Terimalah semua perkara yang berlaku, sebagai qada dan qadar Allah. Yang semuanya telah ditakdirkan Allah kepada kita hamba-Nya, dan tidak terdaya kita mengelakkannya. Sebab kita tidak boleh kawal apa yang berlaku ke atas kita, tetapi kita hanya boleh kawal respons kita terhadap apa yang berlaku berdasarkan pilihan kita (negatif atau positif). PERISTIWA + RESPONS = HASIL KEHIDUPAN kita. Oleh sebab itu faktor yang menentukan HASIL KEHIDUPAN kita (4K= Ketenangan, Kebahagiaan, Kesihatan dan Kekayaan) adalah respons kita.

Bagaimanakah kita hendak menghadapi ujian Allah? Kita mesti yakin, bahawa Allah hanya beri ujian atas apa yang hamba-Nya boleh tangani. Sebab itu setiap orang akan menghadapi, cabaran, cubaan atau ujian yang berlainan atau berbeza-beza berdasarkan kemampuan kita.

Contohnya, kalau ada orang yang diuji Allah, ditakdirkan kematian seorang anak terunanya kerana kemalangan jalan raya, ada orang pula diuji kematian seluruh keluarganya kerana kemalangan jalan raya.

Lantaran itu, setiap kali kita berhadapan dengan ujian Allah, pada saat kita hendak berasa sedih dan hilang semangat, lihatlah dan kenangkanlah orang lain yang lebih berat ujiannya, jika dibandingkan dengan yang kita alami. Itu adalah satu cara proses “reset minda”.

Jom audit diri dan marilah kita melihat masalah atau ujian Allah itu, sebagai satu peluang untuk kita dapat dua perkara. Pertama, macam mana dengan sebab ujian itu kita akan menjadi lebih dekat dengan Allah. Kedua, bagaimana dengan peristiwa itu, kita belajar tentang diri kita. Sebab kita akan lebih mengenali diri kita sebaik-baik sahaja kita ada masalah.

Dalam keadaan bahagia manusia tidak tahu dirinya yang sebenar. Tetapi, dalam keadaan bermasalah dan krisis, baru kita tahu diri kita yang sebenar. Iaitu ukurannya berdasarkan respons atau tindak balas kita terhadap sesuatu peristiwa negatif itu.

Apakah reaksi spontan kita apabila berlaku peristiwa negatif? Contohnya, kalau orang yang hidup dengan kesedaran ketuhanan (mukmin sejati), apabila berlaku kemalangan kereta, reaksi spontannya, dia akan pergi tengok kereta orang dahulu, sama ada kemek atau tidak, bukan dia tengok keretanya dahulu.

Seorang mukmin sejati, sangat sayang sesama manusia dan dia akan segera memohon maaf dan mengambil tanggungjawab atas kesilapannya. Tetapi, orang yang kesedaran keegoannya tinggi, tidak pedulikan perasaan dan kebajikan orang, asyik fikir dirinya, yang penting keretanya dan dia hanya mencari siapa salah, serta sikapnya akan menyalahkan orang. Perhatikan, dua peristiwa yang sama, tetapi menghadapi respons yang berbeza.

Respons itu positif atau negatif, berdasarkan atau bergantung pada kemantapan akidah, ibadah dan akhlak seseorang itu dalam menangani ujian Allah.

Bagaimanakah pula kita melihat ujian Allah itu? Bagi orang yang berjiwa besar, masalah akan menjadi kecil. Orang berjiwa kecil semua masalah menjadi besar. Kalau hendak tahu kita berada dalam kelompok yang mana, sama ada dalam kalangan orang yang kesedaran ketuhanan yang tinggi atau kesedaran keegoan yang tinggi, kita nilai percakapan yang keluar daripada mulut kita apabila ditimpa musibah.

Menyalahkan

Kalau berlaku sesuatu musibah atau ujian Allah, kita akan berkata perkara yang negatif seperti, “saya serabut,” “memang Tuhan tidak sayang saya,” “Allah tak adil,” dan “nasib saya memang malang selalu,” maka kita perlu “reset minda.”

Iaitu ubah cara atau persepsi kita terhadap kejadian buruk yang berlaku ke atas kita itu, dengan melihat segala kejadian buruk itu sebagai ujian Allah untuk melihat tahap keimanan kita. Jika kita asyik merungut, mengeluh dan menyalahkan orang serta menyalahkan ketidakadilan Allah, kita akan menjadi semakin lemah, hilang semangat dan keyakinan, untuk terus menempuh hidup yang lebih mencabar setelah ditimpa ujian Allah.

Oleh sebab itu, kalau kita hendak tahu kuat atau tidak akidah kita, apabila sesuatu berlaku sama ada positif atau negatif, kita mesti ingat Allah dahulu. Kalau sesuatu yang berlaku kita ingat makhluk, itulah yang penat.

Kita penat sebab kita sibuk dengan makhluk. Kalau kita bermasalah pun kita letakkan harapan dan pergantungan kita kepada Allah Yang Maha Berkuasa. Bayangkan kalau kita sedang berjalan mengangkat satu beg atau beban yang berat, tiba-tiba datang orang hendak membantu kita, tentu kita akan berasa lega kerana ada orang yang sanggup bersama-sama kita menggalas beban yang berat itu.

Tetapi, kalau kita hendak berkongsi menggalas beban yang berat bersama-sama orang yang lemah sama seperti kita (makhluk Allah), tentu tiada maknanya. Makhluk tidak dapat meringankan atau menyelesaikan masalah kita, bahkan sebaliknya membuatkan masalah kita menjadi lebih rumit. Jangan sesekali bergantung kepada makhluk, jangan minta orang bimbing kita tetapi kita pergilah mencari ilmu. Mantapkan ilmu, berguru dan perbetulkan diri kita.

Contohnya, ada orang yang diuji Allah kehilangan penglihatan, sesudah tamat pengajiannya. Orang yang menerima ujian ini perlu mencari penyelesaian dari segi luarannya, dengan mendaftar sebagai orang cacat penglihatan bagi membolehkannya mencari peluang pekerjaan bersesuaian dengan kemampuannya.

Seterusnya carilah penyelesaian dari segi dalaman pula, dengan cara hapuskan kesedihan, perasaan rendah diri dan merungut akan kelemahan dirinya dengan cara pertama, jangan fokus kepada apa yang kita tidak ada, tetapi fokuslah kepada apa yang kita ada, (terlalu banyak lagi yang kita ada yang masih sempurna).

Kedua, jangan kita terlalu fokus kepada perkara yang lepas (dahulu kita nampak, sekarang sudah tidak nampak), kerana akan melemahkan semangat). Ketiga, kita fokus kepada apa yang orang hendak untuk kita, bukan apa yang kita hendak. Ingatlah, Allah tidak akan memberi sesuatu kecuali untuk kebaikan hamba-Nya, biarpun ia merupakan perkara yang buruk di mata kita hamba-Nya. Sabar dan reda, serta rasakan dugaan daripada Allah itu tanda Allah sayang akan kita.

Pejamkan mata rapat-rapat, kita akan dapat bayangkan banyak perkara baik yang boleh kita fokus, sebab apabila kita menutup “mata fizikal”, “mata hati” akan terbuka. Bayangkan, orang yang diuji Allah di dunia nampak susah, tetapi dari segi akhirat jika kita sabar dan reda, kita akan mendapat kesejahteraan hidup di sana.

Penyakit dan masalah manusia hari ini adalah kerana lebih yakin kepada manusia daripada keyakinan kepada Allah. “Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak.”