Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Ilmu bersih jiwa, jadikan umat hebat

Posted by epondok di Oktober 14, 2016


Oleh Mohd Faiz Othman

 

Hari Jumaat adalah hari ilmu, di mana kita terutamanya kaum Adam akan berhimpun untuk mendengarkan ilmu daripada khatib ketika solat Jumaat.

Islam amat menekankan kepentingan ilmu dan khutbah Jumaat sendiri membuktikan penyebaran ilmu itu sangat penting. Jumaat juga adalah hari muhasabah kita untuk menilai hijrah ilmu kita adakah di tahap lama atau ada ilmu baharu yang kita pelajari.

Melalui perkongsian dalam segmen Ibrah yang bersiaran di IKIMfm saban minggu, Ustaz Muhammad Syaari Ab Rahman berkongsi ibrah dan pengajaran melalui surah al-Jumu’ah. Surah yang mempunyai 11 ayat ini bukan sahaja menceritakan mengenai perintah solat Jumaat, tetapi surah ini turut menceritakan dan menitik beratkan soal ilmu dan pendidikan. Maka di hujung surah ini barulah Allah SWT mendatangkan cara untuk mendapatkan ilmu menerusi khutbah Jumaat.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: Dialah yang mengutuskan dalam kalangan orang (Arab) yang Ummiyyin, seorang Rasul (Nabi Muhammad SAW) dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat Allah (yang membuktikan ke-Esaan Allah dan kekuasaan-Nya) dan membersihkan mereka (dari iktiqad yang sesat), serta mengajarkan mereka kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum syarak) dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata. (Surah al-Jumu’ah, ayat 2)

Empat tugas Rasulullah

Sekiranya kita menghayati ayat kedua ini, kita dapat melihat Rasulullah SAW mempunyai empat tugas. Pertama membacakan ayat Allah SWT kepada kaumnya berkali-kali. Kedua menyucikan mereka berkali-kali. Kemudian, mengajar mereka berkali-kali al-Kitab dan terakhir mengajar mereka berkali-kali al-Hikmah.

Ayat ini mengajar kita tentang proses pendidikan yang sepatutnya dilalui oleh kita. Apa yang disebutkan oleh Allah SWT menerusi ayat ini adalah sesuatu yang sangat besar kerana apa yang akan terjadi kepada kita sekiranya kita melalui empat proses pendidikan ini. Kita akan menjadi umat yang paling digeruni di seluruh dunia.

Allah SWT menyebut bagaimana kaum yang tidak boleh menulis dan membaca kemudian diutuskan seorang rasul yang dahulunya buta huruf, tidak dipandang oleh masyarakat dan akhirnya apabila melalui proses pembelajaran dan pendidikan, terus dapat menguasai dunia. Maka dengan ini mari kita memahami sesuatu tentang ilmu yang dibawakan dalam Surah al-Jumu’ah.

Rasulullah SAW membacakan kepada kaumnya tentang ayat Allah SWT seperti yang disebutkan di dalam Surah al-Jumu’ah. Ertinya Rasulullah SAW menerangkan kepada kaumnya cara memandang makhluk yang ada di alam ini sehingga datang kepada jiwa sanubari mereka bahawa perjalanan alam ini rapi diatur oleh yang Maha Berkuasa.

Proses membacakan ini apabila mendengarkan sahaja ayat al-Quran daripada Rasulullah SAW, mereka akan mengakui bahawa alam ini tunduk kepada Raja, Allah SWT manakala proses yang kedua Rasulullah SAW menyucikan mereka. Proses menyucikan ini Rasulullah SAW mendekati mereka selepas membacakan ayat Allah SWT kepada mereka. Maka Rasulullah SAW membersihkan jiwa mereka daripada perangai jahiliyyah. Rasulullah SAW membersihkan hati mereka kerana hati merupakan raja kepada tubuh manusia.

Proses ketiga Nabi SAW mengajar dan berinteraksi dengan mereka. Apabila hati sudah mula jinak, inilah proses terbaik Rasulullah SAW untuk mengisi hati mereka dengan isi kandungan al-Quran. Fahami ayat al-Quran Lalu Rasulullah SAW mengajarkan mereka ayat al-Quran bukan sekadar membaca bahkan memahami dengan jelas setiap ayat di dalam Al-Quran.

Kemudian Rasulullah SAW mentafsir dan menterjemahkan ayat itu kepada mereka. Menurut ulama, tafsiran itu yang disebut sebagai al-Hikmah. Antara maksud al-Hikmah di dalam ayat ini juga adalah sunah dan sirah.

Maka dapatlah kita simpulkan setiap proses yang Rasulullah SAW lakukan kepada kaumnya dengan membaca, mengajar dan menghuraikan ayat Allah SWT ini sebagai hadis Rasulullah SAW dan inilah dikatakan Hikmah di dalam konteks Surah al-Jumu’ah.

Maka, setiap daripada kita perlu jadikan hari Jumaat peluang untuk berdakwah melalui khutbah yang disampaikan kerana proses yang dilakukan oleh Rasulullah SAW seperti diceritakan di dalam Surah al-Jumu’ah ini mampu mengubah dunia.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/199662

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: