Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Perbezaan manusia sumber kekuatan

Posted by epondok di September 26, 2016


Oleh Syafiq Salleh

Hati yang mengingati Allah SWT akan membawa kepada ketenangan jiwa serta kekuatan untuk menempuh cabaran hidup. Malah, ganjaran paling tinggi daripada usaha mengingati Allah SWT adalah syurga dan ini menyebabkan semangat menghadapi ujian serta dugaan terus meningkat. Justeru, setiap tindakan dan perbuatan dalam ruang lingkup yang diredai Allah SWT.

Ustaz Pahrol Mohd Juoi menerusi rancangan Islam Itu Indah di IKIMfm ketika membahaskan topik Umpama Bangunan Yang Kukuh berkata, keimanan kepada Allah SWT adalah prinsip amal makruf nahi mungkar. Manusia memerlukan rujukan syariat atau undang-undang Allah SWT untuk memperkuatkan hati dan jiwa kepada ajaran Islam yang juga bimbingan terhadap ketetapan iman. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berperang untuk membela agama-Nya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh.” (Surah as-Saf, ayat 4)

Kehidupan yang kukuh dari segi keimanan, kesatuan hati dan semangat bekerjasama bukan sahaja fitrah tetapi suatu perintah. Perpaduan erat dijalinkan antara sesama manusia yang memegang prinsip ‘hablun minan nas’ ibarat struktur bangunan yang kukuh. Sebuah bangunan juga dikaitkan dengan perpaduan yang memerlukan sifat terbuka dan sedia menghadapi perbezaan. Jika dilihat melalui struktur binaan bangunan yang kukuh, tidak dapat diroboh dengan mudah kerana antara bahagian saling berpaut erat antara satu sama lain. Ia juga dibina daripada pelbagai bahan berlainan seperti simen, besi keluli, kayu, paku, cat dan sebagainya bagi membentuk sebuah struktur binaan yang kukuh. Oleh itu, hakikat perbezaan manusia bukan sahaja perlu diterima, malah ia juga perlu diraikan.

Hikmah perbezaan manusia

Hikmah perbezaan manusia bukanlah satu kekurangan atau kelebihan tetapi akan menjadi sumber kekuatan kerana kekurangan dan kelebihan itu yang menampung antara satu sama lain. Perkara ini bukan sebab untuk bermusuhan, tetapi perlu digunakan bagi saling melengkapkan. Hubungan unik sesama manusia digabungkan melalui kepelbagaian kaum, agama dan bangsa. Manusia yang hidup dalam keadaan berbeza tidak boleh menghina, mengejek, merendah dan menjatuhkan sesuatu kaum, bangsa atau agama. Contohnya, batu tidak boleh disusun tanpa simen, begitu juga bahan lain yang memerlukan sokongan untuk menjadi bangunan. Oleh itu, kebenaran tidak akan tertegak jika masih terdapat penghinaan antara satu sama lain.

Hindari pertelagahan

Allah SWT menjelaskan perkara ini dalam firman yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah pula sesuatu puak daripada kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain dan janganlah pula kamu panggil memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan itu menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang yang zalim.” (Surah al-Hujurat, ayat 11)

Sifat bersatu padu memerlukan kelembutan penuh keikhlasan dalam hati untuk membentuk jiwa yang sama. Kelembutan hati juga mengajar manusia menerima antara satu sama lain serta menghormati dan memaafkan kekurangan yang ada

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: