Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Kegemilangan berteras akhlak Islam

Posted by epondok di Mac 31, 2017


ZAINUL RIJAL ABU BAKAR

 

SERING kali, ramai menyalahkan Islam apabila berlaku sesuatu perkara yang tidak baik. Mereka mendakwa Islam menindas dan menghalang pembangunan. Ada juga mengaitkan Islam dengan terrorisme dan keganasan. Malah ada yang mengatakan sekiranya kita mengamalkan Islam maka kita tidak akan maju dan mengecap kejayaan.

Tanggapan sebegini sebenarnya hasil daripada mereka yang gagal melihat keindahan Islam, mungkin disebabkan orang Islam yang tidak mengamalkan agama Islam sebagai sebuah tata kehidupan. Model atau ikon mereka peroleh bukanlah daripada kalangan orang Islam.

Sebagai sebuah tatacara yang mengawal kehidupan seharian, Islam menggariskan panduan lengkap, sistematik dan tersusun supaya kehidupan manusia tidak tersasar dari matlamat mencari keredaan ALLAH serta ibadah kepada Pencipta.

Islam amat menekankan pembangunan modal insan berasaskan ciri-ciri pembinaan sahsiah dan keperibadian Muslim. Ini kerana manusia adalah sebaik-baik ciptaan ALLAH dan merupakan khalifah yang diberi kelebihan dan kekuatan ilmu.

Keunggulan keperibadian manusia hendaklah disulami akhlak mulia, ilmu pengetahuan berpaksikan keesaan ALLAH dan ketakwaan kepada-Nya. Inilah sebabnya Islam mengambil berat peranan moral atau akhlak dalam pembentukan sahsiah diri. Hatta dalam soal perbezaan pendapat pun Islam telah menggariskan adab-adab yang perlu diikuti.

Namun apa yang menyedihkan sekarang ini, kita lihat umat Islam tidak menjadi contoh, tidak memiliki akhlak yang mulia ataupun menjadi idola kepada orang lain. Lebih dahsyat lagi umat Islam ketinggalan dalam pelbagai bidang kerana mereka meninggalkan agama dalam kehidupan.

Bagi menjadi bangsa yang kuat, umat Islam perlu melengkapkan diri mereka dengan keperibadian unggul. Mengikut Hassan Al Banna, terdapat sekurang-kurangnya sepuluh ciri jitu lagi mantap yang saling melengkapi bagi menonjolkan kecemerlangan sahsiah Islam. Antaranya ialah aqidah yang bersih. Ciri ini amat penting kerana ia menjadi teras kepada pembangunan modal insan yang sebenar. Dengan aqidah mantap, sudah pasti umat Islam tidak akan tergelincir dari landasan syariat Islam yang betul. Ia juga merupakan suatu piawaian ke arah penyerahan diri sebagaimana diikrarkan dalam solat.

Begitu juga ibadat yang betul akan menjurus kepada keikhlasan dan pembentukan peribadi mulia. Ini menunjukkan sesuatu ibadat itu mestilah bersumberkan nas yang betul terdiri daripada al-Quran dan as-Sunnah serta sumber-sumber lain diterima para ulama. Ibadat dilakukan bukan bertujuan menunjuk-nunjuk tetapi merupakan manifestasi pengabdian diri kepada Maha Pencipta.

Akhlak mulia juga merupakan elemen penting pembentukan sahsiah diri. Perilaku ini harus dimiliki setiap Muslim kerana akhlak mulia bukan sahaja akan menjaga hubungan antara makhluk tetapi juga hubungan antara makhluk dan Penciptanya.

Di samping itu Islam juga tidak pernah mengasingkan kekuatan fizikal dalam mencari keredaan ALLAH. Ini amat jelas dilihat kerana beberapa amalan dalam Islam memerlukan kekuatan fizikal yang mantap seperti solat, puasa dan haji.

Kekuatan jasmani juga merupakan pencegahan kepada pelbagai penyakit. Kekuatan jasmani akan menjamin kecerdasan berfikir. Kecerdasan berfikir akan membawa kepada intelektualisme. Seorang intelek merupakan aset kepada masyarakat.

Tekad untuk berjuang melawan hawa nafsu juga merupakan suatu kelebihan bagi membentuk peribadi Muslim. Oleh kerana setiap manusia memiliki kecenderungan kepada sesuatu yang baik dan buruk, perlulah suatu semangat untuk melawan hawa nafsu yang buruk. Kesungguhan melawan hawa nafsu ini perlu disemai dalam diri umat Islam kerana ia akan berupaya melawan pelbagai maksiat dan kemungkaran.

Pandai menjaga waktu pula merupakan faktor penting bagi manusia khususnya kepada orang Islam. Umpamanya Islam mengajar perancangan waktu seperti solat awal waktu. Kemahiran menjaga waktu akan menghasilkan keteraturan dalam urusan.

Kejituan diri mempertahankan kebenaran dan berjuang menegakkannya hanya boleh dilakukan sekiranya kita memiliki kemampuan dan kekuasaan dari segi pengetahuan, ekonomi dan sebagainya.

Seseorang Muslim perlulah berusaha menjadikan dirinya bermanfaat kepada orang lain. Jika pun tidak memegang jawatan tinggi, sekurang-kurangnya kita boleh bermanfaat kepada ahli keluarga dan juga sahabat handai.

Sekiranya formula pembangunan modal insan digarap dengan mengambil kira ciri-ciri di atas, sudah pastilah negara akan mencapai kecemerlangan kerana adunan tersebut akan menghasilkan natijah positif, di mana insan yang dibangunkan itu bukan sahaja berguna kepada masyarakat malah menjaga hubungan baik mereka dengan Pencipta.

Untuk berjaya, umat Islam mesti kembali kepada Islam dan melaksanakannya secara keseluruhan. Jangan berpilih-pilih dalam mengaplikasikan agama Islam dalam bidang yang disukai sahaja. Kegagalan melaksanakan Islam sepenuhnya akan menyebabkan umat Islam mundur dan tidak menjadi ikutan umat-umat lain.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: