Apa yang jelas, baginda telah mengajar bagaimana kaedah sepatutnya dalam memastikan limpahan rahmat tersebar ke seluruh alam iaitu dengan mengamalkan ajaran Islam sebenar.

Dalam hal ini, kita dapat melihat betapa Islam amat menggalakkan umatnya agar sentiasa berusaha memperbaiki dan mempertingkat ikatan silaturahim dan ukhuwah.

Ini dijelaskan oleh Allah SWT dalam Surah al-Hujurat ayat 10 maksudnya:

“Sebenarnya orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.”

Dalam konteks ini, ikatan ukhuwah yang erat dan kukuh dalam kalangan umat Islam adalah elemen penting ke arah merealisasikan visi dan misi penyatuan ummah sama ada pada peringkat nasional mahupun antarabangsa.

Silaturahim dilihat menjadi faktor utama kekuatan dengan syarat berasaskan ketakwaan dan syariat. Lebih manis, silaturahim yang baik mampu menjauhkan manusia daripada sifat mazmumah seperti hasad dengki dan fitnah.

Malahan hubungan kita dengan Allah semakin kukuh kerana terbentuknya akhlak yang lebih baik daripada sebelumnya. Namun, jika jalinan silaturahim ini diabaikan, nescaya akan rengganglah hubungan manusia dengan Allah, bahkan memisahkan kasih sayang sesama manusia.

Allah memerintahkan agar kita berbuat baik dan tidak sombong terhadap sesama manusia sama ada mempunyai pertalian darah ataupun tidak.

Firman Allah maksudnya:

“Dan hendaklah kamu beribadah kepada Allah, dan janganlah kamu mempersekutu-Nya dengan suatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawatan, dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba sahaya yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang sombong takbur dan membanggakan diri.” (An-Nisa: 36)

Tanggungjawab untuk membina semula tautan ukhuwah yang retak bukan sahaja terletak kepada kedua-dua pihak bermusuhan tetapi masyarakat mengetahui perkara ini juga turut terlibat. Justeru, orang mendamaikan dan menyambung semula tali ukhuwah adalah mereka yang memiliki akhlak terpuji.

Ini bertepatan dengan sabda Rasulullah maksudnya: “Orang menjalinkan hubungan kekeluargaan bukanlah mereka yang membalas sesuatu kebaikan, tetapi adalah mereka yang menyambungkan (menjalinkan semula) suatu perhubungan telah terputus.” – Riwayat Bukhari.

Pengutusan Rasulullah SAW mempunyai kesan besar dalam kehidupan umat Islam. Dengannya, umat manusia bebas daripada sebarang kesyirikan kepada Allah.

Kita amat bersyukur kerana Malaysia terus terpelihara daripada ancaman dan anasir negatif yang dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab dengan kemasukan pelbagai fahaman, aliran pemikiran dan pandangan melampau.

Situasi ini jika tidak ditangani dengan hikmah boleh menjejaskan keharmonian dalam masyarakat dan amat bercanggah dengan amalan Ahli Sunah Wal Jamaah.

Oleh itu, janganlah kita bertelagah sesama kita kerana perpecahan amat merugikan bangsa dan agama. Marilah sama-sama pertahan perpaduan yang telah diasaskan oleh Rasulullah SAW selama ini.

Bak kata pepatah Melayu: ‘Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat’.