Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for Mac 2017

Kegemilangan berteras akhlak Islam

Posted by epondok di Mac 31, 2017

ZAINUL RIJAL ABU BAKAR

 

SERING kali, ramai menyalahkan Islam apabila berlaku sesuatu perkara yang tidak baik. Mereka mendakwa Islam menindas dan menghalang pembangunan. Ada juga mengaitkan Islam dengan terrorisme dan keganasan. Malah ada yang mengatakan sekiranya kita mengamalkan Islam maka kita tidak akan maju dan mengecap kejayaan.

Tanggapan sebegini sebenarnya hasil daripada mereka yang gagal melihat keindahan Islam, mungkin disebabkan orang Islam yang tidak mengamalkan agama Islam sebagai sebuah tata kehidupan. Model atau ikon mereka peroleh bukanlah daripada kalangan orang Islam.

Sebagai sebuah tatacara yang mengawal kehidupan seharian, Islam menggariskan panduan lengkap, sistematik dan tersusun supaya kehidupan manusia tidak tersasar dari matlamat mencari keredaan ALLAH serta ibadah kepada Pencipta.

Islam amat menekankan pembangunan modal insan berasaskan ciri-ciri pembinaan sahsiah dan keperibadian Muslim. Ini kerana manusia adalah sebaik-baik ciptaan ALLAH dan merupakan khalifah yang diberi kelebihan dan kekuatan ilmu.

Keunggulan keperibadian manusia hendaklah disulami akhlak mulia, ilmu pengetahuan berpaksikan keesaan ALLAH dan ketakwaan kepada-Nya. Inilah sebabnya Islam mengambil berat peranan moral atau akhlak dalam pembentukan sahsiah diri. Hatta dalam soal perbezaan pendapat pun Islam telah menggariskan adab-adab yang perlu diikuti.

Namun apa yang menyedihkan sekarang ini, kita lihat umat Islam tidak menjadi contoh, tidak memiliki akhlak yang mulia ataupun menjadi idola kepada orang lain. Lebih dahsyat lagi umat Islam ketinggalan dalam pelbagai bidang kerana mereka meninggalkan agama dalam kehidupan.

Bagi menjadi bangsa yang kuat, umat Islam perlu melengkapkan diri mereka dengan keperibadian unggul. Mengikut Hassan Al Banna, terdapat sekurang-kurangnya sepuluh ciri jitu lagi mantap yang saling melengkapi bagi menonjolkan kecemerlangan sahsiah Islam. Antaranya ialah aqidah yang bersih. Ciri ini amat penting kerana ia menjadi teras kepada pembangunan modal insan yang sebenar. Dengan aqidah mantap, sudah pasti umat Islam tidak akan tergelincir dari landasan syariat Islam yang betul. Ia juga merupakan suatu piawaian ke arah penyerahan diri sebagaimana diikrarkan dalam solat.

Begitu juga ibadat yang betul akan menjurus kepada keikhlasan dan pembentukan peribadi mulia. Ini menunjukkan sesuatu ibadat itu mestilah bersumberkan nas yang betul terdiri daripada al-Quran dan as-Sunnah serta sumber-sumber lain diterima para ulama. Ibadat dilakukan bukan bertujuan menunjuk-nunjuk tetapi merupakan manifestasi pengabdian diri kepada Maha Pencipta.

Akhlak mulia juga merupakan elemen penting pembentukan sahsiah diri. Perilaku ini harus dimiliki setiap Muslim kerana akhlak mulia bukan sahaja akan menjaga hubungan antara makhluk tetapi juga hubungan antara makhluk dan Penciptanya.

Di samping itu Islam juga tidak pernah mengasingkan kekuatan fizikal dalam mencari keredaan ALLAH. Ini amat jelas dilihat kerana beberapa amalan dalam Islam memerlukan kekuatan fizikal yang mantap seperti solat, puasa dan haji.

Kekuatan jasmani juga merupakan pencegahan kepada pelbagai penyakit. Kekuatan jasmani akan menjamin kecerdasan berfikir. Kecerdasan berfikir akan membawa kepada intelektualisme. Seorang intelek merupakan aset kepada masyarakat.

Tekad untuk berjuang melawan hawa nafsu juga merupakan suatu kelebihan bagi membentuk peribadi Muslim. Oleh kerana setiap manusia memiliki kecenderungan kepada sesuatu yang baik dan buruk, perlulah suatu semangat untuk melawan hawa nafsu yang buruk. Kesungguhan melawan hawa nafsu ini perlu disemai dalam diri umat Islam kerana ia akan berupaya melawan pelbagai maksiat dan kemungkaran.

Pandai menjaga waktu pula merupakan faktor penting bagi manusia khususnya kepada orang Islam. Umpamanya Islam mengajar perancangan waktu seperti solat awal waktu. Kemahiran menjaga waktu akan menghasilkan keteraturan dalam urusan.

Kejituan diri mempertahankan kebenaran dan berjuang menegakkannya hanya boleh dilakukan sekiranya kita memiliki kemampuan dan kekuasaan dari segi pengetahuan, ekonomi dan sebagainya.

Seseorang Muslim perlulah berusaha menjadikan dirinya bermanfaat kepada orang lain. Jika pun tidak memegang jawatan tinggi, sekurang-kurangnya kita boleh bermanfaat kepada ahli keluarga dan juga sahabat handai.

Sekiranya formula pembangunan modal insan digarap dengan mengambil kira ciri-ciri di atas, sudah pastilah negara akan mencapai kecemerlangan kerana adunan tersebut akan menghasilkan natijah positif, di mana insan yang dibangunkan itu bukan sahaja berguna kepada masyarakat malah menjaga hubungan baik mereka dengan Pencipta.

Untuk berjaya, umat Islam mesti kembali kepada Islam dan melaksanakannya secara keseluruhan. Jangan berpilih-pilih dalam mengaplikasikan agama Islam dalam bidang yang disukai sahaja. Kegagalan melaksanakan Islam sepenuhnya akan menyebabkan umat Islam mundur dan tidak menjadi ikutan umat-umat lain.

Advertisements

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Berhati-hati membuat andaian

Posted by epondok di Mac 29, 2017

“ADA satu perkara yang saya fikir sama ada hendak bercerita kepada kamu semua atau tidak, tetapi Allah SWT telah membuka pintu hati saya untuk bercerita perkara tersebut kepada kamu,” demikian ungkap tokoh ulama dunia yang menjadi sumber rujukan masalah keagamaan, Sheikh Dr. Ramadan al-Buti dalam satu ceramah yang dimuat naik di YouTube.

Beliau yang telah kembali ke pangkuan Yang Maha Esa semasa menyampaikan tazkirah dalam satu majlis ilmu di sebuah masjid di Kota Damsyiq, Syria pada 21 Mac 2013 menyatakan bahawa dia tersilap dalam membuat telahan terhadap seorang lelaki berhubung perkara kecil iaitu memotong janggut.

Tindakannya membuat kesimpulan sendiri terhadap lelaki tersebut telah mengundang hidayah Allah SWT untuk dirinya bagi membetulkan kesilapan yang telah dilakukan.

Membuka bicara berhubung kejadian dengan lelaki tersebut, beliau menyatakan, terdapat seorang lelaki yang sering hadir ke kelas pengajiannya, namun tidak lagi kelihatan pada bulan Ramadan.

“Saya lihat, dia tidak lagi hadir pada bulan Ramadan ini. Saya harap dia daripada golongan orang-orang yang beramal soleh.

“Suatu hari, saya ternampak dia mempunyai janggut yang lebat, namun pada satu hari lain, saya melihat dia menipiskan janggutnya. Nampak dia telah memotong janggutnya dengan begitu nipis.

“Ekoran itu, saya mengkritik perbuatannya di dalam hati dengan berkata, sebelum ini kamu mempunyai janggut yang lebat tetapi kenapa kamu mencukurnya? Sekiranya dari awal kamu memang berketerampilan seperti itu, tidak mengapa. Tetapi kenapa baru sekarang?,” katanya kepada jemaah yang hadir ke majlis pengajiannya itu.

Jelasnya, dia tidak bercakap perkara yang terdetik di dalam hatinya itu secara berdepan dengan lelaki tersebut, tetapi sekadar diluahkan dalam hati.

Namun tegasnya, perasaan tidak puas hati yang sekadar terdetik di dalam hati tersebut telah mengundang Allah SWT untuk membetulkan dirinya terhadap kesilapan dilakukan itu.

“Allah SWT ingin mendidik dan mengajar saya supaya beradab berhubung kesilapan tersebut. Suatu hari, saya diuji seperti mana yang telah saya melakukan kritikan kepada lelaki tersebut,” katanya.

Allah menguji diri beliau dengan kejadian di sebuah kedai gunting apabila tukang gunting tersilap memotong janggutnya sehingga nipis.

Semasa kejadian itu, katanya, dia tidak terdaya untuk berbuat apa-apa apabila tukang gunting menggunting janggutnya begitu nipis berbanding kebiasaan.

“Semasa kejadian itu berlaku, saya berasa kesal dengan tindakan tukang gunting itu. Namun kejadian itu telah mengingatkan saya dengan kesilapan yang telah saya lakukan sebelum ini.

“Ia tentang keburukan adab saya terhadap lelaki yang telah saya kritik sebelum ini. Lelaki itu tiada di sini sekarang. Tetapi saya akan mohon maaf kepadanya. Insya-Allah,” jelasnya.

Berikutan kejadian itu, dia menyeru umat Islam agar tidak sewenang-wenangnya melakukan kritikan dan menyibuk hal individu lain tanpa mengetahui kejadian sebenar.

“Wahai saudaraku, kita tidak perlulah mengkritik dan sibuk dengan hal orang lain terutama berkaitan hati. Lebih baik kamu menasihati secara berdepan, bertanya dan berbincang dengan baik.

“Saya telah pun diuji dengan perkara ini. Ketika saya mengkritik lelaki itu dengan menyangka saya berada di pihak yang betul, akan tetapi Allah telah menguji saya seperti mana yang saya kritik lelaki itu. Semoga Allah SWT mengurniakan adab kepada kita ketika bertaamul dengan hamba-Nya,” jelasnya.

Sumber: MutarjimClips

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Malang kerana lewat insaf

Posted by epondok di Mac 28, 2017

AKIDAH Islam juga cukup adil iaitu hidup hanya sekali, tiada peluang

AKIDAH Islam juga cukup adil iaitu hidup hanya sekali, tiada peluang kedua seperti akidah penjelmaan semula agama lain. GAMBAR HIASAN

BAGAIMANAKAH keadaan para pendosa di akhirat kelak? Gentar hati mendengar perihal sesalan manusia berdosa dalam ayat ini:

“Dan (sungguh ngeri) jika engkau melihat (keadaan orang yang bersalah itu) ketika mereka gelisah takut (menyaksikan azabnya) serta mereka tidak mendapat jalan mengelaknya, dan mereka pun diambil dari tempat mereka berada (untuk dibawa ke tempat azab). Dan (pada ketika itu) mereka berkata:

“Kami sekarang beriman kepada kebenaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad (SAW); (apa jalannya) dan bagaimana caranya mereka dapat mencapai iman dari tempat yang jauh (kerana sudah berada di akhirat)?

“Pada hal mereka telah mengingkarinya sebelum itu, dan mereka pula selalu melemparkan tuduhan buta terhadap kebenaran itu dari tempat yang jauh? (Tanpa cuba mendekati isi ajaran Rasulullah).

“Dan disekatlah antara mereka dengan (iman) yang mereka ingini, sebagaimana yang telah dilakukan kepada orang yang sama keadaannya dengan mereka pada masa yang lalu; sesungguhnya mereka dahulu berada dalam keadaan syak yang meragukan,” – (Saba’ [34:51-54).

Mengapa perlu direbut segera segala peluang keemasan? Mudah sahaja, kerana nyawa pada badan bukan berada dalam pilihan kita. Berapa ramai orang muda yang segar bugar disentap nyawanya oleh Allah secara mengejut? Akidah Islam juga cukup adil. Hidup ini hanya sekali dan tiada peluang kedua seperti ‘akidah penjelmaan semula’ anutan sesetengah agama lain.

PENGAJARAN 
SELEPAS MATI


Cerita sesalan selepas mati ramai manusia dalam beberapa situasi ini wajib diambil iktibar:

1) Waktu saat pertama menjengah alam barzakh:

“Kesudahan golongan yang kufur ingkar itu apabila sampai ajal maut kepada seorang antara mereka, berkatalah dia: “wahai Tuhanku, kembalikanlah daku (hidup semula di dunia) – supaya aku mengerjakan amal soleh dalam perkara yang telah aku tinggalkan. Tidak! Masakan dapat? Sesungguhnya perkataannya itu hanyalah kata-kata yang dia sahaja mengatakannya, sedang di hadapan mereka ada alam barzakh (yang mereka tinggal tetap padanya) hingga hari mereka dibangkitkan semula (pada hari kiamat),” (al-Mukminun [23:99-100]).

2) Waktu tunduk dilututkan menghadap audit agung padang mahsyar di mahkamah Allah:

“Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu): “Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya (akan segala yang kami ingkari dahulu); maka kembalikanlah kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal yang baik; sesungguhnya kami sekarang telah yakin,” (al-Sajdah [32:12]).

3) Waktu melihat julangan api neraka yang sedia memamah para pendosa:

“Dan sungguh ngeri jika engkau melihat ketika mereka didirikan di tepi neraka (untuk menyaksikan azabnya yang tidak terperi), lalu mereka berkata: Wahai kiranya kami dikembalikan ke dunia, dan kami tidak akan mendustakan lagi keterangan Tuhan kami, dan menjadilah kami daripada golongan beriman,” (al-An’am[6:27]).

4) Waktu diseksa secara kekal dalam neraka:

“Dan orang yang kafir, bagi mereka neraka Jahanam; mereka tidak dijatuhkan hukuman bunuh supaya mereka mati (dan terlepas daripada seksa), dan tidak pula diringankan azab neraka itu daripada mereka; dan demikianlah Kami membalas setiap orang yang melampau kufurnya. Dan mereka menjerit-jerit di dalam neraka itu (sambil merayu): wahai Tuhan kami, keluarkanlah kami (daripada azab ini); kami akan mengerjakan amal yang soleh, yang lain daripada apa yang kami pernah kerjakan. (lalu Allah menempelak mereka): bukankah Kami telah melanjutkan umur kamu dan memberikan masa yang cukup untuk berfikir dan beringat padanya oleh sesiapa yang suka berfikir dan beringat? Dan kamu pula telah didatangi Rasul (Kami) yang memberi amaran oleh itu, rasalah (azab seksa), kerana orang yang zalim tidak akan beroleh sesiapapun yang dapat memberikan pertolongan,” (Fatir [35:36-37]).

Ayuh! Rebutlah peluang yang sekali ini. Berusaha dan berdoalah agar kita terhindar daripada musibah sesalan di akhirat kelak

 

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Masjid ‘Lubuk’ Saham Akhirat

Posted by epondok di Mac 26, 2017

PERKARA pertama dilakukan oleh Rasulullah SAW dalam peristiwa hijrah ketika tiba di Madinah adalah dengan membina masjid yang dikenali sebagai Masjid Quba. Walaupun dibina dengan hanya berlantaikan pasir dan beratapkan pelepah tamar, namun ia digunakan sebagai markas pergerakan umat Islam pada ketika itu.

Malah, perjalanan hijrah Rasulullah juga berakhir dengan pembinaan Masjid Nabawi, di samping mempersaudara kaum Ansar dan Muhajirin serta mewujudkan Piagam Madinah. Sejarah itu sekali gus menunjukkan betapa pentingnya kedudukan masjid dalam Islam.

Masjid merupakan rumah Allah SWT yang mulia, justeru mengimarahkan masjid bermaksud memakmurkan rumah Allah sama ada dengan membinanya atau beribadah di dalamnya. Masjid juga perlu menjadi tempat perkumpulan umat Islam melakukan pelbagai aktiviti ibadah, dan saling tolong-menolong dalam perkara kebaikan.

Mengimarahkan masjid boleh dilakukan secara fizikal iaitu dengan menguruskan bangunan masjid supaya orang ramai dapat melaksanakan solat di dalamnya. Ganjaran bagi sesiapa yang mengeluarkan hartanya untuk tujuan pembinaan masjid ialah akan dibina baginya sesuatu seumpama itu dalam syurga.

Ia sebagaimana sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Sesiapa yang membina untuk Allah sebuah masjid, Allah akan membina untuknya yang seumpamanya di dalam syurga.” Riwayat Tirmizi

Berdasarkan hadis ini, jelas menunjukkan kepada kita betapa besarnya kelebihan dan ganjaran kepada sesiapa sahaja yang mengimarahkan masjid secara fizikal sama ada dengan membina, membersih, dan mengemas masjid serta menyediakan kemudahan prasarana atau kelengkapan untuk keselesaan para tetamu Allah.

Manakala mengimarahkan masjid secara spiritual pula ialah meliputi aktiviti kerohanian seperti melakukan ibadah dalam masjid sama ada solat, zikir, iktikaf dan membaca al-Quran.

Zikir juga bermaksud majlis ilmu yang dilaksanakan di dalam masjid. Kedua-dua pihak sama ada menguruskan pengajian ilmu mahupun peserta yang mendengarnya dikira sebagai mengimarahkan masjid.

Bahkan Rasulullah pernah bersabda maksudnya: “Malaikat akan berselawat kepada seseorang daripada kamu selagi dia berada di tempat solatnya yang dia telah solat padanya selagi mana tidak terbatal wuduknya. Malaikat berdoa: Ya Allah berilah keampunan untuknya, ya Allah berilah rahmat kepadanya.” – Riwayat Bukhari

Bayangkan, hanya dengan duduk sahaja di masjid pun akan didoakan keampunan oleh para malaikat apatah lagi mereka yang menuju ke masjid kemudian solat berjemaah, berniat iktikaf, bersalam-salaman sesama Muslim dengan senyuman, serta menyusun dan meluruskan sejadah.

Bukan itu sahaja, mengambil wuduk di rumah sebelum bertolak ke masjid pula akan diberi ganjaran oleh Allah bagi setiap langkahnya dan dihapuskan dosa serta meningkatkan satu darjat di sisi Allah.

TANDA KEIMANAN

Imam Fakhruddin al-Razi dalam Tafsir al-Kabir menyatakan bahawa, ketika seorang musyrik ditawan dalam peperangan Badar, dia berkata kepada orang Islam; “Sekalipun kamu semua telah mendahului kami dengan Islam dan hijrah serta jihad, sesungguhnya kami telah mengimarahkan Masjidilharam.”

Dakwaan orang Musyrik itu telah disangkal oleh Allah SWT menerusi ayat 17 dan 18 surah al-Taubah yang bermaksud; “Tidaklah layak orang kafir Musyrik itu memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah, sedang mereka menjadi saksi (mengakui) akan kekufuran diri mereka sendiri. Mereka itu ialah orang yang rosak binasa amalannya dan mereka pula kekal dalam neraka. Sesungguhnya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan solat dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah…” (al-Taubah : 17 – 18)

Mengimarahkan masjid juga bererti menjaga kehormatan dan kesucian masjid. Masjid mesti diurus dengan jujur dan penuh integriti serta ikhlas kerana Allah SWT.

Umat Islam perlu menjauhi perselisihan, pergaduhan, perebutan jawatan, fitnah memfitnah, penyelewengan wang dan harta masjid, mengadu domba serta kata mengata yang boleh membawa kepada permusuhan atau perpecahan.

Sewajarnya pentadbir masjid hendaklah bersatu padu, bersatu hati dan memikul amanah membangunkan jiwa ahli kariah supaya mempunyai hati yang sejahtera ketika bertemu dengan Allah. Ahli kariah pula hendaklah memberi sokongan terhadap segala program yang dianjurkan dengan semangat ukhuwah Islamiah.

Sesungguhnya Rasulullah melarang keras sebarang perbuatan yang mencemarkan kehormatan dan kesucian masjid sama ada oleh pihak pentadbir masjid ataupun ahli kariah, termasuk bersembang perkara keduniaan.

Ia sebagaimana diriwayatkan oleh Ibn Masud r.a. bahawa Rasulullah bersabda bermaksud: “Akan berlaku pada akhir zaman satu kumpulan yang duduk di dalam masjid-masjid secara berkumpulan, perbicaraan mereka adalah hal-hal dunia, maka janganlah kamu duduk bersembang dengan mereka, sesungguhnya Allah langsung tidak memerlukan mereka.” – Riwayat Tabrani

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Pondok Ribat Thoha, Pasir Puteh perlukan sumbangan

Posted by epondok di Mac 25, 2017

Sebahagian bangunan asas pondok Ribat Thoha yang masih dalam pembinaan
Sebahagian bangunan asas pondok Ribat Thoha yang masih dalam pembinaan di Kampung Wakaf, Pasir Puteh, Kelantan, baru-baru ini.

PASIR PUTEH 25 Mac – Sebuah pondok pengajian tradisional, Madrasah Ribat Thoha yang baru ditubuhkan di Kampung Wakaf dekat sini memerlukan dana sebanyak RM1.5 juta untuk menyiapkan fasa ke­dua pembinaan bangunannya.

Pengasas pondok berkenaan, Zuhairi Razali berkata, pihak­nya mengharapkan ihsan dan kerjasama orang ramai untuk menyalurkan sumbangan bagi memastikan hasrat menyuburkan syiar Islam di negeri ini tercapai.

Beliau berkata, untuk itu, pihaknya telah mengadakan maj­lis jamuan sambil menderma untuk mengumpulkan dana tersebut.

“Bagaimanapun, kami masih memerlukan sokongan padu semua pihak dalam merealisasikan perjuangan meningkatkan syiar Islam.

“Bagi fasa kedua ini, kami me­rancang untuk membina masjid, rumah guru, pejabat, kantin dan 20 unit pondok pelajar,” katanya ketika ditemui dekat sini, baru-baru ini.

Zuhairi berkata, orang ramai juga boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Islam bernombor 03-090-01-005973-6 atas nama Madrasah Ribat Thoha sekiranya berhasrat untuk melaksanakan amal jariah.

“Matlamat kami adalah untuk mengukuhkan pegangan Islam dan akidah ahli sunnah wal jamaah dalam kalangan setiap individu terutama generasi alaf baharu.

“Usaha ini akan berhasil sekiranya mendapat sokongan berte­rusan semua pihak,” katanya.

Zuhairi merupakan bekas pelajar Maahad Saniah, Pasir Puteh, yang menyambung pengajian di Pondok Sri Permai, Kampung Seligi sebelum ke Pondok Moden Kandis, Bachok.

Beliau adalah menantu kepada ulama, Tuan Guru Abdul Hamid Gunong yang pernah mendapat pendidikan agama daripada al-Allamah Al-Habib Umar Muhammad Salim Al-Hafiz dari Darul Musthofa, Hadramaut, Sudan.

Tambahnya, beliau pernah berkhidmat di Ribat Al-Mustofa di Pulai Condong, Machang.

“Hasrat saya ingin memanfaatkan ilmu dan pengalaman dengan membina pondok Ribat Thoha di Kampung Wakaf untuk memberi peluang kepada anak-anak tempatan mempelajari agama secara sepenuh masa dengan mengguna sistem pengajian kitab ‘Turath’ selain melahirkan hafiz al-Quran,” katanya.

 

Posted in Pondok Kelantan | Leave a Comment »

Guna tangan, kaki untuk kebaikan

Posted by epondok di Mac 24, 2017

Oleh Ahmad Nazri Mohd Yusof

Tubuh badan nikmat luar biasa dianugerahkan Ilahi. Justeru, manusia perlu bersyukur dengan nikmat itu. Dalam program Nasaih Diniyah bersama Ustaz Basir Mohamed al-Azhari menjelaskan anggota badan seperti tangan perlu digunakan untuk kebaikan seperti sedekah, menulis ilmu pengetahuan dan bukan untuk kejahatan seperti menyebar fitnah di laman sosial.

Tangan bukan sahaja berfungsi di dunia, tetapi berperanan di akhirat. TANGAN digunakan untuk kebaikan di laman sosial bukan untuk menyebar fitnah. ALLAH SWT menciptakan anggota badan untuk kemudahan dan kesenangan kita berurusan di dunia ini.

Sebagaimana Allah SWT menundukkan matahari, bulan dan bintang untuk kemudahan manusia, begitu jugalah anggota tubuh. Tubuh badan adalah nikmat luar biasa yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada manusia.

Bermula dari hujung kaki sehinggalah hujung rambut, semuanya adalah nikmat. Bayangkan jika kita tidak memiliki telinga, maka kita tidak dapat mendengar.

Menerusi rancangan Nasaih Diniyyah jam 9 malam setiap Isnin di IKIMfm, Ustaz Basir Mohamed al-Azhari menjelaskan, umat Islam perlu mensyukuri anggota badan yang dikurniakan oleh Alah SWT. Sesungguhnya, nikmat kedua belah tangan seharusnya digunakan untuk bersedekah, menulis ilmu pengetahuan dan mencari rezeki yang halal. Ia harus dijaga sebaik-baiknya daripada memalukan dan menjatuhkan maruah sesama Islam.

Janganlah tangan kita digunakan untuk mencapai tujuan jahat atau melakukan perbuatan yang haram dengan merampas, menzalimi dan mendatangkan kecederaan terhadap orang lain. Media massa adalah saluran maklumat yang utama kini dan teknologi maklumat membolehkan semua perkara disebarkan dengan cepat dan meluas walaupun status maklumat itu sendiri tidak dapat dipastikan kesahihannya. Laman sosial seperti Facebook, antara hasil ciptaan dunia teknologi hari ini mampu membantu masyarakat berinteraksi dengan sesiapa sahaja merentas sempadan. Pengguna Facebook boleh mempamerkan apa sahaja yang mereka inginkan tarikh lahir, hobi dan macam-macam lagi.

Manfaatkan laman sosial untuk kebaikan

Namun, Facebook juga boleh membawa keburukan kepada pengguna jika tidak pandai menggunakan dan memanfaatkan laman sosial itu ke arah yang lebih baik. Umpamanya, meletakkan gambar mendedahkan aurat, memaki, mencaci dan menghina orang lain. Terdapat juga pihak yang menggunakan laman sosial dengan mencipta laman mempromosikan kemaksiatan. Oleh itu, hargailah nikmat tangan yang diberikan oleh Allah SWT dengan menjadikan laman sosial sebagai wadah menyebarkan pengetahuan dan amal kebaikan.

Gejala utama dikaitkan dengan teknologi maklumat ialah penyebaran fitnah dan gosip oleh satu pihak bagi tujuan memburukkan, memalukan atau menjatuhkan pihak lain. Fitnah disebar menggunakan pelbagai laman sosial yang adai. Hal ini mencabar etika dan tatasusila hidup bermasyarakat dan bernegara. Menurut ajaran Islam, penyebaran fitnah adalah satu jenayah besar. Fitnah memberi kesan terhadap maruah dan kedudukan seseorang individu serta keluarganya.

Menurut Basir, tangan bukan sahaja berfungsi ketika di dunia, malah memiliki peranan tersendiri pada hari akhirat kelak. Setiap manusia akan menerima catatan amalan pada hari akhirat untuk melihat apa yang dilakukan sepanjang di dunia ini. Bermula daripada amalan kebaikan sejak akil baligh sehingga meninggal dunia. Kemudian Allah SWT dedahkan segala keburukan, lalu dibaca dan manusia menghitung dirinya sendiri sebelum dinilai Allah SWT.

Terima suratan amalan

Sebelum timbangan amalan dilakukan, datangnya catatan atau suratan amalan, manusia masing-masing berkata, “Buku apakah ini? Semuanya dicatat Allah SWT segala amalan.”

Ketika melayangnya suratan amalan, jika diterima manusia melalui tangan kanannya, maka dia akan tergolong dalam kalangan ahli syurga, jika suratan amalan diterima melalui tangan kiri maka dia tergolong sebagai ahli neraka.

Manakala kedua kaki pula hendaklah dipelihara daripada melangkah ke tempat maksiat yang ditegah oleh syarak. Sebaliknya, gunakan anggota itu dengan melangkah ke masjid atau surau untuk memperoleh kebaikan di dunia serta akhirat. Sesungguhnya di akhirat nanti segala anggota akan memberi kesaksian di atas apa yang dikerjakan di muka bumi ini.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Pada waktu itu Kami tutup mulut mereka dan (memberi peluang kepada) tangan-tangan mereka memberitahu Kami (kesalahan masing-masing) dan kaki mereka pula menjadi saksi akan apa yang mereka telah usahakan.” (Surah Yasin, ayat 65)

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/262353

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Keutuhan Iman Habib bin Zaid al-Ansari RA berdepan Musailamah Kazzab

Posted by epondok di Mac 23, 2017

Oleh Mohd Faiz Othman

 

Habib antara teman Rasulullah di syurga. Rasulullah mendoakan agar Allah SWT merahmati pengorbanan Habib dan keluarga yang memperjuangkan Islam. Ketika Habib dijadikan utusan untuk menyampaikan surat peringatan kepada Musailamah yang mengaku nabi, beliau telah ditangkap dan dipotong anggota badan kerana tidak mengaku Musailamah sebagai nabi.

Ikuti kisah sahabat yang menarik disampaikan oleh Ustaz Mohd Hazri Hashim al-Bindany dalam segmen Hayatus Sahabah di IKIMfm.

“YA ALLAH, jadikanlah mereka semua teman-temanku di dalam syurga”. Inilah antara doa Rasulullah SAW untuk keluarga Habib bin Zaid. Baginda SAW juga pernah mendoakan ‘semoga Allah memberkati kalian dan merahmati seluruh ahli keluarga kalian’.

Menerusi segmen Hayatus Sahabah yang bersiaran di IKIMfm Isnin jam 5 petang, Ustaz Mohd Hazri Hashim al-Bindany berkongsi mengenai kisah Habib bin Zaid al-Ansari yang kisah kehidupannya perlu kita jadikan contoh dalam mempertahankan agama Allah SWT.

Dalam sebuah rumah yang bersemi keimanan, membesarnya Habib. Wajah ahli keluarganya terpancar dengan cahaya kesabaran, ketabahan dan semangat pengorbanan yang tinggi. Ayahnya bernama Zaid bin ‘Asim, seorang tokoh kaum Muslimin di Kota Yathrib dan beliau adalah seorang daripada 70 orang yang menyertai perjanjian Aqabah. Bersaksi di hadapan Rasulullah SAW dan memegang erat tangan Baginda, beliau berjanji untuk mempertahankan Rasulullah SAW dan menyanjung tinggi agama yang dibawa Baginda. Perjanjian ini juga disertai oleh Habib pada saat usianya masih kecil.

Pertahankan Rasulullah

Ibu Habib adalah Ummu Umarah, Nasibah al-Maziniyyah. Beliau adalah wanita pertama yang membawa senjata berperang di jalan Allah SWT. Saudara Habib pula ialah Abdullah, insan yang sanggup mengorbankan nyawanya mempertahankan Rasulullah SAW dengan menjadikan dadanya sebagai benteng agar tidak ada panah dan tombak yang boleh menyentuh tubuh Baginda. Ketika hayatnya, Habib tidak menyertai peperangan Badar dan Uhud kerana masih kecil. Selepas perang Uhud, beliau menyertai peperangan demi peperangan bersama Rasulullah SAW. Beliau menunjukkan semangat pengorbanan dan perjuangan yang sangat hebat demi mempertahankan Islam.

Peperangan demi peperangan yang disertai oleh Habib tidak lain sebagai satu persediaan buat beliau bagi menghadapi ujian yang sangat hebat dalam hidupnya. Pada tahun ke- 9 Hijrah, Islam semakin teguh kedudukannya sehinggalah ramai dalam kalangan bangsa Arab mula memeluk Islam beramai-ramai. Mereka datang bertemu Rasulullah SAW dan menyatakan keislaman mereka kepada Baginda. Antara kabilah besar yang datang bertemu Rasulullah SAW ialah kumpulan daripada Bani Hanifah. Kumpulan itu datang dan telah menambat haiwan tunggangan dan haiwan ternakan mereka juga telah mereka tinggalkan kepada seorang lelaki, Musailamah bin Habib al-Hanafi.

Baginda Nabi SAW telah memuliakan kumpulan itu sehinggakan Baginda memberikan hadiah kepada setiap seorang daripada mereka. Baginda turut menitipkan hadiah buat saudara mereka, Musailamah yang ditinggalkan untuk menjaga haiwan tunggangan dan ternakan. Selepas kumpulan itu beredar dan belum sempat tiba di Najad, lokasi tempat tinggal mereka, Musailamah telah murtad dan mengaku bahawa beliau adalah nabi yang telah diutuskan Allah untuk kaumnya, Bani Hanifah. Maka kaumnya mula menyokong dan memotivasikan semangat itu kepada Musailamah. Akhirnya, ramai daripada Bani Hanifah itu murtad dan dikatakan sehingga melebihi 50,000 orang.

Ketika sokongan kepada Musailamah bertambah kuat, beliau telah mengutuskan surat kepada Rasulullah SAW yang tertulis “Daripada Musailamah, utusan Allah, kepada Muhammad, utusan Allah. Salam sejahtera kepadamu. Sesungguhnya aku berkongsi bersamamu, perintah daripada Allah, dan sesungguhnya bagi kami separuh bumi dan bagi Quraisy separuh bumi. Namun Quraisy adalah kaum yang melampau dan tamak”.

Surat peringatan Rasulullah kepada Musailamah

Saat surat itu tiba kepada Rasulullah SAW dan Baginda membacanya, lantas Baginda membalas surat tersebut dengan menulis “Dengan nama Allah, daripada Muhammad Rasul Allah kepada Musailamah seorang pendusta. Salam sejahtera ke atas orang yang mahu mengikut hidayah Allah. Sesungguhnya bumi ini adalah milik Allah dan Allah mewariskannya kepada sesiapa sahaja dalam kalangan hamba-Nya yang dia kehendaki. Kesudahan yang baik itu, hanyalah kepada orang yang bertakwa”.

Tatkala surat balas itu tiba kepada Musailamah, maka bertambahlah kebencian dan dendam beliau kepada Rasulullah SAW. Saat kebencian Musailamah memuncak, maka Rasulullah SAW berasakan perlu untuk menghantar peringatan kedua kepadanya. Lalu, Baginda menulis surat dan mengutuskan surat itu bersama dengan utusan Baginda iaitu Habib.

Habib pada ketika itu adalah seorang anak muda yang dikatakan sekitar usia 18 tahun. Ketika surat kedua sampai kepada Musailamah melalui utusan Baginda, maka bertambahlah kemarahan Musailamah sehinggakan beliau mengarahkan Habib ditangkap dan diikat untuk dibicarakan. Keesokan harinya, Habib diseret dalam keadaan kaki dan tangannya terikat dan dibawa ke tengah khalayak pengikut Musailamah untuk dibicarakan. Wajahnya tampak tenang. Saat Musailamah bertanya kepada Habib, adakah beliau mengakui bahawa Muhammad itu utusan Allah dan Habib mengatakan “Ya”, dan apabila Musailamah mengatakan ‘Adakah aku juga utusan Allah’? Lantas dengan sinis Habib menjawab “Telinga aku pekak sehinggakan tidak mendengar apa yang engkau katakan”.

Iman Habib utuh

Maka kemarahan Musailamah bertambah dan diarahkan pengawal yang menjaga untuk memotong anggota badan Habib. Lalu dipotong pergelangan tangannya lantas jatuh ke bumi. Lalu ditanya perkara yang sama, dan beliau menjawab perkara sama. Lalu dipotong pula pergelangan tangannya yang sebelah lagi. Pertanyaan itu berulang dan setiap kali itu jugalah, jawapan Habib tetap sama. Maka, setiap kali Habib menjawab, maka dipotong anggota badannya sehingga dikatakan dipotong kedua-dua belah tangannya sehingga ke paras bahu.

Selepas itu, dipotong juga kakinya sehingga ke paras lutut dan akhirnya Habib menghembuskan nafasnya yang terakhir dalam keadaan tidak ada satu pun daripada belahan pedang yang mampu memisahkan dirinya daripada beriman kepada Allah SWT. Begitulah benarnya tahap keimanan sahabat yang benar-benar mengakui bahawa Allah adalah Tuhan Yang Esa dan Muhammad itu pesuruh-Nya.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Sombong bukan pakaian ahli syurga

Posted by epondok di Mac 21, 2017

Oleh Fairuz Nordin

PERNAH suatu ketika sahabat bertanya kepada Rasulullah SAW, adakah manusia di atas dunia ini mengenali siapa tergolong sebagai ahli syurga atau neraka. Andai boleh, perlukan manusia beramal sedangkan sudah diketahui mereka menghuni syurga atau neraka. Rasulullah SAW berkata, setiap orang akan dipermudahkan Allah SWT jalan manakah yang menjadi pilihan mereka.

Sesetengah ulama berpandangan, setiap kali azan, manusia itu sedang memilih sama ada menjadi ahli syurga atau neraka kerana ahli syurga akan bersegera bersolat. Menerusi perkongsian dalam slot Mau’izati di IKIMfm, Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani menjelaskan antara ciri ahli syurga di dunia ialah orang yang mampu mengawal hawa nafsunya.

Daripada Anas bin Malik, Rasulullah SAW bersabda: “Syurga itu dipagari oleh pelbagai kesusahan dan kebencian. Syurga itu juga dipagari pelbagai syahwat dan keseronokan. Jika kamu ingin menghuni syurga, kawal hawa nafsumu.”

Dalam kehidupan, jasad mampu dikawal oleh akal, hawa nafsu atau wahyu. Namun, tanpa disedari kehidupan kita dikawal hawa nafsu atau sebaliknya. Mukmin mengawal akal dan nafsunya dengan wahyu, iaitu al-Quran dan hadis Rasulullah SAW. Ini petanda golongan itu adalah ahli syurga. Tetapi apabila logik akal digunakan, nescaya manusia akan sentiasa mempersoalkan adanya azab kubur, peristiwa Israk dan Mikraj dan perkara lain yang tidak terjangkau oleh akal.

Islam tidak menuntut manusia membuang hawa nafsunya di atas keperluan tertentu seperti tidur, makan, minum dan sebagainya, tetapi ia mempunyai panduan dan batas yang telah ditetapkan. Diriwayatkan oleh Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda: “Ketika mana Allah mula menciptakan syurga, Dia menghantar Jibril ke syurga dan Allah berfirman kepada Jibril: Lihatlah apa yang telah Aku sediakan di dalamnya untuk penghuninya. Jibril melihat ke dalam syurga dan kembali kepada Allah dan berkata: Demi kekuasaan Kamu ya Allah, tidak seorang pun yang mendengarnya kecuali semua perasaan untuk masuk ke dalam syurga.”

Bersifat tawaduk

Kemudian, Allah SWT memerintahkannya untuk memagari syurga dengan perkara yang dibenci iaitu syahwat, lalu Jibril kembali ke syurga setelah ia dipagari dengan kesusahan perkara yang tidak disukai. Setelah itu, Jibril kembali semula kepada Allah dan berkata: “Demi kekuasaan Kamu ya Allah, aku bimbang apabila aku melihat sahaja keadaan di syurga, tidak akan ada seorang pun yang dapat memasukinya. Kemudian Allah memerintahkan pula Jibril melihat keadaan di neraka, dan setelah itu Jibril berkata: Demi kekuasaan-Mu ya Allah, aku bimbang tidak ada yang mahu mendengar mengenainya. Lalu Jibril diperintahkan untuk memagari neraka dengan syahwat. Kemudian Jibril berkata lagi: Ya Allah, aku lihat sekiranya manusia mengikut segala nafsu syahwat, nescaya tidak ada seorang pun yang terselamat daripada neraka ini.”

Selain itu, tanda lain dapat dilihat oleh manusia yang bakal menghuni syurga ialah mereka sentiasa dalam keadaan tawaduk atau merendah diri. Mereka yang semakin tawaduk, semakin tinggi kedudukannya di sisi Allah SWT. Sombong bukanlah pakaian ahli syurga tetapi milik Allah SWT.

Daripada Harithah bin Wahab al-Quza’i, Rasulullah SAW bersabda: “Aku akan memberitahu kamu semua bahawa penghuni syurga adalah semua orang yang lemah dan tawaduk. Insan yang tawaduk akan banyak berzikir dan zuhud, segala kelebihan yang ada pada dirinya akan dikembalikan kepada Allah dan menganggap ia hanya pemberian yang bersifat sementara. Sekiranya mereka bersumpah, nescaya Allah akan kabulkan permintaannya.

Rasulullah bersabda lagi: Aku akan memberitahu kamu semua, bahawa penghuni neraka adalah orang yang berjalan dengan sombong dan bersikap takbur.” Sifat ahli syurga yang dapat dilihat di dunia ialah suka melakukan kebaikan. Mereka membuat perkara yang baik tanpa perlu diminta dan berlumba-lumba melakukan kebaikan walaupun berdepan kesusahan atau halangan.

Dermawan, infak harta

Ibnu Abbas berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Penghuni syurga adalah orang yang kedua telinga dipenuhi dengan pujian manis manusia akan kebaikan yang Allah kurniakan kepadanya, sedangkan dia mendengarnya. Penghuni neraka adalah orang yang kedua telinganya dipenuhi dengan pujian manusia mengenai keburukannya.”

Manusia yang bersifat dermawan adalah ahli syurga, mereka suka menginfakkan harta benda ketika hidup di dunia. Jangan sesekali meyakini bahawa rezeki itu milik mutlak seseorang kerana rezeki kurniaan Allah juga satu ujian untuk melihat sejauh mana ia digunakan semula ke jalan Islam.

Ciri-ciri lain ahli syurga yang dapat dilihat di dunia ialah pemimpin yang adil. Seperti diingatkan oleh Rasulullah SAW, dalam kalangan manusia adalah pemimpin dan mereka akan disoal oleh Allah SWT akan tanggungjawab mereka di dunia dahulu. Berlaku adillah dengan menunaikan hak Allah SWT terhadap diri, tunaikan hak ahli keluarga dan hak terhadap diri sendiri. Sebagai ketua atau pemimpin, perlu berlaku adil dan neraca keadilan seharusnya disandarkan kepada al-Quran serta hadis Rasulullah SAW.

Jika berlaku percanggahan dan pertelagahan dalam apa juga urusan di sepanjang perjalanan kehidupan, kembalilah kepada Allah SWT dan Rasul SAW. Rasulullah SAW menggambarkan penghuni syurga tergolong kepada tiga kumpulan iaitu pemerintah adil, mereka yang dermawan, bercakap benar, penyayang dan berlembut hati kepada ahli keluarganya. Selain itu, ketika seseorang meninggal dunia dan ramai yang menganggapnya seperti ahli syurga juga memberikan gambaran atau ciri-ciri dirinya adalah penghuni syurga.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Rasulullah pembuka pintu syurga

Posted by epondok di Mac 20, 2017

Oleh Fairuz Noordin

 

Rasulullah adalah manusia pertama yang masuk syurga. Baginda memberi syafaat kepada manusia di akhirat nanti. Kelompok manusia yang akan masuk syurga wajahnya umpama bulan purnama dan memakai pakaian yang tidak lusuh.

Selain Rasulullah dan Saidina Abu Bakar, golongan ketiga masuk syurga tanpa dihisab ialah Mukmin yang menjaga keimanan. Ikuti perkongsian menarik ini bersama Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani dalam slot Mau’izati di IKIMfm.

Allah SWT mengingatkan hambanya agar bersegera memohon keampunan di atas dosa mereka, kerana sesungguhnya Allah telah menyediakan syurga itu seluas di antara langit dan juga bumi bagi mereka yang bertakwa kepada-Nya. Orang yang pertama membuka pintu syurga ialah Nabi Muhammad SAW, selepas seluruh manusia dibangkitkan di Padang Mahsyar dan kemudian mereka melewati Telaga Kauthar serta titian sirat. Selepas orang Mukmin melewati titian, mereka masih di dalam keadaan tidak suci dan apabila sampai di pintu syurga, mereka akan meminta syafaat daripada Nabi Adam, Nabi Nuh, Nabi Ibrahim, Nabi Isa dan akhirnya daripada Nabi Muhammad SAW.

Rasulullah akan memberi syafaat kepada mereka seperti yang disebut di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim melalui Abu al-Nadr, daripada Hasyim bin al-Qasim dan seterusnya. Anas bin Malik berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Aku berjalan sampai ke depan pintu syurga pada Hari Kiamat, kemudian aku mengetuk pintu itu. Lalu dibuka pintu syurga, penjaganya bertanya, “Siapa kamu?”. Rasulullah menjawab, “Aku Muhammad.” Penjaga syurga berkata, “Kerana kamulah aku diarahkan supaya tidak ada seorang pun yang boleh membuka pintu syurga ini sebelum datangnya kamu.” Rasulullah menyebut lagi, “Aku adalah Nabi yang paling ramai pengikut pada Hari Kiamat nanti dan sayalah orang pertama sekali akan mengetuk pintu syurga.” Imam Muslim meriwayatkan, ketika manusia berkumpul di Padang Mahsyar, orang Mukmin akan mendatangi pintu syurga dan mendekati Nabi Adam. Mereka berkata, “Wahai bapa kami, tolonglah bukakan pintu syurga ini untuk kami.” Lalu dijawab, “Bukankah yang mengeluarkan kamu daripada syurga adalah kerana kesilapan Adam? Dia bukanlah orang yang berhak membuka pintu ini.”

Menerusi perkongsian oleh Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani di dalam slot Mau’izati di IKIMfm, digambarkan pintu syurga pada ketika itu ada lapan jenis. Jarak di antara pintu ke pintu adalah sejauh jarak di antara Makkah dan Hajar (terletak di Bahrain) iaitu lebih kurang 1,125 kilometer. Saidina Abu Bakar terawal masuk syurga selepas Nabi Selepas Nabi Muhammad SAW memasuki syurga, lalu diikuti umatnya dalam kalangan orang Mukmin di dalam keadaan berpasang-pasangan yang dimulakan dengan sahabat Baginda iaitu Saidina Abu Bakar as-Siddiq.

Abu Hurairah pernah menuturkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Jibril mendatangiku lalu memperlihatkan padaku pintu syurga yang akan dimasuki oleh umatku.” Lalu Abu Bakar berkata, “Ya Rasulullah, aku ingin bersama denganmu sehingga aku tidak berpisah denganmu.” Baginda menjawab, “Kamu wahai Abu Bakar adalah orang yang pertama memasuki syurga dalam kalangan umatku.”

Hadis diriwayatkan oleh Abu Hurairah menyebut, sesungguhnya kelompok pertama yang memasuki syurga, wajah mereka bagaikan bulan purnama pada waktu malam, diikuti golongan yang bagaikan bintang yang terang sinarnya di langit. Mereka ini tidak membuang air kecil dan besar, tidak berhingus dan tidak ada seorang pun meludah. Sisir rambut mereka diperbuat daripada emas, mengeluarkan peluh yang berbau harum seperti kasturi dan wangian mereka daripada kayu gaharu. Pada saat itu isteri mereka dalam kalangan bidadari yang cantik jelita. Mereka memiliki akhlak yang baik dan mempunyai bentuk tubuh badan seperti bapa mereka iaitu Nabi Adam, ketinggian mencecah 60 hasta menjulang ke langit.

Rupa paras ahli syurga

Anas bin Malik pula menceritakan bahawa Rasulullah SAW bersabda, rupa paras ahli syurga semuanya mirip perawakan Nabi Adam, berusia dalam lingkungan 33 tahun, tidak berjanggut, bercelak dan jernih wajahnya. Mereka dibawa ke pohon syurga dan memakai pakaian tidak akan lusuh dan tidak akan pudar cahayanya.

Golongan ketiga yang memasuki syurga selepas Nabi Muhammad SAW dan Saidina Abu Bakar as-Siddiq ialah orang Mukmin yang tidak dihisab dan tidak diazab oleh Allah SWT. Di antara kurniaan diberi Allah kepada Rasulullah SAW ialah setiap satu orang dalam kalangan 70,000 orang yang memasuki syurga tanpa dihisab, akan membawa bersama mereka seramai 70,000 orang yang lain. Abu Bakar menceritakan Rasulullah SAW bersabda, “Telah diberikan kepadaku 70,000 orang yang masuk ke dalam syurga tanpa dihisab, wajah mereka bersinar bagaikan bulan purnama dan hati mereka seperti satu hati lelaki yang lain. Kemudian aku memohon daripada Allah untuk menambah lagi 70,000, lalu ditambah setiap 70,000 membawa 70,000 orang untuk masuk ke dalam syurga”.

Golongan manusia yang akan memasuki syurga tanpa dihisab mempunyai ciri-ciri Mukmin yang sentiasa menjaga keimanannya kepada Allah tanpa ragu-ragu. Selain itu, mereka sering melakukan amalan soleh, hidup berjihad di jalan Allah, keilmuannya membawa kepada kewarakan dalam hidupnya, sikapnya sering mendahulukan orang lain, lembut hatinya, hidupnya penuh dengan kasih sayang, menepati janji dan memiliki akhlak terpuji.

Golongan keempat terawal memasuki syurga ialah dalam kalangan mereka yang mati syahid. Apabila ditanya dalam kalangan roh-roh mereka yang meninggal dunia, siapakah di antara mereka yang ingin dihidupkan semula, semuanya enggan hidup semula kecuali roh orang yang mati syahid mempertahankan agama Allah. Golongan ini juga mampu menarik ahli keluarganya yang menghuni neraka seramai 30 orang untuk masuk ke dalam syurga bersama-samanya. Rasulullah berpesan kepada umatnya agar mengimpikan dan bercita-cita agar diri mereka untuk mati syahid walaupun pada penghujung hayat mereka nanti ditakdirkan menemui ajal di atas katil, mudah-mudahan mereka akan beroleh pahala dan ganjaran sama.

Fakir dahului orang kaya

Golongan kelima terawal memasuki syurga ialah mereka yang mempertahankan kehormatan diri daripada sibuk meminta-minta dengan orang lain, tidak menjaja namanya walau berada di dalam kesusahan atau mati di dalam keadaan mempertahankan dirinya daripada dinodai.

Kemudian golongan keenam ialah mereka yang hidupnya sentiasa menasihati pemimpin, mengingatkan ketua dan majikannya demi menegakkan kebenaran agama Allah. Selain itu, golongan yang berkejaran ke syurga terdiri dalam kalangan orang fakir yang taat kepada Allah terlebih dahulu masuk ke dalam syurga berbanding orang kaya yang beriman kepada-Nya.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Adab melancong ke bumi dilaknat

Posted by epondok di Mac 17, 2017

MULANYA saya asyik mengapungkan diri dalam lautan yang serba masin itu. Rasanya sungguh unik kerana tubuh tidak tenggelam kerana kepekatan garam dalam airnya. Tiba-tiba sebuah hadis Rasulullah SAW menjengah minda. Tanpa tunggu saya terus melangkah keluar dari laut mati Jordan yang dikatakan menjadi tempat terbenamnya kaum Nabi Lut a.s. yang buas dan penggila seks songsang.”

Masih segar dalam ingatan perkongsian guru kami semasa belajar di Universiti Malaya 1998 dahulu. Apakah hadis yang dimaksudkan itu? Sabda Rasulullah SAW:

“Abdullah bin Umar r.a. menceritakan: (Pada tahun kesembilan hijrah ketika dalam perjalanan ke Tabuk untuk mempertahan Madinah daripada kemungkinan serangan tentera Rom) kami melalui kawasan al-Hijr (negeri kaum Thamud yang dimusnahkan Allah) bersama Rasulullah SAW. Baginda lantas bersabda: “Jangan kalian masuk ke negeri kaum yang menzalimi diri mereka sendiri (yang akhirnya dimusnahkan Allah) melainkan dalam keadaan menangis bimbangkan azab yang pernah menimpa mereka akan turut menimpa kalian.” Kemudian baginda mempercepat langkahnya sehingga meninggalkan tempat itu,” – Sahih Bukhari dan Muslim.

Tidak cukup dengan arahan itu, dalam hadis lain Rasulullah SAW mengarahkan para sahabat membuang atau memberi makan kepada unta semua gandum yang diuli menggunakan air dari perigi kaum Thamud. Jika para sahabat mahu mengambil air, mereka hanya dibenarkan mengambilnya dari perigi tempat bekas unta Nabi Saleh a.s. minum,” – Sahih Bukhari dan Muslim.

HIKMAH SEBALIK KEJADIAN

Mengapa perlu menangis ketika melalui tempat sebegini? Tangisan biasanya muncul ketika sedih, takut atau gembira. Arahan Nabi dalam hadis tersebut ada makna tersirat yang wajib difahami iaitu perlu berfikir dan mengambil pengajaran daripada musibah yang menimpa kaum tersebut. (Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari).

Kegentaran hati melihat kesan kemusnahan mereka boleh mendatangkan tangisan keinsafan. Ia yang timbul setelah melihat kesan sejarah dengan mata kepala pastinya lebih membekas pada jiwa, bak kata pepatah Inggeris “seeing is believing.” Inilah juga yang banyak diulang Allah dalam al-Quran:

“Sesungguhnya telah berlaku sebelum kamu (contoh kejadian berdasarkan) peraturan Allah yang tetap, oleh itu mengembaralah kamu di muka bumi, kemudian perhatikanlah bagaimana akibat orang yang mendustakan (para Rasul),” (Ali ‘Imran [3:137]).

Bahkan, jika kita lihat banyak sekali ayat al-Quran mencela sikap Musyrikin Quraish yang pekak dan buta mata hati tidak mahu mengambil iktibar daripada sejarah umat lampau sedangkan mereka selalu sahaja melihat serta melalui negeri yang pernah dimusnahkan Allah dalam perjalanan dagang mereka:

“Dan sesungguhnya kamu (yang menentang Nabi Muhammad): selalu sahaja berulang-alik (dalam musafir dan perjalanan dagang) melalui bekas tempat tinggal mereka, semasa kamu berada pada waktu pagi. Dan juga pada waktu malam; maka mengapa kamu tidak mahu memikirkannya? (al-Saffat [37:137-138]).

IBRAH DARIPADA KAUM THAMUD

Bagi mengingatkan Muysrikin Quraish tentang kaum Thamud, Allah berfirman:

“Dan demi sesungguhnya penduduk ‘al-Hijr’ (Mada’in Salih) telah mendustakan para Rasul. Dan Kami telah berikan kepada mereka tanda-tanda (yang membuktikan kebenaran agama dan Rasul Kami); dalam pada itu, mereka terus juga berpaling (mengingkarinya). Dan mereka memahat sebahagian daripada gunung sebagai tempat tinggal dengan keadaan aman (daripada sesuatu bahaya). Meskipun demikian, mereka dibinasakan juga oleh letusan suara yang menggempakan pada bumi waktu pagi. Maka apa yang mereka telah usahakan itu, tidak dapat menolong mereka sedikit pun,” (al-Hijr [15:80-84]).

Mudahnya, sejarah umat lampau wajib diambil iktibar. Jika mereka soleh gemilang maka rahsia mereka wajib dihadamkan dan diubah suai mengikut situasi zaman. Jika mereka jahat dan hina maka sikap mereka wajib dijauhi. Jangan hanya melihat tempat mereka dalam gelak tawa sambil mencukupkan koleksi swafoto pelancongan pada musim cuti. Ambil peluang ziarah itu untuk mengukuhkan jiwa dan iman kepada kebenaran agama Allah.

Pergilah melancong! Ia mampu membuka mata hati dan menjadi bank pahala jika diisi dengan pengisian yang betul sebagaimana firman Allah:

“Maka bukan sedikit negeri yang Kami binasakan kerana kezaliman penduduknya, lalu runtuh ranaplah bangunannya; dan bukan sedikit pula telaga yang telah terbiar, dan istana yang tersergam (telah kosong, ditinggalkan). Oleh itu, bukankah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi supaya – dengan melihat kesan yang tersebut – mereka menjadi orang yang ada hati yang dengannya mereka dapat memahami, atau ada telinga yang dengannya mereka dapat mendengar? (tetapi kalaulah mereka mengembara pun tidak juga berguna) kerana keadaan yang sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada dalam dada,” (al-hajj [22:45-46]).

Agensi pelancongan yang menyediakan khidmat lawatan ke tempat sebegini seharusnya tidak hanya meninggalkan para pengunjung begitu sahaja tanpa bimbingan seperti anak ayam kehilangan ibu. Selaku penganjur, mereka perlu mengisi aktiviti ziarah dengan tazkirah agar kunjungan itu membuahkan takwa dan 
gerun kepada azab Allah.

Siapa Nabi
 SAleh a.s.?

l Sebelum Nabi Ibrahim dan selepas Nabi Hud

* Diutuskan kepada kaum Thamud – kaum yang mensyirikkan Allah dan memiliki kepakaran memahat gunung untuk dijadikan tempat tinggal.

* Antara mukjizat baginda, mengeluarkan unta betina daripada batu besar.

* Dilunaskan bagi memenuhi permintaan kaum baginda yang meminta bukti kerasulan

* Di negeri Thamud terdapat sembilan lelaki yang sangat jahat dan selalu menentang baginda.


* Unta itu kemudiannya dibunuh oleh Qudar bin Salif dan konco-konconya.

* Selepas itu merancang untuk membunuh Nabi Saleh dan para pengikut baginda.

* Namun mereka terlebih dahulu dimusnahkan Allah.

* Semasa Nabi Muhammad SAW menuju ke Tabuk pada tahun kesembilan hijrah, baginda berpesan dengan 
adab yang disebut 
rencana ini.

Memang matlamat orang 
kafir kalau boleh hendak melihat umat Islam terus tidak berpakaian. Tetapi mereka sedar untuk melakukannya secara langsung adalah mustahil, Oleh itu mereka memperkenal pelbagai jenis budaya dan fesyen 
untuk diikuti.

 

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »