Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for Januari 2017

Kemanisan iman didik jadi sabar, reda

Posted by epondok di Januari 30, 2017

Prof Dr Muhaya Mohamad

 

Amalkan sifat positif Rasulullah SAW iaitu tabligh, siddiq, amanah dan fatanah untuk membina kekuatan diri yang kukuh dan mendapat kesejahteraan hidup dunia serta akhirat.

Menurut ulama, kekuatan imej diri diukur pada empat sifat dan situasi. Pertama, buat jahat kepada orang yang berbuat jahat dengan kita, itu tandanya kita berdendam. Kedua, buat jahat kepada orang yang buat baik kepada kita, itu satu kekejaman atau tidak mengenang budi. Ketiga, buat baik kepada orang yang buat baik kepada kita, itu fitrah yang mudah dilaksanakan (bahagia membahagiakan). Keempat, buat baik kepada orang yang berbuat jahat kepada kita, ini sunah yang sukar dilaksanakan (orang tenang, sentiasa menang).

Sifat keempat itulah sifat Rasulullah SAW yang tenang dan sabar kerana walaupun berhadapan situasi negatif, Baginda tetap positif. Jika berhadapan kebencian orang, dibalas Baginda dengan kasih sayang. Berhadapan kemarahan orang, dihadapi dengan kesabaran. Jangan berasa diri lebih besar daripada sesiapa pun dan jika bercakap hendak menang sahaja atau berasa kitalah yang pandai serta serba tahu hingga langsung tidak mahu mendengar pandangan orang.

Jauhi ego

Jadilah orang yang suka bekerjasama. Apabila bercakap sentiasa menjaga silaturahim. Didiklah hati penuh kasih sayang, melihat kebaikan dalam semua orang dan suasana. Sangat bermurah hati dan suka membantu. Elak menjadi orang yang senang melihat orang lain susah dan susah melihat orang senang. Jadilah seorang yang kehadiran disenangi dan susah apabila ketiadaan kerana orang sentiasa mendapat manfaat daripada kita. Jauhi sifat ‘kesedaran keegoan’ kepada sifat ‘kesedaran ketuhanan’ yakni daripada mengikut nafsu kepada mengikut iman, daripada maksiat kepada taat, daripada didekati syaitan kepada didekati malaikat dan daripada dosa kepada pahala sehingga mendapat kemanisan beribadah.

Diriwayatkan oleh Anas: “Terdapat tiga perkara yang padanya terdapat kemanisan iman iaitu dia menyayangi Allah SWT dan rasul-Nya melebihi daripada cinta kepada selain kedua-duanya, dia menyayangi seseorang tetapi tidak lebih daripada menyayangi Allah SWT dan sangat benci kembali kepada kekufuran seperti mana dia benci untuk dicampakkan ke dalam api neraka.”

Kemanisan iman bermakna kita dapat merasakan kelazatan beribadah, melaksanakan ketaatan kepada Allah SWT, ajaran Rasulullah SAW dan berkemampuan menghadapi kesulitan serta mengutamakan agama daripada hal keduniaan. Rebut tiga peluang Kita juga cenderung melaksanakan yang fardu dan membiasakan diri melakukan perkara sunah. Memperkuatkan dasar iman atau pohon iman iaitu pergantungan hidup diserahkan kepada Allah SWT dan tidak ‘bertuhankan manusia’ walau bagaimana tingginya kuasa manusia itu.

Rebutlah tiga peluang untuk mendapatkan kemanisan iman dengan penekanan kepada tiga perkara iaitu bila, siapa dan apakah. Bilakah waktu yang sesuai, jawapannya ialah sekarang maka rebutlah kemanisan iman itu. Kedua, siapakah orang yang paling penting? Mereka adalah yang di hadapan kita atau paling dekat seperti keluarga. Justeru, ajaklah keluarga rebut kemanisan iman.

Apakah amalan penting, maka jawapannya ialah berbuat baik serta memberi manfaat untuk merebut kemanisan iman. Menjaga akhlak sesama manusia dengan menghormati diri, tidak melakukan perkara yang menjatuhkan martabat dan maruah sebagai seorang Islam. Contohnya, jaga aurat dan batas hubungan antara lelaki dengan perempuan. Seterusnya, menjaga tingkah laku dan tutur kata jangan sampai menyinggung perasaan orang lain.

Mulakan dengan akhlak bersama suami atau isteri, anak, ibu bapa, mentua, adik beradik, ipar duai, pembantu rumah, jiran tetangga, rakan sekerja serta majikan. Hargai nikmat Kemanisan iman memberikan nikmat jika bijak memanfaatkan kesempatan dan peluang yang ada di hadapan kita. Sering kali berlaku kita tidak menghargai apa yang ada dalam genggaman atau di hadapan mata. Apabila kita hilang segala nikmat itu, baru kita menghargainya.

Empat perkara yang berlaku, kita akan terasa nikmat waktu muda apabila sudah tua. nikmat keamanan apabila datangnya ancaman, nikmat sihat setelah sakit, nikmat hidup tidak dirasa setelah kita mati. Kemanisan iman mendidik kita menjadi sangat sabar, reda dan sentiasa bersyukur. Orang sabar akan menghasilkan penampilan diri yang tenang dan kita akan mendapat ketenangan dalaman jika sabar serta reda. Orang yang tidak tenang akan banyak emosi negatif dalam diri seperti rasa takut, cemburu, dengki, sedih, marah, tidak ikhlas, tidak reda dengan ketentuan Allah SWT. Oleh itu, rebutlah peluang hari ini untuk mendapatkan nikmat kemanisan iman sebelum terlambat.

 

 

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Agama tentukan kebahagiaan keluarga

Posted by epondok di Januari 29, 2017

Oleh Ahmad Nazri Mohd Yusof

PERNAHKAH kita bertanya tujuan hidup di dunia ini atau hanya sekadar menjalani hidup tanpa pernah memikirkan makna daripada penciptaan diri kita? Mengetahui makna kehidupan membantu kita menjalani hidup lebih baik, mengenal pasti tujuan hidup supaya lebih terarah. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, sahut dan sambutlah seruan Allah dan seruan Rasul-Nya apabila ia menyeru kamu kepada perkara yang menjadikan kamu hidup sempurna.” (Surah al-Anfal , ayat 24)

Jika diteliti makna di sebalik penurunan ayat ini, ia memberikan suatu konsep mengenai erti hayat atau hidup yang sebenar dalam Islam. Rasulullah SAW selaku utusan Allah SWT menyeru orang beriman supaya menyambut seruan Allah SWT dan Rasul-Nya. Seruan yang mengajak mereka menjalani erti hidup yang sebenar. Hidup manusia sangat bererti memandangkan kemuncak hidup yang sejati ialah dengan makrifat Allah (mengenal Allah SWT). Mengenal bahawa sifat ubudiyyah seorang Muslim mestilah dipersembahkan hanya kepada Allah SWT.

