Antara cara lain yang boleh dilakukan ialah dengan memberi kesedaran dan pengetahuan dari aspek kerohanian iaitu pendidikan agama. Islam menggesa umatnya tolong-menolong sesama mereka. Antara caranya ialah dengan memberikan hutang untuk membantu orang lain. Maksud firman Allah SWT: “Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu bermuamalah tidak secara tunai untuk waktu yang telah ditentukan, hendaklah kamu menulisnya. Dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menuliskannya dengan benar.” (Al-Baqarah: ayat 282).

Hutang yang mengikut garis panduan Islam dapat merapatkan persaudaraan dalam kalang­an masyarakat kerana menimbulkan rasa kasih sayang hasil daripada pertolongan menyelesaikan masalah orang lain. Bahkan memberikan hutang boleh menjadi wajib jika orang yang meminta hutang itu dalam keada­an tenat dan sangat berhajat.

Bagi yang menerima hutang, mereka perlu menjelaskan hutang sepenuhnya pada waktu yang dipersetujui seperti dalam akad hutang di antara pemberi dan penerima hutang. Mereka perlu sedar dan tahu bahawa hutang yang mereka terima adalah satu amanah. Mereka beramanah untuk memulangkan semula harta orang yang dipinjamkan kepada mereka.

Teladan terbaik dalam melunaskan hutang adalah daripada Nabi Muhammad SAW sendiri. Baginda SAW melunaskannya dengan cara yang lebih baik. Dalam satu hadis riwayat imam Ahmad dan Tirmizi bahawa Rasulullah SAW meminjam seekor unta muda lalu baginda SAW mengembalikan unta yang lebih baik usianya daripada yang dipinjamnya, dan baginda SAW bersabda: “Sebaik-baik kamu adalah yang paling baik dalam mengembalikan (hutangnya).”

Berdasarkan akad hutang, orang yang berhutang tidak dapat tidak mesti melunaskan hutangnya kepada pihak yang memberi hutang tanpa mengira sama ada pihak ini orang Islam atau tidak. Nabi Muhammad SAW sendiri di akhir hayatnya masih mempunyai hutang kepada seorang Yahudi. Baginda SAW lalu menggadaikan baju besi baginda kepada orang tersebut sebagai melunaskan hutangnya.

Nabi Muhammad SAW diriwayatkan sebagai gentar untuk berhutang dan takut terbiasa dengan amalan hutang. Saidatina Aishah RA meriwayatkan bahawa nabi SAW selalu berdoa ketika solatnya daripada hal-hal yang menyebabkan dosa dan berhutang.

Kita boleh mengambil pengajaran daripada tindakan Nabi SAW menggadaikan baju besi sebagai satu bentuk jaminan. Apabila berhutang, kita perlu ada jaminan kepada hutang yang diambil dengan perkara lain. Kita boleh mencari penjamin yang layak dan ingin membantu jika berada dalam kesusahan untuk melunaskan hutang.

Pada masa kini, pelbagai pendekatan lain turut boleh diambil. Umpamanya, kita boleh mengambil polisi takaful yang menyediakan pampasan untuk membayar hutang atau pun pampasan kematian takaful boleh digunakan untuk melangsaikan hutang yang ada setelah berlaku kematian.

Umat Islam perlu sedar terdapat balasan buruk dalam agama bagi mereka yang tidak membayar hutang, selain dicemuh masyarakat, dikenakan tindakan undang-undang sivil. Dalam satu hadis sahih Nabi SAW yang diriwayatkan oleh imam Tirmizi dan Ibnu Majah, baginda bersabda; “Sesiapa yang meninggal dunia sedangkan dia berlepas diri (bebas) daripada tiga hal: kesombongan, mencuri harta rampasan perang sebelum dibahagikan dan hutang, maka dia layak masuk syurga.”

Di samping itu, Nabi SAW menyatakan mati syahid di jalan Allah SWT menghapuskan dosa-dosa kecuali hutang, seperti diriwayatkan oleh imam Muslim.

Hadis-hadis disebutkan ini memberi isyarat bahawa orang berhutang ditahan daripada memasuki syurga biarpun mempunyai amalan baik yang banyak sehinggalah menyelesaikan urusan hutang dengan mereka yang memberi hutang.

Jika menemui jalan buntu atau berada dalam keadaan kekangan, orang yang berhutang tidak boleh berdiam atau melarikan diri. Mereka perlu berbincang dengan si pemberi hutang cara-cara pelunasan hutang yang baik. Ini kerana Islam turut menggesa si pemberi hutang untuk memberi tangguh dan masa kepada orang yang berhutang jika mereka mempunyai kekangan untuk membayar hutang.

Jika kekangan sudah tiada, maka mereka perlu melunaskan hutang seberapa segera untuk mengelakkan diri daripada tergolong dalam golongan zalim kerana melewatkan bayaran hutang setelah mampu. Ini seperti disebut Nabi SAW dalam hadis yang diriwayatkan oleh imam Bukhari.

Sebagai Muslim, apabila kita berhutang, maka niatkan dalam diri untuk membayarnya, maka Allah SWT akan melorongkan kesenangan untuk melunaskannya. Kesedaran dan ilmu pengetahuan Islam menjadi kunci untuk tidak culas daripada membayar hutang.