Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for Oktober 2016

Ubat penyakit cintakan dunia

Posted by epondok di Oktober 31, 2016

Oleh Dr Nik Roskiman Abdul Samad

Walaupun kita hidup di akhir zaman, Baginda SAW sudah memberi isyarat apa yang akan berlaku di mana wujud satu penyakit dalam diri umat Islam yang disebut ‘wahn’ iaitu mencintai dunia dan tidak menyukai kematian.

Topik mencintai dunia ini penting dalam tasauf kerana ajaran Islam tidak mengajar kita mencintai dunia sebaliknya mencintai akhirat yang sepatutnya menjadi tumpuan atau keutamaan. Dunia membawa makna ‘dekat’ dan apabila manusia melihat segala perhiasan dunia dengat terlalu dekat, ia menjadi hijab mengaburi daripada memandang akhirat.

Pensyarah Pusat Kajian Tinggi Islam, Sains dan Peradaban (CASIS-UTM), Prof Madya Dr Khalif Muammar A Harris, dalam rancangan Tarbiyah berkata inilah satu bentuk ujian daripada Allah SWT. Katanya, Allah SWT ingin menguji adakah manusia benar-benar ingat kepada-Nya atau leka dengan dunia yang dekat pada pandangan mata kasar sehingga melupakan kehidupan akhirat yang kekal abadi.

Penyakit wahn

Dalam al-Quran juga ada menyebut apabila manusia menyeleweng daripada jalan lurus, mereka cuba menyalahkan syaitan sedangkan syaitan sendiri berlepas tangan dan tidak mengaku merekalah penyebab kesesatan manusia itu. Penyelewengan manusia itu disebabkan oleh penyakit ‘wahn’ yang disebutkan Baginda SAW hingga kerana cinta dunia manusia hilang integriti, runtuh akhlak seperti makan rasuah dan salah guna kuasa,” katanya.

Baginda SAW turut berpesan supaya menjaga mulut dan kemaluan kerana kedua-dua organ itu menjadi penyebab manusia dihumban ke neraka. Sesiapa yang menjaganya, Baginda SAW memberi jaminan bahawa dia akan selamat. Mereka yang tidak menjaga mulut ialah orang yang suka berbohong serta tidak memegang janji seperti mana maksud hadis yang menyebut tanda orang munafik itu ialah yang tidak berpegang kepada janji dan berbohong. Justeru, sikap umat Islam yang mengamalkan rasuah, berakhlak buruk, hilang integriti dan lain-lain itu adalah manifestasi daripada penyakit hati sementara ilmu tasauf disusun bagi membanteras penyakit itu.

Beza nama, erti sama

Ilmu tasauf wujud di awal Islam lagi walaupun pada ketika itu mungkin tidak dinamakan ilmu tasauf sebaliknya dikenali sebagai ilmu tazkiyatul nafsi, penyucian hati dan seumpamanya. Hakikatnya ilmu tasauf telah lama wujud. Nabi SAW bersabda: “Ketahuilah bahwa dalam jasad itu terdapat segumpal darah, yang apabila ia baik maka baik pula seluruh jasadnya. Dan apabila ia rosak, maka rosak pula seluruh jasadnya. Ketahuilah bahwa segumpal darah itu adalah hati. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Prof Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas mendefinisikan tasauf sebagai pengamalan syariat pada maqam ihsan. Oleh itu, dapat difahami tasauf adalah sebahagian daripada syariat. Mereka yang mentohmah tasauf sebagai pengaruh asing, luar, bidaah, dan bukan ajaran Islam sebenarnya keliru dan tidak memahami hakikat tasauf serta tidak merujuk kepada ajaran tasauf itu.

Timbulkan kesedaran

Produk daripada tasauf itu ialah akhlak yang mulia. Apabila sebahagian kelompok manusia menolak tasauf, maka mereka telah mengenepikan akhlak dan lebih menjurus kepada perkara bersifat hukum hakam serta persoalan remeh temeh. Apabila kita mahu merubah manusia, perkara biasa terfikir oleh kebanyakan orang ialah menguatkuasakan undang-undang dan peraturan yang menyekat manusia.

Tasauf berbeza dan ia tidak mendidik manusia takutkan undang-undang sebaliknya menimbulkan kesedaran daripada dalam diri. Manusia tidak melakukan perkara dilarang dalam Islam bukan kerana takutkan undang-undang atau pihak penguatkuasa tetapi menginsafi Allah SWT itu Maha Melihat dan berdosa jika dilakukan perkara itu. Hari ini, disebabkan pengabaian terhadap ilmu tasauf, keruntuhan akhlak seperti buang bayi dan juga kehilangan integriti seperti rasuah dan penyalahgunaan kuasa semakin berleluasa.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Kem Cuti Sekolah / IPT di Pondok Kelantan 2016

Posted by epondok di Oktober 30, 2016

img-20161027-wa0060

Posted in Program Terbaru | Leave a Comment »

Persaudaraan jamin keamanan dunia

Posted by epondok di Oktober 29, 2016

Oleh Syafiq Salleh

Islam agama yang mementingkan hubungan persaudaraan. Hubungan silaturahim yang baik dan erat kunci kepada keamanan dunia.

Ustaz Rushdi Ramli Al-Jauhary dalam program Islam Itu Indah di IKIMfm membicarakan mengenai persaudaraan mengikut konsep Islam. ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: “Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah SWT, sesungguhnya Allah SWT mengasihi orang yang bertawakal kepada-Nya.” (Surah Ali-Imran, ayat 159)

Keterangan ayat itu menjadi sumber inspirasi kepada keazaman umat Islam untuk istiqamah ke arah kebaikan dengan bermujahadah (berpenat lelah) kepada Allah SWT. Umat Islam yang soleh dan solehah menjadi produk untuk mempamerkan kebaikan dan menjalin hubungan baik kepada seluruh warga dunia. Sesuai dengan mesej itu, Ustaz Rushdi Ramli Al-Jauhary dalam program Islam Itu Indah membicarakan tajuk ‘Islam agama persaudaraan melangkaui bangsa dan bahasa.’

Katanya, pengertian Islam dari sudut bahasa turut membawa maksud ‘thariq’ yang bererti jalan kehidupan menjadi panduan merangkumi semua aspek kehidupan. Islam juga membawa maksud ‘hukmu’ menterjemahkan hukum-hakam yang menjadi prinsip kehidupan. Keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT yang menjadi prinsip utama agama Islam memberi pendekatan keamanan dibawa oleh agama ini. Oleh itu, orang yang beriman akan selalu memberi keamanan kepada orang lain. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sebenarnya orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.” (Surah al-Hujurat, ayat 10)

Rahmat persaudaraan

Justeru, apabila umat Islam menghubungkan persaudaraan, mereka akan mendapat rahmat kasih sayang Allah SWT selain dikurniakan pahala dan balasan syurga yang diidamkan dapat dikecapi dengan pengampunan serta syafaat daripada Rasulullah SAW. Rasulullah SAW bersabda: “Orang Islam yang sebenar adalah orang yang tidak mengganggu orang Islam lain baik dengan lidah mahupun tangannya dan orang yang hijrah itu adalah orang yang hijrah meninggalkan perkara yang dilarang oleh Allah.” (Riwayat al-Bukhari)

Agama Islam bukan milik sesuatu bangsa sahaja. Perhubungan persaudaraan Islam dapat dilihat apabila tiba musim haji di mana ia adalah himpunan terbesar umat Islam membawa mesej luas untuk disahut setiap umat Islam di seluruh dunia tidak mengira bangsa, bahasa mahupun tempat. Perkukuh silaturahim Persaudaraan dan silaturahim dibawa Islam menjadi inti pati utama menentukan keamanan dunia yang membawa keberkatan di akhirat. Rasulullah SAW telah berpesan: “Tidak akan masuk syurga bagi orang yang memutuskan silaturahim.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Amalan mentauhidkan Allah SWT, mendirikan solat, berpegang teguh kepada sifat jujur dan menjauhkan diri daripada perbuatan buruk adalah modul lengkap disediakan Allah SWT kepada hamba-Nya. Sifat umat Islam akan menjadikan persaudaraan manusia itu istimewa apabila mereka berpegang teguh kepada kalimah ‘hablun minan nas’ seimbang dengan ‘hablun minallah’ untuk berpaut kepada pertalian Allah SWT.

Oleh itu, persaudaraan dalam Islam yang menjadi konsep hubungan antara manusia di seluruh dunia dapat melahirkan keharmonian dunia dan akhirat. Keseimbangan hidup yang bahagia di dunia dan akhirat akan terus dapat dikecapi dengan berpandukan seruan Allah SWT.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Perbaharui taubat tanda insaf

Posted by epondok di Oktober 28, 2016

Oleh Mohd Faiz Othman

Setiap manusia tidak terlepas melakukan dosa. Justeru mereka yang bertaubat dan menyedari kesilapan adalah mereka yang keluar daripada gelap-gelita.

Ustaz Muhammad Syaari Abd Rahman menerusi segmen Ibrah di IKIMfm mengajak pendengar sentiasa memperbaharui taubat.

BIARLAH kita menjadi air mengalir yang dapat memberi manfaat kepada hidupan lain dan janganlah jadi seperti air bertakung yang hanya berkeladak dan kotor. Allah SWT sering kali menggambarkan dalam syurga, bagaimana airnya mengalir di sana sini. Begitulah gambaran kehidupan kita supaya sentiasa mengalir dan bergerak dari satu prestasi ke prestasi yang lebih baik.

Ustaz Muhammad Syaari Ab Rahman melalui segmen Ibrah di IKIMfm berkongsi kisah mengenai perjalanan kehidupan yang perlu melalui proses hijrah. Katanya, hidup ini seperti fenomena peralihan malam. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Maka Aku bersumpah, demi mega; Dan malam serta segala yang dihimpunkannya; Dan bulan apabila (penuh cahayanya) menjadi purnama: Sesungguhnya kamu tetap melalui beberapa keadaan yang bertingkat-tingkat baik buruknya, (sebelum kamu menemui Tuhan – menerima kesenangan dan kebahagiaan atau sebaliknya).” (Surah al-Insyiqaq, ayat 16-19)

Apabila Allah SWT bersumpah dengan perjalanan malam itu, maka Allah SWT hadirkan kesimpulan daripadanya. Jika beginilah sifat malam, bermula daripada gelap yang tidak sepenuhnya kemudian menjadi gelap gelita dan akhirnya muncul cahaya daripada purnama yang terang.

Sabar, positif dalam hidup

Begitulah perjalanan kehidupan, ada kalanya kita rasa dalam kegelapan tanpa cahaya dan tempat bergantung, namun kita perlu sabar, positif dan terus bergerak kerana pasti akan ada cahaya yang menanti. Kita perlu terus melakukan perubahan dan pergerakan serta sentiasa memperbaharui taubat.

Orang yang sentiasa memperbaharui taubatnya adalah orang yang menginsafi berada dalam kegelapan lalu ingin keluar daripada gelap-gelita itu. Manusia sering melakukan kesilapan, tetapi sebaik-baik manusia ialah setelah menyedari kesilapan, maka bersegera insaf dan bertaubat. Rasulullah SAW bersabda: “Hijrah tidak pernah terputus sampai pintu taubat tertutup dan pintu taubat tidak tertutup hingga matahari terbit dari arah barat.” (Riwayat Abu Dawud)

Berubahlah supaya kita tidak dikalahkan oleh rasa selesa yang merosakkan. Kita patut belajar daripada kesilapan Nabi Adam dan Hawa yang pernah melakukan kesilapan. Ia bukan suatu perkara sia-sia yang ditakdirkan Allah SWT, tetapi pengajaran bahawa kita tidak terlepas daripada dosa dan bersegeralah bertaubat.

Syurga dan neraka disediakan untuk manusia. Yang membezakannya ialah bagaimana neraka disediakan buat pendosa yang ketika hayatnya tidak pernah beristighfar serta bertaubat atas segala dosanya. Pertingkat diri jadi lebih hebat Syurga pula buat mereka yang segera bertaubat selepas mengakui kesilapan dan dosa yang telah dilakukan, menginsafi untuk tidak kembali kepada dosa yang lalu.

Justeru, jangan takut meninggalkan zon selesa untuk menghadapi keadaan lebih mencabar. Sebaliknya, serlahkan bakat yang dianugerahkan Allah SWT untuk mempertingkat diri menjadi lebih hebat. Sering kali kita berada pada satu tahap sehingga datang ujian Allah SWT.

Andai ujian Allah SWT adalah asbab untuk menyerlahkan potensi kita pada tahap lebih baik, biarlah ujian itu juga menjadikan kita lebih dekat kepada-Nya serta sentiasa menginsafi segala dosa kesilapan kita.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Bergurau ada hadnya

Posted by epondok di Oktober 27, 2016

Dalam tidak sedar penyebar aibkan mangsa di dalam gambar

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Kebersamaan memerangi rasuah

Posted by epondok di Oktober 25, 2016

AJARAN Islam menetapkan bahawa menjadi tanggungjawab umat Islam untuk melaksanakan aktiviti amar makruf (menyuruh melakukan kebaikan) dan nahi mungkar (mencegah melakukan kejahatan). Dalam hal ini umat Islam berperanan untuk mengajak manusia agar beriman serta mentaati segala perintah Allah SWT dalam memastikan lima perkara asas iaitu agama, jiwa, akal, keturunan dan harta dipelihara sebaik mungkin.

Pelaksanaan tanggungjawab itu hendaklah dilakukan dengan penuh amanah. Jika tidak, segala bentuk kemungkaran dan kemaksiatan akan berleluasa serta kebenaran tidak dapat ditegakkan. Firman Allah SWT di dalam surah al-Anfal, ayat 27:

“Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasul-Nya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya).”

Masalah rasuah yang berleluasa dalam masyarakat pada masa ini adalah sebahagian daripada perkara mungkar malah merupakan satu jenayah yang membimbangkan semua pihak. Apatah lagi, ia telah menular dan menjadi darah daging dalam kehidupan masyarakat di semua tempat, persis penyakit barah yang sedang merebak dalam tubuh negara.

Andaikan perkara ini berlanjutan, sudah pasti ia semakin membesar, memakan dan mereput tonggak-tonggak utama negara, sekali gus menggugat keimanan serta menggoncang ketetapan hati sehingga mengakibatkan bencana besar kepada negara.

Rasuah yang berleluasa boleh menghakis sistem keadilan, nilai-nilai murni dan menggugat pemerintahan secara demokratik. Seterusnya, bakal lahir anggota masyarakat berperibadi buruk lagi hina kerana rela menggadai maruah agama dan diri demi mengejar wang ringgit, pekerjaan, jawatan, pangkat, hadiah serta sebagainya.

Berdasarkan laporan, lazimnya penglibatan rasuah dalam politik, sektor perkhidmatan awam, swasta dan orang awam adalah meliputi perbuatan meminta dan menerima suapan, menawar dan memberi suapan, membuat tuntutan palsu serta menyalahgunakan kedudukan jawatan untuk tujuan suapan. Barangkali kita terlupa bahawa Allah SWT telah menegaskan di dalam Surah al-Baqarah ayat 188:

“Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang lain) antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian daripada harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).”

Daripada Ibnu Umar r.a. bahawa Nabi SAW bersabda: “Pemberi rasuah dan penerima rasuah akan masuk ke dalam api neraka.” – Riwayat Tabrani.

MENGAPA RASUAH BERLAKU

Persoalan besar timbul ialah mengapa amalan jenayah rasuah ini berlaku? Berdasarkan laporan antara lain ia berpunca daripada kegagalan individu mengawal nafsu, tamak haloba, sikap mahu hidup mewah, memburu kekayaan dengan cepat, tidak bersyukur serta terikut-ikut dengan rakan-rakan sekerja.

Sememangnya ini bertepatan dengan pesanan Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Ka’ab bin ’Iyadh r.a.: “Sesungguhnya setiap umat ditimpa fitnah (ujian) dan fitnah bagi umatku ialah harta.”

Dalam nada yang sama, Imam Ibnu al-Qayyim menegaskan bahawa antara perkara yang menjadi penghalang bagi umat Islam ialah terjadinya fitnah syubhat (kekeliruan) dan fitnah syahwat (dorongan hawa nafsu). Secara tuntas, mereka yang terlibat dengan jenayah ini membawa implikasi buruk terhadap sistem pembahagian kekayaan negara yang tertumpu kepada orang tertentu sahaja, meningkatkan kadar inflasi dan berleluasanya kezaliman dalam masyarakat.

Lebih malang, ia merugikan golongan berpenat lelah mencari rezeki halal menggunakan tulang empat kerat yang tidak terlibat secara langsung dengan pengurusan harta negara.

Dengan adanya agensi yang dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan kes jenayah rasuah seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), diyakini lebih banyak manfaat akan dapat diraih oleh masyarakat dan negara. Namun, perjuangan ini tidak membawa apa-apa kesan sekiranya tiada kebersamaan daripada pelbagai pihak dan masyarakat untuk memastikan rasuah dibanteras.

Justeru, kesedaran, sokongan dan peranan semua pihak amat diperlukan bagi menyokong segala aktiviti dan usaha mencapai matlamat.

Diharapkan keseriusan kita memerangi jenayah rasuah ini secara bersama dapat melahirkan urus tadbir yang baik dalam perkhidmatan kerajaan dan swasta sebagaimana dituntut oleh syarak.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Maidah ayat 2:

“Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya).”

Ingatlah!
 Isu rasuah adalah isu rakyat. Untuk itu, setiap rakyat perlu benar-benar merasai kehadiran SPRM seolah-olah ia kepunyaan bersama. Di samping itu, SPRM juga diharapkan dapat mengekalkan nilai integriti dan sentiasa menjalin kemesraan dengan rakyat di sebalik ketegasannya membela rakyat memerangi perasuah 
secara habis-habisan.

PEDOMAN

* Nilai integriti, sifat amanah dapat menjadi benteng kepada sebarang perbuatan negatif termasuk rasuah.

* Menjadi golongan menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran bakal menambahkan kemakmuran bumi Allah dengan benih-benih kebaikan.

* Prinsip ketelusan, kebertanggungjawaban hendaklah diserapkan ke dalam minda masyarakat agar wujud rasa tanggungjawab dalam diri.

“Dan hendaklah ada antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang yang berjaya.” (Surah Ali Imran: 104)

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Persiapan menghadapi hari yang dijanjikan

Posted by epondok di Oktober 24, 2016

SETIAP yang hidup pasti mati. Soalannya bersediakah kita? - GAMBAR

SETIAP yang hidup pasti mati. Soalannya bersediakah kita? – GAMBAR HIASAN

TAHUKAH kita apakah hari yang dijanjikan itu? Hari itu ialah saat di mana ditiupkan sangkakala oleh Malaikat Israfil. Pada tiupan pertama, seluruh alam ini binasa, bukit bukau menjadi debu berterbangan, bintang-bintang dan cakerawala gugur bertaburan, bangunan-bangunan tinggi tersungkur menyembah bumi dan pada hari itu semua makhluk menjadi binasa.

Yang tinggal hanya Allah SWT yang bersifat Baqa’. Kemudian selepas itu ditiupkan pula sangkakala kedua, maka seluruh umat manusia akan dibangkitkan Allah daripada kubur masing-masing, inilah apa dikatakan sebagai hari yang dijanjikan Allah. Firman-Nya dalam Surah az-Zumar, ayat 68:

“Ditiupkan sangkakala, maka pada waktu itu matilah makhluk-makhluk yang ada di langit dan yang ada di bumi secara mendadak, kecuali sesiapa yang dikehendaki Allah. Kemudian ditiup sangkakala sekali lagi, maka dengan serta merta mereka bangun berdiri menunggu (kesudahan masing-masing).”

Dengan ini jelaslah kepada kita tentang hari yang dijanjikan itu, iaitu hari di mana setiap orang akan kembali kepada Allah SWT untuk menerima balasan bagi setiap apa yang dikerjakan di dunia ini. Jika melakukan perbuatan baik, dapatlah balasan yang baik di sisi-Nya dan begitulah sebaliknya.

Ingatlah setiap apa yang dijanjikan oleh Allah SWT ini merupakan suatu yang wajib diimani. Tidak dapat tidak, hendaklah kita menyakininya dengan sepenuh keimanan.

APAKAH 
PERSEDIAAN KITA?

Persoalannya, apakah persiapan atau persediaan yang dibuat untuk menghadapi saat-saat dijanjikan itu? Bersediakah? Apakah kita benar-benar yakin bakal terselamat pada hari itu?

Pada hari itu, tiada sebarang penolong, melainkan kita hadir dengan jiwa yang tenang mengadap Allah SWT. Pada hari tersebut, tiada sebarang naungan yang menaungi melainkan mereka yang dinaungi naungan Allah. Persoalannya, siapakah yang beruntung itu?

Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Ada tujuh golongan manusia yang akan mendapat naungan Allah SWT pada hari yang tidak ada naungan kecuali naungan-Nya.

– Pemimpin yang adil.

– Seorang pemuda yang hidup membesar dengan beribadah kepada Allah.

– Seorang yang hatinya sentiasa terpaut pada masjid.

– Dua orang yang saling mencintai kerana Allah, berkumpul dan berpisah kerana Allah.

– Seorang lelaki yang diajak berzina oleh wanita kaya dan cantik tapi dia menolaknya sambil berkata, “Aku takut kepada Allah SWT.”

– Seorang bersedekah secara rahsia hingga seolah-olah tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diinfaqkan oleh tangan kanannya.

– Seorang berzikir kepada Allah ketika bersendirian hingga berlinang air matanya.” – Riwayat Bukhari.

Ingatlah bahawa setiap perbuatan di dunia ini direkodkan oleh Allah SWT melalui dua malaikat-Nya iaitu Raqib dan Atid. Rekod amalan itu akan diserahkan kepada setiap manusia pada hari yang dijanjikan itu. Firman Allah dalam Surah al-Insyiqaq, ayat 7-12:

“Maka sesiapa yang diberi buku catatan amalannya di sebelah tangan kanannya, maka dia akan dihisab dengan cara yang mudah dan ringan, dan dia akan kembali kepada kaum keluarganya (yang beriman di dalam syurga) dengan perasaan gembira. Dan sesiapa yang diberi buku catatan amalannya dari sebelah belakangnya, maka dia akan menderita (dengan) pembakaran api neraka yang marak menjulang.”

Oleh demikian, beruntunglah sesiapa yang memperoleh rekod amalannya melalui tangan kanan, kerana dia pasti akan mendapat balasan terbaik daripada Allah SWT. Manakala pada hari tersebut, celakalah bagi mereka yang menerima buku amalannya melalui tangan kiri dan dari arah belakangnya. Kerana dia pasti akan mendapat balasan yang buruk daripada Allah.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Kepentingan ukhuwah umat Islam

Posted by epondok di Oktober 23, 2016

MASTURA MOHD . ZAIN

Perbezaan pandangan sepatutnya diurus dengan cara yang lebih matang dalam negara yang mengamalkan demokrasi dan mempunyai undang-undang ini. Bukan­nya dengan cara menyerang dan melakukan kekasaran dan keganasan sehingga mengakibatkan kecederaan. Apakah yang sedang berlegar di fikiran mereka sewaktu melakukan perbuatan yang memalukan itu? Di sini timbulnya persoalan, ke manakah hilangnya sifat ukhuwah atau persaudaraan yang sepatutnya dimiliki oleh orang Islam? Perbuatan yang dilakukan ini langsung tidak mencerminkan peribadi seorang Muslim yang diperintahkan agar bersatu dan tidak berpecah belah atau bermusuhan.

Kata ukhuwah berasal dari bahasa Arab yang kata dasarnya adalah akh yang bererti saudara, sementara kata ukhuwah bererti persaudaraan. Secara istilah ukhuwah Islamiyyah adalah kekuatan iman yang dikurniakan Allah kepada hamba-Nya yang beriman dan bertakwa yang menumbuhkan rasa kasih sayang, persaudaraan, kemuliaan dan rasa saling percaya terhadap saudara seakidah. Dengan berukhuwah akan timbul sikap saling menolong, saling pengertian dan tidak menzalimi harta mahupun kehormatan orang lain.

Dalam Surah Al-Hujurat:10 maksudnya, “Sesungguh­nya orang Mukmin adalah bersaudara. Oleh itu, damaikanlah kedua saudaramu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat”. Ukhuwah Islamiyyah seharusnya menjadi kekuatan dalam hidup beragama, sehingga menjadi sebuah suasana menyejukkan, bukan yang menebar kebencian. Dan dalam sebuah hadis: “Perumpamaan kaum mukmin dalam sikap saling mencintai, mengasihi dan menyayangi, seumpama tubuh, jika satu anggota tubuh sakit, maka anggota tubuh yang lain akan susah tidur atau merasakan demam.” (Riwayat Muslim)

Persaudaraan itu semestinya dibuktikan dan bukan ­teori semata-mata. Seorang mukmin harus merasakan pen­deritaan saudaranya, seperti yang dialami oleh mereka di Palestin dan Syria. Menyumbang setakat mana yang mampu serta sentiasa mendoakan keselamatan mereka.

Jika saudaranya mendapat kebahagiaan maka dia pun turut rasa bahagia dan tidak boleh dengki kepadanya. Demikian pula jika saudaranya menerima musibah dan ujian, dia harus turut merasa prihatin dan sedih. Begitu juga jika saudaranya memerlukan pertolongan, maka haruslah dia memberikan pertolongan yang termampu, itulah nilai dari sebuah persaudaraan. Namun demikian perkara sebaliknya berlaku pada hari ini; seorang Islam tidak ambil peduli dengan apa yang menimpa saudaranya. Sifat kasih sayang dan mengambil berat yang sepatutnya dimiliki sesama Islam sudah lama pudar.

Mengeratkan persaudaraan, bersatu padu dan tidak berpecah belah mampu menegakkan dan menjadikan agama Islam kuat. Sebaliknya, jika permusuhan dan kebencian berleluasa, Islam akan menjadi lemah dan umatnya tiada suara di pentas antarabangsa. Maka itu yang terjadi di dunia sekarang di mana Islam ialah umat yang lemah, ditindas, dizalimi serta dilanda kemiskinan.

Amat malang sekali jika seorang itu mengharapkan belas kasihan dari Allah SWT tetapi tidak peduli terhadap kesejahteraan saudara seagamanya. Apatah lagi apabila dia sengaja menyerang saudaranya dengan niat untuk mencederakan. Pada ketika itu, tiada gunanya lagi dia menegakkan benang basah dengan pelbagai alasan mempertahankan tindakannya melakukan keganasan itu. Apa saja yang keluar dari mulut orang sebegini tidak boleh dipercayai kerana yang jelas dia memperalatkan agama untuk kepentingannya dirinya sendiri.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Al-Quran nikmat berharga kepada umat Islam

Posted by epondok di Oktober 21, 2016

UMAT Islam seharusnya bersyukur kerana dianugerahkan Allah SWT dengan kitab suci al-Quran. Bukan hanya sebagai panduan hidup, malah mukjizat terbesar umat Islam ini juga menunjukkan jalan bagi mencapai kebahagiaan di akhirat.

Namun, kesyukuran itu tidak seharusnya hanya dilafazkan pada bibir, sebaliknya perlu meresap jauh ke dalam hati dan seterusnya dibuktikan dalam kehidupan seharian.

Firman Allah SWT dalam surah Yunus: 57 maksudnya:

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu al-Quran yang menjadi pengajaran daripada Tuhan kamu yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, serta menjadi hidayah (untuk keselamatan) dan sebagai rahmat bagi orang yang beriman.”

Sejajar itu, kita perlu terlebih dahulu bermuhasabah tentang sikap terhadap al-Quran dengan cara menilai sejauh manakah tahap keprihatinan terhadap kitab suci itu?

Ini kerana hidup bawah naungan dan pedoman al-Quran adalah kenikmatan terbesar. Buktinya, dengan kenikmatan itulah para sahabat, tabi’ dan tabiin serta generasi Islam sepanjang zaman mampu menikmati hidup di dunia dengan sangat bermakna dan penuh amal soleh.

Justeru, dalam usaha meneruskan kesinambungan hidup sedemikian, kita mestilah menuruti jejak golongan soleh terdahulu yang sentiasa dekat dan mesra dengan al-Quran.

Selain perlu meyakini kebenaran isi kandungan dan memahami tujuan diturunkan al-Quran, kita juga perlu menerima ajaran tersebut dengan hati terbuka serta mengakuinya sebagai mukjizat.

Dengan kata lain, al-Quran tidak seharusnya dianggap sebagai ungkapan untuk dilagukan sahaja, tetapi wajib diyakini, difahami dan diamalkan semua isi kandungannya.

Allah SWT berfirman dalam surah al-Qamar: 17 bermaksud:

“Sesungguhnya Kami telah memudahkan al-Quran untuk menjadi peringatan dan pengajaran. Maka adakah terdapat orang yang mahu mengambil pengajaran (daripadanya)?.”

Ayat tersebut menjelaskan bahawa al-Quran mempunyai pelbagai pengajaran yang perlu dihayati semua umat Islam tanpa mengira tahap usia seseorang sama ada kanak-kanak, dewasa mahupun yang sudah lanjut usia. Tambahan pula hari ini, terdapat pelbagai kaedah dicipta bagi memudahkan pembelajaran al-Quran.

Justeru, kita tidak perlu malu dan segan belajar membaca al-Quran walaupun sudah lanjut usia atau sekadar belajar membaca surah tertentu untuk dijadikan amalan harian seperti surah Yasin, al-Mulk dan al-Waqiah.

Kita tidak seharusnya berputus asa dalam membaca al-Quran kerana Allah SWT akan memberi pahala yang besar sebagaimana sabda Rasulullah SAW dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, “Orang yang membaca al-Quran dan dia mahir membacanya, dia bersama dengan para Malaikat yang mulia dan orang yang membaca al-Quran dan merasa susah dan gagap maka dia akan mendapat dua pahala.”

Namun begitu, untuk membaca dan mempelajari al-Quran perlu mengikuti adab-adab yang ditetapkan. Ia sebagai penghormatan terhadap keagungan al-Quran serta ‘jambatan’ untuk mendekatkan diri dan menambah kemesraan terhadap al-Quran.

Bukan hanya membaca, orang yang mendengar bacaan al-Quran juga dijanjikan ganjaran pahala oleh Allah SWT seperti mana firman Allah SWT dalam surah al-A’raf: 204 bermaksud:

“Apabila al-Quran itu dibacakan, maka dengarkanlah baik-baik serta diam (dengan menumpukan fikiran) supaya kamu beroleh rahmat.”

Sumber JABATAN MUFTI NEGERI PAHANG

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Dakwah itu adalah akhlak yang baik

Posted by epondok di Oktober 20, 2016

DAKWAH adalah mengajak kepada perintah Allah dan Rasul. Dalam al-Quran kalimah dakwah ditemukan sekitar 198 kali yang menunjukkan kewajipan dakwah tidak berlaku secara berkelompok tetapi meliputi setiap individu Muslim.

Ia merupakan tugas bersama bukan sekadar tugas pendakwah atau ustaz yang sering tampil di televisyen, radio, masjid, surau atau media massa yang terkini. Secara umumnya, aktiviti agama sering dilakukan di masjid atau surau di mana golongan yang tertarik untuk menyertai aktiviti tersebut merupakan golongan “beragama” , seolah-olah dianggap “tertutup” untuk bukan Islam atau Muslim yang jauh daripada Islam.

Sukar untuk menarik minat golongan ini untuk hadir ke masjid dan surau, malah wujudnya tanggapan, kedua-dua tempat itu hanya sesuai untuk orang tua sahaja. Allah SWT berfirman mafhumnya:

“Dan hendaklah ada dalam kalangan kamu yang menyeru kepada kebajikan, dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah. Dan mereka yang demikianlah orang yang berjaya.” (Surah Ali Imran: 104).

Kurun ke-21 ini disebut sebagai abad post-modern society, post-industrial society dan information society. Apapun istilahnya, masyarakat didominasikan oleh teknologi komunikasi. Oleh itu, dakwah perlu selari dengan perkembangan pesat hari ini iaitu pendakwah perlu meningkatkan kemahiran dan kepakaran bagi menguasai setiap bidang ilmu khususnya penguasaan laman sosial.

KEHEBATAN MANHAJ DAKWAH RASULULLAH

Sirah merakamkan pendekatan santai Rasulullah SAW menyantuni masyarakat gelandangan di sudut pasar Kota Madinah.

Diriwayatkan setiap orang yang menghampiri pengemis Yahudi buta tersebut akan diingatkan dengan kata-kata: “Wahai saudara-saudari, jangan dekati Muhammad, dia itu orang gila, pembohong, tukang sihir. Apabila mendekatinya kamu semua akan dipengaruhinya. Namun setiap pagi Rasulullah mendatanginya membawa makanan dan tanpa berkata sepatah kata, baginda menyuapkan makanan yang dibawanya kepada pengemis itu walaupun dia selalu berpesan kepada sesiapa sahaja supaya tidak mendekati orang yang bernama Muhammad.

Rasulullah melakukannya hingga menjelang kewafatan baginda. Setelah baginda wafat, tiada lagi orang yang membawakan makanan setiap pagi kepada pengemis buta tersebut. Suatu hari Sayidina Abu Bakar r.a. berkunjung ke rumah Sayyidatina Aisyah r.a. Beliau bertanya : Wahai anakku, adakah sunah kekasihku (Rasulullah) yang belum ayah lakukan? Aisyah menjawab : Wahai ayahku, engkau adalah seorang ahli sunah, hampir tiada satu pun yang belum ayahanda lakukan kecuali satu sahaja. Apakah itu? : Abu Bakar bertanya. Setiap pagi Rasulullah selalu pergi ke hujung pasar dengan membawakan makanan untuk seorang pengemis Yahudi yang buta matanya. Dia ada di sana: Aisyah berkata.

Keesokan harinya Abu Bakar ke pasar dengan membawakan makanan untuk diberikan kepada pengemis itu. Beliau mendekati pengemis itu dan memberikan makanan kepadanya. Ketika Abu Bakar mula menyuapinya, si pengemis itu marah dan berteriak : Engkau siapa! Abu Bakar menjawab: Saya orang yang biasa. Bukan! engkau bukan orang yang biasa mendatangiku, jawab si pengemis tua itu. Apabila dia datang kepada saya tidak susah tangan ini memegang dan tidak susah mulut ini mengunyah. Orang yang biasa mendatangiku selalu menyuapiku dengan lembut.

Pengemis itu meneruskan kata-katanya. Abu Bakar tidak dapat menahan air matanya. Dia menangis sambil berkata kepada pengemis itu : Saya memang bukan orang yang biasa datang kepadamu. Saya adalah seorang daripada sahabatnya, orang yang mulia itu telah tiada. Dia adalah Nabi Muhammad SAW.

Selepas pengemis itu mendengar cerita Abu Bakar, dia pun turut menangis. Kemudian dia bertanya : Benarkah begitu? Selama ini saya menghinanya, memfitnahnya, namun dia tidak pernah memarahiku. Malah dia mendatangiku dengan membawa makanan kepada saya setiap pagi. Dia begitu mulia. Pengemis buta itu akhirnya mengucap dua kalimah syahadah di hadapan Abu Bakar.

Lihatlah, bagaimana kesabaran dan kasih sayang itu mampu membawa seseorang ke jalan kebenaran. Tanpa kesabaran dan kasih sayang, pasti sukar untuk berdakwah. Inilah akhlak Rasulullah SAW yang menggambarkan Islam sebagai budaya kehidupan.

Dakwah adalah amar makruf dan nahi mungkar iaitu menyuruh melakukan kebaikan dan melarang daripada kejahatan. Inilah hubungan ta’awuniyyah (tolong menolong) sesama individu, masyarakat mengerjakan kebaikan dan takwa, menolak sebarang perlakuan membawa dosa serta maksiat dengan segala kemampuan yang ada.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa daripada kamu yang melihat kemungkaran, maka hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya, jika tidak mampu, maka dengan lidahnya, dan jika tidak mampu, maka ingkar dengan hati, yang demikian itu selemah-lemah iman.” – Riwayat Ahmad.

Apabila mendapati sesuatu kemungkaran dalam masyarakat, setiap individu perlu memastikan dirinya memahami keburukan berkenaan dan cara mengatasinya. Kemudian perlu memahamkan masyarakat tentang kesan negatifnya. Apabila masyarakat sedar dan mendapat sokongan tertentu, tindakan secara fizikal perlu diambil.

Bagaimanapun, perlu ada kuasa untuk menghapuskan keburukan itu dan jangan sekadar berasa benci serta mengkritiknya sahaja. Namun, hal ini bukan tugas seseorang secara individu, sebaliknya bersifat kolektif masyarakat Islam seluruhnya.

Allah SWT berfirman menyatakan prinsip ini bermaksud : “Dan orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sesetengahnya menjadi penolong bagi sesetengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan dan melarang berbuat kejahatan.” (Surah al-Taubah : 71).

Dakwah itu mendekati bukan menjauhi, menyeru bukan menghukum, mengajak kepada kebaikan dan menjauhi kejahatan. Inilah dakwah.

Dakwah tidak 
hanya terhad kepada 
seruan secara lisan, tetapi harus menggunakan media terkini asalkan tidak bercanggah dengan syariat Islam. Fenomena perkembangan teknologi masa kini telah mencorak pemikiran masyarakat ke arah menerima sesuatu maklumat secara tepat, praktikal 
dan mudah.

“Amar makruf 
dan nahi mungkar merupakan budaya masyarakat Islam berasaskan sikap tolong-menolong dan tanggungjawab bersama masyarakat yang merupakan pemimpin dalam peringkat masing-masing. Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya seorang mukmin kepada yang lain seperti satu binaan, sebahagiannya menyokong sebahagian yang lain.” – Riwayat Bukhari dan Muslim.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »