Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Hijrah ajar kenal manusia sekeliling

Posted by epondok di Oktober 13, 2016


Oleh Ahmad Nazri Mohd Yusof

Hijrah yang dilakukan Nabi Muhammad SAW adalah bagi memperbetulkan lima perkara. Ustaz Muhammad Abdullah al-Amin menerusi program Pesona D’ Zahra di IKIMfm mengajak kita merenung wahyu Allah SWT berkaitan tuntutan melakukan perubahan.

PEPATAH Arab menyebut, masa ibarat pedang, jika kita tidak memotongnya maka ia akan memotong kita. Ini gambaran jelas penting serta berharganya masa.

Ustaz Muhammad Abdullah al-Amin ketika membicarakan mengenai kedatangan tahun baru hijrah dalam rancangan Pesona D’ Zahra di IKIMfm, mengajak kita merenung wahyu Allah SWT berkaitan tuntutan melakukan perubahan. Allah SWT berfirman bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.” (Surah al-Ra’d, ayat 11)

Islam tidak menyuruh kita berdiam diri dan menunggu Allah SWT memberi sesuatu tanpa berusaha. Jika kita mendambakan perubahan, mulailah dari dalam diri masing-masing kerana menjadi sunatullah bahawa Allah SWT tidak akan merubah apa pun selama tidak ada perubahan dari dalam diri kita.

Justeru, hendaklah kita memanjatkan rasa syukur kepada Allah SWT kerana tahun baharu membawa begitu banyak perubahan kepada diri kita. Namun, persoalan besar yang timbul, apakah sebenarnya yang ingin kita hijrahkan dalam hidup ini?

Menurut Muhammad, hijrah yang dilakukan Nabi Muhammad SAW bagi memperbetulkan lima perkara. Pertama, Baginda SAW memberi tumpuan memantapkan sistem kepercayaan yang terkandung dalam kalimah syahadah iaitu kepercayaan kepada ketuhanan yang sebenar dan rasul.

Sesungguhnya istilah ‘Illah adalah 99 nama Allah SWT dalam rantaian Asma ul-Husna. Menerusi sistem kepercayaan ini, ia sekali gus mengajak kita meyakini bahawa dalam kehidupan tiada yang memberikan segala-galanya melainkan Allah SWT.

Perbetul cara lihat kehidupan

Seterusnya, hijrah Baginda SAW untuk manusia memperbetulkan cara melihat kehidupan. Sebagai khalifah di muka bumi ini, kita harus sedar sehebat mana pun kita suatu hari nanti akan kembali menghadap Allah Yang Maha Esa. Untuk itu, sentiasalah rebut ganjaran diberikan Allah SWT.

Mengerjakan solat adalah tanda pengabdian dan syukur seorang hamba kepada Allah SWT atas segala nikmat serta rahmat yang dikurniakan. Selain itu, Nabi Muhammad SAW menyifatkan amalan berhijrah sebagai landasan melihat bagaimana untuk memperbetulkan diri.

Ilmu ibarat pelita yang menerangi kegelapan hidup manusia, ia menjadi petunjuk jalan memperoleh kehidupan bahagia. Selain itu, pada saat kita ingin melakukan transformasi atau penghijrahan, Islam menganjurkan umatnya jangan sesekali bersifat sombong jika merasakan diri sudah hebat.

Ada manusia bekerja keras untuk menjadi kaya dan mencari harta yang banyak. Islam tidak melarang mencari kesenangan di dunia dan pada masa sama diingatkan bahawa setiap kita pasti akan menemui kematian.

Oleh itu, amalan hijrah mendorong kita menilai sejauh mana dunia ini sebagai ladang akhirat. Maksudnya, sepanjang berada di dunia, bekerja dan berbuat baiklah menyediakan bekalan hendak dibawa ke akhirat kerana apabila tiba di akhirat nanti, setiap individu Muslim itu dipertanggungjawabkan atas apa yang telah dilakukannya ketika di dunia.

Berhijrah juga mengajar kita menilai manusia di sekeliling. Haji dan hijrah misalnya memiliki nilai penyatuan umat Islam yang signifikan kepada seluruh dunia. Ibadah haji memupuk rasa kebersamaan sesama makmum.

Semoga kesediaan melakukan perubahan ke arah lebih baik dapat membantu kita membina kekuatan ilmu, jiwa dan iman, seterusnya berjaya melahirkan amal serta tindakan membina akhlak terpuji.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: