Orang bertakwa menyakini setiap perkara yang seru oleh Allah adalah cara untuk mencapai kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Setiap larangan Allah adalah keburukan yang boleh merugikan serta merosakkan kehidupan mereka di dunia dan akhirat. Allah mengutuskan para Rasul dan Nabi dengan tujuan memberi panduan kepada manusia mengenai corak kehidupan dan amalan terbaik untuk menuju kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Perkara ini dijelaskan oleh Allah dalam surah Yunus ayat 57 yang bermaksud: “Hai manusia, sesungguhnya telah datang ke­padamu pelajaran dari Tuhanmu dan ­penyembuh daripada penyakit-penyakit (yang berada) dalam dada dan petunjuk serta rahmat bagi orang yang beriman”.

Kurang prihatin terhadap konsep dan prinsip kehidupan seperti mana dijelaskan oleh Allah dan Rasul menyebabkan umat Islam leka dan berlumba-lumba mengejar kehidupan dunia sehingga terlupa jangka masa untuk menemui Allah semakin hampir. Sikap yang keterlaluan mengejar kehidupan dunia dan bermegah-megah dengan kekayaan adalah faktor utama umat Islam menyalahgunakan kuasa, tidak amanah dan mengkhianati negara dan masyarakat. Persepsi dan penilaian mengenai kebahagiaan yang berlandaskan kepada kemewahan tanpa menghiraukan hukum hakam Allah adalah kebahagiaan yang terlalu rapuh dan akan musnah apabila sampai masa yang ditentukan oleh Allah.

Penilaian mengenai kebahagiaan dalam kehidupan adalah berdasarkan kepada corak pemikiran dan persepsi seseorang individu itu mengenai kehidupan di dunia ini. Jika seseorang ber­anggapan bahawa kebahagiaan itu berdasarkan kepada kemewahan, kekayaan, kekuasaan dan kemegahan maka dia akan berusaha untuk mencapai objektif kehidupannya tanpa menghiraukan dosa dan pahala sehingga terlupa bahwa perbuatannya itu boleh memusnahkan kehidupannya sendiri.

Bagi membendung ketamakan dan keghairahan terhadap kebendaan maka Allah menyedarkan umat Islam mengenai nilai harta dan benda di dunia ini. Firman Allah dalam surah al-Kahfi ayat 46 yang bermaksud: “Harta dan anak-anak adalah perhiasan kehidupan dunia tetapi amalan-amalan yang kekal lagi soleh adalah lebih baik pahalanya di sisi Tuhanmu dan lebih baik untuk menjadi harapan”.

Bagi mengawal kegilaan dan ketamakan manusia terhadap kekayaan, kemewahan dan kemegahan terhadap harta benda maka Allah membuka minda mereka melihat realiti kehidupan di dunia dengan firman-Nya dalam surah al-An’am ayat 32 yang bermaksud: “Dan tiadalah kehidupan dunia itu, selain daripada mainan dan senda gurau belaka (kesenangan duniawi yang hanya berbentuk sementara). Dan sesungguhnya alam akhirat itu lebih baik bagi orang yang bertakwa. Tidakkah kamu memahaminya?”

Kemewahan dan kekuasaan adalah satu ujian daripada Allah dan ia bukan anugerah yang boleh dibanggakan. Orang kaya dan mempunyai kuasa, ujiannya adalah lebih besar daripada orang miskin kerana setiap harta dan kekayaan yang dimiliki akan dipersoalkan oleh Allah di hari akhirat.

Orang yang beriman kepada Allah mempunyai persepsi kebahagiaan berbeza dengan individu yang tidak beriman kepada Allah. Orang yang terlalu ghairah de­ngan kemewahan dunia beranggapan bahawa harta dan kekayaan adalah satu anugerah Allah yang menjadikan mereka orang terkenal dan disanjung. Oleh itu, mereka berlumba-lumba untuk memiliki­nya sehingga ke tahap yang boleh melakukan pembunuhan, peng­aniayaan dan kemusnahan agama, masyarakat dan negara.

Berdasarkan kepada sikap dan persepsi manusia mengenai ke­­ba­hagiaan kehidupan dunia maka Rasulullah SAW memperingati umat Islam dengan sabdanya yang bermaksud: “Kekayaan tidaklah dilihat dari banyaknya harta benda atau material tetapi sesungguhnya kekayaan itu berdasarkan kepada kekayaan hati nurani atau jiwa”.

Orang yang tamak terhadap kekayaan dunia tidak akan merasai puas dalam kehidupan walaupun diselubungi oleh harta dan perbendaharaan yang tidak terkira bilangannya. Perkara ini dijelaskan oleh Rasulullah SAW dengan sabdanya: “Sesungguhnya harta itu hijau lagi manis. Sesiapa yang mencarinya untuk kepentingan dirinya (tidak tamak dan tidak mengemis), maka harta itu memberkatinya. Namun sesiapa yang mencarinya untuk bermegah atau kemuliaan diri maka harta itu tidak akan memberkati­nya seperti mana orang yang makan namun tidak kenyang. Tangan yang di atas lebih baik dari tangan yang di bawah”.

Umat Islam sepatutnya tidak mengamalkan amalan memakan harta dan nafkah secara haram ke­rana seksaan berkaitan perkara ini akan melibatkan keseluruhan ahli keluarga. Rasulullah SAW dengan tegas memperingati umat Islam dengan sabdanya: “Setiap daging yang tumbuh dari perkara yang ha­ram maka neraka lebih pantas untuk me­nyentuhnya”. Hadis ini menjelaskan jika harta atau pendapatan yang diperoleh itu secara haram maka setiap individu yang menggunakannya tidak akan selamat dari api neraka walaupun anaknya yang masih kecil. Oleh itu, takutlah Allah dalam hal eh­wal mengumpul harta kekayaan supaya kehidupan diberkati dan menikmati kebahagiaan secara hakiki iaitu kekayaan berbentuk kerohanian atau hati nurani.

PROFESOR MADYA DR. SAODAH ABD. RAHMAN