Allahyarham selamat dikebumikan di Madrasah Lundang Paku, Paya Zaman, Dewan Betta di sini pada pukul 10.30 pagi bersebelahan dengan pusara gurunya, Tok Ayah Said yang pulang ke rahmatullah pada tahun 1984.

Terdahulu, jenazah Allahyarham disembahyangkan di Madrasah Lundang Paku sebelum dikebumikan dengan diiringi oleh ribuan orang yang hadir.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 4.45 pagi di sisi cucu tirinya dan murid-murid lain di madrasah yang diasasnya sejak 40 tahun itu akibat sakit tua.

Anak muridnya, Mohd. Idris Haron,47, berkata, Allahyarham meninggal dunia ketika sedang tidur sebelum disedari oleh cucu tirinya.

‘‘Allahyarham semasa hayatnya merupakan seorang insan yang cukup gigih mendalami ilmu agama selain mempunyai anak murid yang ramai di seluruh negara.

‘‘Pemergian Allahyarham amat dirasai kerana Ayah Mat ba­nyak menghabiskan masanya dengan me­ngajar agama,’’ katanya sebak ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Ayah Mat Lundang Paku yang dikatakan berusia 127 tahun me­rupakan di antara ulama tertua di Kelantan

Difahamkan, sewaktu zaman mudanya, Allahyarham banyak menuntut ilmu agama dan telah berulang alik ke Mekah sebanyak 12 kali.

Allahyarham juga dikatakan merupakan anak murid dan sahabat Tok Kenali, juga seorang tokoh ulama tersohor di Kelantan.

Sewaktu hayatnya, Allahyarham difahamkan suka berjalan kaki dan pernah dikatakan kurang waras kerana sentiasa mengutip tin kosong serta tempurung di tepi-tepi jalan.