Terdapat juga cakap-cakap menyatakan bahawa jin Ifrit bolos daripada tangan Rasulullah SAW kerana doa eksklusif Nabi Sulaiman!.

Baginda Rasulullah SAW adalah penghulu semua Rasul, tapi mengapa Ifrit masih boleh terlepas? Tidak lain, ia berikutan mukjizat nabi Sulaiman yang diperuntukkan khusus untuk baginda sahaja. Doa baginda ini dimakbulkan oleh Allah:

“(Sulayman berdoa, katanya: “Wahai Tuhanku! Ampunkanlah kesilapanku dan kurniakanlah kepadaku sebuah kerajaan (yang tiada taranya dan) yang tidak akan ada sesiapapun kemudian daripadaku; sesungguhnya Engkaulah yang sentiasa melimpah kurnia,” (Sad [38:35-38]).

Cerita bagaimana jin Ifrit dan Iblis yang cuba mengganggu Rasulullah SAW boleh bolos disebut dalam dua hadis ini, sabda Rasulullah SAW:

“Semalam, jin Ifrit cuba menggangguku untuk memutuskan solatku. Allah membantuku untuk menewaskannya lalu aku berjaya mencekik lehernya. Aku berhasrat untuk mengikatnya pada tiang masjid agar paginya kamu semua dapat melihat (nya), kemudian aku teringat doa saudaraku Sulaiman: (Sad[38:35]), lalu Allah menghalaunya pergi dalam keadaan terhina,” (Sahih Muslim).

Juga hadis lain:
“Sabda Rasulullah SAW: “Si musuh Allah, Iblis datang membawa secebis api untuk dilempar ke mukaku, lalu aku mengucapkan: “Aku mohon perlindungan Allah daripada (kejahatan)mu” sebanyak tiga kali, kemudian tanpa berlengah aku berkata: “Aku melaknatmu dengan kutukan Allah” sebanyak tiga kali, kemudian aku hendak menambatnya. Demi Allah! kalaulah bukan kerana doa saudara kita, Nabi Sulaiman a.s. (dalam surah Sad[38:35] yang pernah memohon agar kelebihan sebegini hanya menjadi miliknya), sudah pasti Iblis akan terikat padanya (tiang masjid) dan menjadi mainan kanak-kanak Madinah,” (Sahih Muslim).

Zahirnya kedua-dua hadis ini menampakkan seolah-olah baginda Rasulullah SAW tidak mampu menangkap jin yang mengganggunya berikutan doa Nabi Sulaiman. Namun begitu, para ulama masih berselisih pandangan tentang kemampuan itu (Syarh Sahih Muslim oleh Imam al-Nawawi).

JAWAPAN KEPADA KEKELIRUAN

Isu utama yang mahu dibincangkan dalam refleksi kali ini ialah “mengapa Nabi Sulaiman begitu tegas mahukan kelebihan itu hanya miliknya?” Sekali pandang kelihatan baginda sangat “tamak.” Umum mengetahui bahawa sifat tamak sangat negatif dan tidak sesuai disabitkan dengan seorang Rasul Utusan Allah yang berada pada kemuncak kemuliaan rohani seorang manusia. Aduh! Pening juga memikirkannya.

Alhamdulillah! Rupanya para ulama sudah lama membincangkan perihal ini lantas memberikan kita semua jawapan padu yang tak mungkin meruntuhkan keyakinan kita tentang integriti iman dan maksum para nabi.

1. Imam al-Zamakhsyari pengarang kitab Tafsir al-Kasysyaf berkata:

“Nabi Sulaiman membesar dalam keluarga yang memiliki pangkat raja dan nabi. Baginda juga mewarisi kedua darjat tersebut. Oleh itu baginda meminta suatu mukjizat luar biasa melebihi semua raja dunia dari Tuhannya agar ia menjadi bukti kenabiannya serta penunduk kepada semua empayar lain.”

2. Imam al-Alusi pula berpendapat permintaan baginda itu bersesuaian dengan maksud “mukjizat” iaitu “kelebihan luar biasa yang menewaskan segala kelebihan zaman seseorang nabi”. Pada zaman itu terdapat ramai raja dan empayar selain empayar Nabi Sulaiman. Oleh itu baginda meminta agar kelebihannya tidak dimiliki oleh mana-mana raja sezaman dengannya atau yang selepasnya. Antara contohnya adalah mukjizat Nabi Musa a.s.yang menewaskan ilmu sihir yang menjadi kelebihan orang Mesir pada waktu itu (Tafsir al-Alusi).

Boleh jadi, baginda meminta agar kuasa sebegitu hebat dibataskan hanya untuk dirinya kerana manusia biasa yang benteng imannya sangat rapuh pasti tidak mampu menanggung godaan kuasa dan harta dalam kapasiti yang besar. Pasti akan berlaku kerosakan luar biasa jika dimiliki oleh semua orang.

Sungguh! Kuasa dan harta adalah dua nikmat beracun yang boleh merosakkan akal dan nafsu manusia sebagaimana yang direkodkan sejarah umat manusia dahulu dan sekarang. Mereka boleh menjadi “Tuhan bumi yang tidak bertauliah.” Benar firman Allah, harta dan kuasa yang tidak dipagar iman dan takwa akan menjadikan manusia sangat jahat dan angkuh:
“Ingatlah! Sesungguhnya manusia benar-benar melampaui batas (menjadi jahat, angkuh dan sombong), kerana dia melihat dirinya sudah cukup apa yang dihajatinya (berharta, berpangkat dan berkuasa). (Ingatlah) sesungguhnya kepada Tuhanmu kelak tempat kembali (untuk menerima balasan),” (al-‘Alaq [96:6-8]).

Bicara Allah dalam al-Quran adalah benar dan tepat serta tiada yang salah. Jika akal kita melihat sesuatu kepincangan pada firman Allah, itu tanda kita perlu lebih mengkaji. Yang manisnya, setelah mengkaji rahsia kalam Allah ini kita akan temui jawapan yang sangat manis, mengenyangkan dan berzat untuk iman dan akal. Ayuh! Mengaji lagi