Sebagai Muslim, amat penting kita menghayati tema tersebut dan menterjemahkannya dalam kehidupan seharian. Asas utamanya, umat Islam mesti bersatu dan jangan berpecah. Selagi mana kita mengucapkan Laa ilahaillah Muhammad Rasulullah kita tetap saudara seagama. Ketepikan segala perseteruan dan tinggalkan semua ideologi politik kepartian. Bersatulah atas dasar agama Islam.

Perintah bersatu-padu ini ditegaskan oleh Allah SWT dalam firman-Nya yang bermaksud: Dan berpegang teguhlah kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai berai, dankenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dahulu) lalu Allah menyatukan antara hati kamu (hingga kamu bersatu padu dengan nikmat Islam)..(ali-Imran: 103)

Hijrah sebenarnya membawa pengertian yang luas, keluar dari medan perjuangan yang sempit ke gelanggang yang lebih luas dan ia adalah pemisah di antara yang hak dengan yang batil. Ia juga merangkumi perpindahan kepada hidup yang lebih baik, lebih maju, lebih mulia dan lebih bermakna serta berada pada lingkungan rahmat dan keredaan ilahi.

Tanpa sifat-sifat sanggup berhijrah, mustahil kejayaan akan tercapai dan kemajuan ummah tidak akan berhasil. Islam tidak menyuruh kita hanya berpeluk tubuh dan menunggu yang bulat datang bergolek dan yang pipih datang melayang.

Mengambil semangat tahun baharu ini, paling tidak setiap umat Islam mesti berazam dan melakukan hijrah dalam diri masing-masing. Memanglah tidak ada lagi hijrah selepas pembukaan kota Mekah. Ini dijelaskan oleh Nabi Muhammad SAW dalam sabda baginda yang bermaksud: Tiada lagi hijrah selepas pembukaan Kota Mekah, tetapi (yang tinggal hanyalah) jihad dan niat. Oleh itu, jika kalian diminta keluar berjihad, maka keluarlah! (riwayat Bukhari)

Berdasarkan hadis di atas, jelaslah bahawasanya tiada lagi hijrah bagi umat Islam selepas pembukaan kota Mekah. Namun, Rasulullah SAW memperluaskan maksud dan konsep hijrah pada bahagian kedua dengan menyatakan, niat dan kesediaan berjihad untuk Islam juga dianggap satu cabang hijrah.

Untuk itu, mari kita pastikan diri kita tidak terlepas daripada melakukan hijrah. Marilah kita berazam dan berusaha meninggalkan segala perbuatan yang dilarang oleh Allah serta melazimi perkara yang disuruh oleh Islam.

Ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Orang yang berhijrah itu adalah orang yang meninggalkan apa-apa yang dilarang Allah. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Di sebalik kita menyambut Maal Hijrah dengan mengadakan perarakan, majlis-majlis ilmu dan sebagainya, hendaklah kita memberi perhatian kepada pelaksaan ibadat solat. Sebab itu, antara usaha yang perlu dilakukan pada peringkat mikro adalah menetapkan petunjuk prestasi utama (KPI) untuk solat berjemaah terutamanya waktu Subuh dan Isyak.

Diceritakan, kaum Yahudi pernah berkata, di dalam kitab kami (Kitab Taurat) ada tertulis jika di seluruh dunia jumlah orang Islam yang hadir untuk solat subuh berjemaah di masjid sama banyak dengan jumlah jemaah solat Jumaat, maka saat itu Israel akan hancur.

Bagi para suami dan bapa, berusahalah memastikan isteri dan anak-anak menunaikan solat fardu lima waktu. Sekali-sekala solat jemaah bersama mereka di rumah selain berjemaah di masjid. Ini barulah bertepatan dengan tanggungjawab menyelamatkan diri dan ahli keluarga daripada neraka. Ingatlah keluarga yang solat akan taat dan hidupnya selamat.