar. Peminumnya tidak dapat mencium bau syurga sebagaimana sabda Rasulullah:

“Sesiapa yang minum arak di dunia kemudian (mati) tidak bertaubat daripada dosa itu, diharamkan meminumnya di akhirat” – Sahih Bukhari dan Muslim.

Hadis di atas ayatnya masih berlapik. Bahasa mudah adalah: peminum arak yang mati tanpa taubat tidak berpeluang masuk syurga kerana arak adalah minuman syurga (Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari).

Jika ia haram di dunia, mengapa pula hukumnya berpusing 360 darjah menjadi halal di akhirat sehingga menjadi antara minuman syurga?

Itulah bukti betapa mutlaknya kuasa Allah. Dia mampu dan berhak melakukan apa sahaja.

Pun begitu, hikmahnya tetap ada kerana Allah adalah Yang Maha Bijaksana. Antara hikmah yang mudah difahami adalah arak sangat berbahaya untuk akal dan jasad. Penagih arak sukar melepaskan diri daripada ‘kerasukan arak’ yang dihidapinya.

KELAZATAN ARAK SYURGA

Lain pula sifat arak syurga. Ia putih, bersih, lazat, sihat dan menjadi lambang keredaan Allah kepada ahli syurga yang sangat patuh kepada arahan-Nya semasa di dunia.

Firman Allah: “Diedarkan kepada mereka piala yang berisi ‘arak’ (yang diambil) dari sungainya yang mengalir, minuman itu putih bersih, lagi lazat rasanya, bagi orang-orang yang meminumnya, ia tidak mengandungi sesuatu yang membahayakan dan tidak pula mereka mabuk kerana menikmatinya,” (al-Saffat [37:45-47]).

Juga firman Allah: “Mereka dilayani anak muda lelaki yang tetap kekal (dalam keadaan mudanya), yang sentiasa beredar di sekitar mereka, – Dengan membawa piala minuman dan teko serta piala atau gelas yang berisi ‘arak’ (yang diambil) dari sungainya yang mengalir. Mereka tidak merasa pening kepala dan tidak pula mabuk dengan sebab menikmatinya,” (al-Waqi’ah [56:17-19]).

Arak ‘putih’ yang asli lagi sedap ini dicedok dari sungai arak syurga yang tidak terbanding lazatnya:

“Sifat syurga yang telah dijanjikan kepada orang yang bertakwa (ialah seperti berikut): ada padanya beberapa sungai daripada air yang tidak berubah (rasa dan baunya), dan beberapa sungai daripada susu yang tidak berubah rasanya, serta beberapa ‘sungai daripada arak yang lazat bagi orang yang meminumnya’ dan juga beberapa sungai daripada madu yang suci bersih. Dan ada pula untuk mereka di sana segala jenis buah-buahan, serta keredaan daripada Tuhan mereka…,” (Muhammad[47:15]).

Dalam ayat lain Allah menyebut arak syurga sangat istimewa kerana penutupnya ditutup rapi dengan haruman kasturi:

“Mereka diberi minum daripada satu minuman (arak) yang termeterai bekasnya, (bahan) salutannya daripada kasturi.Dan untuk (memperoleh nikmat kesenangan) itu hendaknya berlumba-lumba mereka yang ingin merebut kelebihan dan kesenangan,” (al-Mutaffifin [83:25-26]).

Tertutup rapi kerana ia belum pernah dibuka sesiapa pun. Ini menunjukkan arak syurga adalah barang baharu yang bukan ‘second hand’ kerana Allah tahu manusia tidak suka barangan terpakai. Bau penutup botolnya yang semerbak kasturi mampu membangkitkan selera ahli syurga.

Maha Suci Allah! Selera orang beriman seharusnya terbuka luas untuk merebut minuman ini. Bagaimana caranya? Ia berlaku secara bertentangan. Tahanlah diri anda daripada melakukan yang haram, Insya-Allah peluang kita terbuka luas mendapat nikmat ini di akhirat kelak.