Manusia mempunyai kuasa pilihan untuk mencorakkan kehidupan bagaimana yang diimpikan, baik di dunia mahu pun di akhirat. Kita pasti akan meninggalkan dunia ini, tetapi sibuknya kita mencari harta atau ‘bonus dunia’ untuk kehidupan dunia, hingga kita lupa hendak mencari dan menyediakan ‘bonus akhirat’ atau ‘pencen kubur’ untuk kehidupan kita yang abadi di sana.

Kematian bermakna berakhirnya tugasan di dunia. Oleh sebab itu ‘pencen kubur’, bermaksud, kita tidak buat apa-apa tugasan lagi selepas kita mati dan berada di alam kubur, tetapi kita masih berterusan mendapat manfaatnya daripada apa yang kita buat atau tinggalkan semasa kita hidup di dunia.

Manfaat pertama, anak yang soleh. Kedua, sedekah jariah. Ketiga, ilmu yang bermanfaat. Untuk mendapat anak yang soleh/solehah, perlulah terlebih dahulu mendapat pasangan soleh/solehah.

Orang yang soleh/solehah akidahnya mantap, ibadahnya lengkap dan akhlaknya indah, insya-Allah pasangan ini dapat menikmati syurga dunia dan syurga di akhirat. Maknanya, kehidupan kita bertambah baik setelah kita berkahwin berbanding daripada sebelum kita berkahwin, kerana kita telah membuat pilihan yang betul.

Hati dan akal kitalah yang membuat pilihan: daripada hidup dalam gelap kepada terang, daripada hidup yang keladak kepada hidup yang jernih, daripada hidup bergelumang dengan kemaksiatan kepada hidup penuh ketakwaan, dan daripada Allah benci kepada Allah reda.

Semuanya itu ditentukan oleh pilihan kita sendiri. Semua keputusan kita bergantung pada timbangan akal dan hati. Dalam kehidupan kita boleh pilih antara membuat pilihan atau mencari alasan. Semakin banyak alasan yang kita beri, semakin tinggi ego kita untuk memberikan alasan atas perkara yang kita tidak mahu lakukan. Sebab itulah orang bijak pandai berkata, jangan salahkan orang jika kita gagal, tetapi salahkan diri sendiri mengapa kita memilih jalan kegagalan, dan mengapa kita tidak memilih jalan kejayaan?

Konsep hidup yang mahu kita bina – “hari ini lebih baik daripada semalam dan esok lebih baik daripada hari ini”. Ini hanya akan tercapai jika kita membuat pilihan yang betul dalam kehidupan kita. Dua perkara yang paling berharga dalam diri kita ialah akal dan hati kita. Bagaimana cara kita menggunakan kedua-duanya, menentukan masa hadapan hidup kita dan keluarga kita.

Bagi mendapat kehidupan yang sentiasa sukses bahkan bertambah sukses dari hari ke hari, kita perlu membulatkan tekad dan matlamat untuk mencapai peningkatan sasaran hidup pada hari mendatang. Hingga kita sanggup berhadapan dengan apa-apa sahaja rintangan – “Siapa yang ingin mencapai puncak yang tinggi, mesti berani mendaki”. Diri kita akan dimotivasikan dan terinspirasi jika kita dapat mencapai sasaran. Apatah lagi, jika kita mencapai peningkatan sasaran.

Kita akan lebih bersemangat dan meyakini potensi diri, apabila kita menyedari bahawa kita boleh mencapai sesuatu lebih daripada yang kita jangkakan. Daripada pencapaian itulah, kita mula mengenal pasti potensi diri. Ada antara kita yang tidak tahu potensi dirinya, malah tidak sedari mempunyai potensi diri yang sangat baik dalam sesuatu bidang.

Dua sebab kita tidak sedari potensi diri pertama, kerana terlalu sibuk pada perkara yang lain hingga tidak ada masa hendak melihat dan menilai kebolehan sendiri dan akhirnya kita hilang keyakinan diri. Lantaran kita sibuk melihat dan mengagumi kehebatan orang lain, kita tidak nampak apa yang kita miliki.

Bersikap terbuka

Lazimnya, perkara dan hal-hal yang terlampau dekat dengan kita, kita tidak nampak, tetapi kita nampak perkara dan hal-hal yang jauh daripada kita dan, itulah yang sibuk hendak kita perkatakan dan dirasakan hebat.

Sedangkan dengan potensi diri yang kita ada, kita juga boleh membina kejayaan dan kecemerlangan hidup jika kita berani membuat pilihan yang tepat, dan berhenti memberi pelbagai alasan untuk mencuba sesuatu yang baharu. Jom audit diri kita dan lihat potensi diri. Banyak orang menyalahkan faktor luaran menyebabkan nasibnya menjadi buruk, tetapi tidak menyalahkan faktor dirinya yang silap dalam membuat pilihan keputusan kehidupannya, hingga menyebabkan nasibnya tidak berubah menjadi lebih baik daripada hari semalam.

Seterusnya untuk dapat kesan potensi diri kita, perlu kita membuang sifat ego, sedia untuk dinilai dan dikritik. Pandangan dan kritikan yang membina amat penting dalam mendapat penilaian potensi diri kita yang sebenar. Jadilah orang yang tidak suka dipuji dan tidak takut dikeji, selain terbuka dan suka menerima teguran. Ingatlah, bermulanya kejatuhan kita adalah pada hari kita tidak boleh menerima teguran, terutama teguran daripada musuh kita.

Kita perlu belajar daripada musuh kerana musuh akan memberitahu kelemahan kita, berbanding dengan kawan yang akan memberitahu yang baik sahaja, dan tidak akan memberitahu kelemahan kerana untuk menjaga hati kita. Teguran musuh itulah penyataan yang benar tentang kelemahan diri kita yang perlu diperbetulkan untuk mempertingkat pencapaian diri agar hari ini lebih baik daripada semalam.

Seterusnya, audit diri kita dengan Allah. Audit hubungan kita dengan keluarga kita. Adakah kita ini ‘manusia wajib’ (kalau kita tiada orang susah dan berasa amat kehilangan) atau ‘manusia haram’ (kalau kita ada orang susah/takut dan kita tidak disukai orang) atau ‘manusia sunat’ (apabila kita ada orang suka, kalau tidak ada pun tidak apa) atau kita ‘manusia makruh (kalau kita tidak ada lagi bagus, kalau kita ada okey aje).

Audit percakapan kita, sama ada suka kata orang, bangga diri atau kita biasa-biasa sahaja, sibuk cari resolusi atas apa yang berlaku. Audit tindakan kita apabila ada satu peristiwa negatif/masalah adakah kita sibuk bergelumang dengan masalah, merungut, menyesal, marah dan menyalahkan atau fokus kepada mencari resolusi.

Orang yang potensi dirinya positif, akan melihat semua perkara/peristiwa negatif sebagai 20 peratus masalah dan 80 peratus resolusi, untuk menjadikan hari ini lebih baik daripada semalam. Yang telah berlaku biarkan berlalu. Jangan biarkan apa-apa yang berlaku semalam, mengganggu masa kita hari ini.

Oleh itu berhenti daripada menyesal dan menyalahkan apa-apa yang berlaku semalam. Tetapi, niat gunakan hari ini sebaik mungkin, untuk dekat dengan Allah dan mencari kejayaan baharu, di dunia dan akhirat. “Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak”.