Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Sekularisasi, liberalisasi sama bahaya

Posted by epondok di Februari 7, 2017


Oleh Dr Khalif Muammar

SATU daripada tiga agenda besar sekularisasi adalah membuang unsur agama daripada politik. Pengalaman masyarakat Barat terhadap percampuran antara agama dengan politik meninggalkan kesan mendalam. Pengalaman pahit ini kemudian dibuat secara umum sehingga apa sahaja bentuk percampuran agama dengan politik dianggap destruktif.

Pendekatan sekular terhadap politik ini adalah satu daripada dua ekstrem.

Pertama adalah idea penyatuan agama dengan politik, yang meletakkan agama dalam kerangka politik. Agama menjadi alat kepentingan kekuasaan. Ini dihadapi Barat pada zaman pertengahan.

Kedua, yang juga timbal balik terhadap pendekatan pertama, adalah pemisahan agama daripada politik. Mereka beri andaian percampuran agama dengan politik akan membawa kepada – tiada kebebasan beragama; kuasa mutlak dan penyalahgunaan agama untuk kepentingan kuasa; beri keistimewaan kepada satu agama sehingga menzalimi penganut agama lain. Pemisahan ini diharap membantu semua penganut agama berbeza, hidup aman damai.

Dua pendekatan ini adalah ekstrem.

Yang pertama merendahkan agama menjadi alat kepentingan kekuasaan. Golongan yang mengambil pendekatan ini melihat pemerintahan teokrasi adalah terbaik kerana pemimpin dapat mandat langsung daripada Tuhan dan golongan agama yang berkuasa adalah pihak yang berbicara atas nama Tuhan. Pada hal Tuhan tidak pernah beri mandat kepada mereka dalam perkara itu.

Golongan kedua menyempitkan agama menjadi terhad kepada ritual dan kerohanian yang tiada hubungan dengan pelbagai aspek kehidupan manusia. Lebih parah lagi apabila mereka mengeneralisasikan kesilapan gereja pada zaman pertengahan kepada semua agama tanpa melihat kepada konteks sejarah dan amalan berbeza setiap agama besar dunia. Pendekatan ekstrem hanya membuahkan ekstremisme. Ekstremisme liberal sama bahayanya berbanding ekstremisme radikal. Negara liberal bebas pengaruh agama; beri kebebasan amal aktiviti songsang dan tidak bermoral seperti pelacuran dan LGBT. Akibatnya aktiviti tidak bermoral ini berleluasa dan cubaan melakukan amar ma’ruf nahi mungkar dianggap salah. Secara tidak langsung orang Islam dipaksa tunduk kepada ideologi sekular dan liberal serta dilarang menjadikan Islam sebagai cara hidup lengkap.

Kita percaya, berdasarkan ayat al-Quran (2:256), bahawa sebarang bentuk paksaan dan penindasan perlu dihapuskan; sama ada paksaan untuk beragama mahupun paksaan untuk tidak beragama (tidak ikut agama). Islam adalah al-din, panduan dan cara hidup lengkap, agama tanzil yang murni datang daripada Allah, yang sumber utamanya terpelihara tanpa campur tangan manusia. Misi ulama bukanlah memerintah tetapi mendidik dan memberi bimbingan. Ajaran Islam yang mengandungi semua aspek kehidupan, termasuk politik dan perundangan, meletak tanggungjawab setiap Muslim melaksanakan ajaran Islam dalam setiap aspek kehidupannya. Islam mengajar pemimpin adalah khadim (yang berkhidmat) dan wakil dilantik rakyat.

Bukan wakil Tuhan

Pemimpin bukan wakil Tuhan. Pemimpin hanyalah zillullah fi al-ard (bayang-bayang Allah di muka bumi). Sebagai bayang sudah tentu ia mestilah sentiasa mengikuti yang empunya bayang, iaitu Allah SWT: “Tidak sesekali menyalahi perintah Allah untuk berlaku adil dan bersifat kasih sayang kepada setiap rakyatnya hatta kepada orang yang dimusuhi” (surah al-Ma’idah: 8).

Alam Melayu adalah Darul Islam.

Sejak hampir 1,000 tahun lamanya sistem pemerintahan dan sistem perundangan diamalkan adalah sistem Islam. Hingga kini bekasnya dilihat pada undang-undang tubuh negeri di Johor, Selangor, Terengganu dan lain-lain. Kerana itu sumpah Yang di-Pertuan Agong mengekalkan perkataan Wallahi, wabillahi, watallahi, dan berjanji sentiasa memelihara Islam. Dapat disimpulkan sifat keIslaman Tanah Melayu masih kekal dan sifat sekularnya tidak pernah dominan.

Karya Raja Ali Haji (1873), yang juga negarawan, sekali gus Mufti Kerajaan Riau Lingga, adalah bukti kerajaan Islam tidak seperti yang digambarkan kelompok sekular-liberal. Raja Ali Haji menulis dua buku ilmu politik dan ketatanegaraan (Thamarat al-Muhimmah) dan sebuah karya sejarah (Tuhfat al-Nafis) yang menerangkan sistem pemerintahan Islam bukan sistem yang absolutis, teokratik dan kuku besi. Dalam buku ketatanegaraan ini juga Raja Ali Haji memberi jawapan terhadap persoalan integriti dan apa yang perlu dilakukan oleh semua pihak bagi memastikan pemerintahan yang adil dan bijaksana dapat direalisasikan.

Keadilan dalam Islam tidak sinonim dengan kesamarataan, keperluan majoriti rakyat tidak boleh disamakan dengan keperluan 10 peratus rakyat. Seperti minoriti Islam di negara Barat terpaksa akur dengan sistem sekular dan liberal, demikian juga minoriti bukan Islam di negara Islam perlu akur kehendak majoriti yang mahukan pemerkasaan Mahkamah Syariah dan diwujudkannya institusi Islam seperti JAKIM. Tuduhan sistem pemerintahan Islam tidak memberi kebebasan terhadap kaum minoriti bukan Islam adalah palsu. Rasulullah SAW memberi amaran tegas terhadap sebarang penindasan apalagi menafikan kebebasan masyarakat minoriti dalam beragama dan aktiviti sosial serta ekonomi.

Kesilapan memang ada dalam pengamalan pemerintahan Islam. Tetapi, kegagalan individu melaksanakan ajaran Islam tidak wajar dipertanggungjawabkan kepada Islam. Sejarah membuktikan pemerintahan Islam di alam Melayu, India, Syam, Turki dan Andalusia berlaku adil dan toleran terhadap masyarakat bukan Islam yang hidup aman bersama masyarakat Islam. Semua ini amat jelas dan nyata kerana ada dokumen yang masih terpelihara, sudah dikaji dan dibukukan dan boleh dibaca sesiapa sahaja yang cintakan kebenaran.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: