Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 3 April 2017

Ibadah tertolak sebab jahil

Posted by epondok di April 3, 2017

Oleh Norhayati Paradi

Mukmin perlu sedar kepentingan ibadah sebagai hadiah terbaik daripada Ilahi. Tidak jelas dengan falsafah beribadah mewujudkan ibadah ikut-ikutan. Ikuti kupasan bersama Ustaz Pahrol Mohd Juoi dalam slot Islam Itu Indah di IKIMfm mengenai empat golongan dalam ibadah.

DARIPADA Abdullah bin Amru bin Al-Ash berkata, bahawasanya dia pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya hati semua manusia itu berada di antara dua jari dari sekian jari Allah Yang Maha Pemurah. Allah SWT akan memalingkan hati manusia menurut kehendak-Nya.” Selepas itu, Rasulullah SAW berdoa: “Ya Allah, Zat yang memalingkan hati, palingkanlah hati kami kepada ketaatan beribadah kepada-Mu” (Riwayat Muslim).

Minta kepada Yang Esa untuk sentiasa dikurniakan hati yang tetap, kekal beriman kepada-Nya kerana daripada situ akan menumbuhkan amal ibadah. Ibadah itu letaknya di hati dan ia umpama hadiah, sebelum memberi hadiah dianjurkan untuk kenal kepada penerima hadiah itu. Tetapi ia sangat berkait rapat dengan hidayah. Hidayah itu milik Allah, sesungguhnya tiada jaminan hidayah yang hadir akan kekal selamanya dalam kehidupan manusia yang penuh dengan ujian keimanan ini.

Ustaz Pahrol Mohd Juoi menerusi Islam Itu Indah yang bersiaran pada jam 10.15 pagi, Rabu lalu memohon kita semua menganggap ibadah itu sebagai hadiah terbaik daripada Allah dan sentiasa mengharapkan untuk mendapatkan pengakhiran usia dalam kebaikan. Ada beberapa perkara membawa kepada tertolaknya sesuatu ibadah. Antaranya disebabkan kejahilan dalam melaksanakan ibadah. Melulu dalam beribadah Tidak jelas dengan falsafah sebenar beribadah membawa seseorang melulu dalam beribadah. Ibadah hanya ikut-ikutan, bukan anutan sehingga akhirnya ibadah yang sepatutnya menjadi wasilah kepada Pencipta terus menjadikannya jauh tidak terarah.

Kadangkala, sekadar tahu tidak memberi makna seseorang itu sedar kepentingan ibadah dalam kehidupan. Tahu itu letaknya di akal, manakala sedar duduknya di hati. Mana mungkin akan lahir sifat kehambaan, kala sifat sombong bersarang menyamar rasa bertuhan, malah berasa dirinya tuhan. Maka, mudah menyangkal saat ujian naik sejengkal dan mula menentang ketika tikar sukar mula dibentang. Segala adab dan falsafah berkaitan ujian hilang daripada pertimbangan kerana berasakan ibadah yang telah dilakukan sepatutnya tidak mewajarkan ujian singgah menyapa hidupnya, sedangkan, ibadah itu pokok yang membuahkan akhlak dan adab. Selain itu, menerusi ibadah akan melahirkan sifat taat kepada-Nya.

Pahrol menggariskan empat kategori manusia yang hidup dalam ketaatan. Pertama adalah manusia yang taat dalam taat. Mereka ini daripada kategori golongan yang terbaik. Segala yang dilakukan datang daripada hidayah Allah SWT. Mereka tidak mengungkit setiap ketaatan yang dilakukan, malah melupakan ketaatannya kepada Allah serta kebaikannya kepada manusia. Amal mereka keseluruhannya kerana Allah. Ibadah itu telah menyelamatkannya dan membentuk hati dan batinnya daripada penyakit riak, ujub dan pengharapan pada puji-pujian manusia.

Golongan kedua adalah mereka yang derhaka dalam ketaatan. Mereka ini selalu berasakan setiap kebaikan atau ibadah yang dilakukan semua atas kelebihan dan kemampuan dirinya sendiri. Maka, timbul rasa ujub, riak dan tidak takut kepada Allah SWT. Hakikatnya, mereka penderhaka kepada Allah.

Sinis terhadap ibadah orang lain

Semakin banyak ibadah yang dilakukan, semakin tinggi sifat sombong, bongkak serta takabur. Seolah dirinya ahli syurga dan sewenangnya berasakan orang lain sesat dan kafir yang tidak layak masuk ke syurga. Mereka juga sinis terhadap ibadah orang lain dengan memandang remeh kebaikan dan ketaatan yang dilakukan. Dalam pada itu, terdapat juga golongan yang taat dalam kederhakaan. Mereka dalam kategori ini pula adalah daripada jenis manusia yang melakukan sebahagian daripada kebaikan dengan mengakui kelemahan dirinya, tetapi tidak pernah mengalah dan menyerah dalam usaha memperbaikinya. Mereka mengakui banyaknya dosa yang dilakukan dan bertaubat dan menyesalinya.

Tidak terhenti di situ, mereka dalam kategori ini akan sentiasa mujahadah dalam menjauhi dosa dan maksiat itu sebaik daya. Iman lemah mudah kalah Tetapi resam bermujahadah, iman yang lemah akan mudah kalah. Oleh itu, mereka rajin merintih walau belum dapat mengecap manis nikmat ibadah. Mereka tenggelam dalam rasa berdosa dan bersalah.

Sesungguhnya, kejahatan yang membawa kepada kesedihan jauh lebih baik daripada kebaikan yang menimbulkan sifat takabur pada diri. Tetapi malang bagi golongan yang dijauhkan daripada melakukan kebaikan, malah berbangga dengan dosa dilakukan. Tidak sekadar itu, dia juga mengajak orang lain turut serta terjun dalam gawang dosa dan kemaksiatan dilakukannya. Golongan ini adalah dari kategori penderhaka dalam derhaka.

 

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »