Penghijrahan baginda bukan setakat berpindah tempat tetapi menghijrahkan umat yang lemah kepada kuat, tertindas kepada bergerak cergas, melarat kepada berdaulat dan dakwah dalam lingkungan terbatas kepada seluruh masyarakat. Titik permulaan hijrah dan pembinaan negara menjadi tanda aras kebangkitan Islam yang seterusnya tersebar ke seluruh dunia.

Hijrah dan pembinaan negara merupakan dua perkara saling berkait rapat antara satu sama lain. Hijrah bukan setakat mengangkat prestasi individu tetapi turut merangkumi hal ehwal kemasyarakatan dan negara.

Peristiwa hijrah merakamkan pembinaan sebuah negara. Pembinaan negara Madinah bukan secara kekerasan dan penaklukan. Baginda SAW mendirikan masyarakat baharu dalam negara yang aman, penjenamaan terhadap negeri yang menjadi asas pembentukan negara iaitu Yathrib kepada al-Madinah al-Munawwarah.

Nama yang menunjukkan kedaulatan diiktiraf semua pihak. Rasulullah SAW memerdekakan umat Islam dengan terbentuknya negara Madinah yang menjadi milik semua kaum tanpa memilih apakah bangsa dan agama mereka. Muhajirin, Aus dan Khazraj serta Arab Wathani diiktiraf sebagai warganegara.

Semua pihak dilindungi undang-undang di bawah kedaulatan negara Madinah. Setelah itu, kedudukan politik Madinah diperkuat melalui persefahaman semua pemimpin kaum dengan menyetujui butir-butir perjanjian Piagam Madinah. Pembinaan negara Madinah bukan bermakna menumpang hidup dan menyusahkan orang lain, Rasulullah dan para sahabat r.a. memainkan peranan membentuk masyarakat baharu dan membina kematangan politik.

Rasulullah SAW bersabda, “Aku diperintahkan untuk berhijrah ke sebuah kota yang akan mengalahkan kota-kota lain. Kota itu disebut Yathrib. Itulah Madinah. Kota itulah yang akan membersihkan manusia (daripada segala keburukan dan kemusyrikan) sebagaimana tungku api menghilangkan kotoran besi,” Riwayat Bukhari.

KEMATANGAN RASULULLAH BERPOLITIK

Keadaan penduduk Arab di Madinah tidak sehebat Quraisy Mekah yang memiliki kekayaan, menguasai perdagangan dan mempunyai struktur politik tersusun. Muhammad Ahsan dalam tulisannya Globalization and The Underdeveloped Muslim World : A Case Study Of Pakistan, antara tindakan awal yang dilakukan Rasulullah SAW ketika sampai di Madinah adalah mengadakan bancian penduduk.

Bancian tidak terbatas kepada bilangan penduduk dari segi pecahan jantina, kaum dan usia, bahkan merangkumi guna tenaga kerja, penguasaan ilmu pengetahuan, tahap literasi dan pegangan agama. Maklumat tepat mengenai profil penduduk merupakan komponen penting dalam merangka formula pemerintahan dan memastikan program dirangka menepati keperluan serta bersesuaian dengan budaya, komposisi, taburan penduduk setempat serta semasa.

Data-data yang dikumpulkan dijadikan asas dalam perancangan dan pembangunan sistem serta corak pemerintahan negara. Diriwayatkan Rasulullah SAW menggali telaga-telaga baharu di sekitar Madinah sehingga air bersih cukup dibekalkan kepada seluruh penduduk. Baginda membawa gaya hidup baharu sehingga Madinah diriwayatkan menjadi bandar selamat.

Realiti baharu ini dikunci mati melalui pengharaman riba yang menjadi antara punca utama berlakunya eksploitasi dalam masyarakat. Walaupun demikian, golongan Muhajirin tidak mengambil kesempatan di atas hubungan ini, sebaliknya berusaha membina ekonomi sendiri melalui sektor perniagaan. Inilah kebijaksanaan strategi pembasmian kemiskinan yang amat signifikan dalam menghayati peristiwa hijrah yang seharusnya menjadi inspirasi dalam melakukan transformasi ummah.

 

ELAK AMAL PENDEKATAN RETORIK

Hijrah Rasululah SAW bukan sekadar pengkisahan setiap kali tibanya awal Muharam. Adalah penting untuk mengambil pengajaran sebagai panduan dalam menyelusur sirah Nabi SAW membina negara. Tuntutan hijrah pada hari ini bukan lagi sekadar perpindahan daripada satu tempat ke tempat lain, tetapi merupakan transformasi atau perubahan minda dan budaya hidup berteraskan ajaran Islam.

Hijrah bersandarkan keimanan dan ketakwaan mampu mengubah landskap pegangan akidah, ibadah, akhlak, sosial dan ketamadunan serta masa depan ummah. Allah SWT berfirman mafhumnya :

“Dan sesiapa yang berhijrah di jalan Allah, nescaya dia akan dapati di bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur; sesiapa yang keluar dari rumahnya berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian dia mati, sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani,” (Surah an-Nisa’ :100).

Hijrah melahirkan ummah kreatif dan berinovasi mendepani cabaran semasa serta perkembangan yang terus berlaku. Hijrah suatu keperluan. Ia berlaku sepanjang zaman. Salam Maal Hijrah 1438 H. Ukhuwah Islamiah Asas Penyatuan Ummah