Baginda mengorbankan harta, masa dan nyawa untuk me­negakkan kebenaran, keadilan dan memimpin manusia ke arah kehidupan yang bahagia di dunia dan di akhirat. Oleh itu baginda diibaratkan sebagai orang yang memberi rahmat kepada seluruh alam. Perkara ini disebut oleh Allah SWT dalam Surah 21 (al-Anbiya’): 107 yang bermaksud: “Dan sesungguhnya tiadalah Kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam”.

Nabi Muhammad SAW bukan sahaja memberi rahmat kepada orang Islam malah merangkumi kesemua manusia, jin, binatang dan tumbuh-tumbuhan. Baginda melarang umat Islam menyeksa binatang seperti mana sabdanya yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah SWT mewajibkan berbuat baik kepada segala sesuatu. Apabila membunuh maka bunuhlah dengan baik. Dan apabila kamu menyembelih, maka sembelihlah dengan baik. Hendaklah salah seorang kamu menajamkan pisaunya dan membuat binatang sembelihannya tenang”.

Rasulullah SAW melarang umat Islam menebang pokok jika pokok tersebut tidak digunakan untuk pembangunan dan sebagainya. Aktiviti pembalakan secara rakus yang diamalkan oleh manusia masa kini adalah bertentangan dengan ajaran Islam. Kawasan pembalakan menjadi gondol dan me­ngalami penghakisan yang paling teruk sehingga mencemarkan sungai dan saliran air serta mengganggu haiwan dalam hutan dan air.

Berkaitan perkara ini baginda bersabda: “Sesiapa yang memotong pohon sidr (bidara), maka Allah SWT sungkurkan kepala­nya dalam api neraka”. Jika memotong sebatang pokok boleh tersungkur dalam neraka, maka aktiviti pembalakan secara rakus sehingga hutan menjadi gondol maka azabnya adalah lebih berat di hari akhirat. Oleh itu, individu yang melibatkan diri dalam kegiatan pembangunan dan pembalakan perlu bermuhasabah diri.

Rasulullah SAW adalah rahmat kepada umat manusia tanpa me­ngira agama dan bangsa. Perwatakan kasih sayang dan kelembutan baginda terhadap manusia dapat dilihat dalam medan Peperangan Badar (Peperangan pertama antara umat Islam dengan musyrik berlaku 7 Ramadan, dua tahun selepas Hijrah yang mana umat Islam memenangi peperangan tersebut).

Ketika baginda melihat mayat-mayat musuh bergelimpangan di medan perang tersebut baginda menangis kerana baginda tahu mereka akan diazab oleh Allah de­ngan azab yang keras. Hatinya yang lembut dan penuh kasih sayang terhadap manusia tidak sanggup melihat mereka diseksa oleh Allah.

Berdasarkan kepada perwatakan lemah lembut Rasullullah SAW maka umat Islam bermuhasabahlah diri ketika bertarung sesama sendiri untuk mendapat kuasa dan kedudukan. Baginda menyeru umat Islam supaya menunjukkan sikap rahmah pada manusia dalam apa jua keadaan seperti mana sabda baginda: “Peranglah kamu dengan nama Allah. Perangilah musuh Allah dan musuh kamu di negeri Syam. Kamu akan mendapati di antara mereka orang yang tinggal di rumah-rumah ibadah, mereka mengasingkan diri daripada orang ramai. Maka janganlah kamu mengganggu mereka. Dan kamu akan mendapati orang lain yang di kepala mereka ada sarang syaitan. Maka pecahkanlah dengan pedang-pedang. Janganlah kamu membunuh perempuan, jangan bunuh anak kecil menyusui, jangan bunuh orang tua, jangan potong pohon kayu, jangan tebang pohon kurma dan jangan hancurkan rumah”.

Rasulullah SAW adalah seorang yang tawaduk dan mempunyai budi pekerti mulia dan penuh kasih sayang.

Perkara ini dijelaskan oleh Allah dalam surah 9 (al-Tawbah): 128 yang bermaksud: “Sesunguhnya telah datang kepada mu seorang Rasul dari kaum mu sendiri, berat terasa olehnya penderitaan mu, sangat menginginkan (keamanan dan keselamatan) bagi mu, amat belas kasihan lagi penyayang terhadap orang mukmin”.

Rasulullah SAW menyeru manusia supaya menyembah Allah Yang Maha Esa dan Berkuasa. Konsep tauhid yang diperjuangkan oleh baginda membuka minda dan hati umat Islam bahwa Allah adalah Tuan atau Raja kepada manusia dan makhluk-Nya. Manusia adalah hamba kepada-Nya maka kesemua manusia adalah sama tarafnya kecuali ketakwaan.

Oleh itu, jika seseorang individu dilantik menjadi ketua dalam negara maka tugas utamanya ialah melaksanakan amanah rakyat sebaik mungkin bukan meletakkan diri sebagai orang yang mempunyai taraf yang paling tinggi dan berkuasa serta bebas melakukan apa jua kegiatan tanpa batasan.

Islam mengutuk konsep bertuhankan manusia kerana konsep hidup begini boleh memusnahkan pembentukan sebuah negara yang adil, saksama dan maju. Pangkat dan kedudukan di dunia ini adalah kebanggaan yang berbentuk sementara. Kehebatan dan status keturunan hanyalah satu keegoan berlandaskan kehidupan duniawi yang paling rapuh dan hilang apabila roh kembali kepada Ilahi.

Renungilah pesanan baginda berkaitan kehidupan di dunia ini seperti mana sabdanya: “Jadikanlah kamu sebagai orang musafir yang sedang dalam perjalanan”.

Dalam Khutbah Wida’ (Khutabh Selamat Tinggal) baginda bersabda: “Aku tinggal dua perkara, kamu tidak akan sesat selama-lamanya sekiranya kamu berpegang dengan kedua-duanya iaitu Kitab Allah dan Sunnahku”. Oleh itu, umat Islam sepatutnya menjalinkan hubungan silaturrahim sesama sendiri demi kebaikan di dunia dan akhirat