Sementelahan, kita masih dalam semangat menyambut tahun baharu hijrah. Untuk itu, pasti ramai yang mempunyai semangat berkobar-kobar memulakan ‘buku catatan’ baharu amalan masing-masing dengan pelbagai perkara kebajikan di samping mengelak daripada melakukan kejahatan.

Masa berlalu, hari berganti bermakna usia kita makin meningkat. Dengan kata lain, kita semakin hampir kepada kematian. Justeru kehidupan di dunia ini adalah untuk kita menanam benih kebaikan untuk kita tuai hasilnya iaitu ganjaran pahala di akhirat kelak.

Pada asasnya, Muharam membawa maksud ‘diharamkan’ atau ‘dipantang’, iaitu bulan di mana Allah SWT melarang me­lakukan peperangan atau pertumpahan darah.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah 12 bulan, (yang telah ditetapkan) dalam kitab Allah semasa Ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. (at-Taubah: 36)

Keutamaan berpuasa dalam bulan Muharam telah dinukilkan sebagaimana sabda nabi Muhammad SAW yang bermaksud: Seutama-utama puasa sesudah setelah puasa Ramadan adalah puasa di bulan Muharam dan sebaik-baik solat setelah solat fardu adalah solat (sunat) pada malam hari. (riwayat Muslim)

Dalam hadis lain, Rasulullah SAW bersabda: Tiga hari daripada setiap bulan daripada satu Ramadan kepada satu Ramadan yang berikutnya adalah menyamai ganjaran berpuasa sepanjang tahun. Berpuasa pada hari Asyura juga dihitung di sisi Allah sebagai penghapus dosa bagi setahun yang berlalu. (riwayat Muslim).

Selain berpuasa pada hari Asyura ini, umat Islam digalakkan berpuasa pada hari sebelumnya iaitu hari kesembilan Muharam atau hari tasu’a. Ini berdasarkan beberapa hadis sahih, antaranya:

n Daripada Ibn Abbas r.a berkata (maksudnya): Ketika Rasulullah SAW berpuasa pada hari ‘Asyura, baginda turut meng­arahkan orang ramai supaya turut berpuasa. Lalu mereka berkata: Wahai Rasulullah! Sesungguhnya hari ini adalah hari yang dibesarkan oleh kaum Yahudi dan Nasrani. Lalu Rasulullah SAW bersabda lagi: “Sekiranya di tahun depan, jika diizinkan Allah, kita akan berpuasa pada hari kesembilan”. Ibn Abbas berkata: Tidak sempat munculnya tahun hadapan, Rasulullah SAW wafat terlebih dahulu. (riwayat Muslim)

Para ulama berpendapat hikmah disunatkan berpuasa pada hari tasu’a’ (sembilan Muharam) itu ada beberapa aspek aspek:

1. Bagi menyalahi atau membezakan dengan amalan orang Yahudi yang hanya berpuasa pada hari Asyura. Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Berpuasalah kamu pada hari ‘Asyura’ dan buatlah perbezaan padanya (dari) orang Yahudi (dengan) berpuasa sehari sebelumnya atau sehari selepasnya”. (riwayat Ahmad)

2. Bagi tujuan berhati-hati berpuasa pada hari ‘Asyura’ ke­rana kemungkinan berlaku kesilapan kekurangan dalam pe­ngiraan anak bulan. Maka dengan itu hari kesembilan Muha­ram itu dalam pengiraan adalah hari yang ke-10 Muharam yang sebenarnya.

Demikian juga kita disunatkan berpuasa pada 11 Muharam selain pada seluruh bulan tersebut dan juga pada 1 hingga 10 Muharam menurut sebahagian fuqaha.

Dalam keghairahan menyambut hari Asyura, janganlah hendaknya kita terpengaruh dengan perbuatan merobek pakaian, meronta-ronta dan memukul badan seperti mana yang dilakukan oleh Syiah bagi meratapi pemergian Saidina Husin kerana hukumnya haram.

Ini berdasarkan sabda Nabi SAW daripada Ibn Mas’ud r.a. yang bermaksud: “Bukanlah daripada kalangan kami orang yang memukul dada, mengoyak kain dan menyeru dengan seruan jahiliah (yakni meratap seperti ratapan kaum jahiliah). (riwayat Bukhari dan Muslim)

Justeru, marilah kita merebut peluang dalam bulan mulia ini untuk menambah amalan dengan berpuasa sunat. Janganlah kita hanya sibuk dengan kerja memasak bubur asyura sehingga terlepas ibadat yang lebih utama iaitu berpuasa.

Ingatlah pesanan baginda SAW dalam hadisnya yang bermaksud: “Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara: sihat sebelum sakit; kaya sebelum datangnya masa sempit (miskin); masa lapang sebelum tiba masa sibuk; masa muda sebelum datang masa tua dan masa hidup sebelum tiba masa mati”. (riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi).