“Dan (sungguh ngeri) jika engkau melihat (keadaan orang yang bersalah itu) ketika mereka gelisah takut (menyaksikan azabnya) serta mereka tidak mendapat jalan mengelaknya, dan mereka pun diambil dari tempat mereka berada (untuk dibawa ke tempat azab). Dan (pada ketika itu) mereka berkata:

“Kami sekarang beriman kepada kebenaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad (SAW); (apa jalannya) dan bagaimana caranya mereka dapat mencapai iman dari tempat yang jauh (kerana sudah berada di akhirat)?

“Pada hal mereka telah mengingkarinya sebelum itu, dan mereka pula selalu melemparkan tuduhan buta terhadap kebenaran itu dari tempat yang jauh? (Tanpa cuba mendekati isi ajaran Rasulullah).

“Dan disekatlah antara mereka dengan (iman) yang mereka ingini, sebagaimana yang telah dilakukan kepada orang yang sama keadaannya dengan mereka pada masa yang lalu; sesungguhnya mereka dahulu berada dalam keadaan syak yang meragukan,” – (Saba’ [34:51-54).

Mengapa perlu direbut segera segala peluang keemasan? Mudah sahaja, kerana nyawa pada badan bukan berada dalam pilihan kita. Berapa ramai orang muda yang segar bugar disentap nyawanya oleh Allah secara mengejut? Akidah Islam juga cukup adil. Hidup ini hanya sekali dan tiada peluang kedua seperti ‘akidah penjelmaan semula’ anutan sesetengah agama lain.

PENGAJARAN 
SELEPAS MATI


Cerita sesalan selepas mati ramai manusia dalam beberapa situasi ini wajib diambil iktibar:

1) Waktu saat pertama menjengah alam barzakh:

“Kesudahan golongan yang kufur ingkar itu apabila sampai ajal maut kepada seorang antara mereka, berkatalah dia: “wahai Tuhanku, kembalikanlah daku (hidup semula di dunia) – supaya aku mengerjakan amal soleh dalam perkara yang telah aku tinggalkan. Tidak! Masakan dapat? Sesungguhnya perkataannya itu hanyalah kata-kata yang dia sahaja mengatakannya, sedang di hadapan mereka ada alam barzakh (yang mereka tinggal tetap padanya) hingga hari mereka dibangkitkan semula (pada hari kiamat),” (al-Mukminun [23:99-100]).

2) Waktu tunduk dilututkan menghadap audit agung padang mahsyar di mahkamah Allah:

“Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu): “Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya (akan segala yang kami ingkari dahulu); maka kembalikanlah kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal yang baik; sesungguhnya kami sekarang telah yakin,” (al-Sajdah [32:12]).

3) Waktu melihat julangan api neraka yang sedia memamah para pendosa:

“Dan sungguh ngeri jika engkau melihat ketika mereka didirikan di tepi neraka (untuk menyaksikan azabnya yang tidak terperi), lalu mereka berkata: Wahai kiranya kami dikembalikan ke dunia, dan kami tidak akan mendustakan lagi keterangan Tuhan kami, dan menjadilah kami daripada golongan beriman,” (al-An’am[6:27]).

4) Waktu diseksa secara kekal dalam neraka:

“Dan orang yang kafir, bagi mereka neraka Jahanam; mereka tidak dijatuhkan hukuman bunuh supaya mereka mati (dan terlepas daripada seksa), dan tidak pula diringankan azab neraka itu daripada mereka; dan demikianlah Kami membalas setiap orang yang melampau kufurnya. Dan mereka menjerit-jerit di dalam neraka itu (sambil merayu): wahai Tuhan kami, keluarkanlah kami (daripada azab ini); kami akan mengerjakan amal yang soleh, yang lain daripada apa yang kami pernah kerjakan. (lalu Allah menempelak mereka): bukankah Kami telah melanjutkan umur kamu dan memberikan masa yang cukup untuk berfikir dan beringat padanya oleh sesiapa yang suka berfikir dan beringat? Dan kamu pula telah didatangi Rasul (Kami) yang memberi amaran oleh itu, rasalah (azab seksa), kerana orang yang zalim tidak akan beroleh sesiapapun yang dapat memberikan pertolongan,” (Fatir [35:36-37]).

Ayuh! Rebutlah peluang yang sekali ini. Berusaha dan berdoalah agar kita terhindar daripada musibah sesalan di akhirat kelak