Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Riak jadikan ibadah tiada nilai

Posted by epondok di Mac 2, 2017


Oleh Norhayati Paradi

IBADAH adalah suatu yang amat tinggi nilai harganya. Ia dikira bukan sekadar sahnya sahaja, malah dari sudut mabrur dan khusyuk, seterusnya diterima oleh Allah SWT. Ustaz Pahrol Mohd Juoi mengumpamakan amalan baik atau sesuatu ibadah yang jauh daripada gamitan rahmat-Nya bagai debu berterbangan yang tidak terlihat dan berlalu tanpa diendah kewujudannya.

Begitulah butiran ilmu menerusi Islam Itu Indah minggu lalu di IKIMfm yang mengambil kira kecantikan dan keindahan ibadah perlu kekal sehingga kita bertemu-Nya tanpa terpalit sebarang cacat cela yang mengganggu gugat kemurnian amalan tersebut. Malang bagi seseorang yang beribadah, tetapi ibadahnya tertolak, malah tidak dipandang oleh Allah SWT akibat dihinggap virus yang bernama riak.

Riak ini termasuk dalam kategori syirik kecil iaitu mensyirikkan Allah dalam ibadah. Umpama sebatang pokok yang masih hidup, tertancap akarnya, tetapi dimamah batang, ranting, malah daunnya. Ia tidak lagi dikenali sebagai pokok, tetapi hanya dipanggil sebagai tunggul. Sesungguhnya, syirik dalam akidah amat berbahaya akan tetapi syirik dalam ibadah juga berbahaya mengundang murka dan amalan tidak diterima.

Pernah dikisahkan, suatu masa Saidina Umar masuk ke dalam Masjid Nabawi. Dia melihat seorang sahabat Muadz bin Jabal sedang menangis teresak-esak di makam Rasulullah SAW. Saat ditanya sebab tangisannya, Muadz menjawab, “Aku menangis sebab aku takut kepada riak kerana ia sebahagian daripada syirik”.

Ibadah tidak bernilai

Ibadah bukan sahaja tidak bernilai jika terpalit riak, malah ia mengundang dosa. Dalam ilmu tasawuf, ilmu berkenaan riak ini wajib dipelajari kerana riak adalah perbuatan amal ibadah yang mengharapkan pujian dan manfaat daripada manusia. Syaitan sangat kreatif dan konsisten dalam mengajak dan menyesatkan manusia. Jika belum beramal, disuntik rasa malas untuk memulakan. Sedang sudah beramal dihasut untuk tergesa-gesa mengamalkannya.

Seterusnya, jika sudah mula khusyuk dan tertib dalam beribadah dimasukkan pula rasa riak di dalam hatinya. Banyak saluran merealisasikan sifat riak dalam amalan. Contohnya, jika solat dengan niat untuk dikenali dan dilihat sebagai hamba Allah yang abid dan kuat beribadah. Kala membaca al-Quran, suara yang sedap lunak dan elok bacaannya. Menjadi qari yang disanjung, kemudian hanyut dengan pujian. Itu juga riak.

Terkadang riak ini hadir dalam keadaan yang bercampur-baur seperti beribadah kerana Allah, tetapi dalam masa yang sama terselit kemahuan untuk dihargai dan dipandang oleh manusia. Justeru, sentiasa memohon kepada Allah untuk memberikan petunjuk dan hidayah-Nya agar terhindar daripada tipu daya syaitan yang menyesatkan waimah dengan amal kebaikan. Ibadah yang membabitkan niat yang bercampur-baur juga tertolak dan jauh daripada pandangan Allah SWT. Oleh itu, cara untuk atasi ibadah terus koyak disebabkan perasaan riak adalah dengan sifat ikhlas.

Kisah mengenai ikhlas

Pernah dikisahkan, seorang anak murid bertanyakan gurunya mengenai ikhlas. Guru itu telah mengajak anak muridnya ke pasar sambil membawa karung guni. Sepanjang perjalanan menuju ke pasar, guru itu meminta anak muridnya memasukkan batu ke dalam karung sehingga penuh karung dengan batu yang besar. Sesampainya di pasar, mereka berlegar-legar di sekeliling pasar tanpa membeli kerana karung mereka telah penuh dengan batu yang dikutip sepanjang jalan. Seketika kemudian mereka pulang. Sebaik kembali ke tempat tinggal mereka, si murid meletakkan guni yang berisi batu tadi. Dengan keletihan, anak murid meluahkan pertanyaan kepada si guru kaitan perbuatan tersebut dengan pengajian ikhlas yang ingin diajarkan oleh si guru. Si guru menerangkan, batu itu umpama amalan yang riak, tidak ikhlas. Orang ramai memujinya seperti orang dipasar tadi memuji banyaknya barang yang dibeli saat melihat karung yang dipikul. Sedangkan diri anak murid itu sendiri tahu itu bukan barang makanan atau keperluan, tetapi hanya batu. Begitulah amal yang tidak ikhlas. Umpama batu hanya berat sahaja yang ditanggung. Dipuji orang, tetapi tidak ada nilainya di sisi Allah. Hasilnya hanyalah penat dan merugikan masa serta tenaga. Oleh itu, jahit semula hati, iman dan amal supaya tidak koyak kerana riak dan terjahit mati jalan-jalan hasutan syaitan asbab amal yang tidak ikhlas.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: