PASIR PUTEH 25 Mac – Sebuah pondok pengajian tradisional, Madrasah Ribat Thoha yang baru ditubuhkan di Kampung Wakaf dekat sini memerlukan dana sebanyak RM1.5 juta untuk menyiapkan fasa kedua pembinaan bangunannya.
Pengasas pondok berkenaan, Zuhairi Razali berkata, pihaknya mengharapkan ihsan dan kerjasama orang ramai untuk menyalurkan sumbangan bagi memastikan hasrat menyuburkan syiar Islam di negeri ini tercapai.
Beliau berkata, untuk itu, pihaknya telah mengadakan majlis jamuan sambil menderma untuk mengumpulkan dana tersebut.
“Bagaimanapun, kami masih memerlukan sokongan padu semua pihak dalam merealisasikan perjuangan meningkatkan syiar Islam.
“Bagi fasa kedua ini, kami merancang untuk membina masjid, rumah guru, pejabat, kantin dan 20 unit pondok pelajar,” katanya ketika ditemui dekat sini, baru-baru ini.
Zuhairi berkata, orang ramai juga boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Islam bernombor 03-090-01-005973-6 atas nama Madrasah Ribat Thoha sekiranya berhasrat untuk melaksanakan amal jariah.
“Matlamat kami adalah untuk mengukuhkan pegangan Islam dan akidah ahli sunnah wal jamaah dalam kalangan setiap individu terutama generasi alaf baharu.
“Usaha ini akan berhasil sekiranya mendapat sokongan berterusan semua pihak,” katanya.
Zuhairi merupakan bekas pelajar Maahad Saniah, Pasir Puteh, yang menyambung pengajian di Pondok Sri Permai, Kampung Seligi sebelum ke Pondok Moden Kandis, Bachok.
Beliau adalah menantu kepada ulama, Tuan Guru Abdul Hamid Gunong yang pernah mendapat pendidikan agama daripada al-Allamah Al-Habib Umar Muhammad Salim Al-Hafiz dari Darul Musthofa, Hadramaut, Sudan.
Tambahnya, beliau pernah berkhidmat di Ribat Al-Mustofa di Pulai Condong, Machang.
“Hasrat saya ingin memanfaatkan ilmu dan pengalaman dengan membina pondok Ribat Thoha di Kampung Wakaf untuk memberi peluang kepada anak-anak tempatan mempelajari agama secara sepenuh masa dengan mengguna sistem pengajian kitab ‘Turath’ selain melahirkan hafiz al-Quran,” katanya.
Tinggalkan Jawapan