Menghuraikan tajuk Di Mana Kita Bertolak dalam rancangan Pesona D’Zahra di IKIMfm, Ustaz Muhammad Abdullah al-Amin, berkata agama adalah pegangan yang harus ada dalam diri setiap manusia. Tanpa pegangan agama, maka akan goyahlah kehidupan manusia. Malah, agama juga dapat membentuk pandangan semesta seseorang, sesebuah masyarakat serta perilaku dan tindakan mereka dari segi pertuturan, perilaku atau gaya hidup. ,

B>Agama asas pilih pasangan

Tidak dinafikan, agama Islam mengatur seluruh aspek kehidupan, termasuk urusan jodoh seperti mana ditegaskan Rasulullah SAW dalam sabda Baginda: “Dikahwinkan seorang perempuan itu kerana empat perkara. Kerana hartanya, kecantikannya, kedudukan atau keturunannya dan agamanya. Maka hendaklah memilih perempuan yang beragama, nescaya menguntungkan kamu.”

Agama dan keimanan yang kuat hendaklah diutamakan sebagai dasar pemilihan pasangan hidup. Menurut Muhammad, agama bukan bersandarkan kepada kelulusan semata-mata. Ia sebenarnya menjurus sejauh mana penghayatan dan amalan seseorang terhadap Allah SWT. Dalam institusi rumah tangga, faktor agama adalah elemen yang penting. Pegangan agama yang kukuh dalam perkahwinan adalah tonggak kebahagiaan rumah tangga seperti mengamalkan solat berjemaah dapat mengeratkan hubungan suami isteri dengan restu Allah SWT.

Suami kena bimbing isteri

Suami perlu membimbing isteri ke jalan yang diredai Allah SWT. Jika isteri lebih bijak, tidak salah berkongsi sesuatu yang baik dengan suami supaya rumah tangga sentiasa mendapat keberkatan. Islam dibina atas tiga asas utama meliputi soal akidah, syariat dan akhlak. Tiga perkara asas itu menjadi tunjang dalam pembentukan rumah tangga yang harmoni. Sebelum memilih sesuatu jalan, adalah lebih baik untuk diselidiki terlebih dahulu supaya tidak tersesat. Suami isteri ibarat pakaian bagi pasangannya, yang saling menutupi, melindungi dan memerlukan antara satu sama lain. Oleh itu, hiasilah pasangan dengan amalan yang baik.

Demi menggapai reda Allah SWT, elak berada dalam situasi keluh kesah kerana bimbang keluh kesah adalah tanda kelemahan iman. Luaskan pelaksanaan dan penghayatan agama kepada seluruh amalan dalam kehidupan. Moga dengan kebaikan yang kita lakukan walaupun kecil tetapi berterusan, mudah-mudahan dapat memberikan kebaikan dan membantu kita untuk terus memahami serta mendalami agama Islam.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Manfaatkan saat terjaga tengah malam

Posted by epondok di Januari 28, 2017

HISYAMUDDIN AYUB

 

“ADAKAH kamu pernah terjaga pada tengah malam? Mungkin kerana bermimpi, terdengar bunyi bising atau apa sahaja yang menyebabkan kamu tersedar.

“Dalam situasi seumpama itu, kebanyakan manusia akan terjaga untuk seketika iaitu dalam beberapa saat. Setelah melihat sekeliling dan memastikan semuanya berada dalam keadaan selamat, kita pasti akan meneruskan tidur yang terganggu itu semula,”

Amalan kebiasaan dilakukan pada zaman ini apabila terjaga adalah mencapai telefon pintar terlebih dahulu bagi melihat notifikasi baharu yang terpapar di telefon tersebut.

Selepas selesai melihat telefon, mereka kembali meneruskan tidur yang terganggu tanpa memanfaatkan peluang yang telah diberikan Allah kepada mereka untuk berdoa memohon keampunan.

Terdapat amalan ringkas yang diajarkan oleh Nabi Muhammad SAW kepada umatnya apabila terjaga seketika pada tengah malam.

Sangat berharap agar amalan mudah tersebut dapat diamalkan dan dijadikan sebagai suatu amalan kebiasaan dalam kehidupan umat Islam.

“Saya yakin amalan ini bukan suatu yang sukar untuk dilaksanakan. Ia sebenarnya sangat bermanfaat,” katanya.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang terjaga di tengah malam dan mengucapkan, tiada yang aku sembah melainkan Allah. Dia yang satu dan tiada sekutu bagi-Nya, Bagi-Nya seluruh kerajaan, bagi-Nya segala pujian serta Dia berupaya melakukan segalanya dan apa jua perkara. Segala kemuliaan bagi Allah, segala puji bagi-Nya dan tiada tuhan yang disembah melainkan Allah, Allah Maha Kuasa terhadap segalanya serta tiada yang berkuasa melainkan Allah,” – Riwayat Bukhari.

Siapa yang membaca doa tersebut ketika dia terjaga pada tengah malam dan kemudiannya mengucapkan ‘Ya Allah ampunkan dosa aku’, maka Nabi menyatakan bahawa Allah akan menerima doa tersebut, selain Allah juga akan mengampunkan dosa-dosanya.

“Mungkin kita sebagai hamba Allah telah melampaui batas dengan melanggar apa yang telah ditetapkan-Nya pada hari tersebut dan mungkin juga telah melakukan dosa sebelum tidur.

“Dengan hanya mengucapkan doa pendek itu dan diikuti dengan doa, semoga Allah mengampunkan segala dosa yang telah dilakukan, maka kita telah dijanjikan keampunan dengan izin Allah,” katanya.

Malah tambahnya, sekiranya kita memilih untuk membaca mana-mana pilihan doa, Allah tetap akan menerimanya dan membalasnya kerana Allah Maha Berkuasa.

“Jika kamu ingin meneruskan langkah seterusnya iaitu langkah ketiga, kamu ambil wuduk dan kemudian menunaikan solat, maka Allah akan menerima solat kamu itu.

“Apa lagi yang lebih cantik daripada mengetahui bahawa Allah menerima segala amalan baik yang dilakukan oleh kamu? Allah Maha Besar. Oleh yang demikian saudara Islamku, apabila kamu terjaga pada tengah malam maka laksanakanlah doa yang minimum tersebut,” katanya.

Apa pun juga doa kita, Allah telah berjanji untuk memperkenankannya. Ini adalah peluang bagaimana Allah menunjukkan sifat kasih-Nya kepada kita.

Begitu juga peluang kepada kita untuk membuktikan betapa kita mencintai Allah SWT. Biarpun hanya seketika terjaga di tengah malam kerana tidak selesa dengan tidur dan mencari masa untuk kembali tidur, kita masih mengingati diri-Nya.

Ucapkanlah “Tiada Tuhan melainkan Allah, tiada sekutu buat-Mu, seluruh alam milik-Mu ya Allah dan Kamu berhak untuk menerima segala pujian, Kamu boleh melakukan apa sahaja yang dimahukan, segala kemuliaan buat-Mu, Kamu Yang Maha Kuasa, tiada yang berkuasa kecuali Mu ya Allah, oh Allah, ampuni dosa aku.”

“Kamu dapat lihat betapa cantik dan bermaknanya walaupun kecil amalan tersebut dalam Islam. Saya berharap Allah dapat mengingatkan kita semua untuk mengamalkan doa terbaik ini,” katanya.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Al-Quran, zikir, selawat vitamin hati

Posted by epondok di Januari 26, 2017

Oleh Norhayati Paradi

 

Setiap azam bukan sekadar kemas tertulis di atas kertas, tetapi diharap dapat diukir indah dalam kehidupan. Tiada istilah lambat dalam merencana dan melakukan kebaikan kerana aturan Allah SWT sentiasa tepat pada masanya. Bak kata bijak pandai, tulisan yang samar-samar lebih baik daripada sekuat-kuat ingatan.

Justeru, terjemahkan setiap keinginan dalam bentuk catatan. Catat dan semak berulang kali kemahuan diri sehingga mampu direalisasi. Setiap perkara dirancang perlu berpaksi pada keimanan yang teguh. Jika tahap keimanan baik, sebarang kekurangan yang wujud pada bidang lain iaitu kesihatan, ilmu, perhubungan malahan aspek harta kewangan dan kerjaya mampu ditampung serta diselia atur seeloknya. Sebaliknya, jika bidang yang lain cemerlang, tetapi keimanan lemah, maka segala dirancang akan lintang-pukang.

Hubungan teras antara hamba dengan Tuhan adalah solat yang mengingatkan kepada Pencipta dan menyedarkan manusia hanya hamba kepada-Nya. Solat mengandungi zikir kepada Allah SWT menerusi lidah, hati dan anggota. Daripada perhubungan itu, secara tidak langsung akan mencegah perbuatan keji dan mungkar. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya Akulah Allah; tiada tuhan melainkan Aku; oleh itu, sembahlah akan Daku, dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati Daku.” (Surah Taha, ayat 14)

Sentiasa mohon pertolongan Ilahi Selain solat, doa dan permintaan ada zikir terhebat menjadi penghubung manusia dengan Yang Esa untuk mencapai penyelesaian masalah dan ujian dihadapi. Oleh itu, manusia tidak boleh putus hubungan dengan Allah SWT, sentiasa memohon pertolongan serta bergantung harap kepada-Nya. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai umat manusia, kamulah yang sentiasa berhajat kepada Allah (dalam segala perkara), sedang Allah Dialah sahaja Yang Maha Kaya lagi Maha Terpuji.” (Surah al-Fatir, ayat 15)

Doa bukan sekadar permintaan, malah ia adalah kepasrahan jiwa dan keinginan serta penyerahan diri kepada Allah SWT. Menurut ahli psikologi, dengan berdoa akan memberikan aliran kuasa Yang Maha Kuasa datang kepada diri individu itu. Seumpama aliran wayar antara manusia yang lemah dengan Allah SWT Yang Maha Sempurna lagi Maha Gagah. Dengan doa aliran kuasa dan tenaga itu berlaku. Sumber pemantapan iman kedua selepas solat adalah al-Quran. Bak kata al-Hakim, “Jika ingin berbicara dengan Allah, maka dirikanlah solat dan jika ingin Allah berbicara dengan kita maka bacalah al-Quran.”

Sungguh, solat dan al-Quran tidak dapat dipisahkan. Justeru, jika berhajat untuk meningkatkan kualiti rohani semaklah 114 surat cinta daripada Allah SWT. Al-Hasan al-Basri berkata, “Sesungguhnya orang sebelum kalian menganggap al-Quran adalah surat-surat dari Rabb mereka. Pada malam hari, mereka selalu merenunginya dan akan berusaha mencarinya pada siang hari.”

Suburkan terapi al-Quran Al-Quran adalah satu keperluan dalam hidup. Oleh itu, suburkan terapi al-Quran menerusi tabiat cintakan ayat Maha Pemberi Cinta dalam setiap nafas yang dihela. Kaedah pengulangan menepati keinginan untuk menimbulkan ketagihan terhadap al-Quran. Selain itu, dalam usaha meningkatkan rohani lazimkan lidah dan hati untuk berzikir dan berselawat.

Destinasi kehidupan adalah untuk dekat dengan Allah SWT melalui jalannya iaitu Rasulullah SAW dan menggunakan selawat sebagai kenderaannya. Ulama menyarankan untuk berselawat sekurang-kurangnya 100 kali pada siang hari dan 100 kali pada waktu malam. Nampak mudah, tetapi percayalah hanya yang terpilih akan dapat merasai lazatnya selawat ini.

Jika kita tidak mampu membaca al-Quran atau hati tidak mahu berselawat kepada Rasulullah SAW, ia bukan disebabkan kita tidak ada masa dan ruang, malangnya al-Quran serta cinta Rasul yang tidak memberi ruangnya untuk kita. Al-Quran tidak memerlukan kita sebaliknya kita yang mendambakan al-Quran.

Buang ego, tolak segala keangkuhan. Ringankan lidah untuk berselawat, rajinkan mata melihat seterusnya membaca al-Quran. Sesungguhnya al-Quran, zikir dan selawat adalah vitamin hati manusia. Dapatkan dalam dos yang diperlukan oleh kehidupan supaya yang hidup bukan sekadar tubuh tetapi juga hati dan roh.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Hikmah apabila diuji

Posted by epondok di Januari 25, 2017

Dr. Tengku Asmadi T. Mohamad

 

Dalam hidup ini tiada seorang pun yang sepi daripada ujian. Cuma bentuk ujian yang menimpa itu berbeza atas seorang daripada seorang yang lain. Ada yang Allah berikan ujian kecil, ada pula ujiannya besar. Ada yang Allah pendekkan ujiannya dan ada yang berlarutan. Malah ada juga yang ujiannya datang bertimpa-timpa, bak kata pepatah sudah jatuh ditimpa tangga pula.

Bagi yang nipis imannya, mereka pastinya akan mengeluh, merungut dan merintih. Habis semua orang tahu yang dirinya itu sedang dilanda ujian. Semua orang dipersalahkan malah Allah juga turut dipersalahkan juga. Satu-satunya orang yang tidak dipersalahkan adalah dirinya sendiri. Kualiti diri seseorang itu terserlah saat dia diuji. Ketika itu nampak berbeza antara kaca dengan permata. Waktu senang, bahagia, berharta, berkuasa, berdarjat, berpangkat dan berduit, kita boleh berkata apa sahaja. Kita boleh kata yang kita seorang positif, sabar, terbuka dan sebagainya.

Tetapi apabila diri dihimpit gelombang ujian seperti hilang pekerjaan, tiada wang, pemergian orang tersayang, difitnah dan sebagainya, barulah kita tahu langit itu tinggi atau rendah. Sebab itulah tiada sebaik-baik tempat untuk mengadu selain daripada Allah. Mengadulah pada Allah ketika senang dan mudah untuk Allah mendengar rintihan kita ketika susah. Apakah hikmah di sebalik semua ujian:

1. Allah tingkatkan darjat dan keimanan kita.
Dalam surah al-Ankabut ayat 2, Allah telah berfirman yang mafhumnya, “Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; “Kami telah beriman”, sedangkan mereka tidak diuji?” Bermakna apa juga musibah, bala atau ujian yang Allah datangkan dan izinkan berlaku, bagi meningkatkan lagi keimanan dan darjat seseorang hamba itu di sisi-Nya.

Ada orang apabila ditimpa masalah, mereka semakin jauh dari Allah kerana kufur mereka. Ada pula orang, setiap ujian yang datang akan mendekatkan lagi diri dan pergantungannya kepada Allah. Hendaklah kita yakin bahawa tidak akan berlaku sesuatu musibah itu kecuali dengan kehendak Yang Maha Pencipta.

2. Allah tarik sedikit nikmat untuk diberikan nikmat yang lebih besar.
Ada ketikanya Allah berikan kita ujian dan menarik nikmat yang telah diberikannya kepada kita selama ini bagi melihat dan menguji kesabaran kita sebagai hamba. Sekiranya kita sabar dan reda maka Allah akan tambah dengan nikmatnya yang berlipat kali ganda lagi.

Dalam masa Allah tarik nikmat yang ada, ingatlah Allah tidak tarik kesemua nikmatnya. Jika dihitung yang masih kita nikmati itu sebenarnya lebih banyak daripada yang ditarik.

3Allah berikan satu musibah bagi mengalih musibah yang lebih besar.
Ada ketikanya Allah berikan satu musibah kecil berlaku ke atas kita kerana menghalang satu musibah yang lebih besar. Misalnya dalam perjalanan ke pejabat tiba-tiba kereta kita rosak dan memaksa kita berhenti di bahu jalan. Kita mungkin marah sebab ada urusan penting yang perlu disegerakan hari itu.

Tapi apa pula perasaan kita apabila kita tahu selang beberapa minit di hadapan, tidak jauh daripada tempat kita berhenti itu, telah berlaku satu kemalangan yang meragut nyawa dan kita tahu kalau tidak kerana kereta itu rosak maka kita berkemungkinan besar adalah salah seorang yang terlibat dengan kemalangan tersebut. Beza masanya hanya beberapa minit sahaja daripada masa berlaku kerosakan pada kereta tersebut.

4Sebagai menghapus dosa.
Dalam hidup ini tiada siapa yang tidak melakukan dosa sama ada dosa-dosa kecil atau besar. Oleh itu Allah turunkan sedikit ujian dan dugaan bagi menguji sejauh mana kita sanggup menerimanya. Sekiranya kita bersyukur maka Allah hapuskan dosa-dosa kita itu. Maklumlah waktu senang dan waktu muda kita dulu apa yang tidak kita lakukan. Semuanya kitalah yang hebat. Jadi Allah berikan ujian kerana Allah sayangkan kita. Supaya kita tidak terus hanyut melakukan maksiat dan dosa.

5. Memberikan kesedaran kepada kita.
Jika manusia ini tidak ditimpa musibah sehinggakan segala apa yang mereka mahukan mereka dapat dan semua yang mereka lakukan, menjadi; maka akan timbullah rasa sombong, riak, takbur dan sebagainya. Ujian dan bala yang Allah turunkan itu adalah sebagai peringatan kepada kita sebagai hamba bagi mengingatkan diri kita betapa lemah dan kerdilnya kita. Bak kata pepatah Melayu ‘bila terhantuk barulah tertengadah’. Bila kena barulah mahu beringat-ingat.

6Memberikan iktibar kepada orang lain.
Setiap dugaan yang berlaku sebenarnya mengandungi banyak rahsia, maksud dan ingatan yang tersirat bukan sahaja buat merekayang ditimpa musibah tetapi juga buat seluruh umat manusia.

Bagi mereka yang berfikir dan mahu mengambil pengajaran maka mereka pasti dapat lihat bagaimana Allah boleh turunkan bencana dan dugaan kepada sesiapa sahaja yang dikehendakinya. Tiada siapa pun yang boleh lari daripada ujian Allah ini dan hanya mereka yang beriman dan bertakwa sahaja yang mampu tenang di saat berlakunya musibah dan ujian.

7Tanah subur bagi mereka yang mahu menyemai.
Musibah yang menimpa orang lain membuka ruang dan peluang kepada mereka yang mempunyai lebihan harta dan wang untuk menderma dan menghulurkan bantuan. Apabila apa yang diberikan itu dengan niat yang ikhlas maka Allah akan lipatgandakan lagi rezeki kita seperti yang telah difirmankan oleh Allah dalam surah al-Baqarah ayat 265 yang mafhumnya: “Perumpamaan orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah seumpama sebutir benih yang menumbuhkan tujuh tangkai, dan pada tiap-tiap tangkai menghasilkan 100 biji. Allah melipatgandakan pahala kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Dan Allah Maha Luas (kurnia- Nya) serta Maha Mengetahui.” Begitulah luasnya rahmat Allah yang meliputi seluruh langit dan bumi.

8Tanda Allah masih sayangkan kita.
Setiap dugaan yang Allah berikan itu adalah sebagai tanda Tuhan masih sayangkan kita lalu diberikan oleh-Nya peringatan agar kita cepat sedar dan beristighfar serta kembali ke pangkal jalan. Jika Allah tidak sayangkan kita maka pastilah Allah biarkan sahaja kita lakukan sesuka hati dan dibiarkan mati dalam keadaan sesat dan kufur.

Allah suka apabila kita memuji-Nya, meminta kepada-Nya dan merintih di hadapan-Nya. Sebab itulah Allah berikan kita sedikit kesusahan agar kita tidak terpedaya dan lalai dalam kehidupan yang sementara ini.

Begitulah hebatnya Allah SWT mendidik jiwa hambanya. Di sebalik dugaan, musibah dan ujian itu tersembunyi pelbagai nikmat dan rahmat yang besar. Hanya hati yang celik sahaja mampu melihat apa yang tersirat di sebalik yang tersurat.

Ada ketikanya kita rasakan sesuatu itu baik untuk kita tetapi sebenarnya tidak dan begitu juga sebaliknya. Oleh itu berserahlah kepada Allah dengan penyerahan yang sebenar-benarnya. Teruslah berfikiran positif dengan mencari hikmah, kebaikan dan kekuatan atas segala ujian, keburukan dan kelemahan.

 

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

‘Kad debit’ tanpa had dalam syurga

Posted by epondok di Januari 24, 2017

Oleh ABDULLAH BUKHARI ABDUL RAHIM

INI kad debit yang beta hadiahkan pada kamu. Kamu berhak pakai dengan bebas tanpa batasan.’ Jelas sang raja kepada rakyat kesayangannya.

“Benar Tuanku? Kalau saya pakai untuk beli rumah bernilai RM300 juta sekalipun Tuanku tak kisah?” Si rakyat kecil cuba bergurau dengan sang raja.

“Sila! Semuanya akan beta tanggung dan bayar. Usahkan jumlah RM300 juta, kalau kamu pakai sejumlah RM10 bilion sekalipun, beta akan bayar bagi pihak kamu kerana beta memang sayangkan kamu. Kekayaan beta langsung tidak terjejas dengan perbelanjaan kamu.” Penegasan sang raja ini pasti akan menyebabkan si rakyat kecil jatuh pengsan.

Dialog itu hanyalah suatu analogi mustahil yang cuba dibawakan bagi memahamkan kita semua makna firman Allah dalam nota kali ini. Dialog yang dibawa Allah dalam Surah Ghafir ini adalah nasihat lelaki beriman dalam kalangan bangsa Firaun kepada kaumnya agar segera beriman kepada Allah:

“Sesiapa yang mengerjakan sesuatu perbuatan jahat maka dia tidak dibalas melainkan dengan kejahatan yang sebanding dengannya; dan sesiapa yang mengerjakan amal soleh – dari lelaki atau perempuan – sedang dia beriman, maka mereka itu akan masuk syurga; mereka beroleh rezeki dalam syurga itu dengan tidak dihitung,” (Ghafir [40:40]).

Allah sengaja menggunakan perkataan “rezeki tanpa hitungan atau audit” dalam ayat ini sebagai pemangkin rasa bagi kita semua mencapai nikmat syurga. Hebat! Ahli syurga bebas menikmati atau menggunakan apa sahaja nikmat syurga tanpa bimbang kehabisan kuota atau kelayakan.

Kelebihan tersebut sangat berbeza dengan realiti hidup di dunia. Nikmat dan kelebihan duniawi ada kuota atau auditnya. Jika sebarang kuasa duniawi disalah guna melebihi kelayakan atau kuota, maka si pulan itu akan disiasat pihak berkuasa dan bakal menerima padahnya.

NIKMAT SYURGA TANPA HAD

Banyak sekali Allah menyatakan kuota nikmat syurga tidak akan putus, antaranya:

1. “Dan puak kanan, – alangkah bahagianya keadaan puak kanan itu? Mereka bersenang-lenang di antara pohon bidara yang tidak berduri. Dan pokok pisang yang tersusun rapi buahnya, dan naungan yang tetap terbentang, Dan air yang sentiasa mengalir, serta buah-buahan yang banyak, yang tidak putus-putus dan tidak pula terlarang mendapatnya,” (al-Waqi’ah [56:27-33]).

2. Juga firman Allah: ”Sifat syurga yang dijanjikan kepada orang yang bertakwa itu ialah air sungainya sentiasa mengalir di sekitar tamannya; makanannya kekal tidak putus dan naungannya sentiasa teduh. Itulah kesudahan usaha orang yang bertakwa, sedang kesudahan usaha orang yang kafir pula ialah neraka,” (al-Ra’du [13:35]).

3. Tambah manis, segala ganjaran nikmat syurga ini diperoleh dengan rahmat dan kasih sayang Allah. Rahmat Allah pula sentiasa terbuka untuk hamba-Nya:

“Allah berfirman: “Azab-Ku akan Aku timpakan kepada sesiapa yang Aku kehendaki, dan rahmat-Ku meliputi segala sesuatu; maka Aku akan tentukannya untuk orang yang bertakwa, dan yang memberi zakat, serta orang yang beriman kepada ayat Kami,” (al-a’raf [7:156]).

Bukti lain keluasan rahmat Allah yang menjadi pelincir laluan ke syurga ialah mudahnya mengumpul gandaan pahala berbanding dosa.

Firman Allah: “Sesiapa yang membawa amal kebaikan (pada hari kiamat), maka baginya (balasan) 10 kali ganda (daripada kebaikan) yang sama dengannya; dan sesiapa yang membawa amal kejahatan, maka dia tidak dibalas melainkan (kejahatan) yang sama dengannya; sedang mereka tidak dianiaya (sedikit pun),” (al-An’am [6:160]).

Juga firman Allah:

“Sesiapa yang datang membawa amal baik (pada hari akhirat) maka baginya balasan yang lebih baik daripadanya; dan sesiapa yang datang membawa amal jahat, maka mereka yang melakukan kejahatan tidak dibalas melainkan dengan apa yang mereka kerjakan,” (al-Qasas [28:84]).

Setelah faham betapa hebatnya nikmat tanpa batasan syurga dan mudahnya laluan kita ke sana, maka amat rugi orang yang masih malas berusaha kepadanya. Mereka yang malas saya umpamakan seperti seorang lelaki yang rela mati kelaparan kerana malas bergerak ke dapur mengambil makanan lazat lagi berzat di bawah tudung saji yang sudah sedia terhidang. Jangan sesekali memperbodohkan diri, beramal segera kerana saya tidak rela mati bodoh!

 

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Nilaian akhirat lebih besar

Posted by epondok di Januari 20, 2017

Oleh Dr Nik Roskiman Abdul Samad

HABIB Ali Abu Bakar bin Sheikh Abu Bakar bin Salim, ulama dari Majlis Fatwa Darul Mustafa Yaman ketika mengisi slot Topik Jumaat di radio IKIMfm telah berkongsi pandangan mengenai ‘Pemikiran yang benar berdasarkan petunjuk Baginda SAW’.

Beliau memulakan bicara dengan mengingatkan bahawa umat Islam sewajarnya melahirkan rasa kesyukuran dan kegembiraan diutusnya Baginda SAW kerana kelahiran Baginda SAW itu dan nubuwwahnya telah mengenalkan kita kepada Allah SWT serta ajaran Islam. Baginda SAW mengajar kita berfikir dengan benar di mana meletakkan nilaian akhirat itu melebihi nilaian duniawi. Pemikiran yang benar penting bagi setiap manusia kerana melalui pemikiran itu akan menjadikan kehidupan penuh kebahagiaan apabila tindakan kita betul dan menepati perintah Allah SWT.

Kewajipan bagi kita mengambil Baginda SAW sebagai suri teladan jelas sekali melalui titah perintah Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya pada diri Baginda SAW itu ada contoh teladan bagi kamu iaitu bagi mereka yang beriman dengan hari akhirat dan mengingati Allah SWT dengan banyaknya.” (Surah al-Ahzab, ayat 21)

Penghormatan umat Muhammad

Baginda SAW bersabda: “Sesiapa yang mentaati aku, maka dia akan masuk ke dalam syurga, sesiapa yang mengengkari aku (berbuat maksiat) maka dia enggan, dan sesiapa yang enggan maka dia tidak akan masuk syurga.”

Berdasarkan hadis itu, Baginda SAW dengan segala rahmat dan kasih sayangnya tidak menyebut orang yang berbuat maksiat akan dimasukkan ke dalam neraka, tetapi Baginda SAW menyebut ‘enggan masuk syurga’. Ini menunjukkan betapa Baginda SAW amat menyayangi umatnya dan mengharapkan semua umatnya akan masuk syurga Allah SWT kelak di hari akhirat. Oleh itu, kita memanjatkan kesyukuran kepada Allah SWT kerana telah mengurniakan penghormatan yang besar menjadi umat Nabi Muhammad SAW. Justeru, hendaklah kita membersihkan pemikiran seperti mana pemikiran sahih yang dianjurkan Baginda SAW kepada sahabat kerana mereka adalah gambaran kepada umat Baginda SAW secara keseluruhannya.

Apabila Nabi SAW bercakap kepada seorang sahabat, ia adalah untuk petunjuk kepada sekalian umat. Fikir dengan betul Dalam satu riwayat menunjukkan Baginda SAW mendidik sahabat supaya berfikiran betul. Seorang sahabat telah kehilangan seekor unta dan kelihatan mukanya sugul. Beliau mengadap Baginda SAW, lalu Baginda SAW bertanya beliau kenapa wajahnya sugul bersedih? Lalu sahabat itu menjawab: “Aku kehilangan unta wahai Rasulullah SAW. Baginda SAW bersabda: Aku ingat kamu terlepas takbiratul ihram tadi. Lalu sahabat itu bertanya: Adakah terlepas takbiratul ihram itu lebih besar kerugiannya daripada kehilangan unta, wahai Rasulullah? Baginda menjawab: “Tertinggal takbiratul ihram kamu itu tidak boleh diganti dengan kehilangan segala unta di dunia ini.” Dalam riwayat lain pula, Baginda SAW bertemu peniaga dan bertanyakan siapakah orang yang dikira paling untung dalam perniagaan pada sesuatu hari? Salah seorang peniaga menjawab: “Orang yang paling beruntung ialah apabila dia membuat keuntungan hingga mencecah 400 dirham atau 400 dinar pada hari itu. Lalu Baginda SAW bersabda: Aku tahu hari ini ada orang yang lebih untung daripada itu. Lalu mereka semua terpegun dan tertanya-tanya siapakah lelaki itu dan bertanya: Siapakah dia wahai Rasulullah SAW. Baginda SAW berkata: Dia ialah seorang lelaki yang berwuduk lalu mendirikan solat dua rakaat.” Begitu juga pernah diriwayatkan pada suatu hari Saidatina Aisyah memasak kambing dan setelah dimasak maka Aisyah memberikan kepada Baginda SAW lalu Baginda SAW mensedekahkan kepada jiran-jiran, hingga akhirnya tinggal hanya sedikit berbaki, lalu Aisyah dengan kecewa berkata kepada Baginda SAW: “Inilah saja yang tinggal wahai Rasulullah. Baginda SAW menjawab: “Tidak begitu wahai Aisyah, bahkan yang di sisi Allah itulah baki untuk kita dan yang ini akan habis. Bahkan setiap sedekah akan kekal di sisi Allah SWT tidak habis dan akan dilipatgandakan lagi.”

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/234337

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Doa lepas azan dan syafaat Rasulullah s.a.w

Posted by epondok di Januari 19, 2017

MOHD. RADZI MOHD. ZIN

 

Azan adalah kalimat yang sentiasa berkumandang di negara kita. Sebagai Muslim, seruan azan ini amat penting kerana ia menjadi tanda masuknya waktu solat fardu lima kali sehari semalam. Mereka yang me­nunggu-nunggu waktu solat dinyatakan oleh Rasulullah SAW sebagai antara tujuh golongan yang mendapat perlindungan di akhirat kelak.

Gambaran tentang keadaan di mahsyar sudah banyak kita dengar dan baca. Umumnya ia adalah keadaan yang amat sulit dan sukar diluahkan dengan kata-kata. Bagi menggambarkan suasana itu, Allah berfirman yang bermaksud: Pada hari ketika manusia lari daripada saudaranya, daripada ibu bapanya, daripada isteri dan anak-anaknya. Setiap orang daripada mereka pada hari itu mempunyai urusan yang cukup menyibukkannya. (Abasa: 34-37)

Di mahsyar, jutaan manusia berkumpul, tingkah lakunya tidak keruan, merasakan sangat lapar dan dahaga, panas terik kerana matahari berada sejengkal di atas kepala. Masing-masing sangat susah sehingga badannya panas, otaknya mendidih, menangis dengan keluh kesah dan menyesal. Menyesali perbuatannya ketika di dunia.

Keadaan yang sangat panas menyebabkan peluh mengalir deras persis diperah. Peluh orang sekian banyak memenuhi mahsyar sehingga seperti air bah. Semua orang tenggelam oleh banjir peluh. Ada yang sampai buku lali, ada yang sampai ke betis, ada yang sampai ke lutut, ada yang sampai ke paha dan ada yang tenggelam terus dalam peluh. Semua itu menurut dosa masing-masing ketika di dunia.

Setelah manusia merasakan kesusahan yang tidak ter­hingga beribu tahun lamanya, dan kesudahan yang mencapai puncaknya, maka mereka mencari syafaat (pertolong­an) para nabi supaya memohon syafaat kepada Allah.

Justeru amat penting bagi kita berusaha melakukan amalan yang mana akan menjamin Rasulullah SAW memberi syafaat dalam saat-saat yang sangat genting di mahsyar. Antara amalan yang mudah tetapi mampu memberi syafaat adalah membaca doa selepas azan. Sayangnya masih ramai yang tidak mengambil serius bab ini.

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya; “Siapa yang mengucapkan selepas mendengar azan: Allaahumma Rabba hadzihi al-da’wati al-taammati wa al-solati al-qa-imah, Aati Muhammadan al-wasilata wa al-fadhilah, wab’atshu Maqaman Mahmudan alladzi wa’adtah” (Ya Allah, Tuhan pemilik seruan yang sempurna ini dan solat yang didirikan, berilah kepada Muhammad al-wasilah dan kelebihan, dan bangkitkan baginda di kedudukan terpuji yang telah Engkau janjikan baginya); maka halal baginya syafaatku pada hari kiamat. (Riwayat Bukhari)

Secara umum, syafaat bererti perantara seseorang de­ngan yang lain; sama ada antara manusia dengan manusia, atau dalam isu ini antara hamba dengan Allah, demi mendapat maslahat atau menolak mudarat. Syafaat Nabi SAW bermaksud Rasulullah SAW menjadi perantara antara umat baginda dengan Allah SWT.

Rasulullah SAW dikurniakan syafaat Al-Uzhma (yang paling besar) seperti yang disebut dalam hadis di mana semua nabi menolak memberi syafaat sehingga akhirnya manusia pergi kepada Nabi Muhammad SAW.

Kedua, syafaat kepada ahli syurga untuk masuk syurga. Rasulullah akan menjadi penghulu bagi seluruh ahli syurga.

Ketiga, syafaat untuk pak cik baginda, Abu Talib. Walaupun mati dalam kekufuran, disebabkan beliau menjaga nabi daripada gangguan kafir Quraisy, Allah mengizinkan Rasulullah memberi syafaat kepadanya dengan dikurangkan azab neraka ke atasnya. Azab paling minimum itu di mana api neraka hanya sampai di pergelangan kakinya pun begitu, ia menggelegakkan otak.

Keempat, syafaat untuk mengeluarkan pelaku dosa besar atau kecil dari neraka dan dimasukkan ke syurga, dan kepada orang yang masuk neraka untuk tidak masuk neraka.

 

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Sumbangan untuk musibah kebakaran di Pondok An-Nuur, Pahang

Posted by epondok di Januari 18, 2017

Image result for gambar pondok annur terbakar

KUANTAN: Asrama Pusat Pendidikan Islam Annur Jalan Pantai Sepat, Kampung Kuala Penor di sini terbakar kira-kira jam 8.00 malam semalam.

Pusat pendidikan tersebut menempatkan seramai 110 orang pelajar berumur antara 12 hingga 20 tahun.

Menurut laporan rasmi pihak berkuasa, siasatan awal di lokasi kejadian mendapati kebakaran melibatkan bangunan konkrit asrama pelajar lelaki di bahagian tingkat atas menempatkan seramai 60 orang pelajar manakala di tingkat bawah menempatkan 4 orang pelajar.

Semasa kejadian kesemua pelajar berada dalam masjid sedang menghadiri kuliah agama. Maklumat daripada Ustaz Zaki, pada mulanya dua orang pelajar mahu ke bilik air berdekatan dengan asrama dan pelajar tersebut ternampak api sedang marak di tingkat atas bangunan tersebut, seterusnya pelajar tersebut menghubungi Ustaz Zaki dan maklumkan kebakaran itu.

Seterusnya Ustaz Zaki terus menghubungi pihak bomba untuk bantuan memadamkan kebakaran.

Menurut saksi, api dikatakan bermula dari tingkat atas bangunan asrama tersebut dan berjaya dipadamkan oleh empat jentera Bomba Balai Kuantan terdiri daripada tiga pegawai serta 23 anggota.

Pihak bomba mengambil masa lebih kurang 45 minit untuk memadam kebakaran dan api dapat dikawal sepenuhnya pada jam 9.15 malam.

Siasatan terhadap kemusnahan akibat kejadian ini dapati bahagian tingkat atas serta bumbung asrama musnah sama sekali termasuk barangan perabot dan barangan pelajar serta dokumen-dokumen penting pelajar. Tiada sebarang kemalangan jiwa dan kecederaan melibatkan pelajar.

Punca kejadian masih dalam siasatan pihak Forensik Bomba manakala anggaran kerugian masih belum dapat dipastikan.

Sementara itu usaha awal bagi membantu dan meringankan beban mangsa sedang dalam tindakan pihak Jabatan Kebajikan masyarakat.

Berada di lokasi YAM Tengku Hasanal Ibrahim Alam Shah yang berkenan mencemar duli berangkat melawat mangsa dan meninjau keadaan sekolah.

Atas Titah perintah KDYMM Pemangku Raja Pahang, pada hari jam 3.00 petang semalam, bertempat di Pusat Pendidikan Islam Annur satu majlis ringkas akan diadakan iaitu penyerahan sumbangan peribadi dari KDYMM Pemangku Raja Pahang kepada semua mangsa yang akan disempurnakan oleh YAM Tengku Hasanal Ibrahim Alam Shah.

Sementara itu pengasasnya, Ustaz Mokhtar Senik dalam kenyataannya, mengucapkan terima kasih kepada anggota Bomba yang bertindak cepat memadamkan kebakaran tingkat atas asrama lelaki An Nuur.

Begitu juga dengan kehadiran segera Unit Amal, PAS Kawasan Kuantan dan ibu bapa pelajar yang menghulurkan bantuan secara spontan.

Tambahnya, kerugian dianggarkan RM400,000 dan kini An Nuur memerlukan:

50 katil dua tingkat
100 tilam dan bantal
100 almari
100 kain selimut dalam kadar segera

Sumbangan boleh dibank in ke akaun An Nuur:

Maybank 556011018085 dan Bank Islam 06019010021868.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Air gelegak, nanah minuman neraka

Posted by epondok di Januari 15, 2017

Oleh Fairuz Noordin

AIR mendidih, peluh, nanah, minuman penghuni neraka yang ketika di dunia hidup bergelumbang dengan rasuah, minum arak dan memakan benda-benda haram. Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani dalam slot Mau’izati berkata, manusia di Padang Mahsyar menginginkan air dari Telaga Kauthar untuk menghilangkan kehausan mereka dan antara jalan bagi mendapatkannya ialah dengan mengikuti sunah Rasulullah SAW di sepanjang kehidupan.

BERDOA mohon keredaan Ilahi sepanjang hidup di dunia supaya sentiasa menjadi Mukmin bertakwa. Apabila tiba hari kebangkitan, manusia berada dalam keadaan sangat lapar dan kehausan yang lebih 70 kali ganda dahsyatnya daripada yang dirasakan ketika hidup di dunia dahulu.

Melalui slot Mau’izati di IKIMfm, Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani berkata, manusia di Padang Mahsyar menginginkan air dari Telaga Kauthar untuk menghilangkan kehausan dan antara jalan mendapatkannya ialah dengan mengikuti sunah Rasulullah SAW di sepanjang kehidupan. Walaupun hanya seteguk sahaja air Telaga Kauthar, ia mampu menghilangkan segala kelaparan, dahaga dan kesedihan sepanjang tempoh berada di Padang Mahsyar.

Namun, tidak semua umat Nabi Muhammad SAW berpeluang meneguk air di telaga itu. Sebaliknya, mereka beroleh minuman yang disediakan di dalam neraka iaitu hamim. Abdullah bin Isa al-Kharras menyebut daripada Daud, daripada Iqrimah bahawa Ibnu Abbas menyebut, hamim adalah panas yang membakar iaitu air yang masuk ke dalam kerongkong dalam keadaan panas. Air panas itu mendidih sejak Allah SWT menciptakan langit dan bumi sehinggalah tiba waktu penghuni neraka meminumnya dan dituangkan di atas kepala sehingga terlerai anggota tubuh badan mereka.

Air mata penghuni neraka

Ibnu Wahab menyebut daripada Ibnu Zaid, hamim adalah air mata penghuni neraka yang terkumpul di dalamnya dan air itu diminum oleh mereka. Syabib menuturkan daripada Iqrimah, daripada Ibnu Abbas bahawa panasnya hamim itu sehingga tidak ada lagi tahap kepanasan selepasnya kerana kepanasan sudah berada di kemuncaknya. Diberi kepada penghuni neraka bersama besi pengait yang dimasukkan dalam tengkuk mereka. Manusia yang diazab begini adalah kalangan mereka yang meminum arak, memakan rasuah dan makanan yang diharamkan Allah SWT ketika hidup dahulu.

Rasulullah SAW sentiasa berpesan supaya jangan sesekali memasukkan sesuatu yang haram ke dalam tubuh badan kerana setiap daging yang tumbuh daripada sumber yang haram, maka nerakalah tempat sesuai bagi mereka. Jenis minuman kedua diberi kepada penghuni neraka ialah ghassaq. Ibnu Abbas menyebut, ia mengalir daripada kulit dan daging orang kafir iaitu peluh yang ditadahkan, lalu diberi minum kepada ahli neraka lainnya.

Ghassaq sejuk sifatnya dan apabila memasuki tubuh badan menyebabkan rasa amat sakit. Abdullah bin Amru menyebut, ghassaq adalah nanah kental yang keluar daripada tubuh badan orang kafir, bersifat pekat dan likat. Seandainya setitis sahaja ghassaq tumpah di bahagian barat, nescaya ia akan mencemari sehingga di bahagian timur neraka. Mujahid pula berkata ghassaq sesuatu yang tidak mungkin dapat dirasakan kerana terlalu sejuk sifatnya. Qaab berkata, ia sengatan racun daripada seluruh binatang berbisa yang dikumpulkan dan apabila anak Adam mencelupnya dengan sekali celupan, kulit serta dagingnya terlepas daripada tulangnya, melekat di tumit lalu ditarik seperti dilakukan oleh seorang penarik pakaian. Saidi berkata, ghassaq adalah air mata penghuni neraka yang diminum bersama hamim.

Diriwayatkan oleh Dharraj daripada Abu Haisam kepada Said, Rasulullah SAW bersabda: “Seandainya satu timba daripada ghassaq ditumpahkan ke atas dunia, nescaya seluruh penghuninya akan berbau sangat busuk.”

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Mereka tidak dapat merasai udara yang sejuk di dalamnya dan tidak pula sebarang minuman kecuali air panas yang menggelegak dan air nanah yang mengalir.” (Surah al-Naba’, ayat 24-25)

Minuman ketiga bagi penghuni neraka ialah al-syadid seperti mana disebut dalam surah Ibrahim, ayat 17: “Ia meminumnya dengan terpaksa dan hampir tidak dapat diterima oleh tekaknya (kerana busuknya) dan ia didatangi (penderitaan) maut dari segala arah, sedang ia tidak pula mati (supaya terlepas dari azab seksa itu); dan selain dari itu, ada lagi azab seksa yang lebih berat.”

Qatadah berkata, al-syadid adalah nanah bercampur darah yang mengalir antara daging dan kulit. Imam Ahmad dan al-Tarmizi meriwayatkan daripada Abu Umamah, sabda Rasulullah SAW: “Ia didekatkan kepada air nanah lalu mereka meminumnya dengan terpaksa. Apabila air nanah itu berada dekat dengan mukanya maka terbakarlah ia dan berguguranlah kulit, kepala dan rambutnya. Apabila diminum air itu menyebabkan putus ususnya hingga keluar daripada duburnya.”

Arak rosakkan akal manusia

Daripada Jabir, Rasulullah SAW bersabda: “Allah SWT berjanji, bagi sesiapa yang meminum satu minuman memabukkan yang dilarang di dalam Islam, kerana ia akan merosakkan akal dan menjatuhkan nilai dirimu lebih rendah daripada binatang. Dia akan diberi minuman di dalam neraka dengan peluh dan air bisa ahli neraka. Mereka terbabit dengan minuman memabukkan seperti arak termasuklah 10 golongan, di antaranya mereka yang menuangnya, menghidang atau membawanya, akan turut menerima azab diberi minuman itu di dalam neraka kelak. Di dalam neraka terdapat sungai yang dipenuhi dengan nanah bercampur darah dan berbau busuk. Penghuni neraka akan disembam ke dalamnya, dibukakan mulutnya dan dipaksa meminum air itu.”

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »