Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Komitmen lahir keluarga sakinah

Posted by epondok di Mac 3, 2017


Oleh Ahmad Nazri Mohd Yusof

 

PERKAHWINAN proses awal ke arah pembentukan sebuah keluarga bertujuan menyusun pergaulan antara lelaki dan perempuan supaya pasangan dapat mewujudkan kasih sayang yang memperindahkan kehidupan. Akhirnya, dapat melahirkan keluarga aman, bahagia dan harmoni seperti slogan ‘Rumahku Syurgaku’. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Di dalam keluarga sakinah itu pasti akan muncul mawaddah dan rahmah.” (Surah ar-Rum, ayat 21)

Keluarga terdiri daripada suami, isteri dan anak adalah unit terkecil dalam sesebuah masyarakat yang memiliki fungsi dan peranannya tersendiri. Allah SWT tidak pernah memberikan aturan dan menciptakan sesuatu tanpa alasan serta manfaat. Mewujudkan keluarga yang sakinah, mawaddah dan rahmah adalah perintah Allah SWT.

Menerusi perbincangan dalam rancangan Pesona D’ Zahra di IKIMfm, Ustaz Muhammad Abdullah al-Amin menegaskan kepentingan suami isteri mewujudkan keluarga bahagia. Pengurusan rumah tangga adalah tanggungjawab isteri. Walaupun mempunyai pembantu rumah, isteri masih bertanggungjawab menyelia segala pengurusan rumah seperti menjaga makanan dan pakaian suami dengan sempurna.

Setiap isteri harus memahami tugas memasak dan menyajikan makanan bukanlah suatu kemestian. Sebaliknya, ia perlu dilakukan atas dasar ihsan bagi mengukuhkan ikatan kasih sayang terhadap suami. Pujian harus diberikan kepada isteri yang mengambil inisiatif memasak sambil membacakan beberapa potongan ayat al-Quran kerana ia secara tidak langsung mampu merapatkan lagi hubungan dibina.

Jaga maruah suami

Selain itu, isteri hendaklah menjaga maruah suami. Seperti juga tanggungjawab suami terhadap isteri, segala kecacatan yang ada pada suami hendaklah dirahsiakan bagi mengelakkan timbul perasaan aib yang boleh menjurus kepada perbalahan. Sudah tentu perbalahan perlulah dielakkan kerana ia boleh mengganggu pembentukan keluarga bahagia. Malah, isteri juga tidak sepatutnya dalam apa juga situasi sekalipun mengherdik suami, tetapi hendaklah sentiasa menggembirakan hati suami dengan tingkah laku menawan, tutur kata menjadi penawar dan perhiasan diri zahir dan batin.

Menyemarakkan lagi suasana mawaddah dan rahmah, isteri hendaklah melayan kehendak suami dengan baik pada bila-bila masa. Menjaga hubungan kelamin antara kedua-duanya dengan memberi layanan baik. Suami adalah ketua keluarga perlu bertanggungjawab menjaga keselamatan dan kebajikan ahli keluarganya. Tanggungjawab dipikul suami cukup besar maka, mereka hendaklah berani dan bersedia menjalankan peranan sebagai pemimpin.

Beri nafkah zahir, batin

Suami perlu memberi nafkah zahir dan batin kepada isteri mengikut kemampuan dengan menyediakan keperluan asas sebaik mungkin. Keperluan itu meliputi makanan yang mencukupi, pakaian mengikut keperluan dan tempat tinggal. Firman Allah SWT bermaksud: “Dan kewajipan suami memberi makan dan pakaian kepada isteri dengan cara yang baik.” (Surah al-Baqarah, ayat 233)

Di samping itu, suami dianjurkan memberi perbelanjaan secukupnya kepada isteri supaya dapat membeli keperluan rumah tangga. Nafkah anak juga tanggungjawab suami. Keikhlasan menyediakan nafkah keluarga disifatkan sebagai ibadah. Seterusnya, suami perlu sentiasa memelihara percakapan ketika bersama isteri. Ini penting kerana isteri biasanya mengingati setiap perkataan diucapkan suami.

Selain itu, gurauan perlu dalam perhubungan suami isteri kerana ia boleh merapatkan lagi perhubungan mereka. Ia juga antara cara untuk merehatkan badan dan pemikiran. Oleh itu, suami hendaklah menggembirakan hati isteri apabila berehat dengannya dengan berjenaka secara sederhana. Suami isteri perlu kasih mengasihi, bantu membantu dan saling bertolak ansur. Masing-masing perlu memelihara adab sopan dalam pergaulan supaya keluarga dibina memperoleh rahmat dan kasih sayang Allah SWT, sekali gus melahirkan keluarga sakinah mawaddah wa rahmah.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: