Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Kisah Nabi Ibrahim inspirasi perjuangan

Posted by epondok di September 24, 2016


Oleh Mohd Faiz Othman

 

SERING kali kita melihat jalan dakwah ini payah, penuh rintangan dan dalam pada itu kita juga sering lupa bagaimana Allah SWT menghadirkan pelbagai kisah Nabi untuk kita hayati, jadikan inspirasi dan motivasi dalam meneruskan legasi perjuangan ini.

Menerusi rancangan Ibrah di IKIMfm, Ustaz Muhammad Syaari Ab Rahman mengupas mengenai dhuyufurrahman iaitu tetamu Allah SWT yang berada di Makkah menunaikan ibadah haji dengan memetik ayat dalam surah al-Hajj. Nabi Ibrahim dalam ayat itu disebut sebagai ayahanda kerana dari segi keimanan kita menerima agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW daripada keturunan Nabi Ibrahim. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya Dialah yang memilih kamu (untuk mengerjakan suruhan agamanya); dan Ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama, agama bapa kamu Ibrahim. Ia menamakan kamu: ‘orang Islam’ semenjak dahulu dan di dalam (al-Quran) ini, supaya Rasulullah (Muhammad) menjadi saksi yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu, dan supaya kamu pula layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (mengenai yang benar dan salah). Oleh itu, dirikanlah sembahyang, dan berilah zakat, serta berpegang teguhlah kamu kepada Allah! Dialah Pelindung kamu. Maka (Allah yang demikian sifat-Nya) Dialah sahaja sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik Pemberi pertolongan.” (Surah al-Hajj, ayat 78)

Tugas dakwah bukan mudah

Muhammad Syaari berkata, umat Islam perlu memahami ayat akhir surah Al-Hajj ini sebagai motivasi kerana tidak dinafikan tugas dakwah bukan mudah dan bukan semua boleh melakukannya. Ia ibarat seorang tukang jahit yang diberikan tanggungjawab bekerja di bidang pembangunan aplikasi dan web, yang langsung tiada kaitan dan tukang jahit tidak mempunyai kemahiran dalam bidang itu. Allah SWT menerusi ayat ini menyebut mengenai tugasan kita sebagai hamba di muka bumi ini dengan tugasan jihad yang sebenar-benarnya.

Tidak dinafikan ia sukar kerana mengingati Allah SWT ada kala kita leka, inikan pula mahu berjihad di jalan-Nya. Namun, Allah SWT tetap memilih kita umat Nabi Muhammad SAW kerana pada kita Allah SWT melihat ada potensi. Kemudian Allah SWT tenangkan kita dengan menyebut, “dan Ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama.”

Ujian ditempuh Nabi Ibrahim

Sesungguhnya ia adalah jalan yang telah dilalui oleh ayahanda kita Nabi Ibrahim, insan yang diuji oleh Allah SWT untuk berhadapan bapanya yang mencipta berhala kemudian diuji dengan dihumban ke dalam api. Nabi Ibrahim juga diuji oleh Allah SWT untuk meninggalkan anak dan isteri di padang pasir dan diuji untuk menyembelih anaknya sendiri. Ini sebenarnya gambaran Allah SWT mahu kita meyakini bahawasanya Allah SWT yang telah memberi kemudahan kepada Nabi Ibrahim melalui segala ujian. Allah SWT jugalah yang memberi kemudahan dan kekuatan kepada kita melakukan segala syariat yang mungkin kita lihat sebagai beban sementara inspirasi kita adalah Nabi Ibrahim.

Hayati perjuangan

Menakjubkan apabila al-Quran menyebut mengenai Nabi Ibrahim pasti dikaitkan dengan Islam dan Muslim. Sesetengah daripada kita berasakan sudah cukup Islam apabila ibu dan ayah Islam, sedangkan tidak menghayati perjuangan Nabi Ibrahim hampir 100 tahun untuk anak cucunya mengenali Islam. Semoga kekuatan jiwa Nabi Ibrahim membawa nama Islam kepada kita benar-benar dapat dihayati dengan penuh ketenangan dan kesejahteraan. Jadikan kisah Nabi Ibrahim sebagai inspirasi untuk kita terus berjuang pada jalan Allah SWT

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/194590

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: