Meskipun begitu, jaminan menyembuhkan penyakit bukanlah berada dalam ruang lingkup kemampuan manusia sepenuhnya.

Pada tahap tertentu, kemam­puan profesional perubatan untuk mengubati mencapai batasnya. Keadaan ini seringkali terjadi apabila penyakit sudah mencapai tahap kritikal yang sukar untuk diubati dengan kemampuan perubatan sedia ada. Khidmat perubatan dan penyembuhan pada tahap ini disifatkan sebagai ­menemui jalan buntu.

Kebuntuan ini biasa disebut dengan istilah perubatan sebagai medical futility. Dalam bahasa Melayu bermaksud rawatan yang sia-sia. Ia pada asasnya adalah konsep dalam bidang perubatan yang menggambarkan keadaan apabila terapi yang diberikan kepada seseorang pesakit tidak menunjukkan keberkesanan. Hal ini biasa terjadi apabila penyakit atau kecederaan yang dihidapi oleh pesakit dikenal pasti sudah berada di tahap akhir.

Penyakit pada tahap ini tidak memberi respon kepada ubat-ubatan dan terapi yang disediakan. Dalam keadaan ini pakar-pakar perubatan yang terlibat dalam memberi rawatan berpandangan bahawa harapan untuk pesakit kembali pulih dan meneruskan kehidupan adalah tipis. Berdasarkan kepada unjuran yang dibuat hasil daripada pengalaman-pengalaman lepas, pengiraan-pengiraan tertentu serta kepakaran yang ada, pesakit dijangka mempunyai hayat yang singkat.

Oleh kerana terapi yang diberikan tidak memberikan kesan, bahkan menyebabkan kesan sampingan menyakitkan, wujud cadangan supaya rawatan dihentikan. Cadangan untuk ini menimbulkan banyak perdeba­tan daripada pelbagai sudut. Ia antaranya menarik perhatian cendekiawan Islam. Ini kerana perkara yang berkait hal ehwal nyawa amat dititikberatkan oleh Islam dan Islam sememangnya sebuah agama yang amat mempertahankan penjagaan nyawa.

Pada masa sama Islam turut mengaku kemampuan doktor dalam merawat pesakit adalah terbatas. Kuasa yang memberi penyakit dan menyembuhkannya adalah milik mutlak Allah SWT. Ia adalah kuasa yang tidak dapat dicabar oleh mana-mana makhluk di dalam dunia ini. Begitu juga kuasa menghidupkan dan mematikan. Firman Allah SWT dalam Surah al-Zumar, ayat 42: “Allah (Yang Menguasai Segala-galanya), Ia mengambil dan memisahkan satu-satu jiwa dari badannya, jiwa orang yang sampai ajalnya semasa matinya, dan jiwa orang yang tidak mati: dalam masa tidurnya; kemudian Ia menahan jiwa orang yang Ia tetapkan matinya dan melepaskan balik jiwa yang lain (ke badannya) sehingga sampai ajalnya yang ditentukan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Allah bagi kaum yang berfikir (untuk memahaminya).”

Oleh itu, kerana akur dengan kekuasaan Allah dan batas kemampuan para profesional perubatan terdapat pandangan yang mengharuskan agar rawatan dihentikan dalam situasi sekumpulan pakar perubatan mengesahkan tiada harapan bagi pesakit untuk pulih.

Bagi pesakit pula, khabar mengenai tiada harapan untuk pulih dan tempoh hayat yang singkat menimbulkan rasa takut kepada mereka. Ini berkemungkinan mengganggu emosi pesakit. Meskipun sekiranya usaha berubat diteruskan dengan ikhtiar sendiri, seseorang hamba itu juga perlu sedar dengan hakikat kematian pasti akan tiba dalam apa jua cara yang ditentukan oleh Allah. Oleh yang demikian, persiapan menuju kematian sepatutnya menjadi keutamaan, apatah lagi dalam situasi medical futility.

Pada hujung hayat ini, antaranya perlulah diperbanyakkan taubat dan ibadah supaya segala diampunkan Allah. Perkara dinilai Allah selepas dibangkitkan semula ialah amal ibadah dan kebaikan. Oleh itu, dengan mengetahui hayat yang singkat melalui jangkaan perubatan, eloklah kiranya disegerakan taubat di samping memperbanyakkan amal kebaikan. Selain itu, perlulah diselesaikan segala urusan dengan manusia yang sebelum ini tertangguh. Antaranya melibatkan soal hutang-piutang. Hadis riwayat al-Tirmizi menyebut bahawa:

“Roh seseorang Mukmin itu tergantung (dihalang daripada tempat yang mulia) dengan sebab hutangnya sehinggalah hutangnya itu dilunaskan.’’

Bagi yang mempunyai harta, perlulah disegerakan urusan pewarisan supaya pada kemudian hari urusan para waris dapat dimudahkan. Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah, ayat 180:

“Kamu diwajibkan, apabila seseorang dari kamu hampir mati, jika ia ada meninggalkan harta, (hendaklah ia) membuat wasiat untuk ibu bapa dan kaum kerabat dengan cara yang baik (menurut peraturan ugama), sebagai suatu kewajipan atas orang-orang yang bertakwa.” (Al-Baqarah: 180)

Perkara yang tidak kurang pen­tingnya apabila melunaskan urusan sesama manusia adalah memohon dan memberikan kemaafan atas segala kesalahan yang pernah dilakukan. Sekiranya wujud sila­turahim yang terputus, mestilah disambung kembali. Akhir sekali, perkara yang penting dalam mempersiapkan diri menuju kematian adalah dengan menyediakan kelengkapan pengurusan jenazah iaitu kain kapan, liang kubur dan sebagainya. Alangkah baiknya sekiranya hasrat persiapan ini dinyatakan kepada waris agar apabila tibanya kematian, pengurusan jenazah dapat dipercepatkan.

Rumusannya, kesakitan dan kesembuhan datang daripada Allah. Ajal juga sesuatu yang ditakdirkan oleh-Nya. Apa yang tinggal kepada manusia adalah mempersiapkan diri untuk kembali kepada Pencipta. Bagi mereka yang mendapat khabar lebih awal mengenai jangka hayatnya, peluang untuk bersedia perlulah dimanfaatkan sebaiknya