Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Orang beriman reda tempuhi ujian

Posted by epondok di September 25, 2016


Oleh Fairuz Noordin

Aidiladha memberi banyak iktibar kepada umat Islam. Kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail yang diberi pelbagai ujian dan tidak mempersoalkan perintah Ilahi menjadi ukuran tingginya iman Baginda.

Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani di IKIMfm menjelaskan kemuncak ujian Baginda turut dikongsi umat Islam yang menunaikan ibadah haji. Sesiapa yang membesarkan syiar Allah SWT, itu menandakan mereka dalam kalangan orang yang bertakwa. Sebelum menyambut Aidilfitri, umat Islam disyariatkan berpuasa sepanjang Ramadan, manakala sebelum Aidiladha, pada 1 hingga 9 Zulhijah masa paling bernilai.

Pada hari wukuf di Padang Arafah jemaah haji memohon keampunan daripada Allah SWT. Masing-masing datang dari segenap penjuru dunia menadah tangan berdoa kepada Allah SWT supaya mengampunkan dosa mereka. Aidiladha adalah waktu yang dituntut oleh Allah SWT untuk memperbanyakkan muhasabah diri. Selain itu, untuk Aidiladha, Allah SWT memberi pilihan kepada umat manusia melakukan ibadah korban. Rasulullah SAW juga berpesan kepada sesiapa yang berpuasa sunat pada Hari Arafah, Allah SWT mengampunkan dosa setahun yang akan datang dan setahun sebelumnya.

Perbanyak taubat, istighfar

Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani menerusi slot Mau’izati di IKIMfm, berkata Rasulullah SAW juga menggalakkan umat Islam berpuasa bermula 1 hingga 9 Zulhijah, memperbanyakkan taubat dan beristighfar kepada Allah SWT. Aidiladha juga memberi banyak iktibar kepada umat Islam terhadap peristiwa dilalui Nabi Muhammad SAW dan Nabi Ibrahim yang nama mereka disebut dalam solat. Mereka adalah nabi yang dianugerahkan Allah SWT kesempurnaan dalam ujian perjalanan hidup.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Alif, Laam, Miim. Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah mengenai orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahui-Nya mengenai orang yang berdusta.” (Surah al-Ankabut, ayat 1-3)

Bagi orang beriman kepada Allah SWT, ujian demi ujian ditempuhi. Begitulah yang dilalui Nabi Ibrahim dan sebahagian kemuncak ujian dihadapi Baginda turut dikongsi umat Islam yang menunaikan ibadah haji. Ujian Nabi Ibrahim Ujian lain ialah bapanya yang tidak beriman kepada Allah SWT dan membina berhala serta diminta Baginda menjualnya. Di dalam keadaan serba salah, Baginda membawa berhala itu ke sekeliling kampungnya sambil menyebut: “Wahai orang kampung, datanglah membeli berhala yang bodoh ini jika kamu dalam kalangan orang yang bodoh. Belilah berhala yang pekak ini jika kamu pekak dan belilah berhala yang buta ini sekiranya kamu buta.”

Akhirnya apabila pulang, Nabi Ibrahim ditanya ayah Baginda, berapakah hasil jualannya. Baginda memberitahu tidak ada satu pun berhala dapat dijual. Baginda turut diuji apabila dibakar oleh Raja Namrud kerana memusnahkan berhala, dengan kuasa Allah SWT kerana keyakinan hidupnya bergantung hanya kepada-Nya, unggun api yang marak menyala itu menjadi sejuk. Nabi Ibrahim juga diuji dengan tidak dikurniakan anak tetapi pada usia tuanya, Nabi Ibrahim dikhabarkan oleh malaikat bahawa Baginda akan beroleh zuriat. Walaupun pada awalnya beliau sukar mempercayainya, namun dengan kuasa Allah SWT, segalanya berlaku.

Setelah lahirnya Nabi Ismail, Nabi Ibrahim diuji lagi apabila diperintahkan oleh Allah SWT supaya membawa isterinya dan anaknya ke suatu tempat yang jauh dari bumi Palestin di bumi Bakkah (Makkah), suatu lembah yang tidak berpenghuni dan tiada sebarang tanaman. Setiba di sana, Baginda diarahkan Allah SWT untuk meninggalkan keluarganya di situ. Isteri Baginda, Siti Hajar merayu supaya tidak ditinggalkan bersama anaknya, Ismail, tetapi apabila diberitahu itu adalah perintah Allah SWT, Siti Hajar reda.

Satu lagi ujian dihadapi Nabi Ibrahim ialah apabila Allah SWT memerintahkan untuk menyembelih Nabi Ismail. Baginda dan anaknya akur dengan arahan Allah SWT, malah dalam perjalanan menunaikan perintah itu Baginda masih diuji apabila diganggu syaitan. Nabi Ibrahim mengambil batu lalu dibaling kepada syaitan sambil menyebut: “Dengan nama Allah, aku rejamkan syaitan dan segala puak-puaknya.”

Direjam dengan tujuh biji batu yang dilakukan sehingga kini oleh mereka yang melaksanakan ibadah haji yang melontar di jamrah pada Hari Tasyrik. Iktibar di sebalik peristiwa ini, walaupun perintah Allah SWT itu di luar pemikiran manusia, mentaati perintah itu lebih utama. Jangan sekali-kali mempertikaikan perintah Allah SWT, contohi Nabi Ismail yang merelakan dirinya dikorbankan walaupun akhirnya Baginda ditukar dengan seekor kibas. Sentiasa lindungi diri dengan doa, “Ya Allah, lindungilah aku daripada kejahatan syaitan yang direjam itu.”

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: