Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Menjaga lisan kunci ke syurga

Posted by epondok di Oktober 6, 2016


Oleh Ahmad Nazri Mohd Yusof

Islam adalah agama yang sempurna. Semua hal yang dapat mendekatkan seseorang kepada syurga sudah dijelaskan. Ini termasuk jalan yang dapat mendekatkan seseorang ke dalam syurga antaranya adalah menjaga perkataan ataupun lisan. Menjaga perkataan adalah perbuatan yang sangat penting dalam Islam. Di antara bentuk menjaga lisan adalah menghindari perkataan yang buruk dan yang tidak bermanfaat.

Menyambung kembali perbincangan bertajuk ‘Abaikan 10 Perkataan’ dalam rancangan Pesona D’Zahra yang disiarkan di IKIMfm pada Isnin lalu, Ustaz Muhammad Abdullah Al-Amin menyarankan sekali lagi agar peka apabila berinteraksi.

Sentiasalah berusaha berbuat baik dan memohon kepada Allah SWT walaupun ada kalanya perkataan yang diucapkan oleh orang lain membuatkan kita berasa terguris hati.

Muhammad berkata, apabila kita berhadapan dengan manusia yang berada dalam keadaan mabuk akibat mengambil minuman atau makanan yang mengandungi bahan terlarang itu, maka kita dinasihatkan agar tidak mengambil secara serius perkataan yang diucapkan oleh individu berkenaan. Kebiasaannya, mereka yang mengalami sakit pada anggota badan atau fizikal, secara tidak langsung akan memberi kesan kepada emosinya. Untuk itu, pada tahap sedemikian, kita dianjurkan menerima dengan hati yang terbuka apabila berinteraksi dengan individu yang lemah dari segi kesihatan fizikalnya.

Selain itu, pada saat-saat tersebut juga kita harus percaya bahawa pertolongan Allah SWT datang ketika manusia sangat-sangat memerlukan pertolongan, ketika mereka berasa kehabisan segala daya upaya mereka dan hanya mengharapkan pertolongan Allah SWT semata-mata. Abaikan perkataan individu berpenyakit rohani Di samping itu, kita juga dianjurkan mengabaikan segala perkataan yang diucapkan oleh individu yang mempunyai penyakit rohani.

Jika seseorang itu sihat rohaninya ia akan memiliki kemampuan beramal yang tinggi, ghairah bekerja dan bersemangat untuk maju dalam kebaikan. Sebetulnya orang yang menghidap penyakit rohani akan nampak lemah dalam kemampuan bekerja, hilang semangat untuk maju. Yang menonjol hanyalah kelemahan dan sifat malas. Antara tanda penyakit rohani ialah prasangka yang buruk, antara lain anggapan yang bukan-bukan terhadap Allah dan Rasul-Nya. Firman Allah yang bermaksud: ‘Dan ingatlah ketika orang munafik dan orang yang di hatinya ada penyakit berkata: “Allah dan Rasul-Nya tidak menjanjikan kepada kita melainkan tipu daya.” (Surah al-Ahzab, ayat 12).

Selain mempunyai prasangka buruk terhadap Allah dan Rasul-Nya, dia juga mempunyai prasangka yang buruk dan suka curiga terhadap orang lain tanpa alasan. Dalam konteks rumah tangga, ada pasangan yang menghidapi penyakit sedemikian berpunca daripada terkena amalan sihir. Kesan daripada amalan tersebut, ia boleh mengakibatkan hubungan suami isteri bertambah renggang. Justeru, dalam menangani situasi ini, kita perlulah segera membawanya untuk berubat.

Untuk mengubati rohani yang sakit adalah dengan memperbanyakkan bacaan al Quran. Rohani yang kuat akan menambahkan ketakwaan dan mendekatkan diri kepada Allah. Berikutnya, kita juga perlu kuatkan hati dengan merelakan perkataan yang disebut oleh seseorang yang didapati nyanyuk yakni penyakit yang boleh menyebabkan kurang daya pemikiran, penglihatan dan kefahaman.

Beri reaksi positif

Selain itu, Muhammad juga menerangkan kepentingan mengabaikan kepada perkataan tidak mahu kepada perkara sepatutnya. Contohnya, seorang murid yang tetap dengan keputusan untuk membantu gurunya untuk mengangkat beg walaupun guru tersebut menolak untuk dibantu. Selain itu, kita juga disarankan agar memberi reaksi positif apabila ia menjadi keperluan dan tanggungjawab yang harus dipikul sebagai seorang suami atau isteri waima seorang anak sekalipun dalam keluarga.

Akhir sekali, harus diingatkan agar mengabaikan perkataan tidak kepada perkara yang berkaitan dengan hak yang perlu ditunaikan. Dalam konteks ini, sebagai seorang suami adalah menjadi wajib menunaikan nafkah walaupun isterinya sudi menghulurkan bantuan.

 

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: