Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Hargai pengorbanan ibu bapa

Posted by epondok di November 16, 2016


Oleh Ahmad Nazri Mohd Yusof
Setiap ahli keluarga mempunyai peranan dalam mewujudkan rumah tangga aman dan bahagia. Ketua keluarga memainkan peranan utama memimpin isteri dan anak berakhlak mulia dan melaksana perintah disyariatkan. Ustaz Muhammad Abdullah Al-Amin dalam segmen Pesona D’Zahra turut membincangkan peranan anak melayani ibu bapa dengan baik.

Institusi keluarga adalah ejen sosial terkecil dalam masyarakat, namun memainkan peranan besar melahirkan insan cemerlang.

Ibu bapa mempunyai tanggungjawab besar kerana anak diibaratkan seperti kain putih dan ibu bapalah yang mencorakkan mereka.

Ustaz Muhammad Abdullah Al-Amin, berkata keluarga adalah gedung bagi merebut pahala kerana Allah SWT menganugerahkan pahala kepada suami yang membantu isteri, begitu juga isteri membantu suaminya.

Melalui rancangan Pesona D’Zahra disiarkan di IKIMfm, beliau mengatakan anak dan menantu yang sentiasa memastikan kemakmuran rumah tangga juga tidak ketinggalan meraih pahala.

Namun, adat hidup berkeluarga tidak lepas daripada masalah dan ujian sama ada kecil atau besar. Pelbagai cabaran dan dugaan perlu dihadapi yang kadangkala mengakibatkan krisis dalam rumah tangga.

Ini disebabkan syaitan telah berjanji untuk menyesatkan manusia, memperdaya hati serta fikiran seseorang dengan cara memporak-perandakan rumah tangga bahagia.

Institusi keluarga adalah asas sebuah masyarakat dan memainkan peranan penting bagi melahirkan generasi bertakwa serta beramal soleh. Tidak dapat dinafikan kejayaan dan keharmonian keluarga bermula daripada ketua keluarga.

Peranan ketua keluarga

Maka ketua keluarga atau bapa mempunyai peranan besar memikul tanggungjawab telah diamanahkan oleh Allah SWT bagi memastikan keluarganya berada dalam keadaan aman dan sentiasa melaksanakan perintah disyariatkan oleh-Nya.

Rasulullah SAW bersabda: “Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan dipertanggungjawabkan terhadap pimpinannya, seorang pemimpin negara adalah pemimpin kepada rakyatnya dan ia bertanggungjawab terhadap mereka, seorang suami adalah pemimpin keluarganya dan ia bertanggungjawab terhadap pimpinannya, seorang wanita adalah pemimpin dan ia bertanggungjawab terhadap rumah tangga suaminya dan ia bertanggungjawab terhadap pimpinannya.”

Selain ibu bapa, setiap anak perlu memikul tanggungjawab membahagiakan keluarga dengan berakhlak mulia dan berbudi bahasa. Tingkah laku anak yang sopan dapat menenangkan ibu bapa mereka.

Ibu bapa mudah berkecil hati jika anak mengeluarkan kata-kata kasar. Oleh itu, jagalah lidah jangan sampai terlanjur berkata kasar terhadap ibu bapa. Berlemah lembutlah terhadap mereka, walaupun kita tidak bersetuju dengan sikap mereka.

Nabi Muhammad SAW telah dilahirkan sebagai anak yatim, tetapi Allah SWT menjadikan anak kecil itu tempat mencurah kasih sayang. Kelahiran Baginda pada tanggal 12 Rabiulawal tahun Gajah di kota Makkah sebagai pembuka rahmat di seluruh pelosok alam semesta.

Kasih sayang Baginda

Kelahiran Baginda SAW adalah peristiwa utama dalam sejarah Islam. Baginda SAW memiliki kelebihan luar biasa, bukan sahaja dilihat dalam konteks sebelum kelahirannya, tetapi juga semasa dan selepas dilahirkan.

Perkara ini dapat dibuktikan dengan keprihatinan dan kasih sayang Baginda SAW yang tidak berbelah bahagi terhadap insan yang menatang Baginda bagai minyak yang penuh. Nama seperti Aminah, Halimatus Saadiah, Abdullah dan Abu Talib cukup dekat di hati Nabi Muhammad SAW.

Mereka banyak berjasa dan berkorban mengasuh serta memberikan didikan sempurna ketika hayat Baginda SAW. Selain itu, Baginda SAW cukup terkenal dalam memberikan layanan baik terhadap ibu dan bapa mentua.

Melihat senario itu, umat Islam perlu meneladani sifat Rasulullah SAW yang tidak pernah sesekali meminggirkan insan bergelar ibu dan ayah yang telah membesarkan Baginda serta mereka yang memelihara anak Baginda.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: