Sungguhpun begitu amalan memperingati keputeraan Nabi SAW dengan sambutan maulid tidaklah pula menyimpang daripada ajaran agama. Malah aktiviti perarakan sambil membaca selawat atas Nabi SAW dan ceramah agama yang rutin dilakukan pada bulan Rabiulawal sangat signifikan untuk menyegarkan ingatan dan kecintaan kepada Rasulullah SAW. Amalan ini juga dapat ­meninggikan syiar Islam yang sesuai dengan kedudukannya.

Selain itu, masyarakat Islam diajak untuk memperbaharui kecintaan terhadap junjungan mulia dengan menghayati sirah hidup baginda dan liku-liku perjuangan dakwah menegakkan Islam sebagai pedoman bersama. Ini ­penting bagi mengelakkan pelaksanaan dakwah dan penyampaian ajaran agama yang menyimpang daripada landasan sebenar. Dewasa ini terdapat segelintir yang menyebarkan fahaman songsang dan ajaran sesat yang mengelirukan masyarakat.

Malah terdapat pula yang kurang ilmu, menjadi pak turut, bersikap keras hati dan merasakan dia sahaja yang betul sehingga mengabaikan tanggungjawab kerana taksub dan fanatik dengan fahaman tertentu. Salah faham dan perbuatan melampau seperti ini eloklah diperbetulkan dengan memilih jalan wasatiyyah (kesederhanaan) dan mempraktikkan ajaran Nabi SAW dalam konteks yang syumul dan menyeluruh.

Untuk tujuan itu, umat Islam juga diajak beramai-ramai menghadiri pelbagai program yang dirancang sempena bulan Rabiulawal bagi menimba ilmu demi memahami Islam dalam realiti kehidupan masa kini dan tidak terhad kepada pelaksanaan ibadah khusus semata-mata. Ini kerana syariat Islam juga berkait rapat dengan aspek kenegaraan, politik, sosial dan ekonomi.

Dalam pada itu, usah dipilih ustaz selebriti atau ustaz tertentu sahaja untuk menghadiri program ceramah sempena Maulidur Rasul. Yang lebih penting adalah, apa yang disampaikan dan bagaimana umat Islam berusaha menzahirkan kecintaan terhadap baginda. Diharapakan, segala pelajaran daripada ceramah agama dan majlis ilmu dapat diterjemahkan dalam kehidupan berkeluarga, bermasyarakat dan bernegara.

Kaum Muslimin juga diajak mengamalkan ajaran Nabi Muhammad SAW dalam segenap gerak geri kehidupan. Seperti mana Nabi Muhammad SAW dan para Anbia terdahulu menggembala kambing dan berniaga untuk menyara kehidupan diri dan keluarga maka umat Islam diajak bersikap produktif dan komited dalam kerjaya masing-masing. Usah curi tulang dan terlalu berkira-kira dalam melakukan pekerjaan seharian.

Yang lebih penting ikhlas dan tidak mengabaikan semua perintah agama. Begitu juga, persoalan halal dan haram hendaklah sentiasa dititikberatkan agar pekerjaan yang dilakukan dinilai sebagai ibadah.

Dalam konteks hubungan sosial dan kemasyarakatan, Nabi Muhammad SAW ialah role model dengan menunjukkan tatacara bergaul dan berbuat baik kepada semua manusia tanpa mengira perbezaan agama dan fahaman tertentu.

Untuk itu, perbuatan keji mengumpat dan memburuk-burukkan orang lain hendaklah digantikan dengan mengingat dua perkara dan melupakan dua perkara. Ingatlah sentiasa semua kebaikan orang lain kepada kita dan ingatlah semua keburukan yang telah kita lakukan. Lupakan pula semua kebaikan yang telah dilakukan kepada orang lain dan lupakan semua keburukan yang pernah dilakukan kepada kita. Dengan cara ini diharapkan kehidupan bermasyarakat, berjiran dan bersahabat akan sentiasa harmoni dengan semangat ukhuwah yang sentiasa bertaut sepanjang masa.

Begitu juga dalam pergaulan dan tatacara berpakaian umat Islam diingatkan supaya sentiasa mematuhi syariat. Pergaulan bebas antara bukan mahram, ber­dua-duaan lelaki dan perempuan tanpa ikatan nikah adalah di­larang agama.

Adalah sesuatu yang tidak kena dengan sambutan Maulidur Rasul apabila masih ada yang selesa berpakaian mencolok mata sehingga menyebabkan diri sendiri dan orang lain terlibat berdosa. Ini diburukkan lagi dengan penggunaan media baharu untuk mempamerkan aksi lucah dan perbualan kotor yang boleh menyebabkan pelaku terpalit dosa sebanyak mana orang yang menonton, membaca dan menyebarkannya.

Bersempena dengan sambutan Maulidur Rasul kali ini kaum Muslimin diajak merapatkan saf dan barisan untuk membentengi diri, keluarga dan negara daripada pelbagai ancaman dalaman dan ­luaran yang bertujuan menyesatkan umat daripada ajaran Islam yang sebenar.

Usah juga dilupakan nasib saudara seagama di merata dunia termasuklah di Rohingya yang dinafikan hak untuk hidup dan melaksanakan ajaran Islam dengan pengusiran daripada kampung halaman selain pencabulan ke atas hak asasi manusia.

Lebih daripada itu, umat Islam diingatkan tidak hanya teruja berarak dengan baju Melayu sambil mengangkat sepanduk serta berqasidah dan marhaban sahaja. Ingatan dan kecintaan ter­hadap Nabi Muhammad SAW yang mulia hendaklah diterjemahkan dengan memperbanyak selawat dan mempraktikkan ajarannya sepanjang masa.