Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Imbangi ibadah dunia, akhirat

Posted by epondok di Oktober 5, 2016


Oleh Shafiq Salleh

Hubungan dan akhlak yang baik sesama manusia akan memasukkan kita ke dalam Syurga, selain ketakwaan kepada Allah SWT. Surah Ali-Imran, ayat 133-134 menyatakan tentang keperluan menjaga kesempurnaan perhubungan semasa manusia.

Ustaz Pahrol Mohd Juoi rancangan di IKIMfm membicarakan mengenai hak sesama manusia. Permulaan hari hendaklah dimulakan dengan perasaan dan fikiran bersangka baik supaya sentiasa mengingati Allah SWT walaupun terdapat ujian kesakitan, kesusahan, masalah serta cabaran dalam hidup.

Tidak mungkin kita boleh bersangka baik dengan manusia jika tidak bersangka baik kepada Allah SWT terlebih dahulu. Sunah Rasulullah SAW mendidik umat Islam dengan ucapan ‘Hamdalah’ iaitu bermaksud Alhamdulillah (segala puji bagi Allah). Justeru, permulaan hidup yang mengingati Allah SWT, memuji segala kebesaran-Nya akan mengurniakan segala perkara yang baik dalam kehidupan manusia.

Ustaz Pahrol Mohd Juoi membicarakan ‘Ada Hak Manusia Dalam Ibadah Kepada Allah SWT’ menerusi rancangan Islam Itu Indah di IKIMfm berkata, iman berkait rapat dengan takwa yang membawa kepada akhlak yang baik.

Diriwayatkan oleh at-Tirmizi: “Bahawa yang banyak memasukkan seseorang manusia ke dalam syurga ialah takwanya kepada Allah SWT dan akhlaknya sesama manusia.”

Ibadah solat adalah penghubung kita dengan Allah SWT yang mempunyai kaitan dengan amalan zakat membawa kepada pertalian sesama manusia. Kecenderungan dan fokus ibadah yang dilaksanakan di dunia tidak hanya tertumpu kepada Allah SWT sahaja. Sebaliknya, perlu seimbang untuk mempunyai perhubungan sesama manusia melalui erti kata ‘hablun minAllah, hablun minannas.’

Haji hubungkan manusia

Contoh pelaksanaan ibadah haji sebuah perjalanan ibadah menuju kepada Allah SWT. Namun, pada masa sama, ibadah itu juga menghubungkan pertalian komunikasi sesama manusia membabitkan perhimpunan jutaan umat Islam di suatu tempat yang diberkati Allah SWT. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang yang bertakwa iaitu orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah dan orang yang menahan kemarahannya dan orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang yang berbuat perkara yang baik.” (Surah Ali-Imran, ayat 133-134)

Penerangan melalui surah itu memfokuskan beberapa aspek penting di mana Allah SWT suka kepada manusia yang mengerjakan amal kebaikan kepada-Nya serta menjaga kesempurnaan perhubungan semasa manusia dengan menderma, menahan kemarahan dan memberi kemaafan. Ertinya, kehidupan manusia perlu dipenuhi dengan konsep hidup seimbang bersama Maha Pencipta-Nya dan sesama manusia.

Kisah daripada Sirri As Siqthi mengenai tangisannya selama 30 tahun kerana ucapan Alhamdulillah. Beliau seorang peniaga yang menjual barangan di kompleks di Baghdad. Suatu ketika berlaku kebakaran menyebabkan kemusnahan tetapi kedai beliau tidak terbakar. Sirri As Siqthi terus mengucapkan Alhamdulillah dan pada masa sama beliau terfikir apakah beliau patut gembira kerana hanya kedainya sahaja yang terselamat daripada kebakaran itu sedangkan Rasulullah SAW pernah bersabda: “Barang siapa yang bangun waktu pagi tanpa memikirkan urusan Muslim yang lain ia tidak tergolong dalam kalangan Muslim.”

Kehidupan berlandas iman

Oleh kerana ucapan Alhamdulillah yang dilafazkan beliau itu merasakan seperti gembira atas kesedihan orang lain, menunjukkan juga seperti mementingkan dirinya sendiri. Disebabkan itu, beliau telah menangis selama 30 tahun menyesal atas ucapan itu. Keutamaan kepada perkara yang utama lebih bernilai dalam sebuah kehidupan, apatah lagi ia berlandaskan kepada keimanan, ketakwaan dan tidak melupakan jalinan kehidupan sesama manusia. Semangat bantu membantu dan ingat mengingati antara satu sama lain amat dituntut agama Islam.

Oleh itu, pelaksanaan kebaikan itu mempunyai pembahagian yang seimbang bersama ketakwaan kepada Allah SWT. Keredaan Allah SWT bukan hanya terdapat di surau, masjid, tetapi keredaan Allah SWT itu hadir apabila manusia memberikan sumbangan kepada orang lain. Kehidupan yang lengkap adalah kehidupan diredai oleh Allah SWT dan penuh kasih sayang antara manusia.

 

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: