Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for Februari 2017

Pelihara hati untuk reda Ilahi

Posted by epondok di Februari 28, 2017

USTAZ SALAHUDDIN MOHAMED

 

HATI, ibu kepada segala kerosakan dalam kehidupan manusia. Hati yang hidup tubuh juga hidup. Sebaliknya hati sakit maka tubuh pun sakit. Hati yang sakit memerlukan rawatan dan sebelum dirawat perlu dikenali dahulu sakitnya baharu boleh diubati.

Hati yang akan membuatkan kita khusyuk dalam beribadah. Hati yang akan membuatkan jiwa kita tenang. Hati yang sakit akan membuat hidup kita gelisah.

Apakah punca hati jadi gelisah dan rosak?

Tanda yang menunjukkan hati mula diserang penyakit antaranya:

1. Mudah jatuh dalam kemaksiatan dan selalu meneruskannya, serta banyak melakukan pelanggaran syariat yang merubah dirinya  berasa senang melakukan maksiat.

2. Berasa keras hati. Apabila membaca al-Quran tidak terkesan dengan bacaannya. Begitu juga sewaktu ziarah kematian atau mengurus jenazah  hatinya tidak berubah.

3. Tidak beribadah dengan sempurna. Fikiran tidak fokus dalam solat dan saat membaca al-Quran. Perasan cepat jemu setelah membaca al-Quran dan tidak memikirkan apa yang dibacanya. Sewaktu  berzikir kepada tetapi tidak memahami makna zikir tersebut.

4. Malas dalam melaksanakan ketaatan dan suka mensia-siakannya.

5. Sempit dada, berlaku perubahan watak dan tabiat. Perkara yang kecil pun mudah keluh kesah dan berasa sempit dalam segala urusan.

Hati yang jauh dengan wahyu Ilahi akan mudah rosak dan dipengaruhi unsur negatif. Sesiapa yang hatinya sakit ubatilah dengan cara yang betul agar tidak tersesat jalan. Ramai dalam kalangan manusia mencari ubat, tetapi tersalah pilih penawar yang akhirnya membawa kepada hatinya menjadi lebih parah penyakit.

Antara ubat yang disarankan ialah:

Memelihara dan segera menunaikan kewajipan Islam, serta tidak menunda-nunda waktu.

Berzikir kepada ALLAH SWT. Namun, pastikan zikir yang sahih berdasarkan sumber al-Quran dan sunnah.

Mencari ilmu syarie dan sentiasa mencarinya.

Berlumba-lumba membuat kebaikan.

Ingat akan kematian.

Bergaul dengan orang yang beriman.

Selepas dirawat dan untuk memastikan agar hati tidak diserang penyakit, kita hendaklah sentiasa memberinya penawar. Antara cara untuk melihat tanda-tanda hati itu sihat dan bersih:

* Tidak putus mengingati Tuhan.

* Jika tidak berzikir, maka dia gelisah.

* Rindu untuk beribadah kepada ALLAH.

* Jika melaksanakan ibadah solat hilanglah daripadanya kedukaan dan datanglah ketenangan.

* Menjaga waktu dan berasa rugi melakukan perkara yang tidak berfaedah.

* Perhatian untuk membetulkan amalan sendiri yakni ingin ikhlas dalam amalan. Ingin mengikut sunnah dan menjauhi bidaah.

* Hati jika tidak diubati segera akan mati. Hati apabila mati ia tidak memiliki kehidupan. Hati akan menjadi yang tidak mengenali Tuhannya dan tidak beribadah kepada-Nya. Bahkan hati ini akan berdiri dengan syahwat dan kesenangannya.

Hati itu pemimpin    

Setiap daripada kita inginkan hati yang tenang dan khusyuk kepada ALLAH. Ada kalanya jiwa berasa sempit saat berdepan dengan pelbagai mehnah dalam mengharungi kehidupan menuju fitrah Ilahi. Dikhuatiri hati yang sakit ini akan mula bertindak dengan cara yang tidak sukai-Nya.

Sebab itu, Rasulullah SAW menyatakan punca segala sikap dan tindak tanduk manusia semuanya datang daripada hati. Sabda Rasulullah SAW: “Yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas, dan di antara keduanya terdapat perkara syubhah yang tidak diketahui oleh kebanyakan manusia. Barang siapa yang menghindari perkara syubhah, maka dia telah membersihkan agamanya dan kehormatannya. Barang siapa yang jatuh dalam perkara yang syubhah, seperti penggembala yang menggembala di sekitar tanah larangan, kemungkinan besar dia memasukinya. Ketahuilah setiap raja memiliki tanah larangan, ketahuilah tanah larangan ALLAH ialah hal-hal yang diharamkan-Nya. Ketahuilah bahawa dalam tubuh terdapat segumpal darah, jika baik, baiklah seluruh tubuh, dan jika rosak, rosaklah seluruh tubuh, ketahuilah segumpal darah itu adalah hati.” (Riwayat Bukhari & Muslim)

Hati yang sihat akan menjauhi larangan ALLAH. Perbuatan jahat tidak akan dapat bergerak dengan lancar. Justeru perasaan iri hati juga akan menurun peratusnya. Hati yang sihat akan membawa kepada khusyuk dalam urusan. Rasulullah SAW pun berdoa berlindung kepada ALLAH daripada hati yang tidak khusyuk. Baginda SAW berdoa: “Ya ALLAH aku berlindung kepada-Mu daripada ilmu yang tidak bermanfaat, hati yang tidak khusyuk, jiwa yang tidak puas (tamak), dan doa yang tidak dikabulkan.” (Riwayat Muslim)

Rasulullah SAW mengajak kita kepada akidah yang dapat menghidupkan hati dan akal serta membebaskan daripada belenggu kebodohan dan khurafat, tekanan kebimbangan dan mitos. Rasulullah SAW juga turut mengajar manusia agar sentiasa berdoa kerana hati manusia cepat berbalik dan cepat lupa. Hati sebenarnya lembut, mengilap, bercahaya dan memancarkan cahayanya, tetapi apabila masa yang panjang berlalu atasnya dengan tanpa peringatan, maka hijabnya menjadi tebal dan pintu-pintunya tertutup, lalu menjadi kusut, keras dan cahayanya meredup, sehingga menjadi gelap dan kelam.

Kembalikan semula khusyuk ke dalam hati dengan menghidupkan beberapa perkara dalam kehidupan harian, iaitu:

* Takut kepada ALLAH

* Menangis kerana takut kepada ALLAH

* Bersabar dengan ujian

* Mendirikan solat

* Mengeluarkan zakat

* Mengagungkan syiar ALLAH dan ayat-ayat-Nya

* Beriman kepada ALLAH dan kitab-Nya

* Yakin akan bertemu dengan ALLAH dan akan kembali kepada-Nya

Perkara tersebut jika dimulakan satu persatu, hati akan mula sihat dan menjadi khusyuk dalam amalan. Hidup tanpa hati yang bersih akan menghilangkan arah tuju.

Manusia yang hati tidak sihat sentiasa mencari musuh atau melakukan perkara yang menyusahkan pihak lain. Mereka tidak tahu ke mana  hendak  dituju. Matlamat makin kabur, kalau yang jadi ketua akan dengki jika anak buahnya pandai bekerja. Hati begini bukan hanya dengki tetapi diterjemahkan dalam tindakan dengan mencari jalan untuk menjatuhkan pegawainya. Bukan berhenti setakat itu dia akan melarang pegawai lain membantu pegawainya yang bagus.

Jika tidak berjaya, dia menggunakan kuasanya untuk merosakkan laporan prestasi atau tidak mengesahkan jawatan. Hal yang demikian ini berlaku kerana hati sudah rosak memandangkan selama dia bekerja kenaikan pangkatnya dengan cara bodek. Hati sebegini jika tidak dapat naik pangkat dia akan berkata orang atasan yang dengki kepadanya. Sepatutnya hatinya muhasabah itu ujian ALLAH agar dia sedar atas pengkhianatannya kepada pegawainya.

Jagalah hati untuk mencari keredaan-Nya. Jangan rosakkan hati dan pahala dengan perkara yang tidak disukai ALLAH. Jika hati kita tidak juga diubati, binasalah kita. Hati yang sihat akan mendatangkan khusyuk dalam hidup.

Insya-Allah hati yang sihat akan menjadikan tubuh badan orang itu tenang. Banyakkan berdoa kepada-Nya agar hati kita sentiasa baik. Doa adalah ibadah yang dapat membantu hati kita. Sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya ALLAH menolong umat ini dengan perantara kaum lemahnya, dengan doa, solat dan keikhlasan mereka.” (Sahih Al-Targhiib wat Tarhiib)

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Perlukah anak hafal Quran?

Posted by epondok di Februari 27, 2017

USTAZ KHAIRUL NAIM MANSOR

 

MARI kita renungkan bersama. Apakah sebenarnya tujuan kita menghantar anak-anak mempelajari al-Quran, khususnya dalam bidang tahfiz?

Adakah menghafal al-Quran ini menjadi bidang pengajian atau silibus dalam pendidikan ataukah ia sebenarnya suatu tuntutan agama terhadap penganutnya?

Tidak kurang juga yang membahaskan, al-Quran itu pentingnya difahami dan diaplikasikan dalam kehidupan bukannya dihafal semata-mata. Pelbagai lontaran pandangan yang kita lihat hari ni. Justeru apakah sebenarnya pandangan Islam dalam hal ini?

Pengertian Penghafal al-Quran

Hafiz al-Quran adalah orang yang memelihara al-Quran. Sentiasa, mengulang, baik dengan cara membaca atau mendengar. Agar al-Quran sentiasa terpelihara, disampaikan dengan mutawatir, mengelak daripada pemalsuan dan sebagainya.

Hukum Menghafal al-Quran

Jika dilihat pandangan rajih mengenai hal ini mengatakan hukum menghafal al-Quran itu fardu kifayah, iaitu wajib kaum Muslimin itu menghafal al-Quran dan jika tidak sama sekali mereka berdosa. (Mausu’ah Fiqhiyyah, 17/325)

Pendapat lain juga ada yang mengatakan ia mustahab iaitu sunat. (Fatawa Nur ‘ala Darbi, 89906).

Menghafal al-Quran dianggap sebagai pemula bagi jalan golongan ulama. Bukan sebagai destinasi untuk menjadi agamawan dan sebagainya.

Ini kerana menghafal adalah sebahagian jalan salaf dalam menghayati, mentadabburi segenap kehidupan. Dan ia seharusnya tidak ditakuti masyarakat bahkan perlulah menjadi sesuatu yang disukai sebagai permulaan untuk mendekatkan diri kepada kalamullah.

Kelebihan Menghafal al-Quran

Begitu banyak kelebihan dan manfaat yang boleh disebutkan antaranya:

1. Menghafal al-Quran berfaedah bagi setiap penghafal dalam urusan mereka sebagaimana firman ALLAH dalam Surah Fathir ayat 29 hingga 30.

2. Menghafal al-Quran adalah tanda-tanda orang yang diberi anugerah ilmu. Sesuai dengan firman-Nya dalam Surah Al-Ankabut ayat 49.

3. Golongan hafiz juga akan ditinggikan darjatnya ketika di syurga. Betapa baiknya manfaat al-Quran untuk penghafalnya.

Sesuai dengan sebuah hadis yang bermaksud: “Akan dikatakan kepada sahib Quran, Bacalah dan naiklah serta tartilkan sebagaimana engkau mentartilkan al-Quran di dunia sesungguhnya kedudukanmu adalah di akhir ayat yang kau baca.” (Riwayat Abu Daud & At-Tirmizi)

Jika kita melihat sekian banyaknya kelebihan ini, tidak dapat tidak menghafal itu harusnya pada hati. Itulah yang disebutkan sebagai sahibul Quran atau ahlul Quran. Dan segala yang berkaitan dengannya perlu seiring dengan ilmu lain yang boleh membawa kepada pemahaman, penghayatan, pentafsiran dan lain-lain. Ini kerana sayang sekali jika dapat menghantar anak-anak kita menjadi hafiz al-Quran yang hafalan mereka hanya sampai pada kedua bibir, kerongkong dan fikiran.

Namun tidak mencapai peringkat mentadabburi dan mengaplikasikannya di dalam kehidupan. Bahkan adalah lebih baik jika daripada awal lagi kita juga turut bercita-cita menjadi ahlul Quran dengan permulaan menghafalnya.

Sesungguhnya ALLAH telah memberikan kurniaan bagi orang-orang yang beriman, ketika Dia mengutus di antara mereka seorang rasul daripada golongan mereka sendiri, yang membacakan ayat-ayat-Nya dan membersihkan mereka (daripada sifat jahat), dan mengajarkan al-Kitab (al-Quran) dan al-Hikmah (as-Sunnah). Sesungguhnya mereka sebelum itu dalam kesesatan yang nyata ( Surah Ali-Imran: 164 )

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Benteng diri dengan al-Quran dan Sunnah

Posted by epondok di Februari 26, 2017

SYAHIDATUL AKMAL DUNYA

 

ZAMAN fitnah ini ialah penghujung zaman yang penuh dengan ujian dan pancaroba sebelum terjadinya kiamat. Daripada aspek syarak, fitnah yang banyak terjadi ini  telah pun dijelaskan ALLAH SWT dan Rasul-Nya kepada kaum yang beriman. Malangnya, hanya segelintir dalam kalangan umat Islam yang sedar dan memahami situasi yang terjadi.

FITNAH MUSNAHKAN SEGALANYA

Rehal mendapatkan pandangan daripada pendakwah, Ustaz Mohd Fikri Che Hussain mengenai kemelut fitnah yang berlaku dalam kalangan ummah pada akhir zaman ini. Jelas beliau antara fitnah dan ujian yang melanda umat manusia hari ini ialah banyaknya perselisihan dan pertelagahan. Perbalahan dalam memahami sesuatu isu dalam masyarakat adalah perkara biasa dan sering berlaku, namun kesan fitnah ini hingga ke tahap pergaduhan, permusuhan dan juga peperangan yang memusnahkan serta mengorbankan banyak nyawa.

Menurutnya, ramai manusia berada dalam dilema, orang yang dicerobohi tanah dan negara dianggap musuh, manakala penceroboh pula adalah orang yang berhak dan tidak dianggap bersalah atas alasan yang direka-reka dengan penuh dusta. Manakala golongan yang mahu kembali kepada Islam dan ingin menegakkan syariat ALLAH dianggap sebagai pengganas dan membawa minda ekstrem dan pihak lain yang menentang tertegaknya hukum ALLAH disanjung sebagai pejuang dan pembawa idea perdamaian, demokrasi dan kemanusiaan sejagat.

“Sedangkan merekalah yang menceroboh dan menindas kebanyakan negara umat Islam atas alasan terorisme dan tidak kurang ratusan ribu terkorban dengan alasan sebegitu.

“Segala fitnah dan ujian yang dihadapi umat Islam ini bagi satu pihak sebagai bencana dan mala petaka buat mereka, namun sebahagian lain beranggapan ia kebaikan buat kaum yang benar-benar beriman, sepertimana firman ALLAH dalam Surah Muhammad ayat 31 dan Surah Al-Ankabut, ayat 2 hingga 3,” ulasnya.

ALLAH yang menciptakan ujian dan dugaan itu agar manusia menyedari dan merenung hikmah yang tersembunyi. Bukan sahaja dapat membezakan antara kawan dan lawan, benar dan salah, jujur dan munafik. Tetapi juga,  mendidik diri supaya lebih dekat kepada Pencipta. Semua ini adalah satu rahmat ALLAH kepada hamba-Nya, akan tetapi segelintir sahaja yang dapat memahami dan menerima. Justeru, apakah jalan terbaik untuk melepaskan diri dari terjerumus ke dalam ujian fitnah ini?

BINA BENTENG HADAPI FITNAH

Sebelum diperincikan solusi ampuh bagi mengatasi kemelut ini, ada baiknya diperhatikan apa yang dinyatakan ALLAH yang sentiasa mengasihi hamba-Nya yang beriman.

Kasih sayang ALLAH itu melebihi kasih sayang bonda dan ayahanda yang membesarkan, malah melampaui daripada diri mereka sendiri. Nabi Muhammad SAW juga sentiasa mengasihi umatnya. Baginda SAW telah diciptakan dan dihiasi dengan rahmat sebagai nabi yang diutus oleh Rabbul ‘alamin untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.

Bertepatan dengan firman-Nya: “Sesungguhnya telah datang kepadamu seorang rasul daripada kaum kamu sendiri, berat berasa olehnya penderitaanmu, sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagi kamu dan amat belas kasihan lagi penyayang terhadap orang-orang beriman.” (Surah al-Taubah: 128)

Maka inilah benteng yang kukuh dan teguh dengan jaminan daripada kalam Tuhan dan sunnah Nabi SAW. Adalah wajar bagi kaum yang beriman untuk merenungkan beberapa jenis benteng pertahanan diri yang dapat menyelamatkannya daripada terjerumus ke dalam lembah ujian dan fitnah:

1- Benteng diri – Berdoa

Benteng paling ampuh (keyakinan dan keimanan tauhid yang sahih) ialah sentiasa bergantung harap kepada ALLAH. Tidak akan lari daripada memohon dan mengharapkan keselamatan daripada-Nya. Hatinya sentiasa berpaut kepada tali ALLAH dalam apa jua ujian yang menimpa.

2-  Benteng diri – Ilmu

Ilmu adalah benteng paling kukuh yang perlu dibina dalam jiwa manusia yang beriman kepada ALLAH dan rasul-Nya. Benteng ilmu ini mampu melenyapkan segala kejahilan dan melapangkan jalan kebenaran bagi setiap generasi ummah. Ilmu juga mengukuhkan pendirian seseorang daripada segala bentuk kesamaran dan keraguan yang timbul serta membinasakan segala bentuk kejahatan yang muncul.

Antara ilmu yang dianjurkan untuk diteladani pembaca ialah membaca sirah Nabi SAW dan sahabat. Bagaimanakah cara terbaik mereka menghadapi ujian fitnah yang melanda diri, serta  panduan mengatasinya?

3- Benteng diri – Ibadah dan amalan kebajikan

Apabila manusia berasa resah dan gelisah, mereka perlu mengikuti sunnah Nabi SAW. Malah, Baginda SAW sendiri pun, saat menghadapi suatu masalah, resah dan gelisah, berduka mahu pun gundah, Baginda SAW segera melaksanakan solat mengadu kepada ALLAH.

Segala urusan itu diserahkan kepada ALLAH, berusaha menyelesaikannya dengan kemampuan yang ada dan bertawakal kepada ALLAH, di samping melaksanakan amalan kebaikan untuk diri dan juga orang lain.

4- Benteng diri –  Iman sejati

Iman yang sejati diperoleh dengan mengagungkan perintah ALLAH, berdampingan dengan-Nya dan menjaga ketakwaan dalam diri sepanjang hari. Iman yang ikhlas kepada ALLAH akan mencambahkan nilai kasih sayang, mengharapkan reda dalam setiap perkara dan mengutamakannya pada setiap amalan.

TAMBAH IMAN, YAKIN

Ustaz Mohd Fikri turut mengupas persoalan bagaimanakah cara untuk menambah iman dan keyakinan terhadap agama? Jawapannya ialah,  banyakkan membaca, memahami dan mengkaji al-Quran. Sering membaca dan memahami terjemahannya, janji ALLAH kepada hamba-Nya yang patuh, mematuhi suruhan-Nya dan meninggalkan segala bentuk syahwat dan perkara yang diharamkan ALLAH.

“Mereka melaksanakan setiap suruhan al-Quran itu, kerana takutkan ALLAH dan janji-Nya di akhirat kelak. Malah mereka bersikap tamak dalam memburu ganjaran pahala daripada ALLAH di akhirat kelak bukan kerana habuan dunia.

“Nabi SAW sendiri mendidik sahabatnya hanya bergantung harap dengan ALLAH dan mengikat hati mereka untuk mencari janji syurga, walaupun mereka berada dalam penderitaan, bahaya fitnah dan juga ancaman daripada musuh ALLAH silih berganti. Malah pernah suatu ketika Baginda SAW melintasi keluarga Yasir yang sedang diseksa dengan seksaan yang dahsyat di bawah terik panas cahaya matahari. Baginda SAW lantas memberikan jaminan kepada mereka dengan jaminan yang ‘bukanlah’ berupa kesenangan dan kemewahan di dunia, tetapi sabdanya: “Bersabarlah wahai keluarga Yasir! Sesungguhnya janji kamu adalah syurga.” (Hadis dikeluarkan oleh Abu Nu’aim dan Ibn ‘Asakir)

“Kita disarankan untuk beramal dengan ilmu yang diperoleh. Dalam menghadapi zaman penuh fitnah ini, seseorang itu harus beramal dengan pegangan agama yang sahih sebagaimana ia diturunkan. Sebahagian golongan yang berpegang dengan al-Quran dan Sunnah menggelar diri mereka sebagai ahli atsar atau pun ahli Sunnah kerana mengikut dalil wahyu yang diturunkan dalam kedua-dua sumber syariat Islam tersebut,” katanya.

Golongan ahli sunnah ini perlulah menyampaikan segala kebaikan, membetulkan segala kesalahan dan menyeru manusia agar menegakkan kebaikan dan meninggalkan segala larangan ALLAH, supaya masyarakat tidak terjatuh dalam lembah fitnah yang membinasakan.

Namun, kini terdapat satu ‘golongan’ yang mendakwa mengajak kepada sunnah tetapi mempertikaikan hadis-hadis yang sahih dan membawa amalan yang tidak jelas asal usulnya. Sedangkan perbuatan yang salah dan tiada asas itu perlu dikaji dan dinilai semula. Sebagaimana sabda Nabi SAW yang bermaksud; “Sesiapa yang melakukan satu amalan yang bukan daripada urusan kami, maka ia adalah tertolak.” (Riwayat Muslim)

KEMBALI PADA ALLAH

Tegakkan syariat dan berpegang dengan ajarannya, agar  menjadi kelompok yang berpegang teguh dengan kebenaran. Kembalilah kepada al-Quran dan Sunnah, dengan menyampaikan ilmu-ilmunya.  Usaha ini sedikit sebanyak dapat menyelamatkan mereka daripada berbuat kesilapan dan kesalahan.

ALLAH berfirman: “Dan sekiranya mereka betul-betul melaksanakan perintah yang diberikan, sudah tentu itu lebih baik bagi mereka dan lebih menguatkan ( iman mereka ) (Surah An-Nisaa: 66)

Mereka yang menunjukkan amalan kebaikan berdasarkan pengetahuan yang mereka miliki itu pasti akan mendapat kebaikan, ketetapan iman, ganjaran pahala yang besar dan petunjuk ke arah jalan yang lurus.

5- Benteng diri  – Jauhi  fitnah

Dalam keadaan yang getir ini, sebaiknya pilihlah untuk berada dalam posisi paling selamat. Kekalkan sikap amanah, jujur, tawaduk dan warak dalam diri agar selamat daripada fitnah yang melata. Pada saat berhadapan dengan fitnah harta, wanita atau seumpamanya, berusahalah untuk berlepas diri agar tidak terkena dengan sebarang musibah dan ujian fitnah.

Golongan ulama terdahulu ingatkan kita agar hindari diri daripada sebarang fitnah. Sebagaimana yang dijelaskan oleh Ibn Abi Mulaikah: “Aku mengenali lebih 30 orang sahabat Rasulullah dan semua mereka begitu takutkan kemunafikan terkena pada diri mereka.”

Namun, kini sikap hipokrit begitu berleluasa dalam kalangan umat Islam, sukar untuk dipercayai siapa yang baik dan sebaliknya. Imej, personaliti dan budaya berpakaian langsung tidak boleh dipercayai kerana sikap ‘pembohong’ yang wujud dalam kalangan manusia hari ini.

Abu Hurairah RA pernah berkata: “Fitnah yang berlaku ini seolah-olah tidak mempunyai tempat untuk menyelamatkan diri daripadanya, melainkan dengan berdoa (sebanyak-banyaknya) seperti doa orang yang hampir lemas.”

Apa yang dimaksudkan Abu Hurairah RA? Doa orang yang hampir lemas itu adalah doa yang penuh harap kerana ketakutan berada dalam air dan mati lemas. Justeru, apa yang diajarkan oleh Nabi SAW kepada kita dalam menghadapi bahana fitnah ini adalah dengan memperbanyakkan amalan soleh.

6- Benteng diri –  Gabung dengan jemaah

Antara kaedah penting dalam menolak ujian fitnah kalangan umat Islam adalah sering bersama jemaah Muslimin dan mengelakkan diri daripada perpecahan. Sesungguhnya perpecahan itu adalah suatu keburukan yang tercela, sedangkan penyatuan pula rahmat yang akan menghasilkan kesatuan, kekuatan ikatan dan ketinggian wibawa dalam kalangan kaum Muslimin seluruhnya.

Kesimpulannya, dalam usaha kita menghindari segala bentuk ujian fitnah ini, fokus utamanya adalah dengan kembali berpegang kepada al-Quran dan sunnah. Kedua-dua sumber itulah penyelamat kita daripada terjerumus kepada jalan yang terseleweng dan membawa kepada bencana yang besar di akhirat kelak.

Kita memohon kepada ALLAH supaya menyelamatkan diri kita dan seluruh kaum Muslimin daripada fitnah kehidupan dan kematian serta fitnah dajal pada akhir zaman.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Isu RUU 355 buka mata, minda rakyat

Posted by epondok di Februari 25, 2017

Oleh Shahbudin Embun

 

PERBINCANGAN dan perbahasan mengenai rang undang-undang untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355 semakin hangat dibincangkan dalam kalangan kita. Ada yang menentang dan ada yang menyokong, dan setiap hari ada sahaja hujah dan pendapat baharu berkisar kepada isu ini.

Inilah demokrasi, di mana rakyat diberi kebebasan menyatakan pandangan masing-masing. Sama ada kita menyokong atau menentang isu RUU 355 ini, berikanlah pendapat berdasarkan pada pengetahuan dan jangan jadi ‘pak turut’ yang hanya boleh diibaratkan seperti tin kosong. Kita juga tidak boleh menafikan hakikat kebanyakan kita cepat membuat kenyataan mengikut perasaan dan hawa nafsu.

Apa yang lebih membimbangkan, ada pihak menyamakan Pindaan Akta 355 ini seperti undang-undang yang sangat zalim dan bersifat ekstrem. Kenyataan seperti ini mampu mengundang rasa tidak selesa dan jika dibiarkan, pastinya akan menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat Malaysia. Buang persepsi, polemik Dan apabila ini berlaku, maka akan timbul pula isu tuduh menuduh dan menuding jari, yang akhirnya tiada sebarang keputusan dicapai.

Tidak cukup dengan itu, ada juga yang menuduh Pindaan Akta 355 ini akan memberi kelebihan kepada pihak lain khasnya dari segi politik. Tuduhan ini seolah-olah menggambarkan segala-galanya dikaitkan dengan politik. Buang segala persepsi bahawa isu ini berkaitan dengan politik dan jangan jadikannya polemik. Adakah kehidupan seharian kita dikawal dan dipengaruhi faktor politik semata-mata? Mengapakah kita suka mempolitikkan setiap isu yang hangat dibincangkan? Adakah semua yang dirancang tidak ada elemen keikhlasan langsung di dalamnya? Itu sebabnya ada beberapa perancangan dan program yang diatur kerajaan, akan dicemuh juga dengan alasan program ini dibuat semata-mata untuk mendapatkan sokongan rakyat demi survival politik. Mengapa kita tidak berfikir dengan lebih terbuka dan melihat dari pelbagai sudut sebelum membuat sebarang kenyataan atau keputusan?.

Jika dilihat dari perspektif positif, isu RUU 355 ini membuatkan ada di antara kita mula menimba ilmu mengenai aspek perundangan di Malaysia. Mereka ingin tahu bagaimanakah sesuatu rang undang undang itu diluluskan. Apakah prosedur yang perlu dilalui dan bagaimana pula peranan Dewan Rakyat dan Dewan Negara dalam membuat keputusan mengenai sesuatu Rang Undang Undang itu. Isu RUU355 ini juga membuka mata dan minda semua untuk mempelajari tunjang pemerintahan negara.

Kini mungkin semakin ramai menaruh minat mengenai isu yang berkaitan dengan Perlembagaan dan perundangan negara. Apabila minda dan mata sudah dibuka, semakin ramai yang tidak melihat isu ini dari dalam tempurung. Prihatin perundangan Islam Isu ini juga membuatkan ramai mula mengambil berat akan sistem perundangan Islam di negara kita. Anak muda yang mengikuti isu RUU 355 pastinya ingin mengambil tahu dengan lebih mendalam akan sistem perundangan Islam di negara kita.

Semua isu ini sebenarnya sudah dibincang dan dibahaskan. Dan bagi mereka yang mengikutinya pasti sudah mendapat pengetahuan dalam Perlembagaan dan perundangan. Itu sebabnya kita perlu melihat isu ini daripada sudut positif. Hentikanlah tuduhan dan cemuhan serta berikanlah pandangan bernas.

Namun jika isu ini terus dipandang sebagai sesuatu yang negatif dan dikaitkan dengan permainan politik, maka akan lambat lagilah masyarakat kita untuk berbincang sesuatu isu dengan lebih matang dan bijaksana.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Lupa berzikir buat hati tak tenang

Posted by epondok di Februari 24, 2017

Oleh Norhayati Paradi

Manusia akan diuji dan hakikat itu memberi implikasi terhadap kehidupan yang memerlukan kekuatan bukan sekadar luaran, malah dalaman. Nilaian akhir bergantung cara kerja seseorang mengatasi segala liku ujian itu.

Ustaz Pahrol Mohd Juoi menerangkan menerusi Islam Itu Indah di IKIMfm bahawa ujian boleh menerpa tanpa mengira keadaan, begitu juga ketenangan hadir tanpa mengira situasi dan kondisi. Miskin, kaya, sakit mahupun sihat punya cabaran tersendiri dalam berdepan ujian dan solusi mendapat ketenangan kerana segalanya berpunca pada hati. Justeru, penting untuk punya hati yang kuat dengan bekalan zikir. Lupa kepada Allah SWT adalah sebesar-besar musibah menimpa seorang hamba di dunia yang membawa kesengsaraan dan kebinasaan di akhirat kelak.

Kisah zaman salaful soleh yang tidak pergi menunaikan solat Subuh berjemaah dianggap musibah sehingga ada yang melawat rakan tidak hadir itu untuk diucapkan takziah kerana mereka percaya sahabat berkenaan sedang dilanda musibah apabila tidak menunaikan solat Subuh berjemaah.

Berbeza dengan senario hari ini, mengikut kajian 80 peratus rakyat Malaysia bukan sekadar tidak solat Subuh berjemaah, malah tidak mendirikan solat. Amat malang, saat aman untuk beribadah tetapi keingkaran menjadikan hati resah. Sedangkan mereka yang berada dalam peperangan tetap hatinya berasa tenang dan mengaku diri kerdil. Penderitaan terlihat dari mata zahir tidak mampu mengatasi ketenangan mata hati.

Sungguh, Allah SWT itu Maha Adil pada mereka yang sering ingat dan membesarkan-Nya, hingga segala yang lain menjadi kecil dan mudah. Dunia hari ini, ada negara dirundung masalah terlebih makan yang mengundang mudarat. Timbul gejala malas beribadah, nafsu melimpah, akhlak yang parah dan akhirnya menghadapi kematian dengan sakit asbab terlebih pada perkara tidak sewajarnya. Refleksi hubungan dengan Ilahi Di negara yang sedang bergolak, segala kekurangan membawa diri hampir kepada-Nya dan berakhir usia dengan syahid. Antara mati syahid dalam peperangan menegakkan agama dan mati sakit menentang nafsu, itulah ujian yang dihadapi.

Justeru, Pahrol berpesan supaya menjadikan zikrullah sebagai agenda utama kehidupan kerana ia refleksi hubungan diri dengan Pencipta-Nya. Percayalah, jika zikrullah dilupakan bermakna mengusir ketenangan hati. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan berzikir (mengingati) Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram.” (Surah ar-Ra’du, ayat 28)

Iman adalah makanan utama bagi hati dan zikrullah pula makanan sampingannya. Semakin tinggi keimanan seseorang, bertambah lazat zikir dan semakin berganda ketenangan hati yang diperoleh. Ketenangan hati hanya akan berfungsi jika ada zikir di dalamnya.

Petunjuk hati bersih

Iktibar teladan daripada salaful soleh, setiap kalimah memuji Allah SWT memberi kesan mendalam pada hati dan kehidupan mereka. Dibandingkan umat hari ini, mengungkap kalimah yang sama memberi natijah berbeza kerana kurang penghayatan. Kalimah zikir mahupun doa hanya meniti di bibir tanpa menyangkut lintasan di hati. Sekadar berzikir atau doa, tetapi tidak berasa dalam hati perasaan hiba saat khusyuk berdoa.

Petunjuk hati bersih dan tenang adalah saat memaafkan, diikuti melupakan dan menyayangi individu yang menyakitkan. Jika lidah sudah melafazkan kemaafan, tetapi hati masih rasa sebak dan tidak lega, berkemungkinan besar kemaafan masih belum disusuli dengan melupakan. Hanya segelintir daripada yang memaaf mampu melupakan seterusnya menyayangi. Itu tanda hati masih kotor. Terlalu jauh beza dengan sifat Allah yang Maha Pemaaf, Maha Pengampun dan Maha Penyayang.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Minda serabut petanda kurang ilmu

Posted by epondok di Februari 22, 2017

Oleh Ahmad Nazri Mohd Yusof

Islam mementingkan ilmu. Ilmu yang berkesan apabila ia seimbang dengan akal. Ilmu yang baik boleh digunakan sebaiknya untuk manfaat di dunia dan akhirat. Ustaz Muhammad Abdullah al-Amin ketika membincangkan tajuk Minda Kepoh di IKIMfm, berkata, berfikir memerlukan seseorang itu melengkapkan diri dengan ilmu dan idea. Allah SWT menjadikan manusia ciptaan-Nya yang paling baik dan teristimewa kerana dikurniakan akal, tetapi apa gunanya akal jika tidak digunakan untuk berfikir.

Minda membezakan manusia dengan haiwan.

Manusia mempersia-siakan anugerah jika gagal menggunakan akal. Mereka tidak layak untuk menikmati kejayaan dan kebahagiaan hidup sebenar. Salah satu cara untuk menggunakan nikmat kurniaan Allah SWT itu ialah dengan berfikir. Setiap orang mempunyai potensi hebat dalam diri dan hanya dapat dimanfaatkan apabila mereka sanggup mencari dan menggalinya.

Ketika membincangkan tajuk Minda Kepoh dalam rancangan Pesona D’Zahra, Ustaz Muhammad Abdullah al-Amin berkata, berfikir memerlukan seseorang itu melengkapkan diri dengan ilmu dan idea. Kedatangan Islam membawa gesaan menuntut, menyebar dan memuliakan ilmu. Tujuan menuntut ilmu sebagai wasilah atau jalan untuk memahami dan menguasai ilmu bagi melaksanakan ubudiyyah kepada Allah SWT.

Menuntut ilmu fardu bagi setiap Muslim.

Terdapat banyak dalil al-Quran dan hadis yang menjelaskan kewajipan menuntut ilmu. Nabi Muhammad SAW bersabda: “Barang siapa menginginkan soal yang berhubungan dengan dunia, wajiblah ia memiliki ilmunya dan barang siapa yang ingin (selamat dan berbahagia) di akhirat, wajib ia mengetahui ilmunya pula dan barang siapa yang menginginkan kedua-duanya, wajib ia memiliki ilmu kedua-duanya pula.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Ilmu rangsang minda

Selain itu, perlu diingatkan peningkatan aktiviti mencari ilmu pengetahuan hendaklah dilakukan secara berterusan. Menambah ilmu akan merangsang minda, sekali gus memandu manusia supaya bijak berfikir. Apabila kita mula berfikir, ia akan membentuk idea dan menghasilkan satu proses mencari makna serta mencapai keputusan yang wajar. Proses ini bertujuan membina ilmu dan kefahaman dalam minda kita.

Justeru, ibu bapa yang peka dan prihatin terhadap anaknya sentiasa membantu menyelesaikan masalah, mencari jalan keluar serta memberi idea kepada anak mereka. Idea yang muncul dalam minda seseorang itu daripada dua sumber iaitu yang memberi ilham atau membuat kita dalam keadaan resah gelisah. Tiada manusia di dunia ini yang tidak berdepan masalah dan hadirnya masalah itu yang mendorong mereka berfikir.

Berfikir secara positif ibarat satu beban berat bagi sesetengah orang mungkin kerana sikap ego atau ada hasutan supaya berfikiran negatif. Sudah pasti apabila kita sentiasa berfikiran negatif, ia secara tidak langsung akan memberi kesan kepada orang sekeliling, seterusnya mereka menjauhkan diri. Jiwa juga sentiasa kacau jika seseorang membiarkan perasaan dan pemikiran negatif menguasai dirinya.

Sentiasa bersikap positif

Dalam kehidupan ini kita perlu sentiasa bersikap positif, cuba melakukan yang terbaik dan bersyukur dengan apa yang ada. Tentu kehidupan menjadi lebih bermakna dan bahagia. Menurut Muhammad, berburuk sangka, merungut dan dendam adalah antara sifat yang menggambarkan diri seseorang itu tidak dapat berfikir secara baik. Mereka sudah termakan dengan pujukan dan bisikan syaitan untuk terus melakukannya.

Islam itu indah, perkara prasangka ditetapkan dalam Islam.

Su’udzon membawa maksud berprasangka negatif, menyangka buruk atau menaruh curiga. Sebahagian daripada prasangka adalah dosa. Sesiapa yang mempunyai sifat buruk sangka kepada sesama Islam, maka ia wajib bertaubat dan beristighfar kepada Allah SWT. Kita juga dianjurkan untuk tidak merungut sebagai manifestasi kemarahan dan ketidakpuasan hati terhadap sesuatu itu. Akhir sekali jauhkan diri daripada berdendam kerana sifat itu menyempitkan hati. Selain itu dendam akan menyebabkan perpecahan dan pertikaian.

Kesimpulannya, memiliki minda berserabut atau ‘kepoh’ menjadikan diri jauh daripada perlindungan Allah SWT. Semoga kita dikurniakan akal fikiran yang sihat untuk berjaya di dunia dan akhirat.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Raih hasil ‘ladang’ dunia di akhirat

Posted by epondok di Februari 21, 2017

Oleh Norhayati Paradi

Kehidupan di dunia hanya persinggahan bagi manusia. Gunakan sebaiknya untuk mencari keredaan Ilahi sebagai bekalan pada hari akhirat nanti. Ustaz Iqbal Zain al-Jauhari menerusi IKIMfm menegaskan, dunia, alam dan isinya adalah permainan serta hiburan yang melalaikan jika tidak ditadabbur sebaiknya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Ketahuilah, bahawa sesungguhnya kehidupan dunia hanyalah permainan dan suatu yang melalaikan, perhiasan dan bermegah-megah antara kamu serta berbangga mengenai banyaknya harta dan anak, seperti hujan yang tanamannya mengagumkan petani; kemudian tanaman itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning kemudian menjadi hancur. Dan di akhirat (nanti) ada azab yang keras dan ampunan daripada Allah serta keredaan-Nya. Dan kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu.” (Surah al-Hadid, ayat 20)

Akal manusia terbatas dan terhad, sedang ilmu Allah SWT Maha Luas.

Ustaz Iqbal Zain al-Jauhari menerusi Islam Itu Indah di IKIMfm menegaskan, dunia, alam dan isinya adalah permainan serta hiburan yang melalaikan jika tidak ditadabbur sebaiknya. Ia melekakan dalam keindahan, mengasyikkan dengan hiasan serta perlumbaan yang mengujakan. Namun, akhirnya perkiraan di sisi Allah SWT di perkampungan akhirat yang utama. Allah SWT berfirman lagi yang bermaksud: “Dan tiadalah kehidupan dunia ini melainkan senda gurau dan main-main. Dan sesungguhnya akhirat itulah yang sebenarnya kehidupan, jika mereka mengetahuinya.” (Surah al-Ankabut, ayat 64)

Kehidupan dunia adalah ladang akhirat, tetapi ia tidak bermakna meninggalkan segala kepentingan dunia dan hanya berfikir mengenai kehidupan akhirat semata. Sebaliknya, melihat kepentingan berusaha bersungguh-sungguh di dunia untuk kehidupan akhirat yang kekal abadi.

Jaga keperibadian diri

Manusia dituntut menjaga nilai keperibadian hidup di dunia supaya tidak melampaui batas ditetapkan syarak. Neraca keseimbangan di antara kehidupan dunia dan akhirat perlu sentiasa dititikberatkan supaya tidak tergelincir dalam mengharungi kehidupan yang sementara sifatnya. Umpama lamunan mimpi, sebesar dan sehebat impian yang tergambar, ia tidak akan pernah mengalahkan manisnya kenyataan. Demikian juga kehidupan dunia, segala jerih perih yang dilalui tidak akan kekal lama, segala hiburan dan kesukaan hanya seketika. Saat mati datang menjemput, segala-galanya akan hilang dan yang tinggal hanya amal dibawa menghadap-Nya. Maka, berpijaklah di bumi yang nyata kerana dunia ini bakal tiba ke penghujungnya.

Perlu sentiasa sedar, harta yang dicari di dunia bukanlah tujuan hidup, tetapi tidak lebih daripada saranan untuk mencapai tujuan hidup sebagaimana sabda Rasulullah SAW: “Dunia itu laksana syurga bagi orang kafir dan penjara bagi orang Mukmin.” (Riwayat Muslim)

Harta, wang turut ditimbang

Setiap harta yang kita dapat dan belanjakan akan dipertanggungjawabkan pada hari akhirat nanti. Bermula daripada sumber harta itu diperoleh sehingga cawangan dan cabang ia dibelanjakan segala-galanya dalam kira-kira Yang Maha Bijaksana. Justeru, perbanyakkan sedekah, infak dan wakaf serta hindarkan daripada dilabur ke jalan kemaksiatan. Bukankah kita datang ke dunia ini atas kehendak Pencipta dan kelak akan pulang atas kehendak-Nya juga.

Dunia tidak ubah seperti ruang ujian.

Setiap peserta ujian hanya diberi waktu terbatas untuk mengerjakan soalan ujian itu. Begitu pula manusia di dunia ini, ia selalu menghadapi ujian, sejak baligh hingga saat meninggal dunia. Peserta ujian akan menggunakan waktu dengan sebaik-baiknya, lebih-lebih lagi apabila ujian semakin dekat. Sedangkan, manusia masih leka dan lalai, sedang ajal bertamu tidak mengira waktu.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Ketenangan tidak boleh dibeli

Posted by epondok di Februari 20, 2017

Oleh Norhayati Paradi

BERADA di taman syurga (majlis ilmu) adalah satu keberuntungan yang datang daripada Allah SWT kerana insan ini dijanjikan ketenangan hati kepada mereka. Realiti kualiti kehidupan manusia hari ini, untuk memperoleh ketenangan teramat mahal dan sukar.

Menyedari hakikat itu, Ustaz Pahrol Mohd Juoi menerusi Islam Itu Indah di IKIMfm menekankan kepentingan mencari sumber ketenangan hati pada zaman manusia diserang ujian dari pelbagai sudut. Hasil dapatan satu kajian terhadap remaja yang dijalankan pada 2016, didapati satu daripada lima remaja mengalami masalah mental. Punca masalah itu berkait rapat dengan ketenangan yang diragut daripada hati. Situasi lebih membimbangkan apabila satu kajian lain menjangkakan menjelang 2020 pesakit mental akan menduduki tempat kedua tertinggi dalam kategori penyakit kronik di Malaysia.

Fitrah kehidupan manusia, lebih memberi fokus kepada kesenangan berbanding ketenangan. Kesenangan pada kuantiti harta terlalu diambil berat, sedang kualiti ketenangan jiwa dipinggir ke tepi. Kelihatan mantap dengan kereta mewah jauh lebih utama daripada memantapkan ketauhidan kepada-Nya. Rumah dan pakaian terkini lebih dipandang serius sedang iman terus lintang-pukang, manakala sifat mazmumah menjadi lebih mudah. Ironinya, secara jujur kebanyakan masa, tenaga dan kebimbangan dicurah untuk memburu kuantiti harta. Ia adalah refleksi semaian yang bakal dituai hasil nanti. Saat benih keburukan disemai, maka bersedialah untuk menuai produk akhirnya nanti. Oleh itu, berhentilah daripada terus menabur benih yang kurang manfaat apatah lagi membawa mudarat supaya diri tidak terpinga-pinga apatah lagi menyesal saat melihat hasil bakal dipetik dan dimakan ketika tiba waktu ranumnya.

Dalam konteks mencari ketenangan ini, bukan bermakna meminggirkan kesenangan. Namun, dari sudut keutamaan perlu diletakkan seadilnya dalam diari perjalanan kehidupan. Menjalani hidup dalam kesenangan tanpa ketenangan umpama tinggal di rumah besar, tetapi rasa terhimpit. Manusia tersasar hilang ketenangan Satu ungkapan hikmah yang terkenal menukilkan, manusia mampu membeli makanan sedap, tetapi tidak boleh membeli selera. Manusia boleh membeli tilam empuk, namun tidak mampu membeli tidur lena. Hampir mustahil seseorang mampu membeli ketenangan menerusi kesenangan.

Ketenangan dalam diri akan hilang disebabkan manusia tersasar daripada tujuan asal kewujudannya di atas muka bumi iaitu untuk mengabdikan diri beribadah kepada Allah SWT sebagai hamba-Nya dan menjadi khalifah yang soleh. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka beribadah kepada-Ku.” (Surah adz-Dzariyat, ayat 56)

Buya Hamka sinis berpesan, “Kalau hidup sekadar hidup, babi di hutan juga hidup. Kalau bekerja sekadar bekerja, kera di hutan juga bekerja.”

Natijahnya, jika kehidupan di dunia ini tidak didasari dengan prinsip yang telah ditetapkan selayaknya, maka manusia itu sedang menempah kehinaan yang akhirnya menjerumuskan mereka ke jurang derita. Daripada Nawas bin Sam’an, Nabi SAW bersabda: “Kebaikan adalah dengan berakhlak yang mulia. Sedangkan kejelikan (dosa) adalah sesuatu yang menggelisahkan jiwa. Ketika kejelekan itu dilakukan, tentu engkau tidak suka hal itu nampak di tengah-tengah manusia.”

Berhenti lakukan dosa Dosa itu meresahkan hati. Saat melakukan dosa, ia adalah derhaka kepada Allah SWT dan gagal menjadi khalifah yang baik. Justeru, jika menghadapi kekacauan hati, usah pergi jauh untuk menilik penawarnya, cuba audit keadaan hati. Walaupun dosa menjadi asbab hilang tenang dalam jiwa, syukurilah jika masih wujud sekelumit resah kerana itu petunjuk hati masih hidup dan masih bisa memberi isyarat Allah SWT memanggil untuk taubat.

Maka, berhentilah daripada melakukan dosa, rasa penyesalan dan kembali kepada Allah SWT secara menyeluruh. Berdukalah jika hati rasa biasa melakukan dosa apatah lagi berasa manis dan nikmat dengan dosa.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Iktibar kesan jenayah genosid

Posted by epondok di Februari 19, 2017

MEMBAHASKAN kembali peristiwa kumpulan yang bertanggungjawab menghapuskan kemanusiaan mengikut sejarah global, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Islam baru-baru ini menganjurkan Hari Memperingati Jenayah Genosid Dunia.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, program diadakan bertujuan mengingati semula mangsa jenayah pembunuhan sepanjang sejarah zaman penjajahan tanpa mengira keturunan, agama dan bangsa.

Menurutnya, penganjuran program itu juga dalam usaha mendidik masyarakat supaya memahami perlakuan jenayah tersebut serta menilai semula kisah pembunuhan secara besar-besaran yang dilakukan terhadap penduduk awam sepanjang sejarah dunia.

Beliau yang merupakan antara panel pembentang pada program itu berkata, banyak fakta terselindung dalam puluhan tragedi pelbagai jenayah genosid dunia dilakukan oleh kuasa besar dan pemerintah diktator.

“Sebenarnya ada pelbagai genosid terhadap kemanusiaan yang melibatkan ratusan juta manusia di seluruh dunia sejak sejarah penjajahan berlaku. Namun jenayah kemanusiaan ini kebanyakannya hilang daripada ingatan masyarakat dunia dan mereka yang bertanggungjawab terlepas daripada hukuman,” katanya.

Tambah Mohd. Azmi, selain dalam bentuk fizikal, terdapat juga serangan genosid terhadap budaya iaitu membabitkan pemusnahan struktur ilmu telah dibina daripada tamadun Islam tetapi diubah oleh pemikir Barat.

Ia katanya, dikenali sebagai pemusnahan konsep dan sumber ilmu.

“Serangan ini lebih parah kerana masyarakat dijahilkan daripada mengetahui punca ilmu yang dipelajari. Dalam proses pembelajaran ilmu di universiti, golongan siswa dan siswazah tidak mengetahui daripada mana sebenarnya sumber ilmu yang mereka pelajari.

“Oleh itu membuatkan genosid budaya mula membenih dan menghasilkan penghakisan nilai masyarakat Islam. Dalam usaha mengembalikan semula kegemilangan Islam, setiap Muslim harus kembali berpegang kepada keaslian ilmu Islam dan dengan cara itu dapat memupuk semula nilai hidup Islam secara menyeluruh,” tegasnya.

TIDAK AKAN AMAN

Dalam pada itu, Mohd. Azmi berkata, program itu juga membawakan mesej bahawa dunia tidak akan aman daripada konflik yang mengakibatkan kesan parah kepada kemanusiaan selagi genosid budaya tidak ditangani.

Ketika diundang untuk membentangkan kertas kerjanya mengenai genosid di Myanmar, Mohd. Azmi cuba membuktikan bahawa jenayah genosid belum selesai dalam zaman moden ini.

Beliau menjelaskan, dunia masih melupakan nasib sebahagian besar kelompok minoriti yang dizalimi akibat percaturan kuasa penjajah British selepas memasukkan Arakan ke negara Burma pada tahun 1948.

“Umat Islam minoriti Rohingya yang sudah berada di Arakan sejak abad kelapan, kini menjadi mangsa kepada genosid kekejaman askar Myanmar yang didalangi kelompok ekstremis Budha. Jenayah genosid bukan sekadar diingati sebaliknya dielakkan daripada terus berlaku,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar Tribunal Genosid Sedunia diwujudkan supaya mereka yang bertanggungjawab dibawa ke mahkamah demi menegakkan keadilan.

“Inilah keadilan paling minimum boleh ditegakkan kepada mereka yang terbunuh akibat kekejaman kuasa besar dan golongan diktator.

“Mapim juga merancang untuk menganjurkan program sama di Malaysia pada 2018 dan mencadangkan agar acara yang lebih besar diadakan supaya dapat membuka mata rakyat betapa genosid dan jenayah kemanusiaan tidak akan dibenarkan berulang,” ujarnya.

Mengikut Artikel II Konvensyen Mengenai Perlindungan Dan Hukuman Terhadap Jenayah Genosid PBB, genosid adalah setiap perlakuan yang dilakukan dengan niat memusnahkan semua atau sebahagian kumpulan nasional, etnik, ras atau kelompok agama

Perlakuan ini membabitkan pembunuhan sebahagian ahli anggota, menyebabkan kecederaan serius kepada tubuh atau tekanan mental kepada anggota kumpulan, dengan sengaja menindas kehidupan bertujuan memusnahkan secara menyeluruh atau sebahagian. Mengenakan langkah untuk menyekat kelahiran (anak) terhadap sesuatu kumpulan dan memaksa memindahkan kanak-kanak daripada kumpulan asal kepada kumpulan lain

Hari memperingati peristiwa genosid diadakan pada Sabtu minggu ketiga, bulan Januari setiap tahun. Tahun ini diadakan pada 15 Januari lalu dengan tema ‘Iktibar Daripada Genosid Budaya Kaum Muslimin Dan Yahudi Di Eropah’.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Pendidikan agama berteraskan akhlak

Posted by epondok di Februari 18, 2017

DALAM situasi yang penuh mencabar pada masa ini, manusia memerlukan proses pembaikan dan perubahan secara konsisten dan berterusan ke arah kecemerlangan dan keunggulan. Bangsa-bangsa dunia yang sedar akan kepentingan proses ini mempunyai kaedah dan caranya yang tersendiri dalam revolusi ini.

Bangsa Jepun mengamalkan konsep Kaizen yang bermaksud penambahbaikan secara berterusan yang telah diberikan perhatian dan pelaksanaan yang amat teliti dan mendalam, sehingga menjadi unsur budayanya yang penting, khususnya dalam bidang pengurusan dan penghasilan produk dan perkhidmatan.

Umat Islam juga seharusnya mengambil falsafah ini untuk melonjakkan pendidikannya, seperti yang pernah dilakukan ketika pendidikan Islam yang membicarakan tentang konsep Al-Falah sebagai satu nilai tonggak dalam segala aspek kehidupan umat Islam.

Oleh kerana umat Islam mempunyai sistem hidup yang amat komprehensif, iaitu Islam sebagai Ad-Din, maka cabaran bagi penggubal dasar pendidikan Islam kini ialah untuk melihat semula akan konsep dan nilai-nilai keagamaan (Ad-Din) dalam konteks gunaan atau terapan, dan aplikasinya secara pragmatik, konkrit, berkesan dan menjadi inspirasi dalam semua bidang kehidupan.

Pendidik yang cemerlang ialah yang menguasai metodologi pengajaran, teknik mengajar, pedagogi, andragogi, dan dalam masa sama memiliki iri-ciri ketrampilan profesional seorang guru. Ajaran Islam menekankan bahawa profesionalisme keguruan adalah bersandarkan kepada ilmu yang dikuasainya, dan aplikasi amalannya sendiri dalam konteks ilmunya itu. Di samping itu penting dalam konteks ini juga ialah nilai positif, ufuk minda yang luas, pemikiran sejagat dan set minda yang dinamik, berhikmah dan hormat diri, berwawasan dan mempunyai keyakinan diri, yang semuanya adalah gambaran dan contoh terbaik guru terhadap pelajarnya (Surah Al-Baqarah ayat 129)

Sebagai umat Melayu, haruslah mengkaji dan mengetengahkan legasi dan ketrampilan mereka dalam bidang ilmu warisan, tamadun, perpustakaan dan manuskrip, terutamanya yang menonjolkan peranan umat Melayu dalam tamadun Islam dan penghayatan Islam sebagai Ad-Din serta pengaruh-mempengaruhi di antara budaya Melayu dan tradisi warisan Islam.

Terdapat penyelidikan para sarjana Islam moden yang membawa beberapa teori tentang pendekatan ulama fikah atau agamawan dalam kehidupan semasa dan kefahaman mereka tentang falsafah serta konsep Ad-Din yang sebenarnya.

Mereka dilihat sebagai ulama yang memisahkan penghayatan agama daripada kehidupan umum, dengan hanya memfokuskan kepada aspek kehidupan individu, tanpa komitmen kepada kehidupan bermasyarakat dan kepentingan bersama. Oleh itu penglibatan dengan maslahat bersama dalam masyarakat dan hal ehwal umum tidaklah sangat menjadi perhatian mereka dalam mendidik masyarakat dan mempraktikkan ajaran agama.

Sebuah tamadun tidak mungkin dapat ditegakkan sebagai tamadun umat sekiranya kehidupan beragama hanya berpusat di sekitar amalan peribadi dan ibadat khusus di peringkat individu tanpa dihubungkan dengan tanggungjawab sosial dan kepentingan umum.

Generasi muda Islam kini yang menderita hidupnya dalam tekanan politik, ekonomi, sosial dan juga aga­manya, termasuk daripada autoriti dan pemerintah­nya sendiri, yang memerlukan perubahan sosial, akan membangun sebagai generasi yang sakit jiwa dan batinnya, generasi yang mengalami keruntuhan moral dan akhlaknya, sebagai korban kepincangan pendidikan dalam masyarakatnya.

Gejala keruntuhan moral dan kepincangan perwatakan generasi baru ini ternyata dengan agak jelas sekali dengan berleluasanya penyakit sosial, keruntuhan moral, perlanggaran nilai-nilai murni kehidupan, penentangan terhadap peraturan serta undang-undang, dan kepincangan peri laku yang bertentangan dengan ajaran global Islam sendiri.

Ternyata sekali bahawa pendidikan yang tidak berteraskan prinsip hidup mulia dan bermoral serta akauntabiliti kepada masyarakat umum gagal untuk me­lahirkan para pembangun tamadun dan peradaban yang dituntut oleh agama.

Kekeliruan menyampaikan pendidikan Islam dan pendekatannya yang tidak terancang dalam persekitaran dan konteks semasa ketika ini bolehlah disifatkan sebagai formalistic (mementingkan form bukan content) dan legalistic (terhad kepada hukum). Keadaan inilah yang mencorakkan bagaimanakah kanak-kanak Islam dibesarkan, sama ada di rumah dan dalam kalangan keluarga, atau di pusat pengajian.

Akibat sikap dan sifat terpencil ini, maka kanak-kanak akan membesar dengan anggapan bahawa menunaikan ibadat peribadi itu sudah mencukupi syarat kehidupannya untuk menjadi manusia bermoral. Walhal ini akan membawanya ke alam kehidupan individualistik, mementingkan dirinya semata-mata, kerana itulah makna kehidupan menurut kefahamannya. Sedangkan kehidupan manusia secara terpencil, jauh daripada obligasi dan komitmen masyarakat adalah hanya untuk survival dengan sikap yang amat negatif terhadap kehidupan bermasyarakat.

Realitinya, ibadah bukan semata-mata ritual, malah termasuk kewajipan dan tanggungjawab yang dituntut dalam kehidupan orang Islam dari perspektif syariah dan nilai-nilai kerohanian atau akhlak seperti menegakkan kebenaran, menghapuskan segala amalan yang sia-sia, komitmen kepada perjuangan bersama untuk dunia dan akhirat, prihatin terhadap masyarakat dan kepentingan umum.

Sekiranya kualiti zahir dan batin, fizikal dan spiritual ini tidak berakar umbi jauh di dalam emosi dan hati nurani kanak-kanak Islam, maka generasi Muslim ini akan mewarisi salah faham dan apathy ini kepada generasi berikutnya, seterusnya menjadi pegangan hidup seluruh ge­nerasi Islam turun-temurun. Hal ini satu pengajaran dan pengalaman yang amat malang dalam masyarakat Islam.

Untuk memastikan bahawa umat Islam tidak ketinggalan dalam bidang pengembangan dan pengurusan ilmu, akhlak dan adab serta tamadunnya, maka perlulah dirangka satu perancangan dan tindakan dalam bidang ini. Dalam menuju matlamat ini, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015-2025 telah pun dilancarkan yang antaranya menggariskan lonjakan amat positif untuk menghasilkan graduan holistik, memiliki pemikiran kritikal dengan nilai dan akhlak, yang mengandungi ciri-ciri teras pendidikan Islam itu sendiri.

PROF. DATUK DR. ISMAIL IBRAHIM

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »