Bagi mereka yang sedar, inilah realiti membuktikan bahawa kehidupan di dunia adalah sementara. Justeru, tinggallah segala kelazatan dunia sama ada kemewahan harta benda, pangkat dan juga orang-orang dikasihi.

Apa yang kekal dan menjadi teman setia hanyalah amal soleh dilakukan semasa hidup selain pahala sedekah jariah, ilmu bermanfaat dan doa daripada anak soleh dijanjikan memberi pahala berterusan walaupun setelah meninggal dunia.

Yang pasti, apabila tiba giliran dipanggil malaikat pencabut nyawa, Izrail, tiada seorang pun bakal terlepas atau dapat menghalangnya. Ia sebagaimana firman Allah SWT bermaksud:

“Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh (yang telah ditetapkan); maka apabila datang waktunya, tidak dapat mereka lewatkan walau sesaat, dan tidak dapat pula mereka didahulukan.” (al-A’raaf: 34)

Sehubungan itu, setiap umat Islam perlu sentiasa mengingati mati dan mempersiap diri untuk menghadapi penamat segala urusan dunia itu.

Ini kerana, golongan yang sentiasa mengingati kematian dan melakukan persiapan menghadapinya adalah tergolong daripada orang bijak yang bakal memperoleh kehormatan di dunia dan kemuliaan di akhirat.

Ini sebagaimana diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a. katanya: “Aku mendatangi majlis Rasulullah yang sedang berkumpul bersama 10 sahabat. Seorang sahabat Ansar dalam kalangan mereka bertanya, wahai Rasulullah, siapakah orang yang paling cerdas dan pemurah itu? Baginda menjawab, mereka ialah yang selalu mengingat kematian dan melakukan persiapan menghadapinya. Itulah orang cerdas yang akan memperoleh kehormatan di dunia dan kemuliaan di akhirat kelak.” – Riwayat Tirmizi

Hakikatnya, mengingati mati memberi keinsafan bahawa hidup di dunia adalah sementara, justeru rasa keinsafan itulah yang menggerakkan diri untuk segera bertaubat. Sikap suka melengahkan taubat dan beramal soleh dikhuatiri menyebabkan diri tersisih daripada memperoleh rahmat Allah.

Dengan mengingati mati secara tidak langsung memotivasikan kita untuk berusaha melipatgandakan amal ibadat, sama ada ibadah wajib atau sunat. Dengan amal yang dilakukan secara istiqamah (berterusan) membolehkan kita sentiasa berada pada jalan Allah, sekali gus menjadi bekalan menuju akhirat.

Dalam masa sama, umat Islam juga perlu menjauhkan diri daripada melakukan dosa atau perkara dilarang syariat dengan istiqamah. Kematian adalah pengakhiran mengembalikan kita kepada Allah, maka jadilah seorang yang sentiasa mengingati Allah dengan mematuhi serta mentaati segala perintah-Nya.

Berzikirlah kepada Allah pada setiap kesempatan yang ada, tidak kira di mana dan dalam keadaan apa sekalipun kerana apabila kita mengingati Allah, sudah pasti Allah juga akan mengingati hamba-Nya.