Di Indonesia, bilangannya jauh lebih besar. Satu laporan menyebut bahawa bilangan pon­dok pesantren di 33 wilayah republik tersebut pada tahun 2011-2012 adalah sebanyak 27,230 buah, 66 peratus daripadanya terdapat di Pulau Jawa. 
Daripada jumlah besar ini, 53 peratus atau 14,459 buah adalah pondok salafiah yang mengamalkan pengajian secara tradisi atau talaqqi menggunakan kitab thurath (kitab tua atau kitab kuning) manakala 28 peratus (7,727 buah) adalah pondok khalafiah.

Di Malaysia, pondok khalafiah dipanggil pondok moden yang turut memasukkan subjek mo­den seperti sains, matematik dan bahasa asing dalam kurikulum pengajian. Baki 19 peratus (5,044 buah) adalah pondok pesantren (ponpes) yang mempraktikkan kedua-dua sistem (tradisi dan moden) dalam pengajian.

Dalam pada itu Data Pusat Pengembangan Penelitian dan Pendidikan Pelatihan di Kementerian Agama Indonesia telah menunjukkan bilangan pelajar ponpes secara keseluruhannya berjumlah 3.7 juta orang.

Pecahan gender yang seimbang (50.2 peratus lelaki, 49.8 peratus perempuan) pula turut membuktikan bahawa ibu bapa Muslim di Indonesia menghantar anak-anak mereka belajar di ponpes tanpa membezakan jantina.

Hakikat 80 peratus pelajar perlu tinggal di pondok sememang­nya sudah dijangka kerana sistem pendidikannya hampir 24 jam sehari, meliputi pengajian berjemaah dan sendirian, solat, bangun malam serta pelbagai aktiviti lain.

Menarik juga diketahui bahawa bilangan kiai di Indonesia adalah sekitar 30,000 manakala guru yang mengajar di ponpes pula melebihi 153,000 orang yang mana 67 peratus daripadanya adalah lelaki. Nis­bah guru dengan pelajar secara umumnya begitu ideal iaitu 1:28.

Maklumat rasmi juga menunjukkan bahawa keadaan ruang kelas, asrama, ruang ibadah dan perpustakaan di ponpes adalah baik keseluruhannya. Hanya 20 hingga 25 peratus sahaja ponpes yang ada kerosakan kecil pada kemudahan dan prasarana. Ponpes yang memerlukan bantuan segera akibat kerosakan yang teruk pada infrastrukturnya kurang daripada 10 peratus.

Realitinya, maklumat dan data seperti ini sukar diperoleh untuk sistem pengajian pondok di Malaysia. Walaupun institusi pondok dan pengajian tradisi ini sudah bertapak sejak ratusan tahun di negara ini namun belum ada usaha untuk membangunkan pangkalan data yang lengkap.

Jika ditanya berapa pondok yang ada di Malaysia, tidak ada pihak yang boleh menjawab secara meyakinkan. Itu belum lagi ditanya tentang berapa banyak pondok yang berdaftar dan me­ngapa pula ada pondok yang tidak berdaftar?

Jabatan agama Islam negeri (JAIN) dan pihak berkuasa agama berkaitan juga tidak boleh menya­takan dengan tepat bilangan pe­lajar pondok mengikut negeri atau jantina, serta bilangan mudir (pengetua) dan guru atau kelayakan serta gaji tenaga pengajar pondok.

Walaupun terdapat senarai pondok berdaftar dan laporan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama negeri dari masa ke semasa, kebanyakan maklumatnya kurang lengkap atau tidak bersifat terkini.

Ada yang sudah bertahun-tahun tidak dikemaskinikan. Ada juga penerbitan, serta hasil kajian atau tesis calon-calon sarjana di universiti, namun tidak menyeluruh atau terhad dari segi skop kajian dan pondok yang dikaji.

Bagi memenuhi kelompongan maklumat ini, Yayasan Pemba­ngunan Pondok Malaysia (YPPM) mengambil inisiatif membuat bancian ke seluruh negara bermula bulan ini. Projek Banci Pondok 2016-2017 ini dijangka mengambil masa enam bulan untuk disiapkan dan hasilnya akan dibukukan dalam bentuk direktori.

Ini bakal menjadi direktori pondok paling lengkap yang pernah diterbitkan di Malaysia dan nusantara, malah mungkin juga yang pertama di dunia. Projek julung kali dijalankan oleh YPPM ini membabitkan 20 sukarelawan terdiri daripada wartawan, pelajar universiti dan juru foto bebas yang diberikan latihan khusus untuk mengendali tugas di lapangan.

Sebanyak 370 pondok di semua negeri telah dikenalpasti untuk dilawati oleh pasukan pembanci YPPM. Kategori pondok yang dibanci adalah pondok tradisi, pondok moden, pondok tahfiz dan pondok warga emas.

Bagaimanapun, bilangan sebenar pondok yang dibanci hanya diketahui selepas tamat projek, dijangka pada bulan April 2017. Maklumat yang bakal dikutip adalah berkaitan asal usul dan latar belakang pondok, mudir (pengetua), tenaga pengajar, pelajar, warga emas, kurikulum, jadual pengajian, aktiviti pondok serta kemudahan dan infrastruktur yang ada.

Ini akan membantu YPPM merancang satu program lebih berkesan untuk memperkasa dan memajukan sistem pondok di Malaysia selain memastikan pihak berwajib melaksanakan tugas dengan berkesan seperti dalam menyalurkan bantuan kewangan.

Penulis ingin mengambil ke­sempatan untuk mohon kerjasama semua pihak khususnya tuan guru termasuk pengurusan pondok me­mudahkan dan melancarkan kajiselidik yang pastinya akan memberikan banyak manfaat kepada orang ramai, ibu bapa, pelajar, pihak berkuasa agama, para penyelidik serta warga pondok sendiri.