Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for Disember 2016

Tuan Guru Sheikh Toyyib al-Makki dalam kenangan

Posted by epondok di Disember 31, 2016

Kenali Ulama Rabbani:

Tuan Guru Sheikh Toyyib al-Makki merupakan salah seorang daripada ulama’ yang sempat bertalaqi dengan al-alamah Sheikh Wan Ismail bin Wan Abdul Qadir al-Fathoni (Pak Da’eil) yang merupakan seorang ulama’ Makkah yang alim dan faqih tauhid yang mana mempunyai ribuan anak murid di seluruh dunia.

Tuan Guru juga sempat bertalaqi dengan beberapa ulama’ muktabar Makkah pada ketika itu seperti al-Musnid Dunya Sheikh Yassin Isa al-Fadani, al-alamah Sheikh Abdul Qadir al-Mandiling, al-alamah Sheikh Hassan Masyath dan banyak lagi.

Tuan Guru lahir pada tahun 1912M dan mula menuntut ilmu di pondok di sekitar Kedah dan Fathoni sebelum berangkat ke Makkah. Beliau menetap disana menuntut ilmu dari Masyaikh di sana sehingga kesemua 10 orang gurunya kembali kerahmatullah barulah beliau pulang ke tanah air tetapi kembali ke sana setiap 6 bulan sekali setiap tahun hinggalah kini.

Beliau hanya makan roti dan bihun dan digelar Haji Tayyib Roti di Makkah. Beliau merupakan seorang yang lantang menegakkan kebenaran dan mencegah kemungkaran sehinggalah tidak disukai masyarakat setempat namun beliau tetapkan tegakkan kebenaran.

Beliau sangat mudah didekati oleh segenap lapisan masyarakat kerana akhlaknya sangat indah. Nasihat dan ilmu yang disampaikan pasti bersesuaian dengan diri orang yang dinasihatinya itu.

Diantara Ulama Hebat yang pernah ditemu dan ketemu dengan beliau ialah Habib Umar Bin Hafiz dan Syeikh Nuruddin Marbu Al Banjari Al Makki.

Bahasa-bahasa yang beliau gunakan adakala terlampau sukar difahami disebabkan kiasannya yang tak dapat difahami oleh orang jahil seperti aku. Doa-doanya mustajab dan beliau seringkali menekankan supaya sentiasalah BERSEDEKAH dan BERSELAWAT kepada junjungan besar nabi S.A.W.

Syeikh Meninggal dunia kira kira jam 10.15 malam waktu Malaysia. 28.12.16. di rumahnya di bukit Azyad Makkah.

Sama sama kita sedekah Al Fatihah buat roh Syeikh Toyib. Moga ALLAH ampunkan dosa beliau dan tempatkan roh beliau bersama orang beriman.

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُ وَارْحَمْهُ وَعَافِهِ وَاعْفُ عَنْهُ،

Posted in Tokoh Ulama' | Leave a Comment »

Ubah Diri Jadi Lebih Berharga

Posted by epondok di Disember 28, 2016

Susunan MOHD. SHAH 
CHE AHMAD

“DARIPADA sebutir pasir yang tidak mempunyai apa-apa, kehebatan manusia mampu menjadikannya lebih berharga dan bernilai daripada emas,”

Begitulah antara bukti kehebatan manusia diciptakan dengan sebaik-baik kejadian oleh Allah SWT. Ia sebagaimana firman-Nya bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya.” (at-Tin : 5)

Berbeza dengan makhluk lain tambahnya, nikmat akal dan fikiran merupakan rahmat terbesar kurniaan Allah kepada manusia berbanding pelbagai ciptaan lain di muka bumi.

“Manusia merupakan makhluk ciptaan Allah paling unik. Allah merahmati manusia dengan menganugerahkan kita sebuah karakter yang sempurna sehingga melampaui segala ciptaan lain iaitu akal.

“Walaupun setiap makhluk diciptakan dengan ciri fizikal tersendiri, namun akal membezakan manusia dengan haiwan. Jika kita perhatikan, bagaimana manusia dapat menghasilkan pelbagai produk dan sesuatu menakjubkan daripada bahan yang tiada apa-apa.

“Contohnya, manusia mampu menempa logam sehingga menjadi sesuatu benda yang bernilai. Manusia juga mampu mengolah pasir dan membuatnya lebih berharga daripada emas dengan mengubahnya menjadi silikon atau litar bersepadu (integrated circuit),”

Konsep sama menerusi akal dan fikiran membezakan nilai seseorang manusia yang akan menentukan kedudukan mereka di sisi Allah.

“Jika kita mampu mengolah besi menjadi pesawat terbang di udara dan membawa manusia serta barangan ratusan tan beratnya, begitu juga kita mengolah diri sendiri menjadi bernilai di sisi Allah berbanding insan lain.

“Wahai manusia, jika kamu mengubah sesuatu yang pada asalnya tidak ada apa-apa menjadi sesuatu yang berguna, mengapa tidak kamu berusaha mengolah diri sendiri dan mencapai darjat lebih tinggi,”

Bagaimanapun , realiti yang berlaku kini, manusia dilihat lebih bersungguh-sungguh mengolah sesuatu hal keduniaan berbanding diri sendiri.

“Buktinya, di luar daripada diri kita terdapat pelbagai kemajuan di mana-mana, inovasi terbaru diperkenalkan, arkitek bangunan dilihat sangat moden, kereta juga lebih mewah dan canggih. Namun begitu, jika manusia tidak cuba memajukan diri sendiri, maka nilai kita tidak berubah.

“Oleh itu, kita perlu sedar, usaha kita seharusnya tidak hanya bersifat materialistik atau kebendaan sahaja, manusia juga harus mengolah hatinya untuk mencapai ‘kemajuan’ dan bernilai di sisi Allah dengan memperbanyakkan zikir dan melakukan amal soleh.

“Malah, ulama juga sentiasa mengolah hatinya. Ini kerana mereka sedar Allah telah menempatkan keindahan di dalam diri mereka. Apabila kita mengolah hati menjadi lebih baik, maka kita akan menemukan kebaikan, rendah diri, kasih sayang dan sifat soleh,”

 

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Ujian Allah mengukur tahap iman

Posted by epondok di Disember 27, 2016

dr. muhaya muhamad

Usah bersedih jika kita diuji Allah. Hidup ini merupakan satu ujian kepada makhluk Allah, dan di akhirat kita akan mendapat balasan ke atas apa-apa jua yang kita lakukan di dunia ini. Oleh sebab itu, setiap yang berlaku terhadap diri kita merupakan satu ujian. Lagi susah kita mendapat ujian, lagi tinggilah makam kita di sisi Allah SWT. Jangan mengeluh, menyalahkan, dan merungut apabila menerima ujian Allah, kerana Allah sedang menyediakan markah atau pahala yang tinggi kepada hamba-Nya yang reda.

Terimalah semua perkara yang berlaku, sebagai qada dan qadar Allah. Yang semuanya telah ditakdirkan Allah kepada kita hamba-Nya, dan tidak terdaya kita mengelakkannya. Sebab kita tidak boleh kawal apa yang berlaku ke atas kita, tetapi kita hanya boleh kawal respons kita terhadap apa yang berlaku berdasarkan pilihan kita (negatif atau positif). PERISTIWA + RESPONS = HASIL KEHIDUPAN kita. Oleh sebab itu faktor yang menentukan HASIL KEHIDUPAN kita (4K= Ketenangan, Kebahagiaan, Kesihatan dan Kekayaan) adalah respons kita.

Bagaimanakah kita hendak menghadapi ujian Allah? Kita mesti yakin, bahawa Allah hanya beri ujian atas apa yang hamba-Nya boleh tangani. Sebab itu setiap orang akan menghadapi, cabaran, cubaan atau ujian yang berlainan atau berbeza-beza berdasarkan kemampuan kita.

Contohnya, kalau ada orang yang diuji Allah, ditakdirkan kematian seorang anak terunanya kerana kemalangan jalan raya, ada orang pula diuji kematian seluruh keluarganya kerana kemalangan jalan raya.

Lantaran itu, setiap kali kita berhadapan dengan ujian Allah, pada saat kita hendak berasa sedih dan hilang semangat, lihatlah dan kenangkanlah orang lain yang lebih berat ujiannya, jika dibandingkan dengan yang kita alami. Itu adalah satu cara proses “reset minda”.

Jom audit diri dan marilah kita melihat masalah atau ujian Allah itu, sebagai satu peluang untuk kita dapat dua perkara. Pertama, macam mana dengan sebab ujian itu kita akan menjadi lebih dekat dengan Allah. Kedua, bagaimana dengan peristiwa itu, kita belajar tentang diri kita. Sebab kita akan lebih mengenali diri kita sebaik-baik sahaja kita ada masalah.

Dalam keadaan bahagia manusia tidak tahu dirinya yang sebenar. Tetapi, dalam keadaan bermasalah dan krisis, baru kita tahu diri kita yang sebenar. Iaitu ukurannya berdasarkan respons atau tindak balas kita terhadap sesuatu peristiwa negatif itu.

Apakah reaksi spontan kita apabila berlaku peristiwa negatif? Contohnya, kalau orang yang hidup dengan kesedaran ketuhanan (mukmin sejati), apabila berlaku kemalangan kereta, reaksi spontannya, dia akan pergi tengok kereta orang dahulu, sama ada kemek atau tidak, bukan dia tengok keretanya dahulu.

Seorang mukmin sejati, sangat sayang sesama manusia dan dia akan segera memohon maaf dan mengambil tanggungjawab atas kesilapannya. Tetapi, orang yang kesedaran keegoannya tinggi, tidak pedulikan perasaan dan kebajikan orang, asyik fikir dirinya, yang penting keretanya dan dia hanya mencari siapa salah, serta sikapnya akan menyalahkan orang. Perhatikan, dua peristiwa yang sama, tetapi menghadapi respons yang berbeza.

Respons itu positif atau negatif, berdasarkan atau bergantung pada kemantapan akidah, ibadah dan akhlak seseorang itu dalam menangani ujian Allah.

Bagaimanakah pula kita melihat ujian Allah itu? Bagi orang yang berjiwa besar, masalah akan menjadi kecil. Orang berjiwa kecil semua masalah menjadi besar. Kalau hendak tahu kita berada dalam kelompok yang mana, sama ada dalam kalangan orang yang kesedaran ketuhanan yang tinggi atau kesedaran keegoan yang tinggi, kita nilai percakapan yang keluar daripada mulut kita apabila ditimpa musibah.

Menyalahkan

Kalau berlaku sesuatu musibah atau ujian Allah, kita akan berkata perkara yang negatif seperti, “saya serabut,” “memang Tuhan tidak sayang saya,” “Allah tak adil,” dan “nasib saya memang malang selalu,” maka kita perlu “reset minda.”

Iaitu ubah cara atau persepsi kita terhadap kejadian buruk yang berlaku ke atas kita itu, dengan melihat segala kejadian buruk itu sebagai ujian Allah untuk melihat tahap keimanan kita. Jika kita asyik merungut, mengeluh dan menyalahkan orang serta menyalahkan ketidakadilan Allah, kita akan menjadi semakin lemah, hilang semangat dan keyakinan, untuk terus menempuh hidup yang lebih mencabar setelah ditimpa ujian Allah.

Oleh sebab itu, kalau kita hendak tahu kuat atau tidak akidah kita, apabila sesuatu berlaku sama ada positif atau negatif, kita mesti ingat Allah dahulu. Kalau sesuatu yang berlaku kita ingat makhluk, itulah yang penat.

Kita penat sebab kita sibuk dengan makhluk. Kalau kita bermasalah pun kita letakkan harapan dan pergantungan kita kepada Allah Yang Maha Berkuasa. Bayangkan kalau kita sedang berjalan mengangkat satu beg atau beban yang berat, tiba-tiba datang orang hendak membantu kita, tentu kita akan berasa lega kerana ada orang yang sanggup bersama-sama kita menggalas beban yang berat itu.

Tetapi, kalau kita hendak berkongsi menggalas beban yang berat bersama-sama orang yang lemah sama seperti kita (makhluk Allah), tentu tiada maknanya. Makhluk tidak dapat meringankan atau menyelesaikan masalah kita, bahkan sebaliknya membuatkan masalah kita menjadi lebih rumit. Jangan sesekali bergantung kepada makhluk, jangan minta orang bimbing kita tetapi kita pergilah mencari ilmu. Mantapkan ilmu, berguru dan perbetulkan diri kita.

Contohnya, ada orang yang diuji Allah kehilangan penglihatan, sesudah tamat pengajiannya. Orang yang menerima ujian ini perlu mencari penyelesaian dari segi luarannya, dengan mendaftar sebagai orang cacat penglihatan bagi membolehkannya mencari peluang pekerjaan bersesuaian dengan kemampuannya.

Seterusnya carilah penyelesaian dari segi dalaman pula, dengan cara hapuskan kesedihan, perasaan rendah diri dan merungut akan kelemahan dirinya dengan cara pertama, jangan fokus kepada apa yang kita tidak ada, tetapi fokuslah kepada apa yang kita ada, (terlalu banyak lagi yang kita ada yang masih sempurna).

Kedua, jangan kita terlalu fokus kepada perkara yang lepas (dahulu kita nampak, sekarang sudah tidak nampak), kerana akan melemahkan semangat). Ketiga, kita fokus kepada apa yang orang hendak untuk kita, bukan apa yang kita hendak. Ingatlah, Allah tidak akan memberi sesuatu kecuali untuk kebaikan hamba-Nya, biarpun ia merupakan perkara yang buruk di mata kita hamba-Nya. Sabar dan reda, serta rasakan dugaan daripada Allah itu tanda Allah sayang akan kita.

Pejamkan mata rapat-rapat, kita akan dapat bayangkan banyak perkara baik yang boleh kita fokus, sebab apabila kita menutup “mata fizikal”, “mata hati” akan terbuka. Bayangkan, orang yang diuji Allah di dunia nampak susah, tetapi dari segi akhirat jika kita sabar dan reda, kita akan mendapat kesejahteraan hidup di sana.

Penyakit dan masalah manusia hari ini adalah kerana lebih yakin kepada manusia daripada keyakinan kepada Allah. “Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak.”

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Hayati ajaran Allah dan Rasulullah s.a.w

Posted by epondok di Disember 26, 2016

PROFESOR MADYA DR. SAODAH ABD. RAHMAN

ISLAM ialah satu agama yang prihatin terhadap keamanan, kasih sayang dan kebajikan dalam bentuk yang universal. Rasulullah SAW mendidik, me­mimpin dan memandu manusia supaya menjadi hamba Allah yang bertakwa dan khalifah Allah yang adil dan mencintai keamanan di muka bumi ini. Umat Islam sepatutnya merenung dan bermuhasabah sejauh manakah mereka telah menghayati dan mengamalkan pengajaran yang disebarkan oleh baginda sepanjang kehidupannya.

Baginda mengorbankan harta, masa dan nyawa untuk me­negakkan kebenaran, keadilan dan memimpin manusia ke arah kehidupan yang bahagia di dunia dan di akhirat. Oleh itu baginda diibaratkan sebagai orang yang memberi rahmat kepada seluruh alam. Perkara ini disebut oleh Allah SWT dalam Surah 21 (al-Anbiya’): 107 yang bermaksud: “Dan sesungguhnya tiadalah Kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam”.

Nabi Muhammad SAW bukan sahaja memberi rahmat kepada orang Islam malah merangkumi kesemua manusia, jin, binatang dan tumbuh-tumbuhan. Baginda melarang umat Islam menyeksa binatang seperti mana sabdanya yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah SWT mewajibkan berbuat baik kepada segala sesuatu. Apabila membunuh maka bunuhlah dengan baik. Dan apabila kamu menyembelih, maka sembelihlah dengan baik. Hendaklah salah seorang kamu menajamkan pisaunya dan membuat binatang sembelihannya tenang”.

Rasulullah SAW melarang umat Islam menebang pokok jika pokok tersebut tidak digunakan untuk pembangunan dan sebagainya. Aktiviti pembalakan secara rakus yang diamalkan oleh manusia masa kini adalah bertentangan dengan ajaran Islam. Kawasan pembalakan menjadi gondol dan me­ngalami penghakisan yang paling teruk sehingga mencemarkan sungai dan saliran air serta mengganggu haiwan dalam hutan dan air.

Berkaitan perkara ini baginda bersabda: “Sesiapa yang memotong pohon sidr (bidara), maka Allah SWT sungkurkan kepala­nya dalam api neraka”. Jika memotong sebatang pokok boleh tersungkur dalam neraka, maka aktiviti pembalakan secara rakus sehingga hutan menjadi gondol maka azabnya adalah lebih berat di hari akhirat. Oleh itu, individu yang melibatkan diri dalam kegiatan pembangunan dan pembalakan perlu bermuhasabah diri.

Rasulullah SAW adalah rahmat kepada umat manusia tanpa me­ngira agama dan bangsa. Perwatakan kasih sayang dan kelembutan baginda terhadap manusia dapat dilihat dalam medan Peperangan Badar (Peperangan pertama antara umat Islam dengan musyrik berlaku 7 Ramadan, dua tahun selepas Hijrah yang mana umat Islam memenangi peperangan tersebut).

Ketika baginda melihat mayat-mayat musuh bergelimpangan di medan perang tersebut baginda menangis kerana baginda tahu mereka akan diazab oleh Allah de­ngan azab yang keras. Hatinya yang lembut dan penuh kasih sayang terhadap manusia tidak sanggup melihat mereka diseksa oleh Allah.

Berdasarkan kepada perwatakan lemah lembut Rasullullah SAW maka umat Islam bermuhasabahlah diri ketika bertarung sesama sendiri untuk mendapat kuasa dan kedudukan. Baginda menyeru umat Islam supaya menunjukkan sikap rahmah pada manusia dalam apa jua keadaan seperti mana sabda baginda: “Peranglah kamu dengan nama Allah. Perangilah musuh Allah dan musuh kamu di negeri Syam. Kamu akan mendapati di antara mereka orang yang tinggal di rumah-rumah ibadah, mereka mengasingkan diri daripada orang ramai. Maka janganlah kamu mengganggu mereka. Dan kamu akan mendapati orang lain yang di kepala mereka ada sarang syaitan. Maka pecahkanlah dengan pedang-pedang. Janganlah kamu membunuh perempuan, jangan bunuh anak kecil menyusui, jangan bunuh orang tua, jangan potong pohon kayu, jangan tebang pohon kurma dan jangan hancurkan rumah”.

Rasulullah SAW adalah seorang yang tawaduk dan mempunyai budi pekerti mulia dan penuh kasih sayang.

Perkara ini dijelaskan oleh Allah dalam surah 9 (al-Tawbah): 128 yang bermaksud: “Sesunguhnya telah datang kepada mu seorang Rasul dari kaum mu sendiri, berat terasa olehnya penderitaan mu, sangat menginginkan (keamanan dan keselamatan) bagi mu, amat belas kasihan lagi penyayang terhadap orang mukmin”.

Rasulullah SAW menyeru manusia supaya menyembah Allah Yang Maha Esa dan Berkuasa. Konsep tauhid yang diperjuangkan oleh baginda membuka minda dan hati umat Islam bahwa Allah adalah Tuan atau Raja kepada manusia dan makhluk-Nya. Manusia adalah hamba kepada-Nya maka kesemua manusia adalah sama tarafnya kecuali ketakwaan.

Oleh itu, jika seseorang individu dilantik menjadi ketua dalam negara maka tugas utamanya ialah melaksanakan amanah rakyat sebaik mungkin bukan meletakkan diri sebagai orang yang mempunyai taraf yang paling tinggi dan berkuasa serta bebas melakukan apa jua kegiatan tanpa batasan.

Islam mengutuk konsep bertuhankan manusia kerana konsep hidup begini boleh memusnahkan pembentukan sebuah negara yang adil, saksama dan maju. Pangkat dan kedudukan di dunia ini adalah kebanggaan yang berbentuk sementara. Kehebatan dan status keturunan hanyalah satu keegoan berlandaskan kehidupan duniawi yang paling rapuh dan hilang apabila roh kembali kepada Ilahi.

Renungilah pesanan baginda berkaitan kehidupan di dunia ini seperti mana sabdanya: “Jadikanlah kamu sebagai orang musafir yang sedang dalam perjalanan”.

Dalam Khutbah Wida’ (Khutabh Selamat Tinggal) baginda bersabda: “Aku tinggal dua perkara, kamu tidak akan sesat selama-lamanya sekiranya kamu berpegang dengan kedua-duanya iaitu Kitab Allah dan Sunnahku”. Oleh itu, umat Islam sepatutnya menjalinkan hubungan silaturrahim sesama sendiri demi kebaikan di dunia dan akhirat

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Ukhuwah asas kekuatan ummah

Posted by epondok di Disember 25, 2016

KELAHIRAN Nabi Muhammad SAW bukan sahaja sebagai pesuruh Allah SWT untuk menyebarkan ajaran Islam, tetapi juga khalifah yang membawa perubahan kepada umat manusia, mengajar erti persaudaraan, akhlak dan erti sebuah kehidupan.

Apa yang jelas, baginda telah mengajar bagaimana kaedah sepatutnya dalam memastikan limpahan rahmat tersebar ke seluruh alam iaitu dengan mengamalkan ajaran Islam sebenar.

Dalam hal ini, kita dapat melihat betapa Islam amat menggalakkan umatnya agar sentiasa berusaha memperbaiki dan mempertingkat ikatan silaturahim dan ukhuwah.

Ini dijelaskan oleh Allah SWT dalam Surah al-Hujurat ayat 10 maksudnya:

“Sebenarnya orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.”

Dalam konteks ini, ikatan ukhuwah yang erat dan kukuh dalam kalangan umat Islam adalah elemen penting ke arah merealisasikan visi dan misi penyatuan ummah sama ada pada peringkat nasional mahupun antarabangsa.

Silaturahim dilihat menjadi faktor utama kekuatan dengan syarat berasaskan ketakwaan dan syariat. Lebih manis, silaturahim yang baik mampu menjauhkan manusia daripada sifat mazmumah seperti hasad dengki dan fitnah.

Malahan hubungan kita dengan Allah semakin kukuh kerana terbentuknya akhlak yang lebih baik daripada sebelumnya. Namun, jika jalinan silaturahim ini diabaikan, nescaya akan rengganglah hubungan manusia dengan Allah, bahkan memisahkan kasih sayang sesama manusia.

Allah memerintahkan agar kita berbuat baik dan tidak sombong terhadap sesama manusia sama ada mempunyai pertalian darah ataupun tidak.

Firman Allah maksudnya:

“Dan hendaklah kamu beribadah kepada Allah, dan janganlah kamu mempersekutu-Nya dengan suatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawatan, dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba sahaya yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang sombong takbur dan membanggakan diri.” (An-Nisa: 36)

Tanggungjawab untuk membina semula tautan ukhuwah yang retak bukan sahaja terletak kepada kedua-dua pihak bermusuhan tetapi masyarakat mengetahui perkara ini juga turut terlibat. Justeru, orang mendamaikan dan menyambung semula tali ukhuwah adalah mereka yang memiliki akhlak terpuji.

Ini bertepatan dengan sabda Rasulullah maksudnya: “Orang menjalinkan hubungan kekeluargaan bukanlah mereka yang membalas sesuatu kebaikan, tetapi adalah mereka yang menyambungkan (menjalinkan semula) suatu perhubungan telah terputus.” – Riwayat Bukhari.

Pengutusan Rasulullah SAW mempunyai kesan besar dalam kehidupan umat Islam. Dengannya, umat manusia bebas daripada sebarang kesyirikan kepada Allah.

Kita amat bersyukur kerana Malaysia terus terpelihara daripada ancaman dan anasir negatif yang dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab dengan kemasukan pelbagai fahaman, aliran pemikiran dan pandangan melampau.

Situasi ini jika tidak ditangani dengan hikmah boleh menjejaskan keharmonian dalam masyarakat dan amat bercanggah dengan amalan Ahli Sunah Wal Jamaah.

Oleh itu, janganlah kita bertelagah sesama kita kerana perpecahan amat merugikan bangsa dan agama. Marilah sama-sama pertahan perpaduan yang telah diasaskan oleh Rasulullah SAW selama ini.

Bak kata pepatah Melayu: ‘Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat’.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Kebergantungan kepada Allah

Posted by epondok di Disember 23, 2016

dr. muhaya muhamad

 

Kualiti kehidupan bergantung kepada ilmu yang menjadi sandaran hidup kita. Kalau kita bersandar pada dinding takut dinding itu runtuh. Kalau kita duduk di kerusi takut orang tarik kerusi kita, kita akan jatuh. Kalau bergantung kepada pangkat, apabila pangkat hilang kita berasa hilang kuasa. Kalau bergantung kepada suami, terutama bagi wanita kita takut ditinggalkan, takut suami bertemu wanita lain, suami tidak menyayangi kita lagi, kita pun hidup dalam stres. Kalau bergantung kepada harta, jika harta kita hilang pun kita tertekan dan putus asa.

Maknanya pergantungan diri kita kepada sesuatu menentukan hidup kita dan tahap ketenangan kita. Kalau kita bergantung selain daripada Allah, maka sesungguhnya kita sedang bergantung dengan sesuatu yang sangat lemah. Sebab makhluk memang sangat lemah, Yang Maha Kaya, Yang Maha Pemurah dan Yang Maha Penyayang hanya Allah SWT. Oleh sebab itu bergantunglah sepenuhnya hanya kepada Allah.

Bumi dan makhluk dijadikan Allah dengan rahmat kasih sayangnya. Ibu sayang kepada kita dan kita sayang anak kita semuanya dengan rahmat dan kasih sayang Allah yang Allah letakkan pada hati kita. Kasih sayang sesama makhluk ini hanya 1 peratus sahaja, sedangkan kasih sayang Allah kepada kita 99 peratus. Allah sayang kita lebih daripada ibu menyayangi anaknya. Dengan akidah, syariah yang betul, dan akhlak dilembutkan kehidupan akan tenang, apabila kita yakin akan kasih sayang Allah.

Cuba kita bayangkan kita hendak mendaki gunung, kita ada dua tali; satu tali yang tipis bagai benang labah-labah dan yang satu lagi tali yang kukuh yang diperbuat daripada besi. Tali manakah yang menjadi pilihan kita? Tentu kita mahukan tali yang kuat. Sebab untuk mendaki ke puncak bukan mudah dan tidak akan lepas dengan benang sekukuh benang lanah-labah. Macam itulah kalau kita tingkatkan keupayaan dan kita fokuskan tenaga bagaimana hendak bergantung hanya kepada Allah, maka kita akan menjadi seorang yang kuat, tenang dan yakin diri.

Apabila sesuatu berlaku sama ada kita suka atau tidak suka, bagi orang yang bergantung hanya kepada Allah, dia akan terima semua takdir yang ditetapkan kepadanya. Sebab kita yakin kepada Pemberinya, dan itu tanda kasih sayang Allah. Contohnya kita diberi sakit. Sakit yang dialami memang nampak sengsara kepada pengidapnya, tetapi kalau kita bergantung kepada doktor dan bukan kepada Allah kita akan menyoal, mengapa Allah berikan penyakit kepada kita dan keluarga kita sahaja, mengapa tidak kepada orang lain? Kalau kita bergantung kepada Allah, kita akan sedar bahawa Allah hendak menguji kesabaran kita.

Nikmat

Seperti apa yang diperkatakan oleh Nabi Sulaiman, apabila orang mengatakan baginda kaya, baginda menjawab, “Inilah nikmat Allah kepada aku untuk menguji sama ada aku bersyukur atau aku kufur.” Kalau kita hendak tahu berapa kuat kebergantungan kita kepada Allah, kita akan hanya tahu apabila kita diuji. Contoh kalau kita membuat sesuatu pekerjaan yang biasa kita buat dan kita memang pakar dalam bidang itu, tiba-tiba berlaku kesilapan. Apakah reaksi pertama kita. Adakah kita menyalahkan orang, menyalahkan diri sendiri, marah, atau menyerahkan serta menyedari bahawa ini semua ketentuan Allah yang mengizinkan perkara yang kita tidak sukai dan jangkakan itu berlaku.

Kita perlu bermuhasabah diri, kita tidak menyalahkan staf kita, kita nilai diri kita adakah terdapat kesombongan dan riak kita kepada kehebatan sendiri, hingga kita lupa hendak bergantung kepada Allah dengan berserah dan bertawakal kepada-Nya. Sesiapa yang terlalu yakin kepada kepandaian diri dan kebolehan diri sendiri, dia akan melihat kesilapan atau kegagalan sesuatu yang diusahakan adalah kerana kelemahan dan kecuaian orang lain.

Hal ini selalu terjadi bagi orang yang profesional dan pakar dalam sesuatu bidang, contohnya pakar jantung, otak, mata dan sebagainya, yang biasanya semua yang dilakukannya berjaya, tetapi tiba-tiba gagal. Ada mesej yang Allah hendak tinggalkan sebenarnya. Allah hendak tegur bahawa itu bukan kehebatan kamu, kamu hanya alat sedangkan yang menurunkan rahmat dan kuasa untuk menjaya atau mengagalkan sesuatu yang engkau lakukan adalah, Allah SWT.

Kebergantungan kita kepada Allah kadang-kadang turun naik sifat dan situasinya. Pokok akan tumbuh hebat kalau benih hebat. Benih kalau tidak dibaja dan disiram, pokok itu tidak akan tumbuh dengan baik. Yakni ilmu yang kita dapat daripada didikan ayah ibu dan didikan guru-guru di sekolah, kalau tidak ada disiplin untuk menyirami ilmu itu dengan amal dan dipraktiskan ilmu itu tidak ada apa-apa makna kepada kita.

Macam kita bersekolah, setelah diajar, kita diberi ujian untuk melihat pencapaian tahap ilmu yang kita miliki atau telah peroleh itu. Demikian jugalah hubungan kita dengan Allah, setelah kita ada ilmu (akidah, ibadah dan akhlak) yang mantap, yang menentukan keimanan, maka Allah uji kita sejauh mana keimanan kita dan kebergantungan kita kepada-Nya.

Bagaimana kita hendak mengukur tahap kebergantungan kita kepada Allah dan macam mana hendak kekalkan perasaan kebergantungan hanya kepada Allah? Pertama, lihat apakah tindak balas spontan kita apabila berlaku sesuatu ujian daripada Allah, terutama apabila kita diuji dengan sesuatu yang kita tidak suka ia berlaku ke atas kita. Adakah kita datang kepada Allah atau kita cari kuasa lain selain Allah untuk mengadu dan menyelesaikan masalah kita.

Reaksi spontan kita itulah paradigma dan tahap keimanan kita. Kalau berlaku sesuatu, kita tidak melihat diri kita tetapi kita mencari siapa yang kita patut salahkan dan dipertanggungjawabkan, bermakna kita mengguna kanta melihat luaran, kita tidak menggunakan cermin untuk melihat kelemahan diri.

Kedua, apa-apa yang berlaku semua kita pandang bagus. Kalau berlaku yang tidak elok, lihat apakah yang Allah hendak bagi ingatan kepada kita. Apakah mesej yang Allah hendak beri kepada kita. Oleh sebab itu tidak ada kegagalan tetapi hanya satu maklum balas daripada Allah. Mula-mula memanglah kita rasa macam hendak menangis. Tetapi, kita ‘reset minda’, hapuskan fail lama, kita tidak mahu hidup yang semalam kita mahu berhadapan dengan hidup sekarang dan masa hadapan.

Bagi kita mendekatkan diri dengan Allah, lima perkara yang perlu kita telitikan terlebih dahulu. Pertama, tanya kepada diri sendiri, kita kenal atau tidak diri kita? Kedua, kita sudah benar-benar kenal Allah? Sebab kalau kita kenal Allah kita akan kenal diri kita. Ketiga, kita tahu atau tidak mengapa kita dilahirkan? Keempat, apakah tujuan hidup kita? Kelima, fokus hidup kita untuk siapa, manusia atau Allah?

Cuba bayangkan, satu layang-layang terbang di awan mempunyai tali, dan lagi satu layang-layang tidak bertali. Layang-layang yang tidak bertali boleh bebas terbang ke mana sahaja, sehingga boleh masuk longkang, tersangkut di pokok dan sebagainya. Layang-layang yang bertali, tuannya akan bermain dengannya dengan elok dan menyimpannya dengan elok juga. ‘Tali’ itu ibarat pegangan agama dan akidah. Berpeganglah kepada hukum Allah supaya hidup kita tidak terbabas. “Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak”.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Jadikan hari ini lebih baik berbanding semalam

Posted by epondok di Disember 21, 2016

DATUK PROF dr. muhaya muhamad

Manusia sangat beruntung menjadi hamba Allah kerana mempunyai kuasa untuk membuat pilihan. Pilihan itu yang membebaskan kita daripada penjara kehidupan. Penjara kehidupan bermaksud, hati kita sangat taksub kepada dunia dan takut mati, kerana beranggapan bahawa mati bermakna berakhirlah kehidupan. Sedangkan dari segi makrifat, kematian bermula satu kehidupan baharu iaitu, kehidupan dalam alam kubur.

Manusia mempunyai kuasa pilihan untuk mencorakkan kehidupan bagaimana yang diimpikan, baik di dunia mahu pun di akhirat. Kita pasti akan meninggalkan dunia ini, tetapi sibuknya kita mencari harta atau ‘bonus dunia’ untuk kehidupan dunia, hingga kita lupa hendak mencari dan menyediakan ‘bonus akhirat’ atau ‘pencen kubur’ untuk kehidupan kita yang abadi di sana.

Kematian bermakna berakhirnya tugasan di dunia. Oleh sebab itu ‘pencen kubur’, bermaksud, kita tidak buat apa-apa tugasan lagi selepas kita mati dan berada di alam kubur, tetapi kita masih berterusan mendapat manfaatnya daripada apa yang kita buat atau tinggalkan semasa kita hidup di dunia.

Manfaat pertama, anak yang soleh. Kedua, sedekah jariah. Ketiga, ilmu yang bermanfaat. Untuk mendapat anak yang soleh/solehah, perlulah terlebih dahulu mendapat pasangan soleh/solehah.

Orang yang soleh/solehah akidahnya mantap, ibadahnya lengkap dan akhlaknya indah, insya-Allah pasangan ini dapat menikmati syurga dunia dan syurga di akhirat. Maknanya, kehidupan kita bertambah baik setelah kita berkahwin berbanding daripada sebelum kita berkahwin, kerana kita telah membuat pilihan yang betul.

Hati dan akal kitalah yang membuat pilihan: daripada hidup dalam gelap kepada terang, daripada hidup yang keladak kepada hidup yang jernih, daripada hidup bergelumang dengan kemaksiatan kepada hidup penuh ketakwaan, dan daripada Allah benci kepada Allah reda.

Semuanya itu ditentukan oleh pilihan kita sendiri. Semua keputusan kita bergantung pada timbangan akal dan hati. Dalam kehidupan kita boleh pilih antara membuat pilihan atau mencari alasan. Semakin banyak alasan yang kita beri, semakin tinggi ego kita untuk memberikan alasan atas perkara yang kita tidak mahu lakukan. Sebab itulah orang bijak pandai berkata, jangan salahkan orang jika kita gagal, tetapi salahkan diri sendiri mengapa kita memilih jalan kegagalan, dan mengapa kita tidak memilih jalan kejayaan?

Konsep hidup yang mahu kita bina – “hari ini lebih baik daripada semalam dan esok lebih baik daripada hari ini”. Ini hanya akan tercapai jika kita membuat pilihan yang betul dalam kehidupan kita. Dua perkara yang paling berharga dalam diri kita ialah akal dan hati kita. Bagaimana cara kita menggunakan kedua-duanya, menentukan masa hadapan hidup kita dan keluarga kita.

Bagi mendapat kehidupan yang sentiasa sukses bahkan bertambah sukses dari hari ke hari, kita perlu membulatkan tekad dan matlamat untuk mencapai peningkatan sasaran hidup pada hari mendatang. Hingga kita sanggup berhadapan dengan apa-apa sahaja rintangan – “Siapa yang ingin mencapai puncak yang tinggi, mesti berani mendaki”. Diri kita akan dimotivasikan dan terinspirasi jika kita dapat mencapai sasaran. Apatah lagi, jika kita mencapai peningkatan sasaran.

Kita akan lebih bersemangat dan meyakini potensi diri, apabila kita menyedari bahawa kita boleh mencapai sesuatu lebih daripada yang kita jangkakan. Daripada pencapaian itulah, kita mula mengenal pasti potensi diri. Ada antara kita yang tidak tahu potensi dirinya, malah tidak sedari mempunyai potensi diri yang sangat baik dalam sesuatu bidang.

Dua sebab kita tidak sedari potensi diri pertama, kerana terlalu sibuk pada perkara yang lain hingga tidak ada masa hendak melihat dan menilai kebolehan sendiri dan akhirnya kita hilang keyakinan diri. Lantaran kita sibuk melihat dan mengagumi kehebatan orang lain, kita tidak nampak apa yang kita miliki.

Bersikap terbuka

Lazimnya, perkara dan hal-hal yang terlampau dekat dengan kita, kita tidak nampak, tetapi kita nampak perkara dan hal-hal yang jauh daripada kita dan, itulah yang sibuk hendak kita perkatakan dan dirasakan hebat.

Sedangkan dengan potensi diri yang kita ada, kita juga boleh membina kejayaan dan kecemerlangan hidup jika kita berani membuat pilihan yang tepat, dan berhenti memberi pelbagai alasan untuk mencuba sesuatu yang baharu. Jom audit diri kita dan lihat potensi diri. Banyak orang menyalahkan faktor luaran menyebabkan nasibnya menjadi buruk, tetapi tidak menyalahkan faktor dirinya yang silap dalam membuat pilihan keputusan kehidupannya, hingga menyebabkan nasibnya tidak berubah menjadi lebih baik daripada hari semalam.

Seterusnya untuk dapat kesan potensi diri kita, perlu kita membuang sifat ego, sedia untuk dinilai dan dikritik. Pandangan dan kritikan yang membina amat penting dalam mendapat penilaian potensi diri kita yang sebenar. Jadilah orang yang tidak suka dipuji dan tidak takut dikeji, selain terbuka dan suka menerima teguran. Ingatlah, bermulanya kejatuhan kita adalah pada hari kita tidak boleh menerima teguran, terutama teguran daripada musuh kita.

Kita perlu belajar daripada musuh kerana musuh akan memberitahu kelemahan kita, berbanding dengan kawan yang akan memberitahu yang baik sahaja, dan tidak akan memberitahu kelemahan kerana untuk menjaga hati kita. Teguran musuh itulah penyataan yang benar tentang kelemahan diri kita yang perlu diperbetulkan untuk mempertingkat pencapaian diri agar hari ini lebih baik daripada semalam.

Seterusnya, audit diri kita dengan Allah. Audit hubungan kita dengan keluarga kita. Adakah kita ini ‘manusia wajib’ (kalau kita tiada orang susah dan berasa amat kehilangan) atau ‘manusia haram’ (kalau kita ada orang susah/takut dan kita tidak disukai orang) atau ‘manusia sunat’ (apabila kita ada orang suka, kalau tidak ada pun tidak apa) atau kita ‘manusia makruh (kalau kita tidak ada lagi bagus, kalau kita ada okey aje).

Audit percakapan kita, sama ada suka kata orang, bangga diri atau kita biasa-biasa sahaja, sibuk cari resolusi atas apa yang berlaku. Audit tindakan kita apabila ada satu peristiwa negatif/masalah adakah kita sibuk bergelumang dengan masalah, merungut, menyesal, marah dan menyalahkan atau fokus kepada mencari resolusi.

Orang yang potensi dirinya positif, akan melihat semua perkara/peristiwa negatif sebagai 20 peratus masalah dan 80 peratus resolusi, untuk menjadikan hari ini lebih baik daripada semalam. Yang telah berlaku biarkan berlalu. Jangan biarkan apa-apa yang berlaku semalam, mengganggu masa kita hari ini.

Oleh itu berhenti daripada menyesal dan menyalahkan apa-apa yang berlaku semalam. Tetapi, niat gunakan hari ini sebaik mungkin, untuk dekat dengan Allah dan mencari kejayaan baharu, di dunia dan akhirat. “Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak”.

 

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Orang bijak sentiasa mengingati mati

Posted by epondok di Disember 19, 2016

Sumber Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Sabah

 

BARU semalam berjumpa dan bergurau senda, tiba-tiba hari ini mendapat berita dia meninggal dunia. Pastinya situasi berikut tidak asing bagi kebanyakan kita.

Bagi mereka yang sedar, inilah realiti membuktikan bahawa kehidupan di dunia adalah sementara. Justeru, tinggallah segala kelazatan dunia sama ada kemewahan harta benda, pangkat dan juga orang-orang dikasihi.

Apa yang kekal dan menjadi teman setia hanyalah amal soleh dilakukan semasa hidup selain pahala sedekah jariah, ilmu bermanfaat dan doa daripada anak soleh dijanjikan memberi pahala berterusan walaupun setelah meninggal dunia.

Yang pasti, apabila tiba giliran dipanggil malaikat pencabut nyawa, Izrail, tiada seorang pun bakal terlepas atau dapat menghalangnya. Ia sebagaimana firman Allah SWT bermaksud:

“Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh (yang telah ditetapkan); maka apabila datang waktunya, tidak dapat mereka lewatkan walau sesaat, dan tidak dapat pula mereka didahulukan.” (al-A’raaf: 34)

Sehubungan itu, setiap umat Islam perlu sentiasa mengingati mati dan mempersiap diri untuk menghadapi penamat segala urusan dunia itu.

Ini kerana, golongan yang sentiasa mengingati kematian dan melakukan persiapan menghadapinya adalah tergolong daripada orang bijak yang bakal memperoleh kehormatan di dunia dan kemuliaan di akhirat.

Ini sebagaimana diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a. katanya: “Aku mendatangi majlis Rasulullah yang sedang berkumpul bersama 10 sahabat. Seorang sahabat Ansar dalam kalangan mereka bertanya, wahai Rasulullah, siapakah orang yang paling cerdas dan pemurah itu? Baginda menjawab, mereka ialah yang selalu mengingat kematian dan melakukan persiapan menghadapinya. Itulah orang cerdas yang akan memperoleh kehormatan di dunia dan kemuliaan di akhirat kelak.” – Riwayat Tirmizi

Hakikatnya, mengingati mati memberi keinsafan bahawa hidup di dunia adalah sementara, justeru rasa keinsafan itulah yang menggerakkan diri untuk segera bertaubat. Sikap suka melengahkan taubat dan beramal soleh dikhuatiri menyebabkan diri tersisih daripada memperoleh rahmat Allah.

Dengan mengingati mati secara tidak langsung memotivasikan kita untuk berusaha melipatgandakan amal ibadat, sama ada ibadah wajib atau sunat. Dengan amal yang dilakukan secara istiqamah (berterusan) membolehkan kita sentiasa berada pada jalan Allah, sekali gus menjadi bekalan menuju akhirat.

Dalam masa sama, umat Islam juga perlu menjauhkan diri daripada melakukan dosa atau perkara dilarang syariat dengan istiqamah. Kematian adalah pengakhiran mengembalikan kita kepada Allah, maka jadilah seorang yang sentiasa mengingati Allah dengan mematuhi serta mentaati segala perintah-Nya.

Berzikirlah kepada Allah pada setiap kesempatan yang ada, tidak kira di mana dan dalam keadaan apa sekalipun kerana apabila kita mengingati Allah, sudah pasti Allah juga akan mengingati hamba-Nya.

 

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Elak jadi orang yang rugi

Posted by epondok di Disember 18, 2016

Sumber Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Sabah

SEOLAH-OLAH tidak mempercayai hari pembalasan, orang yang rugi adalah termasuk golongan mensyirikkan Allah SWT, cuai dalam agama, bertuhankan nafsu, mendustakan al-Quran dan sibuk menguruskan harta serta anak-anak berbanding urusan akhirat.

Hal ini berlaku disebabkan lemah dan tipisnya iman seseorang itu terhadap Rukun Islam kelima iaitu mempercayai hari akhirat. Mereka sibuk mengejar kemewahan dunia tanpa menyedari bahawa kehidupan dunia umpama permainan yang sia-sia dan hiburan melalaikan.

Golongan ini merasakan seakan tidak bersalah mengingkari perintah dan larangan Allah, melakukan kerosakan dan menimbulkan kekacauan yang memudaratkan diri sendiri dan orang lain.

Sedangkan manusia bersifat seumpama ini diibaratkan sebagai binatang ternak dan tergolong sebagai orang yang lalai. Ia disebabkan sikap mereka yang tidak mahu memahami ayat Allah, melihat bukti keesaan Allah dan mendengar ajaran terkandung dalam al-Quran.

Akibat kelalaian golongan ini daripada menghargai dan mensyukuri kurniaan Allah, maka mereka akan diseksa oleh Allah dengan azab yang pedih di neraka.

Firman Allah SWT bermaksud:

“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak daripada jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang yang lalai.” (al-A’raaf: 179).

Ayat ini menjelaskan bahawa orang yang enggan memahami ayat Allah SWT, tidak mahu melihat bukti keesaan-Nya dan tidak mahu mendengar ajaran serta nasihat terkandung dalam al-Quran adalah golongan rugi.

Mereka bukan sahaja rugi di dunia, bahkan lebih rugi dan malang di akhirat kerana akan dibalas dengan azab neraka. Namun selain mereka, terdapat beberapa golongan manusia lagi yang hidup dalam kerugian iaitu:

1. Orang mencari agama selain daripada Islam

2. Orang menyekutukan Allah – mempercayai terdapat kuasa selain Allah yang boleh memberi manfaat, mudarat kepada manusia.

3. Orang tunduk kepada desakan hawa nafsu hingga melakukan sesuatu bercanggah dengan ajaran agama

4. Orang mendustakan al-Quran.

5. Orang lalai melaksanakan perintah Allah kerana terlalu sibuk mengurus harta benda dan anak-pinaknya.

TINGKAT KEIMANAN DAN TAKWA

Menjadi kewajipan bagi seluruh umat Islam mengelakkan diri dan keluarga tergolong dalam kalangan mereka yang rugi sama ada di dunia atau akhirat dengan berusaha mempertingkat keimanan dan ketakwaan kepada Allah.

Caranya sudah tentulah dengan mengatur dan mencorakkan kehidupan di dunia ini menurut ajaran Islam yang sebenar dengan didasari sifat malu.

Ini penting kerana sifat malu sebahagian daripada iman sejajar dengan sabda Rasulullah bermaksud: “Malu dan iman itu adalah satu rumpun. Apabila terangkat (hilang atau tiada) salah satu (daripada kedua), maka hilang pula yang lain.” – Riwayat al-Hakim

Sifat malu merujuk kepada perasaan takut dan segan melakukan kesalahan dan dosa yang boleh menjatuhkan imej serta maruahnya di sisi Allah. Ia lahir daripada kesedaran bahawa Allah sentiasa mengawasi setiap perlakuan hamba-Nya.

Sebarang dosa walau sekecil mana pun pasti dicatat oleh malaikat yang ditugaskan Allah untuk dihitung pada hari akhirat. Sesungguhnya, keimanan kepada Allah dan hari akhirat adalah sebesar-besar nikmat kepada seseorang individu Muslim.

Justeru, selagi nyawa dikandung badan marilah sama-sama kita memperteguh keimanan dan ketakwaan kepada Allah dan beramal soleh selain terus membudayakan amalan tegur menegur, nasihat menasihati dan berpesan-pesan dengan kebenaran dan sabar

 

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Mendepani fitnah liberalisme ekstrem

Posted by epondok di Disember 17, 2016

UMAT Islam jangan hanya menang sorak dalam alam maya, tetapi menggadai UMAT Islam jangan hanya menang sorak dalam alam maya, tetapi menggadai prinsip kebenaran atas nama liberalisme. – GAMBAR HIASAN

PENELITIAN di media sosial kebelakangan ini amat membimbangkan. Komen-komen dan pendapat fahaman liberalisme ekstrem tersebar luas dalam facebook, twitter, blog, laman sesawang dan sebagainya. Lebih memeranjatkan, segelintir tokoh beragama Islam turut menyatakan pandangan bertentangan dengan ajaran Islam yang diamalkan di negara ini.

Hari ini, fahaman liberal ekstrem seolah-olah mutlak, bercakap tentang ‘freedom of press’ dan ‘freedom of speech’ berlandaskan idea kebebasan tanpa batasan akhlak, sempadan undang-undang dan peraturan. Mereka menyuarakan persamaan agama, hak lelaki dan wanita di samping mempromosikan demokrasi dan kebebasan. Pandangan sebegini merupakan fitnah kepada agama Islam.

Pengguna media sosial kebanyakannya generasi muda perlu diberi kesedaran untuk bertanggungjawab menerima, menilai serta perlu tabayyun memeriksa kesahihan maklumat sebelum menyebarkannya.

ANTARA PANDANGAN LIBERAL EKSTREM DI MEDIA SOSIAL :

i. Meragui al-Quran dan Sunah:

Seorang penulis yang dikenali memuat naik status dalam akaun facebook:

“Islam yang saya percaya membebaskan manusia untuk memilih apa jua kepercayaan yang ingin dianuti, al-Quran sendiri memesan bahawa (mafhum) jika Allah mahu seluruh penduduk di langit dan di bumi beriman, siapakah yang mahu menghalangnya? Tetapi Allah telah memberikan pilihan (free choice, bukan free will) kepada manusia itu sendiri, sama ada untuk menjadi kafir atau beriman, memilih untuk syurga atau neraka”.

Terdapat pandangan daripada penulis lain yang menyatakan perlu penilaian semula terhadap hadis, ia bercanggah dengan sains, sejarah dan akal malahan mempertikaikan hadis-hadis yang diriyawatkan oleh para sahabat.

ii. Mempersoalkan akidah:

Terdapat status twitter :

“Aku pun tak faham kenapa orang kita nak bising sangat perihal Melayu yang nak murtad, aku tak cakap pasal kebebasan tengah hari buta ini. Bagi aku syurga bukan untuk Melayu sahaja, kalau Melayu nak masuk neraka sangat buat apa kita nak halang? Kalau semua orang nak masuk syurga, neraka nanti nak bakar siapa? Rugi sahaja Allah cipta neraka, tapi tak ada apa-apa untuk dibakar.”

iii. Pandangan mengelirukan:

Beberapa status mengelirukan di twitter antaranya:

“Berkenaan babi, siapa yang cipta babi? Tuhan atau manusia? Kau yang ciptakan, pastu kau haramkan, orang dekati apa yang kau ciptakan.”

“Berkenaan seks bebas pula, yang menciptakan rangsangan-rangsangan semua ini Tuhan juga. Kalau tak nak orang buat seks bebas tak payahlah cipta manusia. Nak buat apa?”

“Saya tidak kisah pemimpin saya LGBT, tak ada agama atau sosial, yang penting, dia jaga rakyat dan negara serta tidak salahguna kuasa.”

“Dah tidak wajib solat jumaat zaman ini kiranya kita berimamkan imam yang reda dan kagum dengan kezaliman pemerintah.”

iv. Pandangan tidak patuh syariah :

l Sebuah kumpulan yang memperjuangkan isu hak asasi wanita mengeluarkan pandangan:

“Faith by compulsion may lead to hypocrisy” dan “Islam is not a one way street.”

v. Mempersoal institusi ulama:

l Terdapat pandangan: “Ulama sebagai para saintis seperti yang ditakrifkan dalam al-Quran dan sebagai satu kasta paderi.”

vi. Mencanangkan isu-isu bertentangan dengan ajaran Islam yang diamalkan di negara ini antaranya :

Mencadangkan pemansuhan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Kesalahan khalwat dimansuhkan kerana (menurut mereka) melanggar hak privasi individu, malahan (menurut mereka) perbuatan khalwat di rumah persendirian merupakan dosa peribadi antara pelakunya dengan Allah SWT kecuali jika dilakukan di kawasan awam.

Menggesa penubuhan jawatankuasa perunding untuk meminda atau memansuhkan beberapa undang-undang syariah.

‘Everybody writes’ (semua orang menulis), bukan bererti ‘everybody is right’ (semua orang betul). Kemampuan tabayyun dengan informasi akan menentukan kekuatan dan keabsahan ummah dalam era digital yang serba mencabar.

Pandangan sebegini adalah tidak seimbang dan tidak wasatiyyah. Masyarakat disogok dengan fitnah yang tiada penghujung. Kesucian agama dipersendakan. Jangan kerana berada dalam zon selesa, masyarakat terlalu taksub dengan indeks ‘World Press Freedom’ sehingga menjual kelangsungan dan survival ummah. Jangan terlalu bersangka baik kepada ‘newsrooms’ di London, New York, Hong Kong atau mana sahaja menjana berita mempunyai agenda tersirat.

Umat Islam perlu mempunyai kudrat tabayyun luar biasa dalam persimpangan ‘information age’ ini. Jika prinsip ini ditinggalkan, akan bertebaranlah fitnah yang mampu mempengaruhi fikrah dan pemikiran majoriti umat Islam, lalu dianggap sebagai benar dan sahih.

Perlu diakui, bukan mudah untuk membadai arus ketika keadaan langit sudah serba terbuka. Media sosial terbina dengan sokongan penggunanya. Ideologi dan segala macam nilai sama ada positif atau negatif terus dilambakkan. Keimanan, akal, budi, akhlak dan sahsiah diri diuji sepenuhnya.

Pengamal media, tentera siber dan masyarakat Islam seluruhnya perlu menerima fiqh tabayyun sebagai model kepada penghayatan media yang positif dan bertanggungjawab. Jangan hanya ‘menang sorak’ di alam maya, tetapi menggadai prinsip kebenaran atas nama keterbukaan dan kepentingan peribadi sekumpulan kecil.

Statistik ini sangat merisaukan jika tidak ditangani dengan baik.

Semua pihak perlu menggerakkan fiqh tabayyun 
sebagai disiplin ilmu dalam berurusan dengan fakta dan kebenaran. Inilah penggerak utama manhaj wasatiyyah dalam mengajak masyarakat berhati-hati dan berteliti dengan media sosial.

 

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »