Maknanya pergantungan diri kita kepada sesuatu menentukan hidup kita dan tahap ketenangan kita. Kalau kita bergantung selain daripada Allah, maka sesungguhnya kita sedang bergantung dengan sesuatu yang sangat lemah. Sebab makhluk memang sangat lemah, Yang Maha Kaya, Yang Maha Pemurah dan Yang Maha Penyayang hanya Allah SWT. Oleh sebab itu bergantunglah sepenuhnya hanya kepada Allah.

Bumi dan makhluk dijadikan Allah dengan rahmat kasih sayangnya. Ibu sayang kepada kita dan kita sayang anak kita semuanya dengan rahmat dan kasih sayang Allah yang Allah letakkan pada hati kita. Kasih sayang sesama makhluk ini hanya 1 peratus sahaja, sedangkan kasih sayang Allah kepada kita 99 peratus. Allah sayang kita lebih daripada ibu menyayangi anaknya. Dengan akidah, syariah yang betul, dan akhlak dilembutkan kehidupan akan tenang, apabila kita yakin akan kasih sayang Allah.

Cuba kita bayangkan kita hendak mendaki gunung, kita ada dua tali; satu tali yang tipis bagai benang labah-labah dan yang satu lagi tali yang kukuh yang diperbuat daripada besi. Tali manakah yang menjadi pilihan kita? Tentu kita mahukan tali yang kuat. Sebab untuk mendaki ke puncak bukan mudah dan tidak akan lepas dengan benang sekukuh benang lanah-labah. Macam itulah kalau kita tingkatkan keupayaan dan kita fokuskan tenaga bagaimana hendak bergantung hanya kepada Allah, maka kita akan menjadi seorang yang kuat, tenang dan yakin diri.

Apabila sesuatu berlaku sama ada kita suka atau tidak suka, bagi orang yang bergantung hanya kepada Allah, dia akan terima semua takdir yang ditetapkan kepadanya. Sebab kita yakin kepada Pemberinya, dan itu tanda kasih sayang Allah. Contohnya kita diberi sakit. Sakit yang dialami memang nampak sengsara kepada pengidapnya, tetapi kalau kita bergantung kepada doktor dan bukan kepada Allah kita akan menyoal, mengapa Allah berikan penyakit kepada kita dan keluarga kita sahaja, mengapa tidak kepada orang lain? Kalau kita bergantung kepada Allah, kita akan sedar bahawa Allah hendak menguji kesabaran kita.

Nikmat

Seperti apa yang diperkatakan oleh Nabi Sulaiman, apabila orang mengatakan baginda kaya, baginda menjawab, “Inilah nikmat Allah kepada aku untuk menguji sama ada aku bersyukur atau aku kufur.” Kalau kita hendak tahu berapa kuat kebergantungan kita kepada Allah, kita akan hanya tahu apabila kita diuji. Contoh kalau kita membuat sesuatu pekerjaan yang biasa kita buat dan kita memang pakar dalam bidang itu, tiba-tiba berlaku kesilapan. Apakah reaksi pertama kita. Adakah kita menyalahkan orang, menyalahkan diri sendiri, marah, atau menyerahkan serta menyedari bahawa ini semua ketentuan Allah yang mengizinkan perkara yang kita tidak sukai dan jangkakan itu berlaku.

Kita perlu bermuhasabah diri, kita tidak menyalahkan staf kita, kita nilai diri kita adakah terdapat kesombongan dan riak kita kepada kehebatan sendiri, hingga kita lupa hendak bergantung kepada Allah dengan berserah dan bertawakal kepada-Nya. Sesiapa yang terlalu yakin kepada kepandaian diri dan kebolehan diri sendiri, dia akan melihat kesilapan atau kegagalan sesuatu yang diusahakan adalah kerana kelemahan dan kecuaian orang lain.

Hal ini selalu terjadi bagi orang yang profesional dan pakar dalam sesuatu bidang, contohnya pakar jantung, otak, mata dan sebagainya, yang biasanya semua yang dilakukannya berjaya, tetapi tiba-tiba gagal. Ada mesej yang Allah hendak tinggalkan sebenarnya. Allah hendak tegur bahawa itu bukan kehebatan kamu, kamu hanya alat sedangkan yang menurunkan rahmat dan kuasa untuk menjaya atau mengagalkan sesuatu yang engkau lakukan adalah, Allah SWT.

Kebergantungan kita kepada Allah kadang-kadang turun naik sifat dan situasinya. Pokok akan tumbuh hebat kalau benih hebat. Benih kalau tidak dibaja dan disiram, pokok itu tidak akan tumbuh dengan baik. Yakni ilmu yang kita dapat daripada didikan ayah ibu dan didikan guru-guru di sekolah, kalau tidak ada disiplin untuk menyirami ilmu itu dengan amal dan dipraktiskan ilmu itu tidak ada apa-apa makna kepada kita.

Macam kita bersekolah, setelah diajar, kita diberi ujian untuk melihat pencapaian tahap ilmu yang kita miliki atau telah peroleh itu. Demikian jugalah hubungan kita dengan Allah, setelah kita ada ilmu (akidah, ibadah dan akhlak) yang mantap, yang menentukan keimanan, maka Allah uji kita sejauh mana keimanan kita dan kebergantungan kita kepada-Nya.

Bagaimana kita hendak mengukur tahap kebergantungan kita kepada Allah dan macam mana hendak kekalkan perasaan kebergantungan hanya kepada Allah? Pertama, lihat apakah tindak balas spontan kita apabila berlaku sesuatu ujian daripada Allah, terutama apabila kita diuji dengan sesuatu yang kita tidak suka ia berlaku ke atas kita. Adakah kita datang kepada Allah atau kita cari kuasa lain selain Allah untuk mengadu dan menyelesaikan masalah kita.

Reaksi spontan kita itulah paradigma dan tahap keimanan kita. Kalau berlaku sesuatu, kita tidak melihat diri kita tetapi kita mencari siapa yang kita patut salahkan dan dipertanggungjawabkan, bermakna kita mengguna kanta melihat luaran, kita tidak menggunakan cermin untuk melihat kelemahan diri.

Kedua, apa-apa yang berlaku semua kita pandang bagus. Kalau berlaku yang tidak elok, lihat apakah yang Allah hendak bagi ingatan kepada kita. Apakah mesej yang Allah hendak beri kepada kita. Oleh sebab itu tidak ada kegagalan tetapi hanya satu maklum balas daripada Allah. Mula-mula memanglah kita rasa macam hendak menangis. Tetapi, kita ‘reset minda’, hapuskan fail lama, kita tidak mahu hidup yang semalam kita mahu berhadapan dengan hidup sekarang dan masa hadapan.

Bagi kita mendekatkan diri dengan Allah, lima perkara yang perlu kita telitikan terlebih dahulu. Pertama, tanya kepada diri sendiri, kita kenal atau tidak diri kita? Kedua, kita sudah benar-benar kenal Allah? Sebab kalau kita kenal Allah kita akan kenal diri kita. Ketiga, kita tahu atau tidak mengapa kita dilahirkan? Keempat, apakah tujuan hidup kita? Kelima, fokus hidup kita untuk siapa, manusia atau Allah?

Cuba bayangkan, satu layang-layang terbang di awan mempunyai tali, dan lagi satu layang-layang tidak bertali. Layang-layang yang tidak bertali boleh bebas terbang ke mana sahaja, sehingga boleh masuk longkang, tersangkut di pokok dan sebagainya. Layang-layang yang bertali, tuannya akan bermain dengannya dengan elok dan menyimpannya dengan elok juga. ‘Tali’ itu ibarat pegangan agama dan akidah. Berpeganglah kepada hukum Allah supaya hidup kita tidak terbabas. “Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak”.