Malah, perjalanan hijrah Rasulullah juga berakhir dengan pembinaan Masjid Nabawi, di samping mempersaudara kaum Ansar dan Muhajirin serta mewujudkan Piagam Madinah. Sejarah itu sekali gus menunjukkan betapa pentingnya kedudukan masjid dalam Islam.

Masjid merupakan rumah Allah SWT yang mulia, justeru mengimarahkan masjid bermaksud memakmurkan rumah Allah sama ada dengan membinanya atau beribadah di dalamnya. Masjid juga perlu menjadi tempat perkumpulan umat Islam melakukan pelbagai aktiviti ibadah, dan saling tolong-menolong dalam perkara kebaikan.

Mengimarahkan masjid boleh dilakukan secara fizikal iaitu dengan menguruskan bangunan masjid supaya orang ramai dapat melaksanakan solat di dalamnya. Ganjaran bagi sesiapa yang mengeluarkan hartanya untuk tujuan pembinaan masjid ialah akan dibina baginya sesuatu seumpama itu dalam syurga.

Ia sebagaimana sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Sesiapa yang membina untuk Allah sebuah masjid, Allah akan membina untuknya yang seumpamanya di dalam syurga.” Riwayat Tirmizi

Berdasarkan hadis ini, jelas menunjukkan kepada kita betapa besarnya kelebihan dan ganjaran kepada sesiapa sahaja yang mengimarahkan masjid secara fizikal sama ada dengan membina, membersih, dan mengemas masjid serta menyediakan kemudahan prasarana atau kelengkapan untuk keselesaan para tetamu Allah.

Manakala mengimarahkan masjid secara spiritual pula ialah meliputi aktiviti kerohanian seperti melakukan ibadah dalam masjid sama ada solat, zikir, iktikaf dan membaca al-Quran.

Zikir juga bermaksud majlis ilmu yang dilaksanakan di dalam masjid. Kedua-dua pihak sama ada menguruskan pengajian ilmu mahupun peserta yang mendengarnya dikira sebagai mengimarahkan masjid.

Bahkan Rasulullah pernah bersabda maksudnya: “Malaikat akan berselawat kepada seseorang daripada kamu selagi dia berada di tempat solatnya yang dia telah solat padanya selagi mana tidak terbatal wuduknya. Malaikat berdoa: Ya Allah berilah keampunan untuknya, ya Allah berilah rahmat kepadanya.” – Riwayat Bukhari

Bayangkan, hanya dengan duduk sahaja di masjid pun akan didoakan keampunan oleh para malaikat apatah lagi mereka yang menuju ke masjid kemudian solat berjemaah, berniat iktikaf, bersalam-salaman sesama Muslim dengan senyuman, serta menyusun dan meluruskan sejadah.

Bukan itu sahaja, mengambil wuduk di rumah sebelum bertolak ke masjid pula akan diberi ganjaran oleh Allah bagi setiap langkahnya dan dihapuskan dosa serta meningkatkan satu darjat di sisi Allah.

TANDA KEIMANAN

Imam Fakhruddin al-Razi dalam Tafsir al-Kabir menyatakan bahawa, ketika seorang musyrik ditawan dalam peperangan Badar, dia berkata kepada orang Islam; “Sekalipun kamu semua telah mendahului kami dengan Islam dan hijrah serta jihad, sesungguhnya kami telah mengimarahkan Masjidilharam.”

Dakwaan orang Musyrik itu telah disangkal oleh Allah SWT menerusi ayat 17 dan 18 surah al-Taubah yang bermaksud; “Tidaklah layak orang kafir Musyrik itu memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah, sedang mereka menjadi saksi (mengakui) akan kekufuran diri mereka sendiri. Mereka itu ialah orang yang rosak binasa amalannya dan mereka pula kekal dalam neraka. Sesungguhnya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan solat dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah…” (al-Taubah : 17 – 18)

Mengimarahkan masjid juga bererti menjaga kehormatan dan kesucian masjid. Masjid mesti diurus dengan jujur dan penuh integriti serta ikhlas kerana Allah SWT.

Umat Islam perlu menjauhi perselisihan, pergaduhan, perebutan jawatan, fitnah memfitnah, penyelewengan wang dan harta masjid, mengadu domba serta kata mengata yang boleh membawa kepada permusuhan atau perpecahan.

Sewajarnya pentadbir masjid hendaklah bersatu padu, bersatu hati dan memikul amanah membangunkan jiwa ahli kariah supaya mempunyai hati yang sejahtera ketika bertemu dengan Allah. Ahli kariah pula hendaklah memberi sokongan terhadap segala program yang dianjurkan dengan semangat ukhuwah Islamiah.

Sesungguhnya Rasulullah melarang keras sebarang perbuatan yang mencemarkan kehormatan dan kesucian masjid sama ada oleh pihak pentadbir masjid ataupun ahli kariah, termasuk bersembang perkara keduniaan.

Ia sebagaimana diriwayatkan oleh Ibn Masud r.a. bahawa Rasulullah bersabda bermaksud: “Akan berlaku pada akhir zaman satu kumpulan yang duduk di dalam masjid-masjid secara berkumpulan, perbicaraan mereka adalah hal-hal dunia, maka janganlah kamu duduk bersembang dengan mereka, sesungguhnya Allah langsung tidak memerlukan mereka.” – Riwayat Tabrani