Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Ubat penyakit cintakan dunia

Posted by epondok di Oktober 31, 2016


Oleh Dr Nik Roskiman Abdul Samad

Walaupun kita hidup di akhir zaman, Baginda SAW sudah memberi isyarat apa yang akan berlaku di mana wujud satu penyakit dalam diri umat Islam yang disebut ‘wahn’ iaitu mencintai dunia dan tidak menyukai kematian.

Topik mencintai dunia ini penting dalam tasauf kerana ajaran Islam tidak mengajar kita mencintai dunia sebaliknya mencintai akhirat yang sepatutnya menjadi tumpuan atau keutamaan. Dunia membawa makna ‘dekat’ dan apabila manusia melihat segala perhiasan dunia dengat terlalu dekat, ia menjadi hijab mengaburi daripada memandang akhirat.

Pensyarah Pusat Kajian Tinggi Islam, Sains dan Peradaban (CASIS-UTM), Prof Madya Dr Khalif Muammar A Harris, dalam rancangan Tarbiyah berkata inilah satu bentuk ujian daripada Allah SWT. Katanya, Allah SWT ingin menguji adakah manusia benar-benar ingat kepada-Nya atau leka dengan dunia yang dekat pada pandangan mata kasar sehingga melupakan kehidupan akhirat yang kekal abadi.

Penyakit wahn

Dalam al-Quran juga ada menyebut apabila manusia menyeleweng daripada jalan lurus, mereka cuba menyalahkan syaitan sedangkan syaitan sendiri berlepas tangan dan tidak mengaku merekalah penyebab kesesatan manusia itu. Penyelewengan manusia itu disebabkan oleh penyakit ‘wahn’ yang disebutkan Baginda SAW hingga kerana cinta dunia manusia hilang integriti, runtuh akhlak seperti makan rasuah dan salah guna kuasa,” katanya.

Baginda SAW turut berpesan supaya menjaga mulut dan kemaluan kerana kedua-dua organ itu menjadi penyebab manusia dihumban ke neraka. Sesiapa yang menjaganya, Baginda SAW memberi jaminan bahawa dia akan selamat. Mereka yang tidak menjaga mulut ialah orang yang suka berbohong serta tidak memegang janji seperti mana maksud hadis yang menyebut tanda orang munafik itu ialah yang tidak berpegang kepada janji dan berbohong. Justeru, sikap umat Islam yang mengamalkan rasuah, berakhlak buruk, hilang integriti dan lain-lain itu adalah manifestasi daripada penyakit hati sementara ilmu tasauf disusun bagi membanteras penyakit itu.

Beza nama, erti sama

Ilmu tasauf wujud di awal Islam lagi walaupun pada ketika itu mungkin tidak dinamakan ilmu tasauf sebaliknya dikenali sebagai ilmu tazkiyatul nafsi, penyucian hati dan seumpamanya. Hakikatnya ilmu tasauf telah lama wujud. Nabi SAW bersabda: “Ketahuilah bahwa dalam jasad itu terdapat segumpal darah, yang apabila ia baik maka baik pula seluruh jasadnya. Dan apabila ia rosak, maka rosak pula seluruh jasadnya. Ketahuilah bahwa segumpal darah itu adalah hati. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Prof Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas mendefinisikan tasauf sebagai pengamalan syariat pada maqam ihsan. Oleh itu, dapat difahami tasauf adalah sebahagian daripada syariat. Mereka yang mentohmah tasauf sebagai pengaruh asing, luar, bidaah, dan bukan ajaran Islam sebenarnya keliru dan tidak memahami hakikat tasauf serta tidak merujuk kepada ajaran tasauf itu.

Timbulkan kesedaran

Produk daripada tasauf itu ialah akhlak yang mulia. Apabila sebahagian kelompok manusia menolak tasauf, maka mereka telah mengenepikan akhlak dan lebih menjurus kepada perkara bersifat hukum hakam serta persoalan remeh temeh. Apabila kita mahu merubah manusia, perkara biasa terfikir oleh kebanyakan orang ialah menguatkuasakan undang-undang dan peraturan yang menyekat manusia.

Tasauf berbeza dan ia tidak mendidik manusia takutkan undang-undang sebaliknya menimbulkan kesedaran daripada dalam diri. Manusia tidak melakukan perkara dilarang dalam Islam bukan kerana takutkan undang-undang atau pihak penguatkuasa tetapi menginsafi Allah SWT itu Maha Melihat dan berdosa jika dilakukan perkara itu. Hari ini, disebabkan pengabaian terhadap ilmu tasauf, keruntuhan akhlak seperti buang bayi dan juga kehilangan integriti seperti rasuah dan penyalahgunaan kuasa semakin berleluasa.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: