Hal ini berlaku disebabkan lemah dan tipisnya iman seseorang itu terhadap Rukun Islam kelima iaitu mempercayai hari akhirat. Mereka sibuk mengejar kemewahan dunia tanpa menyedari bahawa kehidupan dunia umpama permainan yang sia-sia dan hiburan melalaikan.

Golongan ini merasakan seakan tidak bersalah mengingkari perintah dan larangan Allah, melakukan kerosakan dan menimbulkan kekacauan yang memudaratkan diri sendiri dan orang lain.

Sedangkan manusia bersifat seumpama ini diibaratkan sebagai binatang ternak dan tergolong sebagai orang yang lalai. Ia disebabkan sikap mereka yang tidak mahu memahami ayat Allah, melihat bukti keesaan Allah dan mendengar ajaran terkandung dalam al-Quran.

Akibat kelalaian golongan ini daripada menghargai dan mensyukuri kurniaan Allah, maka mereka akan diseksa oleh Allah dengan azab yang pedih di neraka.

Firman Allah SWT bermaksud:

“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak daripada jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang yang lalai.” (al-A’raaf: 179).

Ayat ini menjelaskan bahawa orang yang enggan memahami ayat Allah SWT, tidak mahu melihat bukti keesaan-Nya dan tidak mahu mendengar ajaran serta nasihat terkandung dalam al-Quran adalah golongan rugi.

Mereka bukan sahaja rugi di dunia, bahkan lebih rugi dan malang di akhirat kerana akan dibalas dengan azab neraka. Namun selain mereka, terdapat beberapa golongan manusia lagi yang hidup dalam kerugian iaitu:

1. Orang mencari agama selain daripada Islam

2. Orang menyekutukan Allah – mempercayai terdapat kuasa selain Allah yang boleh memberi manfaat, mudarat kepada manusia.

3. Orang tunduk kepada desakan hawa nafsu hingga melakukan sesuatu bercanggah dengan ajaran agama

4. Orang mendustakan al-Quran.

5. Orang lalai melaksanakan perintah Allah kerana terlalu sibuk mengurus harta benda dan anak-pinaknya.

TINGKAT KEIMANAN DAN TAKWA

Menjadi kewajipan bagi seluruh umat Islam mengelakkan diri dan keluarga tergolong dalam kalangan mereka yang rugi sama ada di dunia atau akhirat dengan berusaha mempertingkat keimanan dan ketakwaan kepada Allah.

Caranya sudah tentulah dengan mengatur dan mencorakkan kehidupan di dunia ini menurut ajaran Islam yang sebenar dengan didasari sifat malu.

Ini penting kerana sifat malu sebahagian daripada iman sejajar dengan sabda Rasulullah bermaksud: “Malu dan iman itu adalah satu rumpun. Apabila terangkat (hilang atau tiada) salah satu (daripada kedua), maka hilang pula yang lain.” – Riwayat al-Hakim

Sifat malu merujuk kepada perasaan takut dan segan melakukan kesalahan dan dosa yang boleh menjatuhkan imej serta maruahnya di sisi Allah. Ia lahir daripada kesedaran bahawa Allah sentiasa mengawasi setiap perlakuan hamba-Nya.

Sebarang dosa walau sekecil mana pun pasti dicatat oleh malaikat yang ditugaskan Allah untuk dihitung pada hari akhirat. Sesungguhnya, keimanan kepada Allah dan hari akhirat adalah sebesar-besar nikmat kepada seseorang individu Muslim.

Justeru, selagi nyawa dikandung badan marilah sama-sama kita memperteguh keimanan dan ketakwaan kepada Allah dan beramal soleh selain terus membudayakan amalan tegur menegur, nasihat menasihati dan berpesan-pesan dengan kebenaran dan sabar