Kita dilahirkan dalam keadaan bersih, fikiran manusia berubah mengikut apa yang dilihat dan dilalui dalam kehidupan seharian sama ada perkara baik atau buruk.

Justeru tambahnya, fikiran perlu dilindungi sebaiknya daripada sebarang perkara mungkar bagi mengelakkan dicemari kekotoran, sekali gus mempengaruhi kesucian rohani seseorang Muslim.

“Menjadi ancaman baharu yang juga masalah besar bagi umat Islam pada hari ini. Itulah gejala pornografi. Siapa sahaja termasuk kanak-kanak berusia seawal enam atau tujuh tahun boleh menonton video lucah ini dengan mudah iaitu menerusi internet atau laman sosial.

“Kesannya, walaupun sekali kamu melihat pornografi, ia sebenarnya telah merosakkan akal fikiran. Mulanya menonton daripada telefon bimbit atau komputer dan kemudian akan terbawa-bawa ke mana sahaja. Apa yang dilihat di sekeliling kita semuanya akan terbayang perbuatan kotor itu dalam fikiran.

“Perbuatan itu juga bertentangan dengan ajaran Islam yang mengajar umatnya agar menundukkan pandangan apabila melihat orang berlainan jantina, sedangkan kamu memerhati mereka dengan hawa nafsu,” katanya.

Bukan sahaja merosakkan fikiran, Mufti Menk berkata, bahaya pornografi juga boleh mengakibatkan ketagihan sehingga menjejaskan kualiti hidup seseorang individu.

“Apabila menonton video lucah, kamu mendedahkan sepenuh fikiran dan keinginan terhadap aksi yang dilakukan. Tidak puas menonton, kamu mula cuba untuk melakukannya (berzina). Ia sama seperti bahan kimia yang masuk ke dalam tubuh akibat pengambilan dadah atau ubat terlarang.

“Ini akan membuatkan kamu berasa ketagih dan ingin melihat atau melakukannya lagi dan lagi. Setiap masa, otak kamu mula menginginkannya. Jika tidak dapat, kamu akan merasa gelisah. Mengapa? Kerana kamu telah ketagih.

“Ketagihan itu juga tanpa disedari akan menghancurkan hidupmu. Ia juga akan mengawal diri kamu. Secara tidak langsung menjauhkan kamu daripada teman-teman sekeliling kamu, keluarga dan semua yang kamu cintai,” ujarnya.

Justeru, katanya, tidak hairanlah terdapat segelintir pihak yang cuba memperjuangkan kesaksamaan lesbian, gay, biseksual dan transgender dengan alasan hak kebebasan individu tanpa memikirkan soal sensitiviti keagamaan.

“Apabila nafsu sudah menguasai diri, ada juga mula berfikir untuk mengubah jantina. Malah sebahagian telah pun mengubahnya. Inilah yang berlaku. Jika kita melihat kehidupan di Barat, mereka terperangkap, hancur dalam amalan hidup mereka sendiri.

“Apa yang mereka anggap kebebasan, sebaliknya merosakkan diri sendiri. Mereka mendedahkan tubuh kepada umum untuk orang memuji kecantikan mereka, termasuklah daripada orang yang sama jantina.

“Semua bertujuan memuaskan ketagihan itu yang tidak mengenal usia, jantina dan siapa diri kamu, sedangkan ketagihan itu tidak sesekali akan pernah puas,” tegasnya.

Sehubungan itu, dinasihatkan umat Islam menjauhkan diri daripada gejala pornografi kerana tidak membawa sebarang kebaikan berbanding penuh dengan keburukan.

“Anggota tubuh yang kita miliki merupakan amanah daripada Allah SWT. Kita tidak boleh menggunakannya sesuka hati mengikut kehendak nafsu sendiri, sebaliknya harus bertepatan dengan kehendak Allah,